10 Masjid Tercantik Di Dunia Menawan Hati
Jika ingin senaraikan masjid tercantik di dunia memang tak tertulis kerana terdapat beribu masjid cantik yang ada di muka bumi ini. Kesemuanya mempunyai reka bentuk dan dekorasi yang unik, cantik dan menarik.
Di Malaysia sendiri banyak masjid cantik seperti Masjid Sri Sendayan, Masjid Zahir, Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Masjid Putrajaya dan lain-lain.
Kewujudan masjid tercantik bukan sahaja membuatkan pengunjung dapat beribadah dengan selesa, malah ia dapat menarik lebih ramai orang terutama bukan penganut Islam untuk mendekati masjid. Ia juga mencerminkan keperibadian umat Islam dan agama itu sendiri.
Bukan sahaja tempat untuk solat, malah masjid merupakan tempat menyampaikan ilmu, pembangunan modal insan dan menjalankan aktiviti keagamaan yang lain.
Kebanyakan masjid tercantik di dunia mempunyai keunikan dan sejarah penubuhannya tersendiri. Faktor ini menjadikan masjid-masjid ini begitu istimewa. Nak senaraikan kesemuanya memang banyak. Oleh itu kami senaraikan antara 10 masjid tercantik dan terkenal di dunia.
Masjidil Haram, Arab Saudi
Jika ditanyakan tentang masjid tercantik di dunia, pasti ramai yang menyetujui Masjidil Haram jawapannya, yang menjadi kiblat bagi seluruh umat Islam untuk beribadah. Bukan sahaja cantik, malah Masjidil Haram adalah masjid terbesar di dunia yang boleh memuatkan 4 juta umat Islam dalam satu masa.
Masjid yang terletak di Makkah Al-Mukharamah ini dibina mengelilingi Kaabah. Reka bentuk dan seni binanya memang mengagumkan. Jika sebelah siang sudah cantik, pemandangan pada waktu malam lebih mempersona dengan lampu-lampu yang menghiasinya.
Masjid Nabawi, Madinah
Merupakan masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan menjadi masjid kedua suci dan terpenting bagi umat Islam. Antara keunikan di masjid ini adalah terdapat lima mihrab, 27 buah kubah yang bergerak, 250 payung gergasi yang dibuka dan ditutup secara automatik dan lain-lain. Ia menjadi simbolik Masjid Nabawi.
Seperti yang anda tahu, terdapat makam Rasulullah S.A.W yang berada di bawah kubah hijau serta makam para sahabat baginda. Di sini juga terdapat taman syurga iaitu Raudhah yang menjadi salah satu tempat mustajab doa.
Masjid Tokyo Camii, Japan
Turut dikenali sebagai Masjid Tokyo, masjid ini adalah masjid terbesar di Jepun yang telah siap dibina sepenuhnya pada tahun 2000. Keluasan masjid ini adalah 734 meter persegi yang mampu memuatkan 1200 orang dalam satu masa.
Selain tempat beribadah, Masjid Tokyo ini juga berperanan sebagai tempat kebudayaan termasuklah untuk tujuan pertunjukan, pameran dan perkahwinan. Jika anda ada yang bercuti di Tokyo, Masjid Tokyo adalah salah satu tempat yang perlu dikunjungi.
Secara umum, reka bentuk dan dekorasi masjid terlihat seperti seni Uthmaniyah. Bukan sahaja luaran masjid yang cantik, malah setiap pengunjung pasti terpukau dengan dekorasi dalaman yang dihiasi chandelier cantik serta siling dan dinding yang dihiasi corak dan kaligrafi.
Masjid Shah Faisal, Pakistan
Masjid Shah Faisal yang terletak di Kota Islamabad, Pakistan mempunyai reka bentuk yang unik. Kebiasaanya masjid di bina dengan kubah. Namun berbeza dengan Masjid Shah Faizal yang tampil dengan kelainan iaitu dibina tanpa kubah. Ia kelihatan bentuk segi tiga dihiasi dengan beribu lampu.
Reka bentuk dan seni bina masjid ini diinspirasikan dari seni bina Greek. Masjid Shah Faisal juga tersenarai dalam masjid terbesar di dunia. Masjid ini terbahagi kepada lapan bahagian termasuklah pentadbiran, perindustrian, kawasan taman negara dan lain-lain.
Bahagian dalaman masjid sangat cantik lebih-lebih lagi dihiasi dengan lampu Kristal yang besar. Dinding pula penuh dengan tulisan kaligrafi yang kemas dan cantik.
Masjid Sharjah, Emiriah Arab Bersatu
Masjid Sharjah boleh memuatkan 25 000 jemaah dalam satu masa termasuk pada bahagian dalam dan luaran masjid. Masjid ini mengenengahkan seni bina Islam yang unik dan eksklusif dari segi rekabentuk, dekorasi menara, kubah dan tiang-tiangnya. Masjid ini juga dihiasi dengan taman dan air pancut sekeliling masjid.
Dekorasi dalaman masjid memang memukau dengan ayat-ayat Al-Quran pada dinding, candelier besar di tengah masjid serta menggunakan permaidani berwarna merah.
Tak cukup dengan itu, ada kemudahan lain disediakan seperti kafe, perpustakaan besar yang menyediakan banyak karya Islam dari era berbeza, muzium, kawasan terbuka dan ruang untuk orang bukan Islam memasuki masjid.
Masjid Hagia Sophia, Turki
Masjid Hagia Sophia turut dikenali sebagai Masjid Aya Sophia. Pada awal penubuhannya, Hagia Sophia adalah sebuah gereja sebelum ditukar menjadi sebuah masjid dan kemudiaannya dijadikan sebuah muzium. Pada tahun 2020, Haghia Sophia kembali menjadi masjid dan dibuka untuk semua jemaah dan pengunjung.
Terletak Istanbul, masjid Hagia Sophia menjadi bangunan ikonik sejak penubuhannya pada kurun keenam dan mendapat pengiktirafan sebagai monumen terbaik di dunia.
Kubah masjid ini dikatakan sebagai antara kubah terbesar di dunia yang dihiasi dengan Jubin marmar, membuatkan kubah nampak memukau. Tak hairanlah ramai yang kagum dengan seni bina dan reka bentuk Hagia Sophia dari seni Byzantine.
Masjid Sheikh Zayed, Emiriah Arab Bersatu
Masjid Sheikh Zayed adalah salah satu tempat menarik di Abu Dhabi buat pelancong muslim dan bukan muslim. Ia terkenal dengan masjid yang menggunakan warna putih hampir keseluruhan kawasan. Masjid ini adalah masjid terbesar di UAE dan ketiga terbesar di dunia yang mampu memuatkan lebih 40 000 jemaah dalam satu masa.
Masjid Sheikh Zayed dibina dengan megah yang melambangkan senibina Islam yang moden, namun masih menyelitkan gabungan seni bina Mamluk, Uthmaniyah dan Fatimid. Apa yang menarik mengenai masjid ini adalah mempunyai 82 kubah yang dihiasi dengan kaligrafi daun emas, empat buah menara, menggunakan berekar marmar putih berkilauan dan lain-lain.
Selain itu, pengunjung dapat menyaksikan chandelier Swarovski bersalut emas, dinding dengan motif bunga , karpet cantik dan terbesar di dunia buatan tangan dan sebagainya di ruangan dalam masjid. Tak hairanlah ramai pengunjung yang datang ke sini untuk melihat seni binanya yang memukau.
Uniknya, masjid ini menggunakan sistem pencahayaan yang melambangkan fasa bulan yang mampu mengubah warna bahagian luar masjid pada setiap malam mengikut bulan tersebut. Pintu bahagian dalam masjid pula melengkung berkonsepkan Timur Tengah dan geometri dengan bentuk kontemporari dan inovatif.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Malaysia
Tidak lengkap senarai masjid tercantik di dunia jika tidak memasukkan salah satu masjid tercantik di Malaysia iaitu Masji Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Masjid yang terletak di Shah Alam ini turut dikenali sebagai Masjid Biru yang mampu memuatkan lebih 24 000 jemaah dalam satu masa.
Seni bina masjid ini menumpukan terhadap senibina melayu digabungkan dengan ciri-ciri Islam. Lihat sahaja dari kubah yang berada di luar, besar, cantik, mempunyai tulisan kaligrafi mengelilingi kubah dengan kemas serta diperbuat daripada aluminium berlipat.
Di dalam ruangan solat pula, terdapat mimbar kayu inspirasi dari masjid lama, mihrab yang dipenuhi dengan ayat Al-Quran, siling kayu, lampu chandelier yang memukau dan lain-lain. Merupakan masjid terbesar di Malaysia, Masjid Biru mempunyai beberapa ruangan lain termasuk perpustakaan, pejabat, galeri, dewan dan bilik mengajar.
Masjid Kota Pendidikan, Qatar
Pasti ramai yang kagum dengan reka bentuk dan seni bina masjid Education City Mosque yang berada di Doha ini. Tengok sahaja reka bentuk luarannya seakan kapal angkasa memang luar biasa lebih-lebih lagi bercirikan moden dan futuristik.
Bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadah, malah masjid ini adalah tempat pengajian yang lebih moden dan berada dalam kawasan Universiti Hamad Bin Khalifa. Siapa sangka ianya sebuah masjid kerana tidak mempunyai kubah. Dari luaran masjid, terdapat dua buah menara tinggi dan condong iaitu simbolik arah kiblat di Makkah.
Antara simbolik lain di masjid ini adalah mempunyai lima tiang utama melambangkan lima rukun Islam, empat aliran air yang melambangkan empai sungai di syurga iaitu madu, susu, arak dan air serta Taman Botani Al-Quran yang menempatkan tumbuhan-tumbuhan yang disebut dalam Al-Quran.
Tak cukup dengan itu, seni kaligrafi dengan ayat Al-Quran turut menghiasi dinding dan syiling dalaman masjid. Kelihatan seperti sebuah gua, pengunjung pasti terpukau berada di dalam masjid lebih-lebih lagi terdapat bintang-bintang yang menghiasi siling.
Masjid ini mampu memuatkan 1800 jemaah pada bahagian dalam manakala 1000 jemaah di bahagian luar dewan. Ruangan solat di tingkat bawah masjid adalah untuk jemaah lelaki manakala jemaah perempuan di tingkat atas.
Masjid Kul Sharif, Rusia
Masjid Kul Sharif adalah salah satu bangunan ikonik di Rusia. Ia dinamakan sempena pekerja di sini iaitu seorang Imam bernama Qolsharif yang telah meninggal dunia bersama pelajarnya sewaktu mempertahankan Kazan dari diceroboh oleh penduduk Rusia.
Senibina bangunan ini diinspirasikan oleh seni bina Turki Uthmaniyah serta senibina tradisional Islam Volga Bulgaria. Ruangan bawah masjid dikhaskan untuk galeri dan lawatan manakala tingkat atas adalah ruangan solat.
Masjid ini berdiri megah dan kelihatan moden dengan kubah berwarna biru dan dinding bangunan berwarna putih. Masjid Kul Sharif mampu menampung 6000 jemaah sahaja.
Cantikkan masjid-masjid di atas? Penuh dengan keunikan, sejarah dan kelainan. Menjelajahi setiap masjid tercantik di dunia menjadi impian ramai orang. Semoga suatu hari nanti, kita dapat memenuhi impian yang satu ini.
Banyak lagi masjid tercantik di dunia yang pasti membuatkan setiap mata memandang terpukau dengan reka bentuk dan dekorasinya. Kecantikan masjid secara tidak langsung dapat mengimarahkan lagi suasana dengan kehadiran ramai umat Islam untuk beribadah dengan selesa.
Secara tidak langsung, orang bukan Islam juga dapat mendalami dan meneroka keindahan agama ini. Mana tahu ramai daripadanya terjentik hati untuk memeluk Islam sebaik sahaja menjejakkan kaki masjid-masjid tersebut.
Suka akan fakta menarik di dunia? Kami juga ada menulis artikel berkaitan tempat-tempat menarik di dunia seperti: