|

Pulau Mawar Mersing: Apa Menarik Di Sini?

Pulau Mawar Mersing merupakan salah satu tempat menarik yang boleh anda kunjungi jika ke Johor. Banyak pulau lain yang menarik di negeri ini, namun kali ini kami akan berkongsi perkara menarik berkaitan Pulau Mersing.

Pulau yang berada di mukim Penyabong dan di daerah Mersing ini tidaklah popular seperti pulau lain di daerah seperti Pulau Besar, Pulau Rawa, Pulau Tinggi dan sebagainya. Namun baru-baru ini pulau ini kian hangat diperkatakan kerana tersebarnya keindahan alam semula jadi di sini.

Sekiranya anda mencari tempat bersantai atau tempat healing di Mersing, kami cadangkan anda ke sini. Tempatnya tidak terlalu padat dengan pengunjung dan lebih privasi. Nak tahu apa yang menarik di sini? Berbaloikah ke sini? Jom terokanya sebelum anda merancang perjalanan ke sini.

Tarikan Pulau Mawar

Imej via [ Tourism Johor ]

Sebelum merancang perjalanan ke sini, anda perlu tahu keadaan semasa paras laut dan waktu airnya surut. Jika anda datang sewaktu air pasang, anda tidak dapat meneruskan perjalanan ke pulau ini.

Pulau ini juga merupakan sebahagian daripada Mersing Geopark. Berada di Pulau Mawar seolah-olah berada ditengah-tengah pulau kerana dikelilingi air Sungai Mawar serta air laut Pantai Mawar.

Satu keunikan mengenai Pulau Mawar adalah sangat mudah diakses tidak seperti kebanyakan pulau terkenal yang lain di sini. Hal ini kerana tiada permit diperlukan untuk memasuki kawasan pulau, tidak perlu menaiki bot dan anda hanya perlu berjalan untuk sampai ke sini.

Untuk ke Pulau Mawar, ia mengambil masa anggaran 20 hingga 30 minit dari pekan Mersing. Jika anda mahu ke pulau ini, anda perlu memarkir kenderaan di Jalan Penyabong Carpark dan jalan ke Pantai Mawar.

Sebelum ini, masuk ke sini adalah percuma namun kini telah dikenakan bayaran sebanyak RM 5 seorang untuk dewasa manakala kanak-kanak dan warga emas adalah percuma. Bayaran ini dikenakan bagi menjaga kelestarian alam.

Jika sebut tentang Pulau Mawar, pasti ramai terbayang Heaven’s Gate atau pintu gerbang gua seperti yang dipaparkan kebanyakan video viral mengenai pulau ini. Kawasan inilah mempunyai pemandangan luas yang memukau.

Mana tidaknya, anda dapat menikmati landskap laut yang luas dengan airnya jernih serta menghijau. Pasirnya juga halus dan putih. Tidak hairanlah ramai yang jatuh cinta dengan pulau ini termasuklah pengunjung dari serata dunia.

Aktiviti Menarik

Banyak aktiviti yang boleh pengunjung lakukan dan kebanyakan aktiviti adalah secara santai. Sesuailah percutian bersama keluarga mahupun rakan-rakan yang mahu merehatkan mental dan fizikal.

Aktiviti utama semestinya hiking atau mendaki bukit menuju ke Pulau Mawar Mersing. Pastikan anda memakai pakaian dan kasut sesuai jika mahu ke Pulau Mawar. Hal ini kerana, anda akan menyelusuri hutan paya bakau serta mendaki bukit yang tinggi dan curam untuk sampai ke gerbang batu.

Trek memang agak mencabar lebih-lebih lagi buat mereka yang baru pertama kali mendaki. Seelok-eloknya dapatkan tour guide agar anda tidak sesat ke sini. Pastikan anda tahu waktu air pasang dan surut agar tidak terperangkap di pulau ini.

Imej via [ Tourism Johor ]

Selain itu, ramai yang berkelah dan berkhemah di Pantai Mawar. Ada satu kawasan yang luas serta menjadi port berkhemah terkenal di sini. Bukan sahaja luas, malah kawasannya bersih dan rata. Jangan lepaskan peluang untuk melihat matahari terbenam yang memukau di kawasan pantai.

Buat pengetahuan anda, terdapat banyak chalet yang berada di kawasan Pantai Mawar. Antaranya adalah Teluk Sari Beach Resort, Barokah Hill Beach Resort, Rindu Mawar Beach Resort dan sebagainya. Tak berkesempatan untuk berkhemah? Menginap sahaja di chalet terdekat.

Nak bermandi-manda di kawasan Pantai Mawar juga boleh. Pastikan anda menjaga keselamatan sendiri. Sebelum terlupa, kami ingin ingatkan anda bahawa tiada kemudahan tandas atau bilik mandi yang disediakan di sini. Namun anda boleh pergi ke chalet terdekat untuk menggunakan tandas dan ada bayaran dikenakan. Kemudahan yang ada di Pulau Mawar Mersing hanyalah kerusi dan meja rehat.

Sekiranya anda seorang kaki pancang, ini port terbaik buat anda. Ramai kaki pancing ke sini untuk melakukan hobi menarik ini. Pilih sahaja port yang sesuai buat anda. Bukan itu sahaja, banyak aktiviti pantai lain boleh anda lakukan seperti bermain layang-layang, membina istana pasir serta duduk bersantai.

Buat kaki ootd, jangan lepaskan peluang bergambar sebanyak mungkin terutama berada di Pulau Mawar. Hasil gambar pasti kelihatan memukau lebih-lebih lagi dengan latar alam semulajadi yang mempersona.

Imej via [ Tourism Johor ]

Pasti ramai yang akan jatuh cinta dengan Pulau Mawar Mersing terutama pendaki, kaki pancing, jurufoto dan kaki pancing. Tempatnya memang sangat tenang, sesuai juga untuk mereka yang sedang mencari lokasi untuk healing.

Namun perlu diingatkan untuk anda menjaga alam sekitar sewaktu berada di pulau ini dan tidak membuang sampah di merata tempat. Sama-samalah kita memelihara dan menjaga khazanah alam yang tiada tandingan ini.

Banyak lagi pulau yang menarik dan sangat memukau untuk diterokai. Jom ke pulau-pulau ini sebagai lokasi percutian akan datang:

Similar Posts