13 Tempat Popular Di Kuala Lumpur Yang Menarik Untuk Anda Lawati
Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia. Oleh itu, sebagai ibu negara, pastilah wilayah ini sering menjadi tumpuan. Maka, haruslah kawasan kota raya ini dibangunkan dengan tempat-tempat menarik yang mendorong pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang berkunjung. Nak tahu tempat yang best untuk dilawati di Kuala Lumpur? Jom kita tengok.
1) Masjid Wilayah
Reka bentuk masjid ini diinspirasikan daripada Masjid Biru yang terletak di Istanbul dengan gabungan seni bina Turki dan Melayu. Masjid ini memiliki ruang solat yang sangat besar sehingga mampu menampung dalam 15,000 jemaah pada satu-satu masa.
Senibina masjid ini sangat cantik. Malah motif ukiran di kubah masjid ini turut menyerlahkan lagi keindahan senibina masjid ini. Jika anda datang ke Kuala Lumpur, singgah di masjid ini. Selain solat, anda juga perlu melihat sendiri kecantikan masjid ini dengan mata anda sendiri.
Lokasi: Masjid Wilayah, 50480 Jalan Duta, Kuala Lumpur
2) Taman Tasik Titiwangsa
Taman tasik antara taman rekreasi yang terkenal dan meriah dalam kalangan warga kota Kuala Lumpur. Di sini terdapat beberapa buah tasik yang luas di tengah-tengah taman. Di tasik ini anda boleh melakukan aktiviti menarik seperti menaiki paddle boat dan bermain Unexs waterball. Selain itu, tasik ini turut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, laluan joging, trek kereta kawalan jauh dan kemudahan menunggang kuda.
Pada hujung minggu, terutama pada waktu petang, Taman Tasik Titiwangsa ini memang sangat meriah. Sambil duduk bersantai, anda juga boleh membeli makanan yang dijual di kedai dalam taman ini.
Lokasi: Tasik Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur
3) Taman Botani Perdana
Taman Botani Perdana atau lebih dikenali dengan nama lamanya, Taman Tasik Perdana merupakan taman tertua dan paling popular di Kuala Lumpur. Ia terletak di pinggir bandar dan pernah menjadi kawasan penempatan rumah mewah golongan kaya British sewaktu zaman penjajahan.
Hari ini, dengan kawasan berbukit dan laluan denai yang disediakan, ia menjadi kawasan riadah bagi mereka yang datang untuk berjoging atau bersenam di waktu pagi. Tarikan utama di taman ini ialah tasik yang dikelilingi oleh pohon-pohon hijau di tanah seluas 92 hektar (227 ekar) yang memberikan suasana segar.
Terdapat banyak tempat menarik di Taman Botani ini seperti Taman Burung, Taman Rama-Rama, Taman Rusa dan Taman Orkid. Sambil anda beriadah bersama keluarga di hujung minggu, anda juga boleh bawa anak-anak anda untuk melihat burung, rama-rama, rusa dan bunga-bungaan orkid yang berwarna-warni. Taman Botani Perdana ini memang sangat luas dan cantik. Itulah sebabnya, ramai juga yang buat sesi fotografi di sini.
Berdekatan dengan Taman Botani ini juga terdapat tempat-tempat lain yang menarik untuk anda kunjungi seperti Planetarium, Tugu Negara, Muzium Kesenian Islam dan Masjid Negara. Kalau susah nak cari parkir, anda boleh sahaja menaiki bas awam yang disediakan di sini untuk ke tempat-tempat menarik di sekitar kawasan Taman Botani ini.
Lokasi: Jalan Kebun Bunga, Tasik Perdana, 55100 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Percuma
4) Muzium Kesenian Islam
Muzium Kesenian Islam menempatkan lebih 7000 bahan artifak tentang sejarah kesenian Islam. Terdapat koleksi al-Quran lama, replika masjid-masjid popular di seluruh dunia dan juga koleksi senjata perang yang pernah digunakan semasa era pemerintahan Islam dahulu.
Senibina rekaan bangunan ini sangat cantik dengan seni ukiran Islam. Bangunannya yang berwarna putih melambangkan kesucian agama Islam itu sendiri. Muzium ini memang menjadi tarikan pelancong asing memandangkan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang harmoni.
Selain itu, di muzium ini juga terdapat perpustakaan kanak-kanak yang menempatkan koleksi buku menarik. Malah, setiap hari Sabtu dan Ahad, pihak perpustakaan akan menganjurkan sesi kraf untuk anak-anak mengikut tema-tema yang telah ditetapkan.
Lokasi: Islamic Art Museum Malaysia, Jalan Lembah Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Malaysia
Waktu Operasi: Setiap hari (9.30pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM14 | Kanak-kanak RM7
5) Planetarium
Lokasi Planetarium Negara ini terletak berdekatan dengan Taman Botani Perdana. Rekabentuk bangunan ini yang begitu unik sekali hasil gabungan seni bina Islam dan futuristik.
Antara tarikan utama di sini adalah persembahan video di space theater yang terletak di bahagian kubah bangunan ini. Setiap tayangan bermula pada jam 10.00pagi hingga 4.00petang. Antara tayangan yang dipersembahkan adalah The Accidental Astronaut, Journey To A Billion Suns, Solar Storm dan sebagainya. Tayangan ini pasti mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya.
Selain daripada itu, terdapat galeri sains angkasa yang mempamerkan enjin Arianne IV yang digunakan untuk melancarkan MEASAT 1. Kemasukan untuk ke galeri sains ini adalah percuma. Jika anda ke dek pemerhatian, terdapat teleskop yang bersaiz 14 inci. Sangat menarik untuk dilawati bersama keluarga untuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan saintifik berkaitan angkasa.
Lokasi: Planetarium Negara, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, 53, Jalan Perdana, 50480 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.00am – 4.30pm)
Harga Tiket (Tayangan Planetarium): Dewasa RM6 | Kanak-kanak RM4
6) Pusat Sains Negara
Pusat Sains Negara ini dibuka pada tahun 1996 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Sebelum ini, usat Sains Negara pernah ditutup untuk suatu tempoh kerana diubahsuai. Setelah ia dibuka semula, bangunan Pusat Sains Negara ini semakin cantik dan menarik untuk dilawati.
Pameran sains di sini dibahagikan kepada beberapa bahagian berbeza mengikut tema. Konsep yang digunakan di Pusat Sains Negara adalah untuk menghubungkan penemuan saintifik dengan alam sekitar, nilai-nilai agama, ilmu dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan aplikasinya dalam kehidupan seharian manusia. Bagi anda yang tak begitu meminati subjek sains pun pasti akan teruja dengan cara-cara info sains dan teknologi disampaikan kepada pelawat di pusat sains ini yang penuh dengan kreativiti.
Jangan lupa bawa baju lebih sekiranya anda ke sini bawa anak-anak. Ini kerana, di bahagian luar bangunan ini juga terdapat kolam untuk anak-anak bermandi-manda. Anak-anak pasti sangat seronok untuk meneroka pelbagai perkara menarik di Pusat Sains Negara.
Lokasi: National Science Centre, Ministry of Science, Technology and Innovation, Persiaran Bukit Kiara, 50662 Bukit Kiara, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00pagi – 5.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM6 | Kanak-kanak RM3
7) Berjaya Times Square
Berjaya Times Square adalah antara shopping mall yang besar di Malaysia. Ia bukan setakat ada lot-lot kedai untuk anda shopping barang-barang berjenama, tetapi yang lebih menarik adanya taman tema indoor di sini.
Taman tema indoor di Berjaya Times Square ini terletak di tingkat 5 dan 7. Tarikan paling mengujakan di taman tema ini adalah Supersonic Odyssey iaitu permainan roller coaster yang berliku-liku dengan kelajuan 80km/jam. Bagi anda atau anak-anak yang inginkan permainan yang santai-santai juga ada di sini seperti di Fantasy Garden.
Dah puas berseronok di taman tema, dah syok bershopping, bolehlah berehat di hotel Berjaya Times Square yang berada di bangunan yang sama.
Lokasi: Berjaya Time Square, No. 1, Jalan Imbi, 55100 Kuala Lumpur
8) Kuala Lumpur City Centre (KLCC)
Kuala Lumpur City Centre atau biasa dipanggil sebagai KLCC ini adalah menara berkembar milik Petronas. Selain daripada menjadi bangunan pejabat, banyak tarikan lain yang best-best terdapat di sekitar KLCC. Di bahagian bawah bangunan ini terdapat shopping mall Suria KLCC untuk anda shopping sambil cuci mata melihat barangan berjenama di sini.
Selain itu, di tingkat 4 bangunan ini terdapat Petrosains iaitu sebuah muzium interaktif yang canggih. Di Petrosains, anda boleh pegang, sentuh dan main kebanyakan bahan pameran. Dari tempat kendalian pelantar minyak, simulator helikopter hinggalah duduk di dalam kokpit kereta perlumbaan Formula 1. Semunya anda boleh buat di bawah satu bumbung. Harga tiket masuk untuk ke Petrosains adalah RM18.50 bagi dewasa dan RM7.50 bagi kanak-kanak.
Selain itu, di KLCC juga terdapat Aquaria iaitu akuarium besar yang menempatkan hidupan marin untuk dipertontonkan kepada para pengunjung. Jika anda mempunyai lesen menyelam skuba, anda juga boleh menyelam di sini untuk aktiviti Dive with Shark. Memang ada ikan jerung betul-betul tau di sini. Ha? Ada berani ke? Harga tiket masuk ke Aquaria ialah RM49 untuk dewasa, dan RM39 untuk kanak-kanak.
Nakkan aktiviti yang lebih rare? Ada juga, iaitu Sky Bridge KLCC. Jika anda perhatikan bangunan KLCC ini ada sebuah jambatan yang menghubungkan antara kedua-dua bangunan menara. Jambatan ini terletak di tingkat 41 & 42. Anda boleh dapatkan tiket secara online untuk merasai pengalaman melintasi jambatan di KLCC ini. Bukan senang nak dapat pengalaman best macam ni kan. Jadi, jangan lepaskan peluang yang ada.
Selain itu di bahagian luar bangunan KLCC terdapat taman yang dihiasi dengan lankap yang cantik. Malah ada juga kolam mandi awam yang dibuka untuk anak-anak. Percuma sahaja. Cuma kedalaman air di kolam ini cetek sahaja, memang ia dibina untuk kanak-kanak. Masjid KLCC juga ada di sini. Senang kata, memang banyak kemudahan dan aktiviti yang best boleh dilakukan di KLCC.
Lokasi: Petronas Twin Tower, Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur
9) Menara Kuala Lumpur
Menara Kuala Lumpur adalah salah satu mercu tanda bagi negara kita Malaysia. Jika dahulu, sewaktu awal pembukaan menara tertinggi di Malaysia ini tarikannya adalah pada menara tersebut, tetapi sudah banyak tempat menarik dan aktiviti yang best-best anda boleh lakukan di sini.
Terdapat beberapa jenis tempat pemerhati yang tersedia di Menara Kuala Lumpur. Ada Skybox atau pun Observation Deck yang biasa. Jika di dek pemerhati, anda akan melihat panorama sekitar Kuala Lumpur melalui teropong yang disediakan, tetapi di Skybox, anda akan rasai sendiri pengalaman berdiri di atas kaca transparen yang membolehkan anda menikmati pemandangan seluruh Bandar Kuala Lumpur dari ketinggian yang sukar dibayangkan.
Zon F1 Simulator pula memberi anda peluang untuk anda merasai pengalaman sebagai pelumba kereta F1. Manakala, Blue Coral membolehkan anda melihat pelbagai hidupan laut eksotik, berwarna-warni dan pelbagai saiz berenang-renang di Akuarium Blue Coral Menara KL. Anda boleh kenal pelbagai jenis ikan dan hidupan lain seperti Cardinalfish Spotted, Percula Clownfish, Skunk Crownfish, Baby White Tip Reef Sharks, Carpet Anemones, Pasir Anemones dan lain-lain.
Nak pengalaman yang lebih rare? Apa kata anda cuba nikmati makanan tengah hari di Restoran Atmosphere 360. Keunikan restoren ini adalah ia boleh berputar 360 darjah yang membolehkan anda makan sambil hayati keindahan bandar Kuala Lumpur dari ketinggian 282 meter.
Selain itu terdapat juga Mini Zoo dan Hutan Rimba Bukit Nanas untuk anda alami keindahan, kesegaran flora dan fauna di tengah bandar Kuala Lumpur yang penuh kemodenan. Malah, terdapat juga Perkampungan Budaya 1Malaysia untuk anda melihat rumah-rumah tradisional dari pelbagai negeri seperti Terengganu, Perak dan Sabah. Replika rumah ini dibangunkan dalam suasana kampung berhampiran menara.
Lokasi: Menara Kuala Lumpur, Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur
10) Dataran Merdeka
Dataran Merdeka adalah sebuah kawasan bersejarah bagi Tanah Melayu kerana di padang inilah, kalimah keramat ‘Merdeka’ dilaungkan sebagi tanda Tanah Melayu telah bebas dari penjajahan British. Nama asal dataran ini adalah Padang Kelab Selangor. Namun setelah merdeka, iaitu pada 31 Ogos 1957, padang ini telah ditukar nama sebagai Dataran Merdeka.
Di sinilah Union Flag telah diturunkan iaitu tepat pada pukul 12 tengah malam, 31 Ogos, sebagai simbol kebebasan negara daripada penjajahan. Untuk pengetahuan anda, tiang bendera yang mengibarkan jalur gemilang di sini merupakan yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 95 meter.
Bawalah anak-anak anda datang ke sini agar mereka dapat tahu sejarah kemerdekaan Tanah Melayu iaitu negara kita Malaysia. Sambil menyelami dan memupuk semangat patriotik, anda juga boleh bersantai-santai bersama keluarga di padang ini sambil menikmati keindahan pusat bandar Kuala Lumpur.
Lokasi: Dataran Merdeka, 57000 Kuala Lumpur
11) Istana Budaya
Istana Budaya adalah sebuah teater utama Malaysia untuk persembahan seni dan teater dari dalam dan luar negara termasuk teater muzikal, opera, seni tari dan juga persembahan orchestra, muzik klasikal dan konsert.
Seni bina bangunan ini sangat unik kerana bersandarkan konsep beberapa aspek kebudayaan Melayu. Jika dilihat dari atas, bangunan Istana Budaya berbentuk seperti wau bulan Kelantan. Bentuk bangunan pula seperti sirih junjung iaitu lambang pemula upacara yang sering digunakan didalam istiadat perkahwinan Melayu dan upacara menyambut tetamu.
Jadi kalau anda berpeluang, bawalah keluarga anda menikmati persembahan berkualiti tinggi di Istana Budaya. Anda boleh melihat jadual persembahan di laman web Istana Budaya.
Lokasi: Jalan Tun Razak, Titiwangsa, 50694 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
12) Pasar Seni
Pasar Seni adalah sebuah ‘pasar’ barangan seni dan kraftangan yang terletak di Pusat Bandar Kuala Lumpur. Walaupun namanya pasar, tetapi ia bukanlah seperti pasar malam mahupun pasar tani. Ia adalah sebuah bangunan yang berpenghawa dingin agar anda dapat membeli-belah dalam keadaan yang selesa sekali. Kalau dah penat membeli-belah, anda boleh ke tingkat satu Pasar Seni ini untuk makan di gerai-gerai yang terdapat di sini. Lepas makan, kalau anda nak cuba mencanting batik pun boleh di sini.
Lokasi: Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur 50050
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00pagi – 9.30petang)
13) Muzium Negara
Nak tahu tentang sejarah negara Malaysia? Inilah dia tempat yang ideal untuk mengetahui tentang sejarah Malaysia dari zaman Kesultanan Melaka sehingga zaman penjajahan British dan Jepun.
Tempat ini bukan sahaja ada mempamerkan barangan lama, tetapi juga orang lama. Antara artifak paling penting di Muzium Negara ialah rangka lengkap manusia tertua yang pernah ditemui di Malaysia. Namanya Perak Man. Anggaran umur rangka tersebut adalah 10,000-11,000 tahun.
Selain rangka manusia paling tua pernah dijumpai di Malaysia, ada juga senjata perang, pasu-pasu porselin dan barangan dari kapal karam yang ditemui di sekitar lautan Malaysia.
Lokasi: Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Damansara, Tasik Perdana, 50566 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-kanak RM1
Itulah dia 13 tempat menarik di Kuala Lumpur yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Kuala Lumpur. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Cyberjaya dan Tempat Makan Romantik Di KL.