Gion
|

18 Tempat Menarik Di Jepun Yang Perlu Anda Lawati.

Jepun sangat terkenal dengan bangsanya yang tinggi disiplin. Macam-macam khabar kita di Malaysia dengar tentang Jepun. Negaranya yang bersih, rakyatnya yang berjalan laju dan sangat tepati masa, serta cerita-cerita tentang kemajuan negara Jepun. Sehinggakan, Tun Dr. Mahathir cuba menjadikan negara Jepun sebagai role model seperti termaktub dalam Dasar Pandang Ke Timur.

Bila dah ada peluang untuk melancong ke Jepun, haruslah dimanfaatkan setiap masa yang ada di sana untuk jelajah serta terokai tempat-tempat menarik di Jepun, disamping melihat dan belajar tentang adat budaya masyarakat Jepun.

 

1) DisneyLand & DisneySea

DisneyLand & DisneySea
Imej via tripzilla

Taman tema Disney bukan ada di semua negara. Jadi, bila bercuti ke negara yang ad ataman tema Disney, haruslah luangkan masa bersama keluarga di taman tema ini. Tapi, hebatnya di Tokyo, Jepun, taman tema Disney bukan setakat ada 1, tetapi 2, iaitu Tokyo Disneyland & DisneySEA yang terletak di dalam Tokyo’s Disney Resort.

Satu-satunya persamaan yang ada pada kedua-dua taman tema ini adalah kepadatan mereka dengan rides-rides yang best, sesuai untuk kanak-kanak, juga orang dewasa. Permainan yang mencabar pun ada tau!

Untuk Disneyland, salah satu tarikan yang paling best sekali adalah Big Thunder Mountain, di mana anda dapat merasakan pengalaman menaiki roller coaster melalui pekan kecil di negara barat, gua-gua dan banyak lagi laluan yang mendebarkan.

Di DisneySea pula antara yang paling best adalah Toy Story Mania, yang mana anda akan dibawa melalui stesen-stesen berbeza untuk menembak target-target tertentu.

 

Lokasi: Tokyo Disneyland: 1-1 Maihama, Urayasu, Chiba Prefecture 279-0031, Japan | DisneySEA: 1-13 Maihama, Urayasu, Chiba Prefecture 279-0031, Japan

Waktu Operasi: Tokyo Disneyland: 8.00 am – 10.00 pm | DisneySEA: 8.30 am – 10.00 pm

 

2) Tokyo Tower

Tokyo Tower
Imej via tripjepun

Selain Tokyo Skytree, Tokyo Tower juga adalah salah satu mercu tanda bagi Tokyo. Ketinggian Menara ini adalah 315 meter (1033 kaki). Struktur Menara Eiffel menjadi sumber ilham menara ini yang dicat oren putih antarabangsa untuk mematuhi peraturan keselamatan udara.

Ia dibina pada tahun 1958, tujuan utama menara ini ialah tarikan pelancongan dan tiang antena. Peralihan televisyen digital yang dirancang Jepun pada Julai 2011 menimbulkan masalah. Bagaimanapun, ketinggian semasa Menara Tokyo tidak cukup tinggi untuk menyokong penyiaran terestrial digital ke kawasan itu. Menara lebih tinggi diperlukan untuk penyiaran digital , yang dikenali sebagai Tokyo Sky Tree, kini telah siap dibina pada 2012.

Pengunjung boleh meninjau dari dua dek pemerhati iaitu pada ketinggian 150 meter (490 kaki), dan ketinggian 250 meter (820 kaki). Dari ketinggi ini, anda dapat melihat dengan sepuas hati pemandangan di sekitar bandar Tokyo. Kalau cuaca baik, anda dapat melihat Gunung Fuji dan juga Tokyo Skytree di kejauhan. Tarikan lain yang terdapat di Tokyo Tower ini adalah taman tema One Piece Tower dan kedai-kedai cenderamata.

 

Lokasi: 4 Chome-2-8 Shibakoen, Minato, Tokyo 105-0011, Japan

Waktu Operasi: Main Deck (150m): 9.00 am – 11.00 pm) | Top Deck Tour (150m & 250 m): 9.00 am – 10.45 pm

Harga Tiket:

Main Deck (150m): Dewasa JPY900 | Kanak-Kanak JPY500 | Kanak-Kanak (4 Tahun & Kebawah) JPY400

Top Deck Tour (150m & 250 m): Dewasa JPY2,800 | Kanak-Kanak JPY1,800 | Kanak-Kanak (4 Tahun & Kebawah) JPY1,200

 

3) Tokyo Skytree

Tokyo Sky Tree
Imej via zulkbo

Tokyo Skytree merupakan salah satu mercu tanda di Tokyo. Pada awal pembinaannya, Tokyo Skytree merupakan bangunan yang tertinggi di Jepun dan kedua tertinggi di dunia, dengan ketinggian 634 meter. Bangunan ini dijadikan sebagai menara komunikasi untuk pelbagai saluran media. Manakala, bahagian bawah bangunan ini digunakan sebagai pusat membeli-belah dan juga akuarium.

Tapi perkara yang paling best sekali untuk dilakukan kalau berpeluang ke menara ini adalah untuk ke dek pemerhatiannya yang berada pada ketinggian 350 dan 450 meter, dengan ketinggian sebegini, bayangkanlah pemandangan yang dapat dinikmati. Anda sekeluarga dapat melihat pemandangan di sekitar Tokyo dengan sepuas hati.

 

Lokasi: 1 Chome-1-2 Oshiage, Sumida, Tokyo 131-0045, Japan

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00 am – 10.00 pm)

Harga Tiket: First observatory: JPY2060 | Second observatory: Tambahan Lagi JPY1030

 

4) Tokyo National Museum

Tokyo National Museum
Imej via japan-guide

Tokyo National Museum adalah muzium tertua dan terbesar di negara Jepun. Pada awalnya, ia dibina di Yushima Seido Shrine pada tahun 1972, namun dipindahkan ke lokasi sekarang beberapa tahun kemudian. Muzium ini menempatkan antara koleksi arkeologi dan seni yang terbaik di Jepun. Secara keseluruhannya, ada 110,000 koleksi yang dimiliki muzium ni, dan 4000 daripadanya dipamerkan pada satu-satu masa.

Tokyo National Museum merupakan kompleks muzium yang terbahagi kepada 6 bangunan berbeza. Bangunan utamanya, Honkan, mempamerkan pelbagai hasil seni Jepun sejak zaman kuno hinggalah ke abad ke-19.

Bangunan Hyokeikan pula adalah bangunan muzium yang tertua di kompleks ini, dibina pada tahun 1909 yang digunakan untuk pameran-pameran sementara. 4 lagi bangunan lain dengan pameran yang berbeza di dalam kompleks ini adalah Kuroda Memorial Hall, Horyuji Homotsukan, Heiseikan dan Toyokan.

Dah alang-alang, sampai Tokyo, rugi rasanya jika tidak manfaatkan peluang ini untuk melawat Tokyo National Museum untuk mengetahui sejarah serta latar belakang Negara Jepun.

 

Lokasi: 13-9 Uenokoen, Taitō, Tokyo 110-8712, Japan

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.30 a – 5.00 pm) | Isnin Tutup

Harga Tiket: Pameran Kekal JPY620 | Pameran Istimewa JPY1000 – 15000

 

5) Akihabara

Akihabara
Imej via fastjapan

Akihabara atau nama lainnya Akiba adalah sebuah daerah di tengah-tengah kota Tokyo yang terkenal dengan kedai-kedai elektroniknya. Namun, daerah ini sering menjadi tumpuan para peminat anime kerana di celah-celah dunia teknologi kedai-kedai elektronik, terdapat juga kedai-kedai yang khas untuk peminat-peminat anime dan manga seperti Otaku Goods dan manga cafes.

Jalan-jalan di daerah ini dipenuhi dengan kedai-kedai besar yang penuh dengan cosplay, anime, manga dan produk elektronik. Ia adalah pemandangan biasa untuk melihat ramai orang memakai cosplay di jalanan.

 

Lokasi: Akihabara, Taitō, Tokyo 110-0006, Japan

 

6) Harajuku

Harajuku
Imej via thosewhowandr

Harajuku iadalah sebuah kawasan yang sangat terkenal dalam kalangan remaja sebagai pusat fesyen atau trend terkini. Kawasan yang menjadi tumpuan utama di sini adalah Takeshita Dori (Takeshita Street) yang mana di sepanjang jalannya terdapat banyak kedai-kedai trendy, dari fesyen hinggalah makanan. Bukan sahaja perkara yang mengikuti aliran masa, di Harajuku juga terdapat tarikan lain yang sesuai untuk pencinta dunia masa lalu seperti tokong Meiji Jingu dan Nezu Museum.

 

Lokasi: Harajuku, Jingumae, Shibuya, Tokyo 150-0001, Japan

 

7) Nezu Museum

Nezu Museum
Imej via nezu-muse

Nezu Museum adalah sebuah muzium yang mempamerkan hamper 7,400  hasil seni yang datang daripada sekitar Korea, China dan Jepun. Antara yang dapat dilihat di sini adalah hasil kaligrafi, lukisan, seramik dan tekstil. Bangunan muzium dan juga bilik-bilik pamerannya diberikan sentuhan yang elegan dan simple, di bahagian luar muzium ini pula terdapat sebuah taman Jepun tradisional yang berkeluasan 17,000 meter persegi.

 

Lokasi: 6-5-1 Minami Aoyama, Minato-ku

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00 am – 5.00 pm) Pintu Masuk Ditutup Pada Pukul 4.30 pm | Isnin Tutup

Harga Tiket:  JPY600 – 1100

 

8) Shibuya Crossing

Shibuya Crossing
Imej via japan-guide

Untuk makluman anda, Shibuya Crossing adalah kawasan yang cukup simbolik dekat Tokyo. Di sinilah setting pergambaran antara filem  Hollywood terkenal seperti  ‘The Fast and The Furious: Tokyo Drift’ dan ‘Lost in Translation’. Malah dikatakan juga kawasan ini merupakan kawasan yang sangat padat dan ramai pejalan kaki memandangkan ianya terletak di salah satu stesen yang paling sibuk di bandar ni, Shibuya Station.

Kalau tercari-cari lokasi yang paling ikonik untuk dijadikan latar belakang gambar percutian semasa di Tokyo, inilah lokasinya!

 

Lokasi: Shibuya Crossing sekitar Shibuya Station

 

9) Fushimi Inari

Fushimi Inari
Imej via jw-webmagazine

Fushimi Inari-taisha Shrine merupakan sebuah Tokong Shinto yang terpenting di selatan Kyoto. Yang menjadikan tokong ini unik dari tokong lain adalah ribuan gerbang torii yang mengelilingi ruangan berjalan kaki yang terletak di belakang bangunan utama tokong. Laluan ini membawa pengunjung ke puncak Gunung Inari yang terletak 233 meter dari kawasan tokong.

Untuk pengetahuan anda, setiap gerbang ini disumbangkan oleh pelbagai syarikat dan individu yang mana nama mereka diabadikan pada tiang-tiang gerbang.

Tempoh 2 hingga 3 jam diperlukan untuk mendaki, tetapi terdapat banyak tempat untuk berhenti dan mengagumi pelbagai patung rubah di sekitar, dan boleh singgah makan di sepanjang perjalanan. Jika anda sampai ke puncak, anda akan mendapat ganjaran pemandangan Kyoto yang menakjubkan.

 

Lokasi: 68 Fukakusa Yabunouchicho, Fushimi-ku, Kyoto 612-0882, Kyoto Prefecture

Waktu Operasi: Setiap Masa

Harga Tiket: Percuma

 

10) Tokyo Camii & Turkish Culture Center

Tokyo Camii & Turkish Culture Center
Imej via kontraktorkubahmasjid

Pada tahun 1938, Tokyo Camii dibina dan dijadikan sebagai tempat umat Islam berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti keagamaan Islam. Reka bentuk masjid terbesar di Jepun ini cukup indah dengan seni binaan timur tengah.

Selain itu, antara perkara menarik tentang masjid ini adalah khutbahnya yang disampaikan dalam 3 bahasa iaitu Jepun, Turki dan Inggeris.

Kalau anda nak tahu lebih banyak info tentang masyarakat Turki di Jepun pula, anda boleh singgah ke Turkish Cultural Centre yang terdapat di sini.

 

Lokasi: 1-19 Oyamacho, Shibuya 151-0065, Tokyo Prefecture

Waktu Operasi: Tokyo Camii: Dibuka Untuk Solat 5 Waktu | Turkish Culture Center: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

 

11) Asakusa

Asakusa
Imej via japan-guide

Antara perkara yang boleh dikagumkan tentang Jepun mahupun Korea adalah bagaimana mereka berusaha memelihara sejarah dan tradisi mereka. Tempat-tempat klasik sebegini bukan sahaja untuk dijadikan tarikan pelancong, tetapi lebih kepada tujuan Pendidikan kepada rakyat Jepun agar mereka tahu budaya dan tradisi mereka.

Di Asakusa, anda boleh menyelami kehidupan masyarakat tradisi Jepun yang juga digelar zaman Edo Jepun. Ia terletak di sekitar tokong Sensoji. Pekan Asakusa ini dipenuhi dengan gerai-gerai yang menjual bermacam barangan antik, dari cenderamata hinggalah ke pakaian.

Selain meriah dengan jualan barangan antik, Asakusa juga turut terkenal dengan pelbagai sambutan festival tahunan seperti Festival Sanja.

 

Lokasi: Asakusa, Taito, Tokyo 111-0032, Japan

 

12) Shinjuku Gyoen National Garden

Shinjuku Gyoen National Garden
Imej via trover

Shinjuku Gyoen National Garden adalah taman yang paling besar dan terkenal di Tokyo. Taman ini bukan sekadar taman biasa, tetapi memiliki nilai sejarah yang tersendiri serta keindahan lanskapnya yang akan membuatkan anda terpegun. Jadi, berbaloilah bayaran yang dikenakan kepada pengunjung yang ingin memasuki taman ini.

Shinjuku Gyoen National Garden sebenarnya telah wujud sejak zaman Edo (1603 – 1867) lagi yang pada awalnya merupakan tempat tinggal para bangsawan. Kawasan ini kemudiannya dijadikan taman botani sebelum diberikan kepada keluarga Diraja pada tahun 1903.

Namun begitu, ketika Perang Dunia Ke-2, taman ini hampir musnah secara keseluruhan dan kemudiannya dibaikpulih sebelum dibuka kepada orang awam pada tahun 1949.

Taman ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Taman Lanskap Jepun, Taman Perancis dan Taman  Lanskap Inggeris.

 

Lokasi: 11 Naitomachi, Shinjuku, Tokyo 160-0014, Japan

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (9.00 am – 4.30 pm) | Isnin Tutup Kecuali Cuti Umum Akan Cuti Pada Hari Berikutnya | Cherry Blossom Season (Akhir Mac – Awal April) & Chrysanthemum Exhibition (awal ke pertengahan November) Dibuka Setiap Hari

Harga Tiket: JPY200

 

13) Nijo-jo Castle

Nijo-jo Castle
Imej via japanmeetings

Istana yang dibina pada tahun 1603 ini pada asalnya merupakan tempat tinggal Tokugawa Ieyasu, seorang shogun pada zaman Edo (1603-1867). Istana ini telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1994.

Istana lama ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu, ruangan Honmaru yang merupakan bulatan pertahanan utama, ruangan Ninomaru bulatan pertahanan yang kedua dan bahagian yang terakhir adalah kawasan taman yang mengelilingi kedua-dua pertahanan ini.

Lawatan anda ke Nijo-jo Castle bukan sekadar dapat menikmati keindahan seni bina istana ini, tetapi juga dapat menjamu mata  melihat lukisan-lukisan yang terdapat pada sekitar bangunan istana. Terasa seperti melawat muzium seni!

 

Lokasi: 541 Nijojo-cho, Horikawa-nishiiru, Kyoto 604-8301, Kyoto Prefecture

Waktu Operasi: 8.45am – 5.00pm | Selasa Dalam Bulan Januari, Ogos Dan Disember (Tutup)

Harga Tiket: 600 Yen

 

14) Gion

Gion
Imej via japantravel

Gion adalah salah satu tarikan unik yang ada di negara Jepun, dan tidak dapat di negara lain. Di daerah Gion, Kyoto, anda dapat melihat bersepah kedai-kedai, restoran dan rumah teh Jepun yang menyediakan pelayan tradisional Jepun, Geisha.

Kalau anda berjalan-jalan di sekitar daerah ini pun, besar kemungkinan anda akan terserempak dengan wanita yang berpakaian Geisha ini. Bagi masyarakat Jepun, pekerjaan Geisha ini dianggap sebagai bidang kerjaya yang dihormati. Janganlah kita memandang kerjaya ini sebagai kerjaya kelas kedua pula. Jadi, jika anda ke sini, perlulah diingat agar tidak melayan Geisha ini dengan layanan yang tidak wajar.

 

Lokasi: Gionmachi, Higashiyama-ku, Kyoto 605-0001, Kyoto Prefecture

 

15) Bamboo Forest Street

Bamboo Forest Street
Imej via insidekyoto

Bamboo Forest Street antara tempat yang popular dan sering dimuat naik oleh pelancong-pelancong di media social, seperti Instagram. Berjalan-jalan di sekitar Bamboo Forest Street ini anda dapat menenangkan fikiran mendengar bunyi tiupan angin dan desiran daun-daun buluh. Nak lagi best, anda sekeluarga boleh sewa basikal untuk menikmati pemandangan di sekitar dengan tiupan angin yang lagi mengasyikkan.

 

Lokasi: Sagaogurayama Tabuchiyamacho, Ukyo-ku, Kyoto 616-8394, Kyoto Prefecture

 

16) Port of Nagoya Public Aquarium

Port of Nagoya Public Aquarium
Imej via japan-highlightstravel

Port of Nagoya Public Aquarium merupakan kawasan akuarium yang agak besar dan menarik untuk dilawati bersama keluarga. Pameran di sini dibahagikan kepada 5 kawasan akuatik berbeza yang terletak antara Jepun dan Lautan Antartika. Antara hidupan laut yang dapat anda dekati di sini adalah ikan lumba-lumba, ikan jerung dan banyak lagi.

 

Lokasi: 1-3 Minato-Machi, Minato-ku, Nagoya

Waktu Operasi: Pertengahan Mac – Nov (9.30am – 5.30pm) | Dis – Pertengahan Mac (9.30am – 5.00pm) | Musim Panas dan Golden Week (9.30am – 8.00pm) | Isnin, Atau Selasa Sekiranya Isnin Hari Cuti (Tutup)

Harga Tiket: 2000 Yen

 

17) Nagoya Castle

Nagoya Castle
Imej via japantravel

Istana Nagoya merupakan antara istana yang terbesar di negara Jepun dan ia dibina pada permulaan era Edo. Di sekitar istana ini terdapat taman yang menjadi lokasi terkenal untuk aktiviti hanami ataupun untuk menikmati pemandangan pokok bunga sakura terutamanya pada akhir bulan Mac hingga awal April.

Memasuki kawasan dalam istana ini pula, anda dapat melihat rekaan dalamannya yang cukup moden. Ruangan dalaman istana ini kini digunakan sebagai muzium pameran kehidupan pejuang Jepun, Samurai.

 

Lokasi: 1-1 Hommaru, Naka-ku, Nagoya 460-0031, Aichi Prefecture

Waktu Operasi: 9.00am – 4.30pm | 29 Dis – 1 Jan (Tutup)

Harga Tiket: 500 Yen

 

18) Universal Studios Japan

Universal Studios Japan
Imej via variety

Universal Studios bukan ada di Singapura sahaja tau, tetapi juga ada di Jepun. Universal Studios Japan ini merupakan taman tema Universal Studios yang pertama dibina di rantau Asia. Universal Studios di Jepun terdiri daripada 8 buah bahagian iaitu Waterworld, Amity Village, New York, Hollywood, San Francisco, Universal Wonderland, The Wizarding World of Harry Potter dan Jurassic Park.

Banyak aktiviti menarik dan mencabar yang anda boleh lakukan di sini, antaranya mencuba bermacam jenis simulasi filem-filem terkenal seperti Jurassic Park dan Spiderman yang pasti menyeronokkan.

 

Lokasi: 2-1-33 Sakurajima, Konohana-ku, Osaka 554-0031, Osaka Prefecture

Waktu Operasi: Waktu Berbeza Boleh Layari Laman Web Universal Studios Japan, Kebiasaannya 9.00am – 7.00pm

Harga Tiket: 12 – 64 Tahun 7600 Yen | 4 – 11 Tahun 5100 Yen | 65 Tahun & Ke Atas 6830 Yen

 

Itulah dia 18 tempat menarik di Jepun yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Jepun. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di London dan Tempat Menarik Di India.

 

 

 

 

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *