10 Tempat Menarik Di Kuala Selangor Yang Pasti Mengagumkan Anda. Bukit Melawati Tempat Epik Perlu Dilawati.
Ada plan bercuti tetapi tidak tahu ke mana? 10 tempat menarik di Kuala Selangor ini mungkin membantu anda.
Kuala Selangor merupakan salah satu daerah yang terdapat di Negeri Selangor. Jarak antara Kuala Selangor dari Kuala Lumpur anggaran 50km. Namun, dengan adanya kemudahan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), perjalanan ke Kuala Selangor tidaklah terasa lama dan keadaan jalannya juga selesa.
Jadi, jika anda ingin membawa anak-anak bersiar-siar sekitar Selangor, tetapi inginkan suasana kampung dan aktiviti yang lebih mesra alam semulajadi serta bertemakan sejarah, Kuala Selangor adalah destinasi yang sesuai buat anda sekeluarga. 10 tempat menarik di Kuala Selangor yang anda boleh kunjungi bersama keluarga adalah:
1) Bukit Melawati
Bukit Melawati suatu tempat yang menyimpan sejarah bagi Negeri Selangor. Untuk makluman anda, dahulu bukit ini pernah dijadikan benteng pertahanan daripada serangan musuh oleh pemerintah zamna dahulu dan juga pusat pentadbiran kerajaan.
Mengikut sejarah yang dikogsikan, Bukit Malawati ini pernah ditakluki oleh Belanda dari tangan Sultan Ibrahim (Julai 1784). Walau bagaimanapun, tidak lama iaitu sekitar setahun kemudian pada 28 Januari 1785, Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato’ Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang, telah berjaya menawan semua dan mengusir Belanda dalam tempoh satu malam sahaja. Begitulah sejarah kita.
Serangan itu dikatakan bermula selepas waktu Isyak dan seterusnya berjaya ditawan sebelum fasar Subuh. Untuk makluman tambahan, Bukit Malawati terdapat beberapa buah rumah pegawai-pegawai tinggi kerajaan, sebuah rumah rehat, rumah api dan kesan-kesan sejarah boleh anda lihat.
Terdapat banyak tarikan yang terdapat di sekitar Bukit Melawati, antaranya:
Batu Hampar
Batu Hampar terletak pada bahagian pintu masuk Kota Melawati. Katanya, pada suatu ketika dahulu, Sultan Selangor telah menggunakan batu ini sebagai tempat untuk menjatuhkan hukuman pancung kepada pesalah. Tetapi, ada yang menyatakan batu tersebut hanya digunakan sekali sahaja untuk tujuan ini, iaitu ketika menjatuhkan hukuman kepada seorang gadis istana yang dikatakan telah melakukan perbuatan yang tidak elok.
Walaupun kisah Batu Hampar agak menyeramkan, namun, ia kini hanya menjadi satu sejarah yang dipamerkan kepada orang awam malah lebih menarik, ramai pasangan perkahwinan yang menjalankan sesi fotografi di sini.
Tangga Seratus
Jika anda berjalan kaki, anda boleh memanjat Tangga Seratus. Mesti anda dapat teka kenapa dinamakan sebagai Tangga Seratus kan? Ya, sebabnya adalah kerana bilangan anak tangganya dengan jumlah yang sama. Tangga daripada batu granit ini perlu anda lalui untuk mendaki Bukit Melawati dan terus menuju ke pintu kota istana Melawati. Pada era yang lampau, bahagian bawah tangga ini menempatkan Pangkalan Batu Buruk yang merupakan tempat pelabuhan kapal, sampan dan perahu.
Makam Sultan
Makam Sultan yang terdapat di Bukit Melawati adalah Makam Diraja Selangor yang terdiri daripada tiga makam Sultan Selangor iaitu Sultan Selangor Pertama, Sultan Salahuddin (1742-1778), Sultan Selangor Kedua, Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Selangor Ketiga, Sultan Mahmud (1826-1857).
Pusara Panglima Hitam
Di sini juga terdapat pusara seorang panglima di Istana Selangor. Dipanggil Panglima Hitam kerana berkulit gelap, selain sering memakai tengkolok, baju dan seluar berwarna hitam. Dia adalah seorang pegawai istana dan dihormati rakyat ketika itu. Ia juga dianggap simbol kehebatan dan `semangat’ orang Melayu, selain taat kepada sultan.
Telaga Tujuh
‘Telaga tujuh’ bukan ada di Langkawi sahaja, tetapi juga di Bukit Melawati. Ia asalnya sebuah telaga yang mempunyai tujuh mata air yang tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau. Bagaimanapun, kini hanya tinggal beberapa buah kerana yang lain sudah tertimbus. Sebelum ini, ada segelintir masyarakat menggunakan air telaga ini untuk membayar niat.
Perigi Beracun
Perigi ini dijadikan tempat penyeksaan kepada penderhaka. Air perigi ini dikatakan berisi racun, iaitu hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Airnya diisi hingga ke paras dagu penderhaka sahaja.
Rumah Api Kuala Selangor
Di atas Bukit Malawati, anda akan dapa melihat Rumah Api Kuala Selangor. Ia merupakan sebuah menara yang berketinggian 83 meter yang terletak pada puncak bukit yang berketinggian 27 meter dari paras laut. Rumah Api Kuala Selangor ini telah dibina oleh pihak penjajah British pada tahun 1907 dan mula berfungsi pada tahun 1910.
Untuk pengetahuan anda, rumah api ini pada awalnya diberikan nama sebagai Rumah Api Altingsburg iaitu sempena nama gabenor Belanda yang menguruskan hal ehwal sekitar kawasan ini. Rumah api ini pada ketika itu berfungsi untuk memberi isyarat kepada kapal yang melalui muara sungai agar mengawasi pergerakan mereka daripada kapal lain yang keluar.
Meriam
Berdasarkan sejarah, terdapat 102 meriam milik kerajaan Selangor ketika itu, tetapi sebanyak 68 buah dirampas oleh Belanda. Kemudian, sebahagian daripada meriam itu sempat dibawa lari oleh Sultan Ibrahim ke Bukit Raja, Permatang. Atas sebab itu, ketika ini hanya tinggal beberapa buah meriam di atas Bukit Malawati. Meriam ini dikatakan adalah meriam buatan tangan orang Melayu, malah reka bentuknya ada persamaan dengan meriam `Tok Bedil’ yang terdapat di tebing Sungai Kelantan dan Kampung Sungai Pinang, Kelantan.
Busut Malawati
Terletak kira-kira 200 kaki di hadapan pintu kota. Terdapat Pohon Sena yang kini berusia kira-kira 200 tahun. Kemuncaknya rata kira-kira 20 kaki persegi membolehkan Sultan Selangor pada zaman dahulu bersemayam untuk berehat dan menyaksikan ayam bersabung.
Tempat Melihat Anak Bulan
Bangunan ringkas berkisi-kisi ini dibina khas bagi melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh permulaan berpuasa di bulan Ramadhan, Hari Raya Syawal dan Raya Haji.
Tidak lengkap jika anda ke Kuala Selangor tanpa melawat Bukit Melawati yang menyimpan 1001 khazanah dan sejarah negeri Selangor. Terdapat kemudahan yang disediakan di sini seperti tempat meletak kereta, ruang untuk bersantai, tandas awam dan perkhidmatan trem (pada hujung minggu dan cuti am sahaja).
Lokasi: Bukit Malawati, 45000 Kuala Selangor
Harga Tiket: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM2
Waktu Operasi: Sabtu, Ahad & Cuti Umum (9.00pagi – 6.00petang)
2) Muzium Daerah Kuala Selangor
Di puncak Bukit Melawati terletaknya Muzium Daerah Kuala Selangor iaitu sebuah lagi lokasi yang menarik dilawati untuk membongkar dengan lebih mendalam mengenai sejarah Kuala Selangor. Bangunan muzium ini pada asalnya merupakan kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor.
Muzium ini memiliki ruang pameran yang terbahagi kepada 7 seksyen yang berbeza yang menyampaikan info mengikut kronologi sejarah Kuala Selangor. Kesemua seksyen ini menerangkan fakta yang berbeza seperti:
Seksyen 1: Penerangan mengenai daerah-daerah serta kepelbagaian etnik yang ada di Selangor.
Seksyen 2: Asal-usul negeri Selangor dan info mengenai penduduk awal negeri ini.
Seksyen 3: Perkembangan Selangor.
Seksyen 4: Sejarah pengasasan Kesultanan Selangor dan salasilah keturunan Sultan.
Seksyen 5: Pameran koleksi peralatan pembesar istana serta info mengenai dua daerah tertua di Kuala Selangor.
Seksyen 6: Sejarah Kuala Selangor sebagai kota pertahanan.
Seksyen 7: Peninggalan sejarah yang terdapat di Bukit Melawati.
Pameran di muzium ini cukup interaktif dan menarik untuk dilihat kerana menggabungkan teknik-teknik yang berbeza seperti info kiosk, audio visual dan diorama.
Selepas anda melawat ke muzium ini, bolehlah bergambar di hadapan muzium ini berlatar belakangkan Rumah Api Kuala Selangor serta Meriam-meriam yang terdapat di halaman depan Muzium Daerah Kuala Selangor.
Lokasi: Kuala Selangor District Historical Museum, No 1, Puncak Bukit Melawati, 45000 Kuala Selangor
Waktu Operasi: Sabtu, Ahad & Cuti Umum (9.00pagi – 6.00petang)
3) Taman Ikan Air Tawar
Selepas anda berkunjung dan melihat segala khazanah dan tinggalan sejarah di Bukit Melawati, anda boleh melawat ke Taman Ikan Air Tawar yang terletak berhampiran Bukit Melawati. Terdapat lebih daripada 1500 ekor ikan kesemuanya di sini yang terdiri lebih daripada 60 spesies.
Antara jenis ikan yang dapat ditemui di sini adalah ikan keli, ikan belida, ikan kelah, ikan toman, ikan lampan, ikan kelisa dan banyak lagi. Di samping ini semua, anda sekeluarga juga dapat mengetahui pelbagai info menarik yang lain berkaitan ikan air tawar dan sejarahnya.
Turut dipamerkan di sini adalah pelbagai peralatan menangkap ikan yang digunakan para nelayan seperti raga batang, bubu daun, bubu saadah, raga tok dan lain-lain lagi. Taman yang berkeluasan 5 ekar ini terletak hanyalah 5 minit dari Bukit Melawati dengan menaiki trem yang disediakan.
Lokasi: Majlis Daerah Kuala Selangor, Jalan Semarak
Harga Tiket: Dewasa RM2.10 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) RM1.10
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00pagi – 5.00petang) | Sabtu, Ahad & Cuti Umum (9.00pagi – 6.00petang)
4) Taman Alam Kuala Selangor
Taman Alam Kuala Selangor adalah sebuah hutan paya bakau yang cukup menyeronokkan untuk diteroka. Taman ini menyediakan laluan berkepanjangan 3.6 km untuk anda selusuri sambil menjamu mata dengan alam semulajadi yang menghijau.
Bagi peminat aktiviti memerhatikan burung, taman ini turut menyediakan menara tinjau untuk memudahkan anda melakukan aktiviti ini sepuas hati di samping melihat keindahan kawasan paya nipah yang berbentuk seperti hati ini.
Antara spesies burung yang boleh dilihat di sini adalah burung pekaka, ketitir, serandau, helang bahu hitam, burung bakau, dan banyak lagi. Jenis-jenis burung yang berhijrah ke sini dari luar pada setiap tahun pula adalah warbler, arctic shrike, reat eagle, purple heron dan macam-macam lagi. Dikatakan 50 daripada 150 spesies burung yang terdapat di sini datang daripada kawasan seperti Rusia dan Siberia.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah mengutip siput, melihat monyet, kera dan lotong serta memerhatikan burung-burung yang diancam kepupusan di dalam sangkar besi bersaiz gergasi yang terdapat di sini.
Lokasi: Taman Alam Kuala Selangor, Jalan Klinik, 45000 Kuala Selangor
5) Pantai Remis
Walaupun Negeri Selangor tidak terkenal dengan pantai seperti di negeri-negeri Pantai Timur, tetapi Negeri Selangor tetap ada pantainya tersendiri. Di sini anda boleh bersantai bersama keluarga di bawah pokok-pokok Rhu ataupun pada bangku-bangku yang tersedia di sepanjang pantai ini.
Sambil berehat-rehat di sini, anda boleh merasai makanan yang yang banyak di jual di gerai-gerai yang terdapat di sekitar, contohnya seperti sotong, kerang rebus, ikan bakar, mee jawa dan banyak lagi. Anak-anak pula boleh menggunakan waktu yang ada dengan bermain layang-layang sepuas hati kerana di sini juga terdapat beberapa peniaga yang menjual layang-layang yang penuh warna-warni.
Terdapat kemudahan yang tersedia di sini seperti surau, tempat meletak kereta yang luas, bilik mandi, tandas dan medan selera.
Lokasi: Jalan Pantai Remis, Jeram, 45800 Jeram, Selangor
6) Bukit Belanda
Ia juga pernah dikenali sebagai Kota Utrecht pada zaman penjajahan Belanda, sempena nama bahtera Belanda yang digunakan oleh Van Brac, ketua Syarikat Hindia Timur Belanda yang telah berjaya menjatuhkan Raja Hadi di Teluk Ketapang.
Bukit yang berketinggian 420 meter ini telah dijadikan sebagai Kubu Pertahanan yang pertama sewaktu penjajahan mereka. Di bukit ini juga terdapat sebatang pokok yang besar yang telah digunakan oleh pihak Belanda sebagai menara tinjau untuk mengesan sebarang pergerakan musuh.
Lokasi: Bukit Tanjung Keramat
7) Sky Mirror
Sky Mirror merupakan antara tarikan terbaru di Kuala Selangor. Sky Mirror di Kuala Selangor ini diberi gelaran Salar De Uyuni Malaysi. Siapa sangka ‘Pulau Misteri’ ini seolah-olah penemuan baru sebagai pelancongan menarik di Kuala Selangor. Bagi peminat fotografi, anda tak perlu lagi habiskan duit travel ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan seni foto Salar de Uyuni iaitu sebuah tanah lapang berupa garam rata yang luas yang terletak di Bolivia.
Fenomena Salar de Uyuni di Pantai Sasaran ini tidak selalu berlaku kerana ia sebenarnya sebuah kawasan pantai. Ianya hanya terjadi 6 hari pada setiap bulan mengikut kalendar lunar masyarakat Cina iaitu pada pertama, ke-2, 14, 15, 16 dan 30. Kalau anda tak pasti berapa haribulan mengikut kalendar Masihi, boleh buat rujukan di Google. Waktu berlaku air surut ini antara pukul 10.30 – 11.00 pagi. Untuk datang ke sini, anda perlu naik bot lebih kurang 30 minit dari Jeti Sasaran, Kuala Selangor.
Bagi yang nak datang menyaksikan sendiri keindahan panorama Salar de Uyuni versi Malaysia, pastikan anda bawa bekalan makanan seperti roti dan air mineral. Tandas juga agak sukar didapati di kawasan pantai seperti ini. Di kawasan perkampungan nelayan pula agak susah untuk cari restoran makanan Melayu. Mungkin anda terpaksa tangguhkan seketika waktu makan tengah hari anda.
Lokasi: Pantai Sasaran, Jeti Pekan Lama Kuala Selangor
Harga Tiket: Dewasa RM150 | Kanak-kanak RM130
Waktu Operasi: 6 Hari Pada Setiap Bulan Dalam Kalendar Cina (pada hari ke-1, 2, 14, 15, 16 dan 30)
8) Eagle Feeding
Antara aktiviti mencabar lain yang boleh dilakukan di Kuala Selangor adalah Eagle Feeding di Pasir Penambang. Di sini anda boleh membeli tiket yang dijual di jeti untuk menaiki bot menuju ke kawasan yang menjadi tempat burung helang berterbangan bebas di tengah sungai.
Di tengah sungai nanti, anda dapat melihat burung-burung ini menyentap makan yang terdapat di dalam sungai. Jangan lupa untuk membawa kamera dan merakam aksi yang rare untuk ditemui di tempat lain ni.
Lokasi: No 1. Jalan Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang, 45000 Kuala Selangor
Harga Tiket: Dewasa RM25 | Kanak-kanak RM15
Waktu Operasi: 4.00petang – 6.30petang
9) Pasar Basah
Pasar Basah Pasir Penambang, Kuala Selangor adalah pasar yang sering dikunjungi oleh penduduk yang berada di luar Kuala Selangor. Sesetengah warga Kota di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pasti akan ke sini sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk memenuhkan peti ais di rumah. Di sinilah anda dapat membeli dengan sebanyak mana pelbagai hasil laut yang segarnya bukan kepalang, dan murahnya juga bukan main.
Alang-alang dah datang ke sini dari jauh, bawalah cooler box yang besar untuk memuatkan hasil ‘tangkapan’ hidupan laut anda dari pasar basah ini.
Lokasi: Pasir Penambang, Kuala Selangor
10) Kelip-Kelip Kg. Kuantan
Tempat kelip-keli pun nak lawat ke? Eh, mestilah. Inilah yang dinamakan, anda ‘membeli’ pengalaman. Bukan semua tempat ada ‘perkampungan’ kelip-kelip. Hanya ada beberapa tempat sahaja di Malaysia ini yang dijadikan tempat untuk melihat kelip-kelip pada waktu malam. Jadi patut berada dalam senarai anda sebagai tempat menarik di Kuala Selangor.
Apabila anda ke sini, anda seolah-olah berada di dunia fantasi yang mana malam anda yang gelap gelita hanya ditemani sinaran cahaya dari haiwan yang bergelar kelip-kelip atau kunang-kunang ini. Ia seolah-olah berada di angkasa yang dipenuhi dengan bintang. Walaupun bukanlah bintang sebenar tetapi cahaya kecil yang dihasilkan oleh kelip-kelip ini tidak ubah seperti cahaya bintang yang jauh dari mata.
Pengalaman melihat Kelip-Kelip Kg. Kuantan ini sungguh mengujakan tapi tidak bermakna anda boleh bergambar kerana takut nanti menyorok pula si kelip-kelip disebabkan cahaya ‘seram’ flash anda.
Tahukah anda? Sebenarnya, cahaya yang dilihat pada badan kelip-kelip ini terhasil daripada cecair nektar pokok Berembang yang merupakan tempat pembiakan serangga yang mengujakan ini. Namun sedihnya, kelip-kelip dikatakan makin diancam oleh kepupusan, oleh sebab itu, masyarakat tempatan tidak memasang lampu di kawasan sekitar pembiakannya.
Lokasi: Kampung Kuantan, 45000 Batang Berjuntai
Harga Tiket: Dewasa RM4 | Kanak-kanak & Warga Emas RM2
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.45petang– 10.30malam)
Itulah dia 10 tempat menarik di Kuala Selangor yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Kuala Selangor. Jemput juga baca artikel tempat hiking di Perak , Bangi Wonderland dan tempat menarik di Port Dickson.
2 Comments