20 Tempat Viral di Melaka (Rugi Tak Pergi)
Ada lagi ke tempat viral di Melaka selain Kota A’Famosa, Menara Taming Sari dan Pantai Klebang? Jika sebut tentang tempat menarik di Melaka, pasti ketiga-tiga tempat ini menjadi sebutan ramai.
Sebenarnya ada banyak lagi tempat viral dan terbaru di Melaka untuk anda bersiar-siar di negeri yang penuh dengan sejarah ini. Merupakan salah satu bandar warisan dunia iaitu UNESCO, Melaka tetap menjadi tumpuan ramai pelancong tempatan dan pelancong asing hingga kini.
Jika anda sering ke Melaka dan mencari tempat baru untuk dikunjungi, kami sertakan beberapa tempat menarik dan viral yang pasti membuatkan anda berpuas hati dengan percutian kali ini.
Melaka Floating Market
Satu tempat viral terkini di Melaka adalah Melaka Floating Market. Tak perlu ke Thailand, Kelantan mahupun Perlis, di Melaka juga anda boleh merasai pengalaman membeli-belah di pasar terapung. Tak cukup dengan itu, ada banyak booth serba pink yang menjual pelbagai barangan dan makanan.
Pada hujung minggu dan cuti sekolah adalah waktu yang paling meriah dengan lebih banyak tarikan dan kedatangan pengunjung. Namun setiap malam anda dapat melihat tempat yang penuh gemerlapan dengan lampu yang berkelipan. Kanak-kanak pasti seronok bermain di soopa doopa. Ada juga persembahan langsung dari band dan badut.
Antara aktiviti lain yang boleh anda lakukan termasuklah mengayuh paddle boat dan beriadah. Kemudahan juga tersedia lengkap termasuklah tandas, surau dan tempat makan.
Alamat: Melaka Floating Market, Pengkalan Rama, Melaka
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Selasa(6.00 pm-11.00 pm)
The Shore Oceanarium
The Shore Oceanarium merupakan sebuah akuaria terkenal di Melaka. Bukan sahaja ada pelbagai jenis ikan dan hidupan laut, malah ada banyak lagi tarikan dan aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Satu lagi kelebihan akuaria Melaka adalah anda boleh memegang beberapa jenis hidupan ini seperti ikan hiu dan landak laut! Akuarium pula ada banyak jenis, saiz dan bentuk.
Tarikan interaktif antara yang mencuri tumpuan ramai iaitu pengunjung boleh bermain permainan yang seronok, menonton video 3D, melihat hidupan secara dekat menggunakan VR dan sebagainya. Bukan sahaja sesuai untuk dewasa, malah anak-anak pasti turut bergembira di The Shore Oceanarium.
Paling best, ada satu ruangan yang cantik untuk anda ootd. Tiket masuk adalah RM 40 untuk dewasa, RM 30 untuk kanak-kanak dan warga emas. Dengan harga ini, pengunjung akan mendapat fridge magnet dan cermin mata 3D.
Alamat: 2F-01, Pinggiran@Sungai Melaka, The Shore Shopping Gallery, 193, Jalan Persisiran Bunga Raya, Kampung Bunga Raya Pantai, 71500 Melaka
Waktu operasi: Khamis-Selasa (10.30 am-7.00 pm)
Wonderpark, The Shore
Anak tak puas menikmati keindahan laut di The Shore Oceanarium? Apa kata anda bawa mereka bermain dengan puas di The Wonderpark yang berada di tempat yang sama iaitu pusat membeli-belah The Shore. Bukan anak-anak je boleh main, ibu bapa juga boleh sertai beberapa permainan menyerokkan.
Harga tiket untuk dewasa dan kanak-kanak adalah RM 25-RM 30 bergantung pada tarikh yang anda datang. Dengan pembelian tiket dewasa, pengunjung akan mendapat baucar diskaun untuk membeli makanan di kafe Wonderpark.
Apa yang ada di Wonderpark? Banyak tarikan di sini termasuklah taman permainan indoor yang luas, arked, cabaran halangan dan ruangan yang dipenuhi lampu neon untuk pengunjung berootd. Rupa-rupanya ada banyak lagi sudut bergambar yang lain seperti doodle, sudut strawberi dan penguin!
Alamat: Lot 2F-02B & 2F-02C, Level 2, The Shore, No 193 Pinggiran @ Sungai Melaka, Jalan Persisiran Bunga Raya, 75100 Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-6.30 pm)
Melaka River Cruise
Rugi jika ke Melaka jika tidak menaiki cruise untuk melihat permandangan yang memukau di sekitar Sungai Melaka. Jika mahu menaiki cruise, pengunjung boleh menunggu di Jeti Taman Rempah.
Tiket cruise adalah RM 25 untuk dewasa, RM 15 untuk kanak-kanak dan RM 10-RM 20 untuk warga emas. Harga memang berbaloi. Sambil naik anda boleh melambai-lambai orang yang berada di daratan dan mereka semua sangat ramah!
Dengar cerita permandangan waktu malam lebih cantik dimana lampu-lampu menghiasi sepanjang Sungai Melaka dengan gemerlapan. Cuaca pun tidak terlampau panas pada waktu ini.
Alamat: Dataran Pengkalan Rama, Pengkalan Rama Pantai 71500 Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-11.00 pm)
Coach Airways
Tempat ini pernah tular bukan sahaja di Malaysia malah di negara luar! Mana tidaknya, Coach Airways merupakan butik Coach pertama di dunia yang berada di dalam kapal terbang!
Pengunjung boleh masuk secara percuma di dalam butik terkemuka di dunia ini.Nak merasai pengalaman berada di dalam kapal terbang dengan kelas pertama bolehlah anda mengunjungi Coach Airways!
Masuk sahaja ke dalam kapal ini, pengunjung dapat melihat pelbagai barang berjenama termasuklah beg tangan! Dekorasi dalaman juga kelihatan ekslusif dan mewah. Lokasinya mudah diakses iaitu berada di Freeport A’Famosa Outlet.
Alamat: FAO Air Plane, Freeport A’Famosa Outlet, Jalan Kemus / Sempang Ampat Alor Gajah, 78000 Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)
The Coco Journey
The Coco Journey antara penginapan yang unik dan viral baru-baru ini. Mereka menyediakan dua jenis penginapan iaitu glamping dan villa. Glamping yang serba mewah ini dilengkapi katil, jakuzi dan paling penting, tandas dan bilik mandi tidak peru dikongsi dengan orang lain! Khemah glamping juga unik kerana lutsinar!
Jika anda ingin datang secara berkumpulan atau membuat ingin membuat hari keluarga, anda boleh menginap di villa yang serba putih. Villa ini memuatkan 20 orang dalam satu masa. Ruang tamunya besar dilengkapi set karaoke, bilik yang besar dan dilengkapi perabot yang estetik dan villa ini berada bersebelahan kolam renang.
Berada di sini memang tenang kerana berasa di ladang kelapa dan jauh dari kesibukan kota. Penginap juga boleh barbeku, berkelah, bermandi-manda di kolam, berbasikal dan berkayak secara percuma!
Alamat: Lot 276, Mukim, 75200 Klebang Besar, Melaka
Malaysia Heritage Studios
Malaysia Heritage Melaka atau dikenali sebagai Taman Mini Malaysia antara tarikan baru yang menjadi tumpuan ramai pelancong tak kira umur. Taman tema ‘edutainment’ ini mengambil inspirasi dari adat, budaya dan kisah lagenda dari negeri Hang Tuah ini.
13 buah rumah dari pelbagai negeri dalam Malaysia menjadi tarikan utama di sini. Pengunjung bukan sahaja boleh melihatnya dari luar, malah boleh memasuki dan melihat seni bina dalaman rumah tersebut.
Bukan itu sahaja, ada beberapa replika besar yang diwujudkan dalam bentuk ‘animatronic monster’, terdiri daripada watak dalam cerita mitos dahulu kala seperti Naga Tasik Chini, Gajah Mina, Mawas dan sebagainya. Tak cukup dengan itu, ada beberapa latar memukau dan berkilauan untuk kaki fotografi!
Alamat: Exit Lebuhraya Ayer Keroh, 75450 Ayer Keroh, Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-6.00 pm)
Rumah Terbalik Melaka
Jom ke Rumah Terbalik Melaka jika mahukan tempat yang luar biasa. Semua perabot diletakkan secara terbalik termasuklah katil, almari, peti ais, mesin basuh dan sebagainya. Struktur rumah masih seperti rumah sebenar yang terdiri daripada ruang tamu, bilik tidur dan dapur.
Di sini anda boleh bergambar sepuasnya dengan pelbagai reaksi dan gaya. Bukan itu sahaja, ada juga beca terbalik!
Alamat: Plaza Mahkota, G12 & G14 & G16, Jalan PM7, Bandar Hilir, 75000 Melaka
Waktu operasi: Jumaat-Ahad (10.00 am-9.00 pm) | Isnin-Khamis (10.00 am-7.00 pm)
Flyboard Tasik Ayer Keroh
Jika lihat di media sosial, flyboard amat terkenal di luar negara. Siapa sangka di Melaka juga ada tarikan flyboard yang terbang di atas tasik Melaka ini.
Selain itu, pengunjung juga boleh menaiki bot kayuh bersama yang tersayang. Nak lebih mencabar, pengunjung juga boleh berkayak di sini. Memang seronok melakukan aktiviti ini bersama yang tersayang.
Alamat: Tasek, 75450 Ayer Keroh, Melaka
Waktu operasi: Selasa-Jumaat (9.00 am-7.00 pm) | Sabtu & Ahad (8.00 am-7.00 pm)
Taman Seribu Bunga
Mak-mak pasti suka jika berada di kelilingi bunga-bunga berwarna-warni. Jika mak atau pasangan anda seorang yang suka akan bunga, jom bawa mereka ke Taman Seribu Bunga.
Terdapat rumah tradisional yang berdiri megah tetapi pengunjung dilarang untuk memasuki ke bahagian dalam rumah. Banyak port ootd yang pasti membuatkan memori telefon anda penuh!
Kanak-kanak juga pasti seronok berada di sini kerana mereka boleh bermandi-manda di kolam yang disediakan secara percuma! Bilik mandi juga disediakan dengan bersih dan selesa. Bukan itu sahaja, ada juga taman permainan mini untuk mereka bermain dengan puas.
Alamat: Ayer Keroh, Melaka
Waktu operasi: Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu & Ahad (9.00 am-6.30 pm)
Encore Melaka
Ramai yang ke Encore Melaka untuk bergambar di luar perkarangan bangunan, namun ramai yang tidak tahu apakah yang terdapat disebalik bangunan yang cantik ini. Encore merupakan sebuah teater bertaraf dunia.
Segala teknologi canggih digunakan di dalam ruang teater ini. Antaranya adalah terdapat teknologi hydraulik dan pentasnya boleh bertukar 360 darjah! Tempat ini boleh memuatkan 2000 orang penonton dalam satu masa.
Bangunan yang serba putih ini menampakkan bangunan ini sangat minimalist. Tak hairanlah ramai yang suka ber’ootd’ di perkarangan Encore.
Alamat: Impression City, No 3, Jalan KSB-Impression 8, Kota Syahbandar 75200 Melaka
Taman Rama-Rama
Mencari tempat haiwan di Melaka? Jom ke Taman Rama-Rama yang bukan sahaja ada rama-rama, malah pelbagai haiwan lain yang jinak. Bukan sahaja boleh melihat, pengunjung juga boleh berinteraksi dengan mereka. Nak pegang, memberi makan dan bergambar secara dekat memang boleh asalkan anda seorang yang berani!
Selain rama-rama dan burung, Albino Raccoon, Fennec Fox Sahara bahkan Anaconda juga ada di sini! Paling best, pengunjung juga boleh memegang anaconda ini. Berani ke?
Datanglah pada hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum jika mahu menyertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari di taman ini. Harga tiket memasuki Taman Rama-Rama adalah RM 29 untuk dewasa dan RM 25 untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun.
Alamat: Taman Rama-Rama & Reptilia, Ayer Keroh, Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-5.30 pm)
Harbour Street Market
Tak tahu nak ke mana pada waktu malam? Jom ke Harbour Street Melaka dan lepak di sini. Banyak gerai makanan dan minuman viral yang ada sehingga ramai yang rambang mata untuk memilihnya. Ada juga peniaga yang menjual pakaian, aksesori dan barang lain.
Apa lagi yang menarik di sini? Menaiki kereta kuda sudah menjadi satu kebiasaan. Di Harbour Street Melaka anda boleh menaiki kereta lembu yang dihias seperti zaman klasik. Bukan itu sahaja, ada juga pertunjukan bunga api istimewa buat pengunjung.
Alamat: Uptown Harbour Street Melaka, Pulau Melaka
Waktu operasi: Jumaat-Ahad (5.00 pm-12.00 pm)
Zoo Melaka
Siapa sangka di Zoo Melaka ada satu tarikan bertaraf dunia. Bukan sekadar zoo biasa, malah pengunjung pasti gemar berada di sini tidak kira umur.Banyak tarikan yang ada di kawasan zoo yang sangat luas ini!
Harimau, kuda belang,ular dan banyak lagi haiwan lain menanti anda. Ada yang jinak sehinggakan pengunjung boleh mendekati, memegang dan memberi makan. Untuk pengetahuan anda, pada hujung minggu anda boleh datang ke sini pada waktu malam!
Hanya di Zoo Melaka pengunjung boleh melihat lebih 100 spesis dinasour berlainan saiz dan bentuk di Dinasour Encounter. Kalau ada yang tidak tahu, Dinasour Encounter merupakan taman Dinasour terbesar di Asia. Bukan sekadar replika yang pegun, tetapi ianya dinasour interaktif yang mampu bergerak dan mengeluarkan bunyi.
Alamat: Jalan Tun Abdul Razak, Hang Tuah Jaya, 75450 Ayer Keroh, Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-6.00 pm) & Night Zoo-Jumaat&Sabtu (7.30 pm-11.30 pm)
Supreme Kingdom Fun Park
Ada yang mencari Indoor Playground sekitar Melaka? Jom ke Taman Teknologi Cheng dimana terdapat taman permainan indoor terbesar di Melaka. Kawasan taman permainan ini sangat luas hingga mampu menampung 600 pengunjung dalam satu masa.
Bukan sahaja kanak-kanak bermain dengan riang, malah ibu-bapa dan penjaga turut boleh sertai mereka untuk melakukan aktiviti bersama. Banyak gelongsor, trampoline, cabaran halangan dan lain-lain. Jangan risau, ada dua bahagian permainan mengikut umur anak-anak.
Alamat: Lot 19396, Level 1, Jalan Ttc 26, Taman Teknologi Cheng, 75250 Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)
Firefly Park Garden
Digelar Taman Cahaya, Firefly Park Garden ini berada di Dataran Sejarah Ayer Keroh. Taman keliip-kelip ini sesuai untuk dijadikan port lepak atau port santai pada waktu waktu.
Perkara yang harus anda lakukan di sini semestinya bergambar kerana setiap latar sangat insta-worthy! Penuh cahaya berwarna-warni menampakkan dataran ini meriah pada waktu malam. Nak beriadah juga selamat dan selesa tau!
Alamat: Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-12.00 pm)
Memang best tempat viral di Melaka ini. Banyak tempat yang baru dibuka sempena tahun melawat Melaka. Jadi pengunjung memang tidak akan bosan bercuti di Melaka walaupun pernah berkali-kali bercuti di negeri ini.
Harga tiket juga berbaloi untuk setiap tempat. Rata-rata tarikan memang susah untuk dijumpai di tempat lain. Segala tarikan juga mempunyai sejarah, dikaitkan dengan seni dan budaya Melaka dan ada juga untuk rekreasi dan hiburan.
Jom masukkan tempat ini dalam senarai tempat menarik Melaka yang perlu anda kunjungi. Selamat bercuti!
Kami juga ada menulis artikel lain tentang tempat menarik di Melaka seperti keistimewaan Kota A’Famosa, Melaka Western Food dan tempat menarik di Melaka untuk kanak-kanak.