Tertanya-tanya tentang aktiviti di Padang Kota Lama yang boleh dilakukan?

Penang merupakan negeri yang memang terkenal dengan tarikan pelancongan. Dari tempat bersejarah dan tempat makan yang berbagai, semuanya menarik. Tidak hairanlah negeri ini menerima kunjungan yang tidak putus-putus.

Antara tempat yang menarik di sini ialah Padang Kota Lama. Aktiviti yang boleh dilakukan juga ada berbagai. Apakah aktiviti di Padang Kota Lama yang menarik? Teruskan membaca.

#1 Bersiar-siar di Esplanade

Sebut sahaja Padang Kota Lama, semestinya Esplanade merupakan tempat yang wajib disinggah. Ianya merupakan antara tarikan utama di Padang Kota Lama yang sering dikunjungi pelancong yang bercuti di Pulau Pinang.

esplanade - aktiviti padang kota lama
Imej via Foursquare

Esplanade merupakan kawasan luas yang terletak di tepi laut di Padang Kota Lama. Kawasan ini menjadi tumpuan pengunjung kerana keluasannya serta persekitaran yang cukup santai. Pemandangan yang menarik juga satu bonus kepada pengunjung di sini.

Bagi yang suka bergambar, anda boleh sahaja bergambar di tepi bentengnya. Sambil bergambar, boleh juga ‘ambil angin’ di sini. Deruan ombak dan angin yang bertiup dengan sepoi-sepoi bahasa pasti akan buat anda berasa tenang.

#2 Menikmati Pasembor Yang Terlajak Sedap

Memang rugi jika anda bercuti di Penang namun tidak mencari kesempatan untuk mencuba pasembur. Pasembur ini boleh dikatakan antara street food yang menjadi tarikan di Penang. Bukan sahaja enak, malah mengenyangkan.

gani famous pasembur - aktiviti padang kota lama
Imej via Foursquare

Untuk itu, isi sahaja perut anda dengan pasembor yang merupakan antara yang tersedap di Padang Kota Lama – GANI Famous Pasembur. Namanya sahaja sudah cukup menggambarkan populariti pasembur ini. Terletak di Medan Renong, gerai pasembur ini terletak di medan selera yang dikenali dengan nama Medan Renong.

Pasembur yang disajikan memang banyak isinya. Bonus utama hidangan ini semestinya ialah kuahnya yang secukup rasa. Lebih banyak kuah, lebih terasa kelazatannya. Pasembur yang disajikan secara membukit di atas pinggan jelas menunjukkan yang saiz hidangannya juga besar.

#3 Bergambar di Penang 3D Trick Art Museum

Muzium 3D merupakan satu tarikan yang agak rare di negara kita. Tak semua negeri mempunyai muzium sebegini. Jadi, jika anda singgah di Padang Kota Lama, anda wajib mengambil kesempatan ini untuk singgah di Penang 3D Trick Art Museum.

penang 3d art trick museum aktiviti padang kota lama
Imej via Foursquare

Muzium ini menampilkan sekitar 40 karya seni 3D yang cukup mengagumkan. Rata-rata pengunjung gemar bergambar dengan karya seni yang seolah-olah ‘hidup’. Rumah kampung, pertunjukan silap mata, dan menaiki sampan merupakan antara karya seni yang terbaik di sini.

Harga tiket masuk ialah RM 15 untuk dewasa dan RM 10 untuk kanak-kanak berumur 4-12 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas. Jika anda membuat tempahan secara atas talian, mungkin anda dapat menempah pada harga diskaun yang cukup berbaloi.

#4 Melawat Tempat Bersejarah

Satu lagi aktiviti di Padang Kota Lama yang boleh anda lakukan jika singgah di sini ialah melawat tempat bersejarah. Umum mengetahui bahawa Penang mempunyai banyak bangunan bersejarah dan kebanyakannya terletak di Padang Kota Lama.

fort cornwallis padang kota lama
Imej via Foursquare

Kota lama berbentuk bintang 4 bucu ini merupakan antara tarikan bersejarah yang paling popular – Fort Cornwallis. Berdiri utuh sejak tahun 1786, ia menempatkan meriam Sri Rambai yang dahulunya digunakan oleh pemerintah British di Penang.

Bukan sahaja sesuai untuk bergambar, malah anda juga boleh belajar tentang sejarah kota ini dengan membaca informasi pelancong. Harga tiket kemasukan ialah sekitar RM 10 untuk dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak.

#5 Menjamu Selera di Hameed Pata Mee Sotong

Mee Sotong merupakan hidangan yang wajib anda nikmati jika berkunjung ke Padang Kota Lama. Untuk mencuba hidangan yang laku keras ini, singgah sahaja di gerai Hameed Pata Mee Sotong yang terletak di Esplanade.

Hameed Pata Mee Sotong
Imej via Foursquare

Gerai yang beroperasi sejak tahun 1987 ini sememangnya legend. Mi sotong yang disajikan merupakan mi goreng yang disediakan dengan sambal sotong yang cukup membangkitkan selera. Dimakan pula panas-panas, pasti akan buat anda ketagih. Harganya ialah sekitar RM 6.50, memang murah.

Ianya beroperasi pada jam 12 tengahari sehingga jam 8 malam setiap hari kecuali hari Ahad. Singgah pada waktu yang sesuai, kerana gerai ini diserbu ramai pada waktu kemuncak. Jangan sampai terlepas peluang!

#6 Menyegarkan Tekak dengan Ais Kepal

Ais kepal merupakan minuman pencuci mulut yang menggamit memori. Jika anda teringin untuk menikmati ais kepal seperti zaman kanak-kanak dahulu, singgah sahaja di gerai 70s Ice di Padang Kota Lama.

70s ice penang ais kepal
Imej via Foursquare

Gerai ini menyediakan pelbagai jenis ais kepal yang bukan sahaja manis, malah menyegarkan tekak. Memandangkan cuaca sekarang kian panas, singgah sahaja di gerai ini dan cuba ais kepal mereka. Antara yang terlaris ialah Ribena, Sarsi dan Sirap.

Harganya juga cukup murah, tidak lebih RM 5 untuk setiap ais kepal. 70s Ice ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 10:45 pagi hingga 6 petang.

#7 Mencuci Mata di Street Art

Ini semestinya merupakan aktiviti wajib jika berkunjung ke Padang Kota Lama – singgah bergambar di Street Art. Street Art ini bukan sahaja berada di Selangor, malah di Penang juga ada. Karya seninya juga cukup cantik dan artistik.

penang street art
Imej via Foursquare

Penang Street Art merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO yang memaparkan seni jalanan grafik yang menggambarkan kehidupan penduduk Pulau Pinang. Antara karya seni yang popular ialah mural Bruce Lee, kanak-kanak menaiki basikal, peniaga barangan runcit dan kanak-kanak di atas buaian.

#8 Bersiar-siar di Penang City Hall

Penang City Hall atau Dewan Bandaraya Pulau Pinang ini merupakan bangunan putih yang dibina sejak tahun 1903. Ianya adalah ibu pejabat kerajaan tempatan yang terletak di Jalan Esplanade.

penang city hal
Imej via Foursquare

Bangunan bersejarah ini juga terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Senibina yang unik dan klasik membuatkan ramai pelancong gemar mengambil gambar di berlatang belakangkan bangunan ini.

Kesimpulan

Sudah terfikir aktiviti di Padang Kota Lama yang ingin dilakukan? Atau anda teruja untuk melawati semua tempat yang kami senaraikan? Bukan mudah untuk melancong pada masa sekarang, jadi manfaatkanlah peluang ini.

Setiap tempat yang kami senaraikan ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini kepada rakan-rakan atau di media sosial. Selamat melancong!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Hani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.