|

9 Self-Photo Studio di KL (Best & Murah)

Kini lebih banyak self-photo studio di KL yang menjadi tumpuan ramai untuk bergambar dengan puas. Konsep self-photo studio kian popular di Malaysia dengan pelbagai tujuan seperti bergambar untuk pra-perkahwinan, konvokesyen, perayaan malah untuk bergambar biasa bersama pasangan juga boleh.

Banyak kelebihan bergambar dengan konsep sebegini, dimana pengunjung boleh bergambar dengan peralatan dan kemudahan yang lengkap. Kelebihan utama adalah anda dapat bergambar tanpa rasa malu di hadapan kamera kerana anda sendirilah yang menjadi fotografer. Sesuailah untuk individu introvert yang sering malu dihadapan kamera lalu menjadikan gambar kelihatan kekok. Bergambar di self-photo studio lebih bebas dan privasi.

Bukan itu sahaja, dengan konsep self-photo studio pengunjung dapat bergambar sepuasnya dalam masa yang ditetapkan dengan bilangan pose yang tiada hadnya. Latar, pencahayaan dan kamera berkualiti juga diberikan untuk mencantikkan gambar anda persis model. Kadangkala ada studio yang memberikan prop lain secara percuma. Lebih baik jika anda membawa prop sendiri untuk menyesuaikan dengan konsep gambar anda.

Tahukah anda, konsep self-photo studio lebih murah dan menjimatkan, tidak seperti kedai gambar profesional lain yang sering mengenakan bayaran mencecah ratusan ringgit hanya untuk beberapa keping gambar. Anda dapat menyimpan berapa banyak gambar yang diambil secara softcopy. Berikut merupakan tempat self-photo studio di KL yang menarik:

Photopia

Photopia antara self-photo studio di Selangor yang terkenal dengan pakejnya yang menarik. Mini studio yang terletak di Mont Kiara ini menawarkan harga serendah RM 60 sahaja untuk dua orang. Dengan pakej ini, pelanggan boleh memilih latar hitam, putih atau berwarna.

Pelanggan diberikan tempoh 20 minit dengan jumlah gambar yang tiada had. Apa yang lebih menarik, pelanggan juga diberi masa lagi 10 minit untuk memilih gambar terbaik dan 5 gambar digital serta 2 keping gambar akan diberikan buat pengunjung.

Tak perlu bawa prop pun tak apa, kerana Photopia menyediakan prop menarik secara percuma seperti bouquet, topi dan topeng. Lokasi Photopia agak tersorok, dimana pengunjung perlu melalui kedai Walking on Sunshine dan terus ke belakang mengikut arah yang ditunjukkan.

Alamat: 1F-01, 163 Retail Park, Mont Kiara, 50480 Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-8.00 pm)

Meers Studio

Imej via MEERS Studio

4 langkah mudah membolehkan anda bergambar sepuasnya di Meers Studio. Jika berminat untuk bergambar di Meers Studio, buat tempahan slot secara dalam talian di laman web Meers Studio. Sebaik sahaja membuat tempahan slot, anda akan diberikan pengesahan dan boleh datang terus mengikut waktu dan bergambar dengan seronok!

Anda akan diberikan keterangan ringkas 5 minit sebelum sesi bergambar bermula. Harga serendah RM 40 sahaja untuk dua orang selama 15 minit. 15 minit tambahan diberikan untuk proses pemindahan gambar melalui Google Drive atau AirDrop.

Apa yang lebih menarik, semua gambar akan diberikan secara digital dan percuma. 1 keping gambar bercetak akan diberikan juga buat pengunjung. Nak tahu lebih banyak pakej menarik? Kunjungi laman MEERS Studio.

Alamat: 3 Towers, T3-19-08, Jln Ampang, Kampung Berembang, 55000 Kuala Lumpur

Waktu operasi: Selasa-Jumaat (3.00 pm-10.00 pm) | Sabtu & Ahad (11.00 am-10.00 pm)

Suafoto Studio

Imej via Suafoto Studio

Serendah RM 65 sahaja anda boleh bergambar sepuasnya dengan posing yang sangat natural, privasi dan bebas dari gangguan lain. Pakej ini terhad dalam tempoh masa 15 minit fotografi untuk seorang hingga 2 orang dalam satu masa.

Ada dua lagi pakej menarik untuk 1 hingga 4 orang dalam tempoh masa yang lebih panjang. Bergambar di Suafoto juga sangat berbaloi kerana semua gambar akan diberikan secara digital untuk semua pakej. 2 atau 4 keping gambar bercetak juga pelanggan akan perolehi untuk setiap sesi.

Daftar melalui tempahan secara dalam talian dan datang 5 minit sebelum masa bermula untuk pendaftaran dan taklimat. 10 minit tambahan akan diberikan sewaktu proses pemilihan gambar bercetak. Jika mahukan sesi fotografi lebih menarik, bawa sendiri prop yang sesuai untuk bergambar.

Alamat: 27-1, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Isnin-Jumaat (11.00 am-7.00 pm) | Sabtu & Ahad (11.00 am-9.00 pm)

Ruang Puteh Studio

Bagi yang mencari self-photo studio di Cheras, anda boleh ke Ruang Puteh Studio. Harga lebih berbaloi iaitu serendah RM 30 sahaja selama 15 minit. Tak cukup 15 minit? Tempah slot 30 minit dengan harga RM 60 sahaja.

Apa yang anda dapat dengan harga ini? Semestinya gambar tanpa had dan kesemuanya akan dihantar secara digital. Bukan senang nak pilih gambar terbaik dalam waktu yang singkat. Jadi anda tak perlu risau kerana semua gambar akan dihantar kepada anda.

Dengan serendah RM 30, sesuai untuk semua tema gambar sama ada untuk konvokesyen, gambar keluarga, prenatal dan lain-lain. Jika berminat, lakukan tempahan secara dalam talian menerusi laman Facebook RUANG PUTEH by anbstudio.co.

Alamat: 136-2, Damai Circles 42685, Jln Damai Raya 2, Alam Damai, 56000 Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (10.30 am-4.30 pm)

Oh Neul Studio

Imej via Oh Neul Studio

Berbeza dengan self-photo studio di KL yang lain, Oh Neul Studio berkonsepkan photobooth. Satu sesi dengan hanya RM 20 sahaja dan terhad hingga 5 orang untuk gambar yang cantik.

Nak tahu apa yang lebih menarik? Banyak prop diberikan secara percuma untuk pelanggan bergambar. Ada cermin mata, reben dan cekak dengan pelbagai corak menarik. Cermin juga banyak tersedia untuk anda bersiap sebelum bergambar.

Setelah itu, anda boleh masuk ke bilik kecil dan bergambar sepuasnya tanpa rasa segan jika ada yang melihatnya. Pelanggan boleh memilih kuantiti, corak dan sebagainya. Bukan itu sahaja, pelanggan boleh mengedit gambar dengan menggunakan filter atau pelekat. Gambar digital boleh dihantar melalui email dan proses mencetak mengambil masa 20 saat sahaja. Menarik bukan?

Alamat:  Level 3, 010 (near the kaison, Mytown, 6, Jalan Cochrane, Seksyen 90, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)

SelfieLah

Imej via SelfieLah

Jika anda mencari tempat self-photo studio di KL yang terletak di Cheras dengan harga bawah RM 100, anda perlu datang ke Selfielah. Dengan kadar RM 80 untuk dua orang, pelbagai kemudahan disediakan. Tempoh bergambar juga lama dengan 25 minit diberikan. RM 20 dikenakan buat tambahan orang untuk bergambar.

Selain itu, anda diberi lima minit tambahan untuk memilih dua gambar untuk dicetak. Jangan risau, kesemua gambar yang diambil turut diberikan secara digital melalui Google Drive dalam tempoh masa 5 hari.

Berbanding self-photo studio yang lain, Selfielah turut menyediakan pakaian perempuan dan lelaki bersama tie. Jika anda tiada pakaian yang bersesuaian, guna sahaja yang disediakan oleh Selfielah. Banyak juga props diberikan buat pengunjung seperti cekak, cermin mata dan lain-lain.

Alamat:  21, Jalan Temenggung 9/9, Bandar Mahkota Cheras, 43200 Cheras, Selangor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (10.00 am-9.30 pm)

Rakam Ragam Studio

Terletak di selatan Kuala Lumpur iaitu Putrajaya, Rakam Ragam Studio berada di Menara Shaftbury Putrajaya. Dua pakej ditawarkan buat pelanggan iaitu Pakej A dengan RM 85 terhad untuk enam orang, selama 30 minit sesi bergambar. Pelanggan akan mendapat semua gambar digital dan dua keping gambar bercetak.

Pake B pula dengan harga RM 150 dengan tempoh bergambar lebih lama iaitu 60 minit. Turut terhad untuk enam orang, pelanggan akan peroleh semua gambar digital bersama 4 keping gambar bercetak. Ragam Ragam Studio turut menyediakan props termasuklah bouquet, topi, cekak, cermin mata dan kerusi.

Setiap sesi boleh memuatkan hingga 10 orang dalam satu masa namun akan dikenakan bayaran tambahan mengikut bilangan orang. Gambar yang dirakam akan dihantar menerusi Google Drive atau AirDrop. Hasil gambar memang menarik!

Alamat:  Lot 01-28, Menara Shaftsbury Putrajaya, Jalan Alamanda, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Waktu operasi: Selasa- Ahad (11.00 am-9.00 pm)

M Selfie Studio

Serendah RM 70 sahaja anda boleh bergambar dengan bilangan pose yang tiada had di M Selfie Studio. Harga ini terhad untuk dua orang per sesi selama 20 minit. Sama seperti kebanyakan self-photo studio yang lain, M Selfie Studio akan memberikan semua gambar secara digital dan lebih menarik 5 gambar yang dipilih akan diedit secara percuma.

Jika datang dalam kelompok yang ramai, anda boleh memilih pakej RM 120 yang boleh memuatkan 4 hingga 6 orang. Sesi lebih panjang iaitu selama 30 minit dengan jumlah gambar yang tiada had bersama 7 gambar yang telah diedit secara percuma.

Satu lagi pakej yang berbeza dari studio lain adalah Personal Portrait Package yang berharga RM 288. Dengan pakej ini, anda akan disolek dengan jurusolek berkemahiran. Bukan itu sahaja, pakaian juga diberikan percuma untuk sesi bergambar. Kesemua pakej termasuk props dan dekorasi. Memang berbeza dan lebih menarik jika bergambar di sini!

Alamat: A0508,Aurora Sovo Jalan Persiaran Jalil 1, Pavillion, Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur

Waktu operasi: Selasa-Ahad (11.00 am-8.00 pm)

KPIX Selfie Studio

Sekiranya anda memerlukan pelbagai jenis props untuk self-shoot yang lebih bergaya, datang saja ke KPIX Selfie Studio yang terletak di IOI City Mall. Banyak pilihan yang pasti membuatkan anda rambang mata. Ada kaca mata, topi, cekak dan patung.

Self-photo di sini berkonsepkan photobooth. Anda boleh datang secara walk-in, pilih prop yang mahu digunakan, pilih saiz gambar dan buat bayaran melalui skrin besar. Setelah bergambar, pelanggan boleh memilih corak bingkai dan kemudiannya gambar akan dicetak.

Paling best, gambar digital turut diberikan melalui email setelah pelanggan imbas barcode di skrin. Harga sangat berbaloi iaitu serendah RM 20 sahaja.

Alamat:  Lot L3-230, 3rd Floor, IOI City Mall, Ioi Resort, 62502 Serdang, Putrajaya

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)

Berbaloikan tempat self-photo studio di KL? Rata-rata menawarkan servis yang menarik dengan harga sangat berbaloi. Tak hairanlah makin ramai yang suka bergambar dengan konsep ini dan muncul lebih banyak self-photo studio di Malaysia.

Sekiranya fotografi anda mempunyai tema tertentu, pakai pakaian bersesuaian dan bawa prop sendiri. Penggunaan prop dapat mengelakkan gambar anda dari kelihatan terlalu formal. Selain itu, fikir dan cari pose yang sesuai sebelum datang ke studio untuk dijadikan rujukan. Hal ini membantu anda untuk bergambar dengan baik dengan pelbagai gaya dalam tempoh masa yang diberikan.

Dah ada tempat yang berada berdekatan anda? Jom ajak yang tersayang untuk bergambar dengan bebas di tempat yang dipilih. Tak semestinya perlu bergambar untuk sebarang majlis atau perayaan, ramai juga yang menjadikannya sebagai salah satu aktiviti menarik sewaktu keluar bersama pasangan.

Jom tengok tempat menarik yang lain di KL yang pasti bermanfaat buat percutian anda di sini:

Similar Posts