13 Tempat Menarik Di Bukit Fraser, Pahang. WOW! Little England Malaysia
Ingin bercuti ke tempat peranginan yang berhawa sejuk sambil menikmati alam semula jadi yang penuh kehijauan? Bukit Fraser adalah tempat yang ideal buat anda apatah lagi jika anda ingin lari dari kesibukan kota.
Bukit Fraser mendapat namanya bersempena nama seorang pengembara Scotland iaitu Louis James Fraser. Namun begitu, berdasarkan kisahnya, beliau telah hilang pada tahun 1916. Namun, kehilangannya masih menjadi satu misteri sehingga kini.
Memandangkan ia terletak di kawasan tanah tinggi, maka jalan menuju ke sini agak berliku dan bersimpang-siur. Bagi anda yang mabuk naik kereta, sediakan asam dalam kereta ya.
OK! Jom kita lihat 13 tempat menarik yang bakal anda lawati di sini.
1) Menara Jam Bukit Fraser
Kebanyakan tempat pelancongan pasti akan ada tugu yang menjadi ikon tempat tersebut. Begitu juga di Bukit Fraser. Tak sempurna percutian anda sekiranya anda tidak mengabadikan foto kenang-kenangan anda di Menara Jam Bukit Fraser ini.
Menara Jam Bukit Fraser terletak di tengah-tengah pekan dan ia seolah-olah menjadi penyambut tetamu yang mengalu-alukan kehadiran anda di sini. Menara Jam ini terpacak betul-betul di tengah jalan setibanya anda sampai di Bukit Fraser ini.
2) Kelab Golf Diraja Bukit Fraser
Kelab Golf Diraja Bukit Fraser adalah antara padang golf terawal yang dibuka di negara kita. Kelab Golf Diraja Bukit Fraser ini menampilkan 9 lubang. Walaupun saiznya kecil berbanding padang golf lain, tetapi permukaannya yang agak sukar serta suhu yang sejuk menjadikan ia sedikit mencabar. Untuk pengetahuan anda, perkhidmatan buggy tidak disediakan di padang ini dan anda perlu berjalan untuk melawat setiap lubang.
Lokasi: Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
3) Taman Awam Bukit Fraser
Bagi anda yang ada anak kecil, bolehlah bawa keluarga anda ke Taman Awam Bukit Fraser yang terletak di Pine Tree Road. Landskap di sini juga tidak kurang cantiknya. Terdapat pelbagai bunga-bungaan yang ditanam di sini untuk mencantikkan lagi kawasan taman rekreasi ini.
Anak-anak anda pasti seronok kerana terdapat sebuah taman permainan di sini. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan mini golf untuk anda sekeluarga bermain. Bayaran yang dikenakan hanya RM8 bagi orang dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak. Dengan bayaran tersebut, anda bebas bermain golf selama 15 minit.
Lokasi: Jalan Pokok Pines, Bukit Fraser, 49000 Bukit Fraser, Pahang
4) The Paddock Fraser Hill
The Paddock tertelak di Valley Road sebelum bulatan Glen Banglo. Jika di Taman Awam anda boleh bermain mini golf, di The Paddock pula, anda sekeluarga boleh menunggang kuda. Jangan risau, Sekiranya anda tidak pernah menunggang kuda sebelum ini, anda tidak perlu risau! Ini kerana, di sini anda boleh menunggang kuda dalam suasana terkawal dibawah pengawasan jurulatih yang bertauliah. Berbeza dengan pusat belajar menunggang yang lain, kuda yang digunakan di pusat ini merupakan kuda lumba yang sudah bersara.
Bayaran untuk aktiviti menunggang kuda juga sangat berpatutan, iaitu RM6.50 untuk seorang kanak-kanak, RM9 untuk seorang dewasa dan RM11 untuk seorang dewasa dan kanak-kanak.
Jika anak-anak anda ada yang tidak berani untuk menunggang kuda, tidak mengapa. Ini kerana mereka boleh mencuba aktiviti lain seperti menyumpit dan memanah yang turut tersedia di sini. Bayaran yang dikenakan untuk aktiviti memanah pula adalah RM11 untuk 10 anak panah.
Setelah selesai melakukan aktiviti yang tersedia di sini, anda bolehlah bersantai-santai di kawasan rehat yang terdapat di sini. Anda bakal disajikan dengan panorama indah yang dihiasi pokok-pokok conifer. Memang cantik!
Lokasi: The Paddock, Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
5) Pine Tree Hill & Twin Peak
Anda gemarkan aktiviti mendaki bukit? Lepaskan gian anda untuk hiking di Pine Tree Hill & Twin Peak. Pine Tree Hill & Twin Peak ini merupakan destinasi popular bagi penggemar aktiviti hiking tempatan dan ia mempunyai ketinggian kira-kira 1500 meter.
Pendakian di Pine Tree Hill agak mencabar kerana bentuk muka buminya yang turun naik bukit. Namun begitu, terdapat kemudahan seperti tangga dan tali untuk membantu para pendaki menyusuri trek di hutan ini.
Setelah anda berjaya di puncak Pine Tree Hill, bolehlah anda berehat dan bergambar kenang-kenangan di sini. Seterusnya anda boleh meneruskan pendakian anda ke Twin Peak pula. Jangan risau, perjalanan ke Twin Peak lebih landai dan santai berbanding trek menuju ke puncak Pine Tree Hill. Pemandangan di puncak Twin Peak juga lebih cantik dan jelas 360 darjah.
Tempoh pendakian anda boleh selesai dalam purata 8jam pergi-balik.
6) Hemmant Trail Fraser Hill
Jika anda rasa pendakian di Tree Hill & Twin Peak terlalu mencabar, anda boleh lakukan aktiviti jungle trekking di Hemmant Trail. Trek di Hemmant Trail lebih mudah kerana ia tidak curam dan hanya mempunyai jarak sejauh 1 kilometer sahaja.
Trek yang akan anda lalui adalah hutan yang mengelilingi kelab golf di sini. Namun, pada fasa akhir trek ini, anda akan meretasi kawasan yang berlecak. Kalau dah berlecak, pasti anda boleh bayang ada banyak pacat di kawasan inikan? Oleh itu, pastikan anda memakai sarung kaki yang panjang serta membawa sedikit garam ok!
Lokasi: Hemmant Trail, Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
7) Bird Interpretive Centre
Sebuah percutian akan lebih sempurna jika kita dapat menimba ilmu baru yang terdapat di tempat tersebut. Di Bukit Fraser ini, anda boleh mendapatkan ilmu berkenaan burung di Bird Interpretive Centre Bukit Fraser.
Pusat Interpretasi Burung ini merupakan sebuah galeri bagi spesies burung tempatan serta migrasi yang direkodkan dari Bukit Fraser. Terdapat kira-kira 250 spesies di sini seperti burung enggang, helang, merpati, gagak serta pelbagai spesies endemik yang lain. Di sini, anda dapat mempelajari serta mengetahui bagaimana burung–burung ini berhijrah dari iklim sejuk untuk mendapatkan sumber makanan baru. Semasa musim sejuk, burung–burung migrasi dari negara Jepun, Rusia dan China akan datang ke Fraser Hill untuk mendapatkan makanan serta mencari padang rumput.
Bird Interpretive Centre ini terletak bertentangan dengan Hotel Puncak Inn yang berada di tengah–tengah bandar Fraser Hill. Ia dibuka pada hujung minggu bermula jam 10 pagi hingga jam 7 malam. Lebih menarik lagi, jika anda datang tepat pada waktunya, anda berpeluang menyaksikan pertandingan burung peringkat antarabangsa yang dijalankan secara tahunan di sini.
Waktu operasi: 10am – 7pm
Lokasi: Bird Interpretive Centre, Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
8) Kompleks Sukan Bukit Fraser
Walaupun dalam mood bercuti, anda masih boleh melakukan aktiviti kecergasan dan bersenam di Kompleks Sukan Fraser Hill. Di kompleks sukan ini terdapat pelbagai aktiviti sukan seperti skuasy, ping-pong dan snooker. Selain itu, anda juga boleh menggunakan kemudahan seperti gym dan sauana.
Tambahan pula, di hadapan pusat sukan ini terdapat sebuah taman bunga kecil yang merupakan antara tempat paling popular untuk bergambar di Fraser Hill.
9) Allan’s Water
Allan’s Water pada asalnya merupakan sebuah empangan kecil untuk menyimpan bekalan air kepada peneroka terawal Bukit Fraser pada zaman kolonial. Namun kini ia menjadi sebuah tasik yang dikomersialkan menjadi taman rekreasi.
Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di sini adalah mengayuh bot, bermain bola air dan memberi ikan makan.
Dengan sewaan RM8, anda boleh mengayuh bot selama 15 minit di atas tasik. Manakala, untuk bermain bola air pula, bayaran yang dikenakan adalah RM15 untuk tempoh 10 minit. Terdapat banyak ikan di dalam tkolam di sekitar Allan’s Water ini. Malah ikan-ikan di sini sangat jinak. Anda pasti teruja melihat pelbagai jenis ikan yang berenang tenang di permukaan air tasik ini.
Waktu operasi: 9:30am – 12:30pm | 2pm – 4:30pm
Lokasi: Jalan High Pines, Bukit Fraser, 49000 Bukit Fraser, Pahang
10) Fraser’s Edible Garden
Tempat berhawa sejuk seperti Bukit Fraser ini memang sangat sesuai ditanam pokok-pokok bunga yang berwarna-warni. Di Edible Garden, anda boleh melihat bunga-bungaan serta sayur-sayuran yang ditanam di sini. Taman ini terletak di sebelah Allan’s Water.
Antara sayuran yang terdapat di sini seperti salad, tomato serta sayuran berdaun hijau. Selain itu, buah strawberi jual turut ditanam di sini. Namun, buah strawberi hanya ditanam mengikut musim. Jika anda bernasib baik, anda bolehlah lihat pokok strawberi dengan buahnya yang merah ranum.
Selain menjamu mata melihat keindahan flora di sini, anda juga boleh membeli beberapa jenis tumbuh-tumbuhan dan bunga hiasan, biji benih serta sayur-sayuran segar dijual di sini.
Lokasi: Jalan High Pines, Bukit Fraser, 49000 Bukit Fraser, Pahang
11) Air Terjun Jeriau
Bercuti dengan anak-anak, maka anda harus bijak mencari tempat untuk bermandi-manda. Di Fraser Hill, anda boleh berkelah dan bermandi-manda di Air Terjun Jeriau. Air terjun ini lebih sejuk berbanding di sesetengah kawasan lain disebabkan ia berada di kawasan yang tinggi dari permukaan laut. Walaupun air terjun ini tidaklah tinggi dan cetek sahaja, tetapi cukup sekadar untuk bermandi-manda bersama keluarga.
Di kawasan air terjun ini juga terdapat tempat rehat berbangku, taman permainan kanak-kanak dan kawasan berkelah.
Namun begitu, anda dinasihatkan agar tidak melawat ke air terjun ini pada hari hujan kerana airnya bertukar menjadi keruh.
Lokasi: Jeriau Waterfall, Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
12) Pejabat Pos Malaysia
Di mana-mana pekan pasti akan ada pejabat posnya yang tersendiri. Tetapi apa keunikan Pejabat Pos Malaysia di Bukit Fraser ini? Tarikannya terletak pada bentuk bangunannya yang bercirikan England. Bangunan ini kecil sahaja, manakala tembok pagarnya dipenuhi tumbuhan menghijau.
Sekali pandang, memang sangat persis bangunan di luar negara. Maka tidak hairanlah mengapa Bukit Fraser mendapat nama julukan Little England kerana bangunan di sini kebanyakannya bercirikan bangunan di England.
Lokasi: Pos Malaysia, Bukit Fraser, 49000 Fraser’s Hill, Pahang
13) Balai Polis Bukit Fraser
Selain daripada bangunan Pejabat Pos yang unik, bangunan Balai Polis Bukit Fraser juga tidak kurang uniknya. Bangunan itu telah berusia 100 tahun kerana ia dibina pada tahun 1919. Reka bentuk bangunannya juga bercirikan seni bina England.
Di hadapan balai polis ini pula terdapat Klinik Pesakit Luar Bukit Fraser. Sama seperti balai polis yang bercirikan seni bina gaya Inggeris.
Walaupun pejabat pos, balai polis dan klinik ini bukanlah tempat pelancongan untuk anda berkunjung, tetapi senibinanya yang unik bergaya Inggeris ini membuatkan ramai pengunjung mengabadikan bangunan ini dalam kepingan-kepingan foto sebagai kenangan mereka di Bukit Fraser.
Lokasi: Balai Polis Bukit Fraser, Bukit Fraser, Fraser’s Hill, Pahang
Kesimpulan
Itulah dia 13 tempat menarik di Bukit Fraser, Pahang yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Bukit Fraser. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Bukit Tinggi dan Tempat Menarik Di Janda Baik.