18 Tempat Berkelah Di Selangor Untuk Anda Terjah Di Hujung Minggu!
Hujung minggu adalah masa yang sangat ideal untuk kita luangkan bersama keluarga mahupun kawan-kawan. Aktiviti santai seperti berkelah di pantai atau di tepi sungai bukan sahaja membuatkan anda dapat ‘bonding time’ bersama keluarga atau rakan-rakan tetapi juga mendekatkan diri dengan kesegaran serta keindahan alam semula jadi. Dalam artikel ini, kami senaraikan 18 tempat berkelah di Selangor untuk anda beraktiviti di sana.
1) Air Terjun Chilling, Kuala Kubu Bharu
Ingin berkelah bersama keluarga atau kawan-kawan? Tetapi inginkan aktiviti yang sedikit lasak sebagai penyeri perkelahan anda? Air Terjun Chilling adalah lokasi yang sesuai untuk anda yang sukakan cabaran. Anda perlu merentasi 5 batang anak sungai, mengharungi anak sungai yang berbatu dan licin serta perlu melepasi titi gantung untuk sampai ke kawasan air terjun ini.
Tetapi semua cabaran ini sangat berbaloi apabila melihat panorama indah yang terbentang di hadapan mata anda. Air terjun yang bertingkat, panorama hutan yang masih kekal tak terusik, kejernihan air yang mengalir serta anak-anak ikan riang berenang disekeliling kaki, membuatkan penat Lelah mengharungi anak-anak sungai tadi seolah-olah hilang sebaik saja anda tiba di lokasi ini.
Untuk makluman anda, jika ingin mencuba trek ke kawasan air terjun yang paling atas, pastikan anda mula mendaki pada sebelah pagi kerana selepas jam 3 petang sebarang aktiviti pendakian adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.
Anda dilarang memasak, memancing, membuang sampah merata-rata dan mandi ketika hujan. Ini antara peraturan yang perlu dipatuhi semasa berkunjung ke sini demi keselamatan para pengunjung di sini.
Lokasi: Santuari Ikan Sg Chilling, Kuala Kubu Bharu.
Waktu Operasi: Jumaat-Ahad sahaja
2) Air Terjun Sungai Tua, Ulu Yam
Air Terjun Sungai Tua tidaklah mencabar seperti di Air Terjun Chilling. Kawasan air terjun ini mudah untuk diakses dengan menggunakan kereta, jadi anda tak perlu nak mendaki hutan untuk sampai ke sini. Bagi anda yang ada anak kecil, lokasi inimerupakan salah satu kawasan air terjun yang terbaik bagi aktiviti anda sekeluarga. Terdapat sungai yang cetek dan amat sesuai serta selamat bagi aktiviti mandi manda si kecil. Selain itu, terdapat juga kemudahan pondok untuk berteduh di tepi sungai.
Bukan itu saja, lokasinya bersebelahan dengan taman rekreasi juga menjadikan ia lebih istimewa berbanding kawasan air terjun yang lain. Bagi anda yang merancang untuk ke sini nanti, pastikan anda membuat persiapan yang rapi dan memastikan cuaca yang baik.
Lokasi: B23 Jalan Hulu Yam Bharu – Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor
3) Air Terjun Sendat, Ulu Yam
Air Terjun Sendat atau Hutan Lipur Sungai Sendat terletak di Jalan Ulu Yam yang menuju ke Batang Kali. Air terjun ini mempunyai 3 tingkat air terjun yang menjadi tarikan kepada para pengunjung. Setiap tingkat mempunyai berlainan kedalaman dan keluasan kolam. Oleh sebab itu, anda bebas memilih tingkat mana yang sesuai buat anda sekeluarga.
Di tingkat pertama, kolam air di sini agak luas dan sesuai untuk aktiviti mandi manda anda sekeluarga. Manakala di tingkat ke kedua, sungainya agak cetek dan tidak sesuai untuk anda berenang. Pada tingkat ke tiga pula, anda boleh berenang tanpa sekatan dan boleh mencuba untuk melakukan terjunan ala-ala tarzan memandangkan kolam di tingkat ini agak dalam.
Walau bagaimanapun, keselamatan setiap individu haruslah diutamakan. Elakkan aksi-aksi yang boleh membahayakan diri.
Lokasi: 5 km dari Ulu Yam Bharu
4) Air Terjun Kemensah, Ampang
KAir Terjun Kemensah, Ampangeistimewaan Air Terjun Kemensah adalah lokasinya yang terletak berdekatan dengan Zoo Negara. Jadi anda boleh merancang untuk melakukan aktiviti mandi manda sambil berkelah di Air Terjun Kemensah, selepas itu boleh meneruskan aktiviti lain pula di Zoo Negara.
Air Terjun Kemensah sangat terkenal dengan kejernihan airnya, kawasan yang kurang berbatu dan terdapat kolam takungan air. Bukan itu saja, ia juga dilengkapi dengan kemudahan chalet yang sangat selesa menjadikan kawasan ini sering dipenuhi oleh para pengunjung.
Masa hujung minggu anda dan keluarga pasti lagi bermakna jika aktiviti mandi manda diselangi dengan aktiviti BBQ dan bersteamboat di sini.
Lokasi: Jalan Kampung Orang Asli. Kemensah, Hulu Kelang, 68000 Ampang, Kuala Lumpur.
5) Air Terjun Sungai Pisang, Gombak
Air Terjun Sungai Pisang sangat popular di daerah Gombak. Jika anda mencari-cari tempat berkelah yang sesuai untuk anda bersama rakan-rakan, Air Terjun Sungai Pisang sememangnya tempat yang ideal.
Air sungainya yang dingin, trek meredah hutan yang sederhana lasak serta ruang bersantai yang cukup mendamaikan adalah daya tarikan utama mengapa pengunjung lebih memilih untuk menghabiskan sisa-sisa hujung minggu mereka di sini.
Anda dan teman-teman boleh memancing, mandi manda, jungle trekking dan berBBQ di sini. Pastinya aktiviti-aktiviti seperti ini sempurna untuk sesi perkelahan anda dan rakan-rakan.
Lokasi: 53100 Batu Caves, Gombak
6) Air Terjun Templer, Rawang
Air Terjun Templer terletak di dalam hutan simpanan Templer sememangnya menarik dan sesuai untuk anda sekeluarga berkelah di hujung minggu. Dengan panorama yang segar menghijau, air terjun yang bertingkat serta kedinginan air sungai memberikan suasana aman kepada anda sekeluarga.
Kawasan Air Terjun Templer kebiasaannya akan menjadi tumpuan ratusan pengunjung kerana fasiliti yang disediakan di sini lengkap untuk kemudahan para pengunjung. Tetapi jangan risau kerana tempat letak kereta dan kawasan rehat adalah mencukupi bagi menampung pengunjung yang datang ke sini.
Pondok berkelah, bilik salin pakaian dan surau disediakan bagi memudahkan urusan para pengunjung. Selain itu, laluan serta jambatan bagi menjamin keselamatan turut dibangunkan.
Bukan itu saja, pengunjung juga dilengkapi dengan kemudahan lain seperti kedai makan, tapak perkhemahan dan juga chalet bagi yang berminat untuk bermalam di sini. Memang serba lengkap kemudahan yang ada di sini.
Lokasi: Hutan Rimba Templer, di antara Kuala Lumpur dan Rawang.
7) Air Terjun Kanching, Rawang
Tidak jauh dari Air Terjun Templer terdapat Air Terjun Kanching. Apa yang menariknya di Air Terjun Kanching sehingga ia tersenarai dalam senarai air terjun menarik di Selangor ini? Untuk makluman anda, terdapat 7 peringkat air terjun untuk anda terokai bersama rakan-rakan serta keluarga pada hujung minggu di sini.
Selain dari itu, sungai yang cetek serta kurang berbatu sangat sesuai untuk aktiviti berenang terutamanya bagi anak-anak kecil. Kemudahan seperti tandas, surau dan tempat persalinan pakaian antara keistimewaan dan kemudahan lain turut disediakan di sini.
Namun begitu, jika anda berhajat untuk sampai ke peringkat paling atas, pastikan stamina anda cukup ye sebelum ke sini kerana atas anda perlu meredah hutan terlebih dahulu. Namun begitu jangan risau kerana ianya amat berbaloi bagi anda si pencinta alam semula jadi. Pemandangan yang cantik, suasana yang dihiasi dengan kicauan burung serta kerjenihan air dingin yang memikat hati bakal anda nikmati nanti.
Lokasi: Hutan Lipur Kanching di antara Selayang dan Rawang.
8) Air Terjun Komanwel, Rawang
Di hadapan Air Terjun Kanching pula terdapat Air Terjun Komanwel yang terletak di Hutan Rimba Komanwel. Hutan Rimba ini dilancarkan sempena dengan Persidangan Perhutanan Komanwel ke 14 pada tahun 1993. Taman rimba ini menarik dengan keaslian pokok-pokok hutan dan keindahan landskap. Disamping itu pengunjung juga akan dapat melihat pemandangan panorama sebahagian besar kawasan Taman Rimba Komanwel melalui titian silara ini serta melihat hidupan liar yang terdapat di sini.
Kawasan ini juga turut menyediakan kemudahan untuk berkhemah, monumen air pancut, ‘trek jogging’ dan lain-lain aktiviti yang memberi peluang kepada anda untuk menikmati alam semulajadi.
Lokasi: Taman Rimba Komanwel, km23, Jalan Kuala Lumpur Rawang, 48000 Rawang.
9) Air Terjun Serendah, Rawang
Air Terjun Serendah, yang dikenali juga sebagai Templer Kai dan Rekreasi Air Terjun Serendah.
Lokasinya tidak jauh dari Kuala Lumpur dan mudah diakses antara faktor penarik ia dikunjungi ramai terutama oleh warga kota.
Apa yang lebih menarik, terdapat perkampungan orang asli yang terletak tidak jauh dari kawasan ini yang boleh dilawati bersama anak-anak. Melihat cara hidup masyarakat orang asli, seni bina rumah dan cara pergaulan mereka sudah pasti percutian ini akan memberikan pengalaman yang baru buat anak-anak.
Air Terjun Serendah adalah lokasi yang ideal untuk anak-anak kecil bermain. Selain dari taman permainan yang lengkap berhampiran dengan kawasan pondok rehlah, tempat mandi mereka juga turut dilengkapi dengan tali penanda bagi menandakan kawasan cetek atau yang dalam. Ini sangat memudahkan para ibu bapa untuk mengawasi keselamatan anak-anak.
Lokasi: Kampung Orang Asli Serendah, 48200 Serendah, Selangor
10) Air Terjun Sungai Tekala, Hulu Langat
Bagi anda yang ada anak kecil, Air Terjun Sungai Tekala sesuai untuk anda sekeluarga. Air yang jernih dan dingin, kedalaman air yang cetek dan arus yang tidak deras menjadikannya destinasi yang sesuai untuk anak kecil bermandi-manda.
Tambahan pula, terdapat kolam tadahan buat pengunjung untuk berendam dan beristirehat di sini. Antara kemudahan yang disediakan di sini adalah tandas dan surau.
Lokasi: Hutan Rekreasi Sungai Tekala, berhampiran Empangan Semenyih.
11) Air Terjun Sungai Congkak, Hulu Langat
Air Terjun Sungai Congkak cukup popular terutama dalam kalangan orang Selangor. Lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti resort, kawasan lapang untuk beraktiviti secara berkumpulan serta air terjun yang masih elok terjaga membuatkan kawasan ini sering menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu.
Air Terjun Sungai Congkak juga dikenali sebagai Congkak Park & Resort yang mana dikendalikan oleh Badan Pelancongan Selangor. Maka tidak hairan segala kemudahan dan kebersihan di sini dijaga dengan baik.
Tapak perkhemahan yang luas, pondok berehat, kemudahan asas seperti tandas dan surau serta kebersihan yang terjaga menjadikan Air Terjun Sungai Congkak antara kawasan air terjun yang terbaik di Selangor.
Lokasi: Batu 20 ½ Kampung Padang, Sg. Congkak, Hulu Langat, 43100 Kajang, Selangor.
12) Air Terjun Sungai Gabai, Hulu Langat
Air Terjun Sungai Gabai terletak dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang. Air terjun ini bukan hanya sesuai untuk aktiviti mandi-manda,tetapi di sini anda boleh berkelah serta berBBQ bersama keluarga.
Antara kemudahan lain yang disediakan di sini adalah pondok, parker kereta, tandas dan surau yang bersih untuk keselesaan serta kemudahan pengunjung. Pendek kata Air Terjun Sungai Gabai ini serba lengkap dan sangat berbaloi dengan hanya bayaran masuk sebanyak RM1 sahaja dicaj untuk setiap kepala.
Lokasi: Jalan Sungai Lui, 43100 Hulu Langat
13) Sungai Inki, Kalumpang
Lokasi perkelahan di kawasan Hulu Bernam adalah di Sungai Inki, kalumpang. Kawasan ini sangat menarik untuk dikunjungi kerana ana boleh mandi-manda di sungai yang agak luas sambil santai beristirehat bersama keluarga. Terdapat beberapa kemudahan untuk para pengunjung termasuk penginapan seperti chalet, resort dan training centre.
Terdapat juga titi gantung untuk beriadah. Selain itu disediakan juga tempat untuk aktiviti BBQ, pondok berehat dan tempat meletak kereta yang luas.
Lokasi: Jalan Pasir Putih 4, Kampung Pasir Putih, 44100 Kerling
14) Kolam Air Panas Hulu Tamu, Batang Kali
Selain berkelah di kawasan sungai dan air terjun, anda sekeluarga juga boleh beristirehat beraktiviti santai di kolam air panas. Kolam Air Panas Hulu Tamu di Batang Kali antara kolam air panas semulajadi popular di Selangor.
Anda akan lalui kampung dan ladang kelapa sawit untuk sampai ke destinasi ini. Kedudukannya agak tersembunyi tapi jangan risau kerana ada papan tanda di tepi jalan. Tempat letak kereta adalah percuma. Kemudahan-kemudahan asas seperti gazebo, pondok dan laluan jambatan kecil disediakan untuk keselesaan para perngunjung.
Kehijauan yang mengelilingi kawasan ini dengan pokok-pokok juga mendamaikan suasana. Pondok di tengah-tengah kolam ini boleh anda jadikan sebagai tempat berlindung dari hujan dan panas. Yang lebih menyeronokkan dan memudahkan, ada kemudahan penginapan dan restoran yang sedap berhampiran Kolam Air Panas Hulu Tamu ini iaitu Ontok-Ontok Chalet dan Restoran Cholo-Cholo.
Lokasi: Hulu Tamu, 44300, Selangor
15) Pantai Morib, Banting
Berkelah di tepian pantai juga adalah aktiviti menarik yang anda boleh lakukan bersama keluarga di hujung minggu. Kemudahan yang disediakan di pantai ini adalah sangat lengkap untuk mereka yang datang secara single atau ramai. Antara keludahan yang ada adalah seperti medan selera, tandas awam, surau, laluan pejalan kaki dan taman permainan kanak-kanak. Jadi anda tidak perlu risau untuk datang ebrsama keluarga anda di sini.
Panjang dataran bata untuk mereka yang berminat untuk berjalan kaki adalah sekitar 400 meter. Dengan kawasan rehat yang redup, ianya langsung tidak membuat anda tidak selesa.
Lokasi: Pantai Morib, Morib, 42700 Banting.
16) Pantai Bagan Lalang, Sepang
Walaupun pantai ini tidak berapa sesuai untuk mandi manda kerana pantainya berlumpur tetapi anda boleh bersantai bersama keluarga sambil melihat keindahan pantai.
Kebiasannya apabila air surut, anda boleh berjalan kaki sampai 400 meter ke tengah. Anda boleh berjalan sambil berpeluang melihat keadaan dasar laut ketika air surut.
Anda boleh membawa khemah atau kanopi kecil untuk berkelah di sini. Pantai ini sangat sesuai untuk berkumpul bersama ahli keluarga.
Tambahan pula kemudahan gerai makanan serta penginapan seperti chalet dan resort yang terdapat di sepanjang pantai ini memeriahkan lagi suasana di Pantai Bagan Lalang.
Lokasi: Bagan Lalang, 43950 Tanjong Sepat, Selangor
17) Pantai Jeram, Kuala Selangor
Pantai Remis bukanlah pantai yang cantik seperti pantai Teluk Cempedak di Pahang atau pantai-pantai menarik di Terengganu. Pantai ini ditambak dengan batu-batu besar dan kurang sesuai untuk mandi. Namun pengunjung masih boleh berjalan-jalan ditepi pantai berpasir, berehat di bangku atau dibawah pohon rhu yang terdapat disini sambil dibuai bayu laut yang berhembus.
Berbagai jenis gerai yang menjual pelbagai hasil laut. Ada yang menjual kerang segar, ikan kering, sotong dan bermacam-macam lagi. Ramai juga yang datang kesini semata-mata ingin menikmati makanan laut seperti laksa, ikan bakar, kerang rebus, kerang bakar, mee jawa dan lain-lain lagi.
Lokasi: Jeram, 45800 Jeram, Selangor
18) Pantai Redang, Sekinchan
Keadaan Pantai Redang hampir sama seperti Pantai Jeram. Pasirnya agak berlumpur dan tidak sesuai untuk bermandi-manda. Namun anda masih boleh berkelah bersama keluarga sambil menikmati bayu laut di sini. Anda juga boleh bermain layang-layang di tepi pantai sambil menikmati ais krim yang dijual oleh penjual ais krim bermotosikal.
Lokasi: 25, Jalan Jpt, 45400 Sekinchan, Selangor
Itulah dia 18 tempat berkelah di Selangor yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat berkelah bersama keluarga di Selangor. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Selangor dan Tempat Menarik Di Kuala Selangor.