15 Tempat Menarik di Dungun Berkonsepkan Pantai, Taman Dan Bukit
Apa ya tempat meanrik di Dungun?
Dungun adalah sebuah daerah yang sering menjadi kubu, tempat mengumpul kekuatan perang malah menjadi tempat pengunduran semasa perang zaman dahulu kala. Ia juga menjadi pilihan pedagang dan angkatan perang dari Sumatera serta mereka sering membuka kampung di sini.
Terdapat banyak lagi kisah misteri tentang negeri Dungun samada dari dunia kependekaran, dunia persilatan hinggalah cerita-cerita sejarah yang masih belum dirungkai sepenuhnya. Sehingga kini, terdapat beberapa tempat menarik di Dungun untuk kunjungan para pelancong bagi percutian dan menikmati keindahan alam semulajadi.
1. Air Terjun Chemerong
Sekiranya dari Kuala Terengganu, Kuala Berang atau Marang pula, anda terpaksa mengikuti jalan utama Ajil-Bukit Besi dan masuk simpang menuju ke Hutan Lipur Chemerong. Sesudah sampai di sini, pengunjung dapat melihat kehijauan air yang segar dan sejuk serta kawasan tadahan airnya yang lapang pasti membuatkan pengunjung tidak sabar untuk terjun.
2. Bukit Besi
Terdapat penemuan beberapa alat batu berupa kapak batu licin di tapak terbuka yang ditemui secara tidak sengaja. Kini, peninggalan sejarah perlombongan di Bandar Bukit Besi ini masih terpelihara.
3. Pulau Tenggol
Tarikan utama pelancong ke Pulau Tenggol ialah untuk aktiviti skuba diving. Terdapat banyak lokasi menyelam di sekitar perairan pulau ini dan ia mempunyai tarikan tersendiri seperti anda boleh melihat kapal karam, penyu dan ikan Yu Paus yang amat jarang ditemui.
Bagi peminat snorkeling, anda boleh melihat pelbagai hidupan laut dan coral lembut termasuk nudibranch dan clownfish. Pelancong yang ingin ke Pulau ini boleh menaiki bit di jeti bot express baru yang terletak di tepi jambatan Kuala Dungun.
4. Rantau Abang
Musim penyu bertelur adalah antara bulan Mac sehingga Ogos dan pantai ini bakal dikunjungi oleh penyu belimbing dan penyu agar pada waktu malam. Air pantai ini sangat cantik, jernih serta sesuai dengan aktiviti mandi manda dan berkelah. Jika bernasib baik, pengunjung boleh melihat penyu yang mendarat untuk bertelur.
Terdapat Batu Penyu yang menurut mitos bahawa ia berasal daripada penyu betina yang mendarat di Pantai Rantau Abang. Penyu tadi dikatakan merayau mencari suatu haruman yang datang dari sebatang pokok dan disebabkan leka penyu itu tersesat hingga ke Bukit Che Hawa. Penyu tersebut tidak sedar hari menjelang subuh dan akhirnya bertukar menjadi batu kekal sehingga sekarang. Pengunjung dapat melihat bentuk batu seakan-akan berbentuk penyu di sana.
5. Tanjung Jara Resort
Dengan menjejakkan kaki ke resort ini, pengunjung dapat merasakan suasana warisan semulajadi Melayu yang tulen. Ketulenan seni bina bangunan resort ini serta sikap mesra pekerja resort ini, ia bakal membuatkan percutian anda menjadi sangat bermakna.
Pelbagai jenis aktiviti boleh dilakukan tidak kira aktiviti santai, lasak serta kebudayaan. Pelbagai jenis bilik juga turut disediakan di Resort ini untuk pengunjung datang bercuti samada seorang ataupun bersama keluarga.
6. Hiking Dan Dive di Sungai Bangang
Tak ramai orang ke sini menjadikan air di sini sangat jernih. Sungai Bangang biasanya di kunjungi para pendaki. Untuk ke sini, Puncak Chemerong, Gunung Berembun, Air Terjun Langsir iaitu tiga spot utama ini wajib dilalui. Permit juga diperlukan untuk pendakian.
Perjalanan sekurang-kurangnya sehari diperlukan dan bergantung kepada stamina masing-masing. Apabila sudah sampai ke sungai Bangang ini, anda pasti terpegun dengan kejernihan airnya. Memang sesuai untuk para pendaki terjun dan menyelam di dalam sungai ini.
7. Pantai Paka
Anda boleh melakukan aktiviti riadah bersama keluarga, berjoging dan makan-makan. Pengunjung juga dapat melihat kapal-kapal yang sedang berlabuh di Kertih Port untuk mengambil minyak.
8. Pantai Batu Pelanduk
Pantai yang bersih diikuti dengan keindahan panorama ini membuatkan pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan pantai. Tahukah anda, sumber pendapatan utama penduduk Kampung Kuala Abang ialah nelayan? Mereka terdiri daripada nelayan tepi pantai dan laut dalam.
Pengunjung yang datang juga boleh melihat bagaimana penduduk kampung ini memposes ikan bilis. Tidak rugi jika anda bercuti di tempat menarik di Dungun ini.
9. Pantai Teluk Gadung
Anda dapat melihat pondok-pondok untuk pengunjung berehat di tepi pantai tempat menarik di Dungun ini. Pengunjung boleh menggunakan pondok tersebut untuk menjamu selera dengan keluarga sambil menghirup angin pantai. Teluk Gadung juga memiliki pasir pantai yang halus dan cantik.
Mungkin ramai dalam kalangan orang kita tidak pernah ke Pantai Teluk Gadung ini, janganlah anda lepaskan peluang untuk ke sini sekiranya datang ke Terengganu.
10. Tasik Puteri Bukit Besi
Melihat air tasiknya yang biru dan menghijau, ditambah pula dengan ketenangan pepohon hijau tempat menarik di Dungun ini, menjadikan kawasan rekreasi ini begitu mendamaikan dan amat tenang. Suasana disekelilingnya terasa sejuk dan nyaman. Pengunjung bukan sahaja boleh menikmati keindahan di sini, malah boleh mandi dan berenang di air terjun yang turut tersedia.
Tempat mandi yang cetek sesuai untuk kanak-kanak yang tidak tahu berenang juga terdapat di sini. Bagi yang mahir berenang pula, anda boleh mandi di kawasan air yang agak dalam dimana dasarnya begitu biru dan menghijau.
11. Taman Tasik Tanjung Sura
Antara kemudahan yang disediakan di Tasik ini ialah trek berjoging, pondok rehat, jeti, ruang niaga, tandas awam, bilik persalinan, lampu limpah dan peralatan permainan untuk kanak-kanak.
Tempat ini bertemakan alam semulajadi dan sangat sesuai untuk anda merehatkan minda dan beriadah bersama seisi keluarga. Anda juga boleh melihat burung, bersenam dan menghayati flora dan fauna.
12. Rimba Bandar Bukit Bauk
Tempat menarik di Dungun ini terletak di dalam Hutan Simpan Bukit Bauk. Biasanya pengunjung datang untuk bersenam dan berjogging. Trek yang ada di sini amat sesuai untuk melakukan aktiviti tersebut.
13. Pantai Teluk Lipat
Terdapat beberapa hotel di sini seperti Mayang Sari Resort Dungun, Ulek Beach Resort dan Hotel Uitm Dungun sendiri. Pelbagai rekabentuk unik wakaf untuk nelayan dan tempat simpanan bot yang dibina oleh nelayan turut boleh anda lihat di sini. Kebanyakannya dibina dengan menggunakan buluh kayu dan beratap daun kelapa.
14. Makan Sultan Yahya Siak
Binaan Kompleks makam ini di hiasi dengan keindahan seni ukiran rumah Melayu tradisi. Terdapat kisah sejarah yang boleh anda amati di sini.
15. Pusat Penyu Dan Ekosistem Marin
Anda juga berpeluang melihat dengan lebih dekat bagaimana penjagaan dan pemuliharaan dilakukan di sini. Info mengenai hidupan penyu juga disediakan di sini bagi sesiapa yang datang untuk mempelajari serta menimba ilmu dalam memulihara spesis yang terancam ini.