18 Tempat Menarik Di Labuan. Sebuah Pulau Yang Bersejarah!
Pulau Labuan merupakan salah satu kawasan bebas cukai yang terdapat di Malaysia. Kalau dah namanya bebas cukai, mestilah tempat best untuk shoppingkan!
Wilayah Persekutuan Labuan ini hanya beberapa jam perjalanan menaiki bot dari Kota Kinabalu, Sabah. Manakala jika anda menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur pula, ia memakan masa hampir 2jam 30minit.
Labuan kaya dengan tempat-tempat semula jadi yang cantik dan berharga. Dasar lautnya menjadi tarikan untuk diterokai penyelam dalam dan luar negara kerana terdapat kapal-kapal karam sewaktu zaman peperangan suatu ketika dahulu serta peninggalan penjajah. Selain itu, Labuan juga menjadi laluan feri untuk ke Negara Brunei.
Nak tahu apa tempat-tempat menarik di Labuan? Jom kita lihat senarainya dalam artikel ini.
1) Menara Jam Labuan
Jika anda berjalan di sekitar Labuan, jangan terkejut pula kalua tiba-tiba anda terdengar bunyi dong! dong! dong! Ha… Itulah bunyi yang datangnya dari sebuah jam di tengah bandaraya Labuan iaitu Menara Jam Labuan yang penuh bersejarah.
Menara jam ini dibina pada tahun 1906, sumbangan dari seorang peniaga terkemuka Melaka, Chee Swee Cheng. Menara ini merupakan salah satu daripada empat buah struktur lain di Bandar Labuan yang terselamat daripada pengeboman tentera bersekutu.
Namun pada tahun 1948, pihak British telah merobohkan menara jam ini dengan janji ia akan dibina kembali. Janji sekadar tinggal janji, akhirnya menara ini sebaliknya telah dibina kembali oleh Perbadanan Labuan pada tahun 2002. Jadi, menara jam yang anda lihat kini bukanlah struktur Menara jam yang asal, tetapi adalah replika menara yang asal.
Jam ini akan berbunyi setiap jam. Jadi, jika anda ingin mendengar dengungan bunyinya, rancanglah masa anda agar tidak terlepas bunyi jam ini.
Lokasi: Taman Antarabangsa Borneo
2) Masjid Jamek An’Nur
Masjid Jamek An’Nur juga dikenali sebagai Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Ia adalah sebuah masjid yang dibina pada tahun 1980 dengan gabungan seni bina Melayu Brunei dan Turki.
Reka bentuknya yang agak futuristik menjadikan ia tarikan yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong yang datang ke Labuan. Memandangkan ia satu-satunya masjid yang terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan ini, maka haruslah anda singgah untuk bersolat di sini.
Lokasi: Jalan Merdeka, Labuan
3) Dataran Labuan
Antara tempat yang anda boleh bersantai-santai dengan keluarga adalah di Dataran Labuan. Namun, sekiranya anda datang ke Labuan pada tarikh-tarikh penting seperti hari kemerdekaan negara dan hari kemerdekaan Labuan, anda berpeluang melihat kemeriahan di dataran ini. Ini kerana terdapat aktiviti serta sambutan kemerdekaan yang biasanya dijadakan di Dataran Merdeka KL. Di sini juga banyak dijalankan persembahan dan keraian lain yang penting di Labuan.
Lokasi: Jalan Merdeka, Labuan
4) Muzium Labuan
Bangunan Muzium Labuan ini asalahnya adalah sebuah Pejabat Pentadbiran Kolonial British. Ia telah dibina oleh pihak British pada tahun 1950-an. Namun, selepas diambil alih oleh Jabatan Muzium Malaysia, bangunan ini telah diubah suai dan dijadikan Muzium Labuan.
Antara pameran menarik yang terdapat di muzium ini adalah replika rumah suku Kadayan, artifak batu dari zaman neolitik yang ditemui di Pulau Burong dan koleksi senjata perang dunia.
Lokasi: Muzium Labuan, Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan, U 0364, Jalan Dewan, 87008
5) Labuan War Memorial Cemetary
Labuan War Memorial Cemetary merupakan tanah perkuburan tentera-tentera yang gugur sewaktu pencerobohan Jepun di Kepulauan Borneo pada tahun 1945. Terdapat sebanyak 1,788 buah kubur di memorial ini yang turut menempatkan warga Australia dan India.
Antara lain yang turut disemadikan di sini adalah Jack Mackey (1922–1945) dan Tom Derrick (1914–1945) yang pernah menerima Anugerah Kepujian Keberanian Victoria Cross.
Lokasi: Labuan War Memorial Cemetary, 87000 Labuan
6) Muzium Marin Labuan
Nak lihat keindahan flora dan fauna di dalam lautan? Tak perlu menyelam ke dasar laut untuk melihatnya kerana anda boleh ke Muzium Marin Labuan. Terdapat lebih daripada 570 koleksi flora dan fauna marin yang dipamerkan di sini. Antara ruang pameran yang terdapat di sini adalah Seksyen Hidupan Marin, Seksyen Batu Karang, Maklumat Kapal Karam dan Seksyen Paya Bakau.
Manakala, di tingkat atas muzium pula mempamerkan maklumat tambahan lain yang melibatkan peralatan menyelam, peralatan memancing klasik dan moden, serta banyak lagi informasi berkaitan spesies hidupan marin.
Nak tengok rangka ikan paus? Nak tengok saiz kuda laut besar mana? Bolehlah datang ke sini untuk melihatnya dengan mata anda sendiri.
Lokasi: Muzium Marine Labuan, Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan, Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, Jalan Tanjung Purun.
7) The Chimney Museum
The Chimney Meseum terletak di sekitar Kawasan bekas tapak pelombongan arang dari tahun 1847 hingga 1911 sewaktu pemerintahan British. Apa yang menarik tentang muzium ini? Sebenarnya banyak teori tentang struktur bangunan ini.
Walaupun namanya ‘chimney’ ataupun cerobong asap, namun tiada kesan pembakaran yang ditemui pada dinding sebelah dalam menara ini. Ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah sebuah rumah api kerana terletak di kawasan tanah tinggi dan kerana kewujudan sebuah pelabuhan di Lubung Temiang pada suatu ketika dahulu.
Teori yang lain pula mengandaikan yang menara ini mungkin juga sebuah menara jam. Tetapi tiada kelibat jam yang terdapat pada bangunan ini.
Walaupun masih menjadi tanda tanya, apakah tujuan sebenar struktur ini dibina, namun lawatan anda ke sini masih berbaloi.
Lokasi: Muzium Chimney Kg Lubok Temiang Jalan Tanjung Kubong 87000
8) The Bird Park Labuan
The Bird Park Labuan terletak berdekatan dengan The Chimney Museum. Jika di Muzium Marin Labuan anda berpeluang melihat hidupan di lautan, di Bird Park Labuan pula anda dapat mengenali spesies burung dengan lebih dekat lagi.
Terdapat lebih daripada 580 spesies burung di sini. Tak perlu susah payah bawa teropong untuk melihat burung-burung ini. Semuanya ada di sekeliling anda. Pasti anda akan teruja melihat kecantikan burung-burung di sini.
Lokasi: Tg. Kubong, Labuan Town, Labuan Island
9) Labuan Botanical Gardens
Labuan Botanical Gardens didirikan di atas tapak kawasan yang pernah menempatkan bangunan kerajaan yang digelar Bumbung 12. Bangunan ini dibina oleh penjajah dengan seni bina yang cukup unik pada tahun 1852. Bumbung 12 ini juga merupakan tempat tinggal Sir James Brooke dan pernah menjadi rumah persinggahan King Edward VIII (The Prince of Wales) sewaktu kedatangannya ke Labuan pada tahun 1922. Namun pada tahun 1945, bangunan ini dan sebahagian besar kawasan di sekelilingnya musnah dibom oleh tentera bersekutu.
Kini, tapak ini telah dijadikan sebuah taman botani yang indah. Terdapat taman bunga raya pelbagai spesies, taman herba, sebuah tasik buatan dengan jambatan merentasinya, laluan refleksologi, gazebo, taman permainan kanak-kanak dan rumah pondok di atas pokok.
Lokasi: Labuan Botanical Garden, 708, 87000 Labuan
10) Taman Damai & Tugu Penyerahan Jepun
Berdekatan Pantai Layang-layang, terletaknya dua lagi tarikan lain di Labuan iaitu Taman Damai & Tugu Penyerahan Jepun. Taman Damai dibina dengan sumbangan daripada Japan Shipbuilding Industry Foundation dan juga keluarga mereka yang terkorban sewaktu pencerobohan Jepun. Pembinaan taman ini adalah untuk menjadi simbol keharmonian antara Malaysia dan Jepun.
Manakala, di sebelahnya pula terletak Tugu Penyerahan Jepun. Di sinilah peristiwa bersejarah di mana Angkatan Tentera Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Masao Baba telah menyerah diri kepada Tentera Australia pada tarikh 10 September 1945.
Selain daripada bersiar-siar di Kawasan sekitar sini, dapat juga anda info tentang sejarah yang pernah berlaku di Labuan. Sememangnya percutian anda di Labuan ini boleh dikategorikan seperti lawatan sambal belajar. Memang berbaloi.
Lokasi: OKK Daud Road, Pulau Labuan
11) Pantai Layang-Layang
Pantai Layang-layang adalah sebuah pantai yang cukup indah terutama sekali ketika waktu matahari melabuhkan tirainya sekitar pukul 5.30 ke 6.30 petang.
Di sepanjang pantai ini juga terdapat penjaja yang menjual pelbagai jenis makanan seperti cendol, sate, air kelapa dan banyak lagi.
Bolehlah anda sekeluarga berkelah di sini sambal menghirup bayu laut yang menyegarkan. Bagi anda yang suka memancing, jangan lepaskan peluang anda untuk beraksi di sini. Pantai Layang-Layang cukup kaya dengan pelbagai jenis ikan. Itulah sebabnya ia turut terkenal dalam kalangan kaki pancing.
Lokasi: OKK Daud Road, Pulau Labuan
12) Pantai Pancur Hitam
Pantai Pancur Hitam juga mendapat nama julukan sebagai House of Millions of Peace. Diberikan gelaran sedemikian kerana keindahan pemandangan dan ketenangan angin sepoi-sepoi bahasa pantai ini menjadikan ia pilihan ramai jutawan untuk membina rumah mewah di sini.
Keindahannya yang memukau turut menarik perhatian dunia sehingga dianugerahkan dengan Anugerah United Nation COBSEA Clean Beach 2008.
Baca artikel ini sahaja, sudah boleh terbayang kecantikan pantai ini. Kalau anda sendiri yang berada di sana dan merasai sendiri ketenangan serta keindahan pantai ini, pasti lebih syok!
Lokasi: Pantai Pancur Hitam, 87000
13) Pantai Pohon Batu
Pantai Pohon Batu adalah sebuah pantai yang terletak sebaris dengan Pantai Pancur Hitam. Pantai Pohon Batu terkenal dengan panorama indahnya sewaktu matahari terbenam. Terdapat warung-warung kayu yang dibuka di tepian pantai indah ini dengan jualan makanan laut segar.
Berkelah di pantai ini, sambal menghirup udara segar, ditambah pula dengan sajian makanan laut yang segar, memang heaven!
Lokasi: Pohon Batu Smpang 26 (Pohon Batu), Labuan
14) Pulau Rusukan Besar
Mempunyai keluasan sebesar 14 hektar, Pulau Rusukan Besar memiliki pemandangan yang sangat cantik. Ia merupakan salah satu daripada pulau yang digazetkan sebagai sebagai Taman Laut Labuan sehaj tahun 1994.
Untuk ke Pulau ini, anda hanya perlu naik boat dalam 7-10 minit. Anda boleh menikmati keindahan pulau ini dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti diving, snorkeling, scuba diving, camping, melihat keindahan flora dan fauna, kayak dan beberapa aktiviti lain.
Memandangkan pulau ini dikategorikan sebagai Taman Laut, maka segala aktiviti yang boleh mengancam dan mencemarkan kesejahteraan hidupan marin di sini adalah dilarang. Anda tidak dibenarkan memancing dan menangkap ikan di sini. Hal ini juga secara tidak langsung dapat menjaga serta mengekalkan keindahan semula jadi persekitaran pulau ini.
Selain itu, di sini juga turut disediakan chalets untuk pengunjung yang ingin bermalam di sini.
15) Pulau Papan
Selain daripada Pulau Rusukan Besar, Pulau Papan juga antara pulau yang wajib anda terokai di Labuan. Pulau Papan merupakan pulau yang dijaga dan dibangunkan untuk mengekalkan keindahannya. Pulau ini sesuai untuk mereka yang sukakan keindahan pantai dan mencari tempat untuk relaks. Anda pasti akan terpukau dengan kecantikan pesisiran pantainya. Pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan disini seperti menariki perahu larai, snorkeling, jungle trekking dan berkelah. Di sini juga terdapat kemudahan chalet bagi anda yang ingin bermalam di sini.
16) Kampung Air
Bagaimana perasaan anda jika tinggal di rumah kayu tradisional yang dikelilingi oleh air? Rumah-rumah kayu berwarna-warni kelihatan seperti tempat tinggal terapung dan dihubungkan satu sama lain dan ke jalan-jalan utama melalui laluan pejalan kaki yang bersimpang-siur dan tidak tersusun.
Perjalanan ke Labuan tidak akan lengkap jika tidak melawat Kampung Air. Terdapat dua kampung air yang utama di Labuan iaitu Kampung Bebuloh dan Kampung Patau-Patau. Kebanyakan pendidik Kampung Air terdiri daripada orang Melayu Brunei.
Rumah-rumah di sini, didirikan betul-betul di tepi laut, dibina menggunakan kayu dan bertiang tinggi, disambungkan bersama-sama dengan jaringan laluan kayu yang berselirat.
Para pengunjung bebas berkeliaran di sekitar kampung-kampung air dan memerhati gaya hidup masyarakat sederhana yang kebanyakannya adalah nelayan.
Hampir setiap pemilik rumah di sini mempunyai bot sendiri. Kawasan rumahnya agak luas dan semuanya mempunyai beranda yang dihias indah.
Rumah-rumah di sini sangat stabil, bahkan ada rumah yang telah berusia lebih dari 60 tahun. Rahsianya ialah kayu belian yang digunakan sebagai asas rumah itu yang dapat berdiri kuat selama berabad-abad yang akan datang.
Keluarga tuan rumah yang ramah akan senang hati untuk melayani anda dengan beberapa makanan lazat tradisional mereka termasuk ambuyat, hidangan sagu tradisional Brunei yang enak dimakan bersama sambal asam dan pedas yang dibuat dengan mangga muda, cili dan udang kering.
17) Ujana Kewangan
Labuan sebagai Zon Bebas Cukai semestinya sangat syok untuk aktiviti membeli-belah. Di sinilah lokasinya, Ujana Kewangan ataupun lebih dikenali sebagai UK dalam kalangan penduduk tempatan.
UK ini sebenarnya adalah satu-satunya pusat membeli-belah yang terdapat di Labuan. Antara yang terdapat di sini adalah Parkson, Giant, KFC, Pizza Hut dan lain-lain.
Seperti mana Langkawi dan Pengkalan Kubor, pastinya pengunjung akan memborong sebanyak-banyaknya coklat di Kawasan Zon Besas Cukai seperti ini. Jadi, sediakan wang secukupnya. Jangan lepaskan peluang anda untuk shopping di sini.
Lokasi: Lot No. E008, Tingkat Bawah, Bangunan Financial Park, 87000 Wilayah Persekutuan
18) One Stop Duty-Free Shopping
One Stop Duty-free Shopping terletak betul-betul di tengah bandaraya Labuan. Selain di UK, di sini juga anda boleh membeli-belah pelbagai barangan menarik dengan harga yang bebas dari cukai.
Antara yang boleh dijumpai di sini adalah coklat, mutiara dan banyak lagi produk lain yang dihasilkan penduduk tempatan seperti saho, sambal dan tapai. Bolehlah beli ole-ole dari Labuan yang sesuai untuk kaum keluarga dan sahabat-handai di sini.
Lokasi: Bandar Labuan, 87000 Labuan
Itulah dia 18 tempat menarik di Wilayah Persekutuan Labuan yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Labuan. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Kota Kinabalu dan Tempat Menarik Di Sabah.