Eco Murai Rimba: Resort Best Tepi Sungai Di Selangor
Buat pecinta alam dan anda yang ingin lari dari kesibukan kota, Eco Murai Rimba adalah salah satu pilihan percutian terbaik buat anda lebih-lebih lagi yang menetap di Selangor.
Lokasi ini memang terkenal di kalangan pecinta alam. Merupakan penginapan yang dikelilingi alam semula jadi, Eco Murai Rimba terletak di Batang Kali dan tak jauh dari ibu kota. Lokasinya juga berada di tepi jalan lama menghala ke Genting Highland.
Apa ada di sini yang membuatkan resort ini sangat terkenal? Jom terokainya, mana tahu selepas ini ia akan menjadi lokasi percutian yang menarik buat anda.
Penginapan
Eco Murai Rimba terkenal dengan penginapan yang sesuai untuk mereka yang ingin mengadakan hari keluarga, reunion dan sebagainya. Jika anda menempah kesemua bilik di sini, umpama kawasan anda sepenuhnya dan penuh privasi.
Di sini terdapat 10 buah bilik termasuk white house, iaitu rumah kecil yang berwarna putih. Setiap bilik boleh memuatkan tiga hingga lima orang dengan penuh selesa.
Ruang bilik tidak terlalu besar dan terlalu kecil, cukup untuk memberikan keselesaan kepada penginap. Di setiap bilik, kemudahan yang disediakan termasuklah kipas, katil, penyangkut tuala, cermin dan almari kecil.
Rata-rata pengunjung yang pernah menginap di sini memang memberikan feedback terbaik dari segi layanan dari pekerja, kebersihan tempat dan sebagainya. Bukan itu sahaja, walaupun berada di kelilingi pokok-pokok namun tiada nyamuk dan mereka dapat tidur dengan nyenyak.
Tambahan pula, tidur pasti lebih nyenyak dengan kesejukan terutama waktu malam dan pagi serta tidur yang ditemani suara alam.
Harga penginapan memang sangat berbaloi. Hanya serendah RM 150, anda dapat menginap dengan selesa dan menggunakan segala kemudahan yang terdapat di sini.
Kemudahan
Bagi kami, kemudahan yang disediakan pihak resort memang sangat selesa dan berbaloi dengan harganya. Sesuai dengan tema penginapan iaitu berada di kelilingi alam.
Konsep dapur terbuka memang sesuai lebih-lebih lagi apabila anda menginap dengan kelompok yang ramai. Masak bersama-sama dengan ruang yang luas pasti sangat seronok.
Anda hanya perlu membawa makanan atau barang basah sahaja ke sini kerana semua kelengkapan dapur lengkap tersedia. Tak perlu anda bersusah-payah membawa pinggan mangkuk, dapur gas, sudu, kuali dan sebagainya. Peralatan barbeku juga disediakan.
Tak cukup dengan itu, ruang makan yang luas dapat memuatkan ramai orang. Pihak resort menyediakan kerusi dan meja makan yang mencukupi. Apa yang menarik, ruangan ini terbuka dan berada di tepi sungai. Sambil makan, bolehlah pengunjung menikmati pemandangan sekeliling. Untuk sarapan pagi pula, pihak menyediakan menu sarapan termasuk kuih-muih.
Sudah menjadi kebiasaan apabila pengunjung ke resort yang berada di tengah alam untuk bersantai dan menenangkan minda. Penginapan ini sangat sesuai buat anda kerana terdapat ruangan khas berbumbung untuk pengunjung berehat di tepi sungai.
Buat pengetahuan anda, setiap bilik tidak mempunyai tandas. Tandas yang terdapat di luar perlu dikongsi dengan pengunjung lain. Walaubagaimanapun, ramai yang memuji kebersihan tandas disini kerana kebersihannya terjaga walaupun dikongsi.
Aktiviti Menarik
Kebanyakan aktiviti yang boleh dilakukan disini adalah secara santai. Kebanyakan orang mempunyai tujuan yang sama apabila bercuti di dalam hutan iaitu untuk merehatkan mental dan fizikal. Cukup duduk dan menikmati suasana keliling sambil menghirup udara yang segar, ianya sangat memuaskan.
Memandangkan sungai berdekatan bilik, rugi jika tidak bermandi-manda. Pihak resort telah menyediakan laluan khas di tebing sungai untuk memudahkan pengunjung menuruni sungai dengan selamat. Di sepanjang sungai, ada kawasan yang cetek dan ada juga kawasan yang dalam. Pilihlah tempat yang sesuai dengan keinginan anda.
Selain itu, ada juga kumpulan kaki pancing yang menginap di sini. Dengar cerita, hasilnya tidak mengecewakan. Sudah dapat hasil tangkapan seperti ikan, bolehlah anda barbeku dengan ikan segar tersebut. Makan pula ditengah sungai sambil duduk di batu-batu, pasti lebih nikmat!
Untuk mereka yang mengadakan sambutan hari keluarga atau reunion, tak lengkap majlis tersebut jika tiada aktiviti riadah ataupun sukaneka. Memandangkan halaman resort luas dan rata, bolehlah anda melakukan pelbagai aktiviti menarik di kawasan tersebut.
Maklumat Lanjut
Jika anda mahukan maklumat lanjut atau ingin membuat tempahan, layari laman-laman berikut:
No Telefon: 012-250 5507
Facebook: Eco Murai Rimba
Instagram: Eco Murai Rimba
Lokasi: B66, Jln Batang Kali – Genting Highlands, 48200 Batang Kali, Selangor
Macam mana dengan Eco Murai Rimba? Menepati tak citarasa percutian anda bersama keluarga di tengah-tengah alam? Rata-rata review atau komen pengunjung di Facebook memang berpuas hati dan positif.
Lakukan tempahan bilik segera memandangkan resort ini sering dipenuhi pengunjung lebih-lebih lagi pada hujung minggu dan cuti sekolah. Selepas menginap di sini, bolehlah anda lajak ke Genting Highland yang mengambil masa 15 hingga 20 minit dari resort ini. Selamat bercuti!
Suka akan penginapan yang dikelilingi alam semula jadi di Selangor? Jangan lepaskan peluang untuk menginap di tempat-tempat ini juga!