17 Tempat Menarik Di Bangkok. Bandar Raya Progresif Namun Kaya Dengan Budaya.
Bangkok merupakan ibu negara dan bandar terbesar di Thailand. Bangkok merupakan sebuah bandar yang progresif yang sedang pesat membangun dari segi ekonomi yang mampu bersaing dengan Singapura dan Hong Kong. Itulah sebabnya ia menjadi destinasi pelancongan yang popular di dunia.
Terdapat banyak tempat menarik yang anda boleh lawati di Bangkok. Daripada bangunan klasik dan bersejarah seperti Grand Palace, pasar-pasar malam serta pusat membeli-belah yang menjual pelbagai barangan dengan harga yang murah, tempat hiburan keluarga seperti di Dreamworld Bangkok, sehinggalah tempat membeli-belah yang mawah-mewah. Semuanya ada di Bangkok. Jom kita lihat 17 tempat menarik di Bangkok yang anda dan keluarga boleh lawati.
1) National Museum & Wang Na Palace
Muzium ini mula dibuka oleh King Rama V untuk mempamerkan kesemua pemberian oleh ayahandanya. Antara yang terdapat di muzium ini adalah batu-batu permata, pakaian, topeng Khon, senjata, emas, seramik, ukiran kayu, alat muzik dan banyak lagi.
Lebih menarik lagi, tapak muzium ini juga tak kurang nilai klasiknya kerana ia dibina di dalam kawasan istana lama, Wang Na yang dibina pada tahun 1887.
Untuk makluman, anda tidak dibenarkan untuk menangkap gambar di dalam galeri-galeri muzium ini. Jadi, sbeelum datang melawat ke muzium ini, pastikan kamera anda disimpan di tempat yang selamat.
Lokasi: Na Phra That Road, Bangkok
Waktu Operasi: Rabu – Ahad (9.00am–4.00pm)
Bayaran Masuk: 200 Baht
2) Grand Palace
Selain Muzium Nasional & Istana Wang Na yang dikatakan klasik, Grand Palace juga adalah lokasi bersejarah yang wajib anda di Bangkok. Istana yang dibina pada tahun 1782 ini pernah digunakan sebagai tempat tinggal keluarga diraja. Istana ini berkeluasan sekitar 214,000 kaki persegi. Mengambil masa 1 jam untuk anda teroka ke seluruh pelusuk istana ini. Dah alang-alang masuk kawasan istana, haruslah belek-belek segala apa yang ada dalam ini. Bukan mudah orang awam nak masuk ke kawasan istana.
Lokasi: Na Phra Lan Road, Phra Borom Maha Ratchawang, Phra Nakhon
3) Dreamworld Bangkok
Tempat hiburan keluarga di Bangkok yang boleh anda lawati adalah di Dreamworld Bangkok. Katanya keseronokan taman tema ini seperti Disneyland. Nak tahu betul ke seronok seperti di Disneyland, kenalah datang sendiri ke Dreamworld Bangkok.
Di sini anda boleh menyaksikan ‘The Animal Show’ untuk melihat aksi haiwan yang mengujakan, ‘Hollywood Action’ untuk persembahan live seperti aksi lasak dengan efek letupan dan banyak lagi.Antara permainan yang terdapat di sini seperti Hurricane Ride, Viking Ride, Tornado Ride, Super Splash, Grand Canyon Ride dan banyak lagi!
Lokasi: 62, Moo 1, Rungsit-Ongkarak Road | Bang Yitho, Thanyaburi 12130, Thailand
4) Asiatique City
Antara tempat untuk anda shopping di Bangkok adalah di Asiatique City. Menariknya di sini adalah ia sebuah pusat membeli-belah outdoor yang terletak di tepian sungai.
Antara barangan yang boleh ditemui di sini adalah aksesori, cenderamata, pakaian, barangan besi dan banyak lagi dalam harga yang murah. Walaupun barangan jualan di sini anda boleh dapatkan di pasar-pasar malam biasa, tetapi pemandangan di sini yang membuatkan Asiatique City menarik daripada pusat membeli-belah yang lain.
Selain itu, terdapat juga gerai yang menjual aneka produk spa dan juga yang menawarkan rawatan spa. Sememangnya Thailand memang terkenal dengan perkhidmatan urutan dan spa.
Di Asiatique City juga, anda berpeluang menyaksikan persembahan yang sering dianjurkan di sini iaitu persembahan boneka Joe Louis Puppet Theatre.
Lokasi: 2194, Charoen Krung Road | Wat Phraya Krai, Bang Kho Laem, Bangkok 10120, Thailand
5) Giant Swing (Buaian Gergasi)
Giant Swing bukanlah buaiana biasa yang seperti kita tahu. Tetapi ia adalah sebuah binaan pada zaman dahulu yang digunakan untuk menjalankan majlis keagamaan selepas musim menuai padi.
Dalam setiap kumpulan terdapat 3 orang peserta yang akan cuba mengimbangkan badan mereka pada sebuah papan yang sempit dan salah seorang daripada mereka akan dilantunkan sehingga ke ketinggian 25 meter dari paras tanah untuk cuba menangkap sekantung beg yang diisi dengan duit syiling perak menggunakan gigi mereka.
Namun begitu, majlis ini telah menyebabkan banyak kematian sehingga diharamkan oleh King Rama VII pada tahun 1932.
Jika anda ke sini, anda pasti boleh bayangkan bagaimana majlis tersebut diadakan. Mungkin anda rasa ngeri bila mengetahui telah banyak kematian yang berlaku disebabkan majlis tersebut.
Lokasi: Thanon Bamrung Muang Khwaeng Sao Chingcha, Bangkok Krung Thep Maha Nakhon 10200
6) Lumpini Park
Ingin bersantai-santai di petang hari sambal menghirup udara segar serta menikmati keindahan alam yang penuh kehijauan? Anda bolehlah datang ke Lumpini Park. Taman ini berkeluasan sekitar 500,000 kaki persegi. Memang luas untuk bersenanm-senam di sini.
Antara aktiviti yang dapat dilihat diadakan di sini adalah seperti Tai Chi, berjogging, bersenam dengan peralatan senaman outdoor, bermain bola keranjang, menaiki bot pedal, malahan ada juga persembahan orkestra klasik yang boleh ditonton secara percuma.
Untuk pengetahuan anda, pada zaman dahulu iaitu dalam tahun 1920-an, taman ini pernah dijadikan sebagai pusat pameran kraftangan Thai dan bunga-bungaan.
Lokasi: Rama IV Road, antara Ratchadamri Road dan Witthayu Road
Waktu Operasi: 5.00am–9.00pm
7) Art in Paradise
Sudah menjadi trend di bandar-bandar yang menjadi tumpuan pelancong untuk ada galeri lukisan 3D. Di Bangkok, galeri seperti ini anda boleh jumpa di Art in Paradise.
Art in Paradise terbahagi kepada 6 seksyen iaitu Zon Media Art, Zone Moden, Zon Akuarium & Safari, Zon Alam Semula Jadi, Zon Klasik dan Zon Fantasi.
Untuk makluman anda, untuk memasuki galeri ini, anda perlu membuka kasut erana ada lukisan di sini yang dilukiskan di atas lantai.
Lokasi: 99 Esplanade Shopping Mall, 4th Floor | Ratchadapisek Road, Din Daeng, Din Daeng, Bangkok 10400, Thailand
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00 am–10.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa 400 Baht | Kanak-Kanak 200 Baht
8) Bangkok Art and Culture Centre
Bangkok Art and Culture Centre adalah lokasi di mana anda berpeluang melihat seni dan budaya masyarakat Siam di Thailand. Setiap ruang pusat kebudayaan dan seni ini dipenuhi dengan pelbagai pameran yang menarik.
Selain melihat pameran, anda juga boleh menuju ke tingkat 2 untuk melawat ‘Hibiki Music Studio.’ Di sini ditawarkan kelas muzik dan kelas nyanyian. Di tingkat 3 pula terdapat ‘Shanta’, di mana anda berpeluang untuk menghasilkan barangan kemas sendiri dengan bantuan pakar yang ada.
Di sini juga terdapat ECOSHOP yang menjual bermacam produk mesra alam sekitar. Selain itu, terdapat juga 8 buah kafe untuk anda mengalas perut.
Lokasi: 939 Rama I Rd, Khwaeng Wang Mai, Khet Pathum Wan, Krung Thep Maha Nakhon 10330, Thailand
9) Siam Niramit Theatre Show
Siam Niramit Theatre Show adalah sebuah bangunan teater yang cukup gah di tengah-tengah bandaraya Bangkok. Berkapasiti 2000 buah tempat duduk, menjadikan ia sebagai salah sebuah lokasi pementasan yang terbesar di dunia.
Di sini, anda dapat menyaksikan persembahan yang diinspirasikan daripada kisah sejarah dan budaya Thailand. Yang menariknya, sebelum persembahan dimulakan, anda disajikan dengan aktiviti lain seperti demonstrasi tenunan kain sutera, Muay Thai dan urutan Thai. Anda juga boleh melawat kawasan ‘kampung’ tradisional Thailand yang bakal digunakan dalam persembahan nanti.
Lokasi: 19 Tiamruammit Road, Bangkok 10310, Thailand
10) MBK Shopping Centre
Jika di Kuala Lumpur, Suria KLCC dan Mid Valley Mega Mall sering menjadi tumpuan pelancong, di Bangkok pula, MBK Shopping Centre adalah pusat membeli-belah yang terkenal di sini.
Terletak di dalam bangunan 8 tingkat, pusat membeli-belah ini menempatkan sehingga 2,000 buah kedai yang menjual pelbagai jenis barangan seperti aksesori, pakaian, handbag, produk kulit, perabot, peralatan elektronik dan banyak lagi!
Selain bershopping, anda juga boleh berhibur di pusat karaoke, menonton movie terbaru di panggung wayang multi-screen, berseronok di pusat permainan komputer dan lain-lain.
Lokasi: Pathumwan Intersection, diagonally opposite Siam Discovery Centre
Waktu Operasi: 10.00 am–10.00 pm
11) Terminal 21
Jangan terkejut ya. Nama sahaja terminal, tetapi Terminal 21 bukanlah seperti terminal bas atau mana-mana pengangkutan awam, tetapi ia adalah sebuah tempat membeli-belah.
Untuk makluman anda, setiap tingkat di kompleks ini memiliki tema yang berbeza berdasarkan bandaraya-bandaraya terkenal yang terdapat di dunia.
Di tingkat LG mall ini membawa tema Caribbean, Ground Floor bertema Rome, Mezzanine Floor bertema Paris, tingkat 1 bertema Tokyo, tingkat 2 bertema London, tingkat 3 bertema Istanbul, tingkat 4 bertema San Francisco dan tingkat 6 pula bertema Los Angeles.
Menarik bukan? Jika tak mahu shopping sekalipun, apa salahnya jika anda sekadar window shopping di sini untuk melihat suasana kompleks ini.
Lokasi: 88 Soi Sukhumvit 19, Khwaeng Khlong Toei Nuea, Khet Watthana, Krung Thep Maha Nakhon 10110
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am–10.00pm)
12) Siam Paragon
Jika anda mencari tempat shopping yang mewah, Siam Paragon adalah tempatnya. Semua kedai di sini adalah dari jenama antarabangsa yang terkenal. Begitu juga dengan butik fesyen yang ada di sini, kebanyakannya daripada jenama antarabangsa dihasilkan pereka fesyen terkenal.
Selain itu, di sini juga terdapat wayang multiplex yang cukup besar. Kaki wayang mesti suka! Antara tarikan lain di Siam Paragon adalah pusat akuarium dan Wax Museum.
Kalaupun anda tidak berhajat untuk shopping, anda boleh membawa keluarga anda ke sini untuk melakukan aktiviti lain seperti menonton wayang atau melawat pusat akuarium dan Wax Museum.
Lokasi: 991, Rama 1 Road | Pathum Wan, Bangkok 10330
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am–10.00pm)
13) Chinatown
Hampir setiap negara ada Chinatown tersendiri. Di Bangkok, Thailand, Chinatownnya terletak di Yaowarat Road. Yaowarat Road ini asalnya merupakan pusat perdagangan yang utama dalam kalangan komuniti Cina yang datang sekitar 200 tahun yang lalu.
Di jalan ini, terdapat pelbagai jenis gerai yang menjual barang kemas, pakaian, barangan terpakai, barangan antik, alat muzik, restoran, dan banyak lagi.
Pada waktu malam, jalan ini terang-benderang kerana dilimpahi cahaya lampu neon di sepanjang jalan. Sanagt meriah!
Lokasi: Yaowarat Road, Samphanthawong, Bangkok 10100, Thailand
14) Damnoen Saduak
Damnoen Saduak merupakan sebuah pasar terapung yang cukup terkenal di dunia. Disebabkan pasar ini sangat unik dan lain daripada pasar-pasar sedia ada, makaDamnoen Saduak sering menjadi destasi pilihan pelancong untuk melihat sendiri kesibukan serta keunikan pasar ini.
Anda boleh menyewa sebuah sampan yang akan membawa anda dari satu bot ke satu bot yang lain yang menjual pelbagai jenis makanan yang segar dan juga cenderamata.
Sekadar nak window shopping pun tidak mengapa, yang penting jangan lupa bawa kamera untuk merakam sebanyak mungkin foto yang epik semasa anda menaiki bot nanti.
Datanglah ke sini pada awal pagi, kerana cuaca waktu pagi tidak begitu panas.
Lokasi: Damnoen Saduak, Damnoen Saduak District, Ratchaburi 70130
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00am–12.00am)
15) Sungai Chao Phraya
Sungai Chao Phraya adalah sungai yang terpenting dan terpanjang di Thailand. Sungai ini ibarat nadi bagi Thailand dan antara faktor kemajuan Bangkok. Betapa pentingnya sungai ini sehinggakan dinamakan sebagai Chao Phraya yang bermaksud Sungai Raja ataupun sungai milik tuhan.
Sehingga ke hari ini, sekitar 50,000 penduduk Thailand masih menggunakan sungai ini sebagai laluan feri untuk menuju ke tempat kerja.
Sekiranya anda berpeluang ke Sungai Chao Phraya, jangan lepaskan peluang untuk menaiki feri merentasi sungai ini. Anda akan dapat lihat pemandangan sekitar Bangkok yang pelbagai wajah. Ada kawasan yang penuh dengan kemodenan, dan satu sisi yang lain iaitu kawasan kampung yang dipenuhi dengan pondok-pondok kayu.
Lokasi: 780/488 Charoen Krung Road, Bang Kho Laem, Bangkok 10120
16) Dusit Zoo
Dusit Zoo Bangkok adalah zoo yang tertua di Thailand. Pada asalnya ia dibina oleh Raja Chulalongkorn (Rama V) sebagai taman peribadinya. Namun selepas kematiannya, taman ini dibiarkan begitu sahaja sehinggalah ia diambil alih oleh kerajaan Bangkok yang kemudiannya memberikannya kepada Zoological Park Organization.
Di dalam zoo ini terdapat sekitar 1600 ekor haiwan pelbagai spesies seperti penguin, kangaroo, monyet, harimau dan banyak lagi. Selain zoo yang kaya dengan pelbagai jenis haiwan, Dusit Zoo turut memiliki pusat pendidikan, sebuah keretapi dan muziumnya sendiri.
Lokasi: Rama 5 road, Khwaeng Dusit, Khet Dusit, Bangkok
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am-6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa 150 Baht | Kanak-kanak 70 Baht
17) Safari World
Jika di Dusit Zoo, anda berjalan melihat haiwan-haiwan tersebut di dalam sangkar masing-masing, tetapi di Safari World, lain pula kaedahnya. Ia bukan zoo yang biasa tetapi sebuah taman safari di mana anda sekeluarga dapat mendekati habitat-habitat haiwan ini dengan menaiki kenderaan yang disediakan pihak safari. Anda hanya perlu duduk dan memerhati dari kenderaan sahaja, manakala, haiwan-jaiwan ini bebas beraktiviti di habitat mereka sendiri.
Antara haiwan yang terdapat di Safari World Bangkok adalah seperti zirafah, beruang, kuda belang, singa, rusa, harimau dan banyak lagi.
Selain itu, taman safari ini juga terdapat pertunjukan orangutan, singa laut, ikan lumba-lumba dan gajah. Pasti seronok dan teruja melihat haiwan-haiwan ini membuat persembahan mereka.
Lokasi: 99 Panyaintra Road, Samwatawantok, Klongsamwa
Waktu Operasi: Safari Park 9.00am – 5.00pm | Marine Park 9.00am – 6.00pm
Bayaran Masuk: Safari World: Dewasa 400 Baht, Kanak-kanak 300 Baht | Marine Park: Dewasa 700 Baht, Kanak-kanak 450 Baht
Itulah dia 17 tempat menarik di Bangkok, Thailand yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Bangkok. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Krabi dan Tempat Menarik Di Hatyai.