13 Tempat Hiking di Perak Yang Anda Wajib Cuba
Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak dan cintakan alam semulajadi, pastinya tiap kali tiba hujung minggu dan cuti umum, anda akan tercari-cari destinasi untuk melakukan aktiviti kegemaran anda.
Buat anda yang sukakan aktiviti hiking atau memanjat bukit, apa kata kalau cuti kali ini anda luangkan masa di negeri Perak yang kaya dengan banyak bukit dan gunung untuk anda jelajahi. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan tempat hiking di Perak yang paling menarik untuk anda yang berjiwa lasak.
1. Bukit Berekeh atau Bukit Botak
Bukit Berekeh atau juga dikenali sebagai Bukit Botak terletak di Kampung Bawong, Sungai Siput. Bukit ini sangat terkenal di kalangan kaki hiking kerana laluannya yang mudah dan ianya tidak terlalu tinggi, menjadikannya destinasi hiking yang sesuai untuk semua termasuk anda yang baru ingin menjinakkan diri dalam dunia hiking atau dikenali sebagai beginner.
Bukit Berekeh berdiri megah dengan ketinggian 454 meter dari paras laut dan ia mempunyai 5 puncak untuk anda daki. Masa yang diambil untuk sampai ke puncak yang kelima ialah lebih kurang 2 jam, bergantung kepada kelajuan kumpulan anda. Di sepanjang perjalanan menuju ke puncak, anda akan disajikan dengan kehijauan seluas mata memandang.
Perjalanan ke puncak pertama agak mudah kerana ada banyak pokok besar untuk anda berlindung dari kepanasan dan berpaut. Namun apabila anda memulakan perjalanan menuju ke puncak ke tiga sehingga ke puncak kelima, pokok besar mulai tiada. Setibanya di puncak Bukit Berekeh, anda akan disajikan dengan pemadangan indah yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Jangan lupa untuk mengambil gambar sepuasnya sebagai kenangan.
Sedikit tips dari kami jika anda ingin mendaki Bukit Berekeh:
- Kalau anda nak tengok pemandangan matahari terbit, sila mulakan perjalanan sebelum subuh.
- Kalau anda nak tengok awan karpet, pastikan anda sampai di atas selewatnya pukul 10 pagi.
- Pakai topi untuk melindungi kepala daripada cahaya matahari dan mengelakkan pitam atau heat stroke.
- Pakai pakaian yang sesuai untuk hiking.
- Jangan lupa untuk bawa air secukupnya, sekurang-kurangnya satu botol mineral besar untuk setiap orang.
2. Bukit Batu Putih
Tempat hiking di Perak yang seterusnya ialah Bukit Batu Putih yang terletak di Gopeng. Bukit Batu Putih merupakan salah satu destinasi hiking paling santai di Malaysia. Perjalanan untuk sampai ke puncak adalah amat mudah & cuma mengambil masa selama 10 minit sahaja. Sekejap sangat kan, belum sempat rasa penat dah sampai ke puncak.
Pemandangan dari puncak Bukit Batu Putih adalah sangat indah, tak terkata dengan tulisan. Anda akan dapat melihat pemandangan seluruh daerah Gopeng. Nak lagi cantik, naik ke puncak sewaktu matahari terbit atau terbenam, pemandangannya pasti berkali ganda lebih cantik.
3. Gunung Baling
Gunung Baling yang terdapat di daerah Baling merupakan satu lagi tempat hiking di Perak yang ingin kami kongsikan kepada anda. Namun, harus kami ingatkan bahawa untuk mendaki di sini anda dinasihati untuk mendapatkan khidmat malim yang berpengalaman supaya tidak sesat. Jarak dari bawah untuk sampai ke puncak Gunung Baling ialah di antara 2 sehingga 3 jam, bergantung kepada kelajuan ahli kumpulan anda. Apabila sampai di puncak Gunung Baling, anda akan disajikan dengan pemandangan seluruh daerah Baling yang tak akan dapat dilihat dari tempat lain.
4. Gunung Pulai
Selain Gunung Baling, anda juga boleh mendaki Gunung Pulai yang merupakan jajaran gunung yang bercantum dengan Gunung Baling yang kami kongsikan di atas tadi. Kedua-dua gunung ini bercantum sesama sendiri namun pemandangan yang disajikan dari puncak adalah berbeza sama sekali. Oleh itu, selepas dah cuba mendaki Gunung Baling, anda wajib menawan puncak Gunung Pulai pula.
5. Maxwell Hill aka Bukit Larut
Tempat hiking di Perak kelima yang ingin kami kongsikan kepada anda ialah Bukit Larut atau juga dikenali sebagai Bukit Maxwell yang terletak di Taiping, Perak. Bukit Larut yang berketinggian 1036 meter dari paras laut merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia.
Ini kerana Bukit Larut menerima hujan yang banyak setiap tahun. Wah! Menarik bukan! Kebiasaannya anda akan dibasahi oleh hujan renyai sepanjang perjalanan mendaki ke puncak. Takdelah panas terik sangat, macam bukit dan gunung yang lain di Malaysia.
Untuk maklumat anda, terdapat dua cara untuk sampai ke puncak Bukit Larut iaitu sama ada dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda atau mendaki. Kalau anda dah terlalu penat semasa mendaki, anda boleh pilih untuk turun dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang boleh anda sewa di sini. Kalau anda masih larat untuk turun dengan berjalan kaki, pun tiada masalah.
Oh ya, dah penat mendaki Bukit Larut, bolehlah anda singgah makan di gerai Mee Udang Mak Jah di Kuala Sepetang yang popular di seluruh Malaysia. Lokasi gerai tersebut tak jauh dari Bukit Larut. Alang-alang dah sampai dearah Taiping, apa salahnya anda merasa mee udang yang femes di sini.
6. Bukit Kledang
Bukit Kledang yang terletak di Mengelembu tidak jauh dari Bandar Ipoh dengan ketinggian 800 meter dari paras laut merupakan tempat hiking di Perak yang menjadi tumpuan penduduk Ipoh menghabiskan masa di hujung minggu. Ia menjadi tumpuan orang ramai kerana tahap pendakiaannya yang mudah dan mengambil masa yang pendek untuk sampai ke puncak. Apabila anda berjumpa dengan stesen pemancar RTM, maksudnya anda dah sampai di puncak. Pemandangannya? Superb. Anda perlu sampai ke puncak Bukit Kledang untuk melihat dengan mata sendiri.
7. Gunung Chabang
Gunung Chabang dengan ketinggian 1,711 meter dari aras laut terletak di Kampung Pos Slim iaitu sebuah perkampungan orang asli yang berdekatan dengan Cameron Highlands. Kalau anda naik ke Cameron Highlands melalui jalan Tapah, anda akan berjumpa dengan perkampungan ini. Gunung Chabang menjadi pilihan utama kaki hiking di Malaysia kerana laluannya yang agak mencabar dan menguji stamina.
80% daripada perjalanan anda adalah mendaki bukit yang curam. Oleh itu, jika anda tidak mempunyain stamina yang tinggi, kami nasihatkan anda supaya berfikir panjang sebelum menyertai ekspedisi mendaki Gunung Chabang.
Namun, walau pun perjalanan mendaki Gunung Chabang agak sukar, apabila anda tiba di puncaknya, anda akan disajikan dengan pemandangan Banjaran Titiwangsa yang saujana mata memandang termasuk puncak Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar.
Jangan gelar diri anda sebagai kaki hiking tegar kalau belum berjaya menawan puncak Gunung Chabang.
8. Gunung Semanggol
Gunung Semanggol dengan ketinggian 390 meter dari aras laut terletak di daerah Kerian, tidak jauh dari bandar Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar. Gunung ini terkenal di kalangan kaki hiking kerana perjalanan mendaki yang mudah dan mengambil masa yang cepat.
Dari puncak Gunung Semanggol, anda akan dapat melihat pemandangan 360 darjah seluruh Taiping termasuk Bukit Merah Lake Town, Bukit Larut, dan pemandangan sawah padi terbentang luas saujana mata memandang.
9. Gunung Peninjau
Tempat hiking di Perak yang seterusnya ialah Gunung Peninjau yang terletak di Lata Ulu Chepor, Chemor. Gunung Peninjau berdiri gah dengan ketinggian 1,058 meter dari aras laut. Masa yang diambil untuk sampai ke puncak ialah lebih kurang 5 jam, bergantung kepada kelajuan kumpulan anda.
Sepanjang mendaki, anda pastinya terpesona melihat keindahan Air Terjun Ulu Chepor. Di awal pendakian, anda akan melalui kawasan yang landai namun selepas check point yang pertama, pendakian akan mula menjadi sukar kerana pendakian yang tegak. Pemandangan dari puncaknya? Tak daoat digambarkan dengan kata-kata.
10. Bukit 300
Bukit 300 yang terletak di hadapan Pantai Teluk Batik, tidak jauh dari Lumut merupakan tempat hiking di Perak yang belum menjadi popular di kalangan kaki hiking di Malaysia. Setiap hujung minggu, Bukit 300 dipenuhi kaki hiking yang tinggal di sekitar Teluk Batik. Bukit ini digelar Bukit 300 kerana ketinggiannya ialah 300 meter dari aras laut. Menarik, kan?
Perjalanan untuk mendaki bukit ini untuk sampai ke puncak adalah sejauh 1.5-2 kilometer dengan 9 kawasan check point untuk dilalui. Apa yang menarik, pendakian Bukit 300 adalah kombinasi mendaki, berjalan di laluan mendatar, mendaki semula, menuruni bukit, berjalan di laluan mendatar semula, mendaki dan seterusnya. Pendakian di Bukit 300 tidak begitu sukar, sesuai untuk sesi mendaki sambil bersantai.
11. Gunung Bubu
Gunung Bubu merupakan salah satu gunung tertinggi yang terdapat di Daerah Kuala Kangsar mempunyai ketinggian 1,657 meter dari aras laut. Apa yang menarik, Gunung Bubu merupakan kawasan tapak kajian yang menjadi sumber rujukan bagi Jabatan Perhutanan dan Perhilitan kerana hutannya yang cantik dan kaya dengan pelbagai flora dan fauna. Perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Bubu juga sangat menarik.
Pendakian anda akan bermula dari kaki gunung di Sungai Kenas di mana anda akan berjalan melalui trek balak lama selama 40 minit sebelum memasuki simpang untuk menyusur ke Kem Sungai Ganding. Selepas lebih kurang 2 jam perjalanan, anda akan berjumpa dengan sungai yang jernih dan ikan tengas yang jinak di Kem Sungai Ganding. Kebiasaannya hiker akan makan tengahari disini. Di sini terdapat sebuah batu di tengah-tengah sungai yang terbentuk menghala ke arah kiblat. Menarik, kan?
Kemudian, pendakian diteruskan ke Kem Tali yang terletak lebih kurang 3 jam dari Kem Sungai Ganding. Biasanya hikers akan berkhemah di sini untuk tidur 1 malam. Dari Kem Tali, perjalanan ke puncak Gunung Bubu akan mengambil masa selama lebih kurang 3 ke 4 jam bergantung kepad kelajuan pasukan anda bergerak. Puncak Gunung Bubu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Bubu Timur dan Bubu Barat. Puncak Gunung Bubu sangat cantik dengan lumut yang menghijau dan bunga orkid yang hanya hidup di kawasan puncak gunung. Pemandangannya juga sangat cantik.
12. Bukit Bangkong
Bukit Bangkong yang terletak di utara Ipoh, di pinggir bandar Chemor merupakan sebuah stesen penyegitigaan di Perak dan terletak berhampiran dengan Kampung Baharu Tanah Hitam, Sri Desa Tanah Hitam dan Kemajuan Tanah Ulu Chemor. Dengan ketinggian lebih kurang 200-300 meter dari aras laut, dari puncak Bukit Bangkong anda dapat melihat keindahan pemandangan yang menakjubkan bagi seluruh kawasan Chemor, Kanthan, Jelapang, dan bandar-bandar di sekitar Ipoh.
Walaupun Bukit Bangkong tidak terlalu tinggi, namun pendakian di sini agak mencabar disebabkan oleh permukaan jalan yang curam dan menegak. Kami cadangkan anda mendaki Bukit Bangkong sebelum subuh untuk melihat pemandangan matahari terbit.
13. Bukit Engku Busu di Lumut
Tempat hiking di Perak yang terakhir ingin kami kongsikan kepada anda ialah Trek Merentas Hutan Bukit Engku Busu atau lebih dikenali dengan nama Bukit Engku Busu yang terletak di bandar Lumut, daerah Manjung, Perak. Bukit ini merupakan puncak yang paling tinggi di bandar Lumut dengan ketinggian 331.4 meter atau dengan 1087 kaki dari aras laut.
Apa yang menarik, pihak Majlis Perbandaran Manjung telah menyediakan trek berjalan kaki bagi pengunjung gunakan untuk sampai ke puncak Bukit Engku Busu. Oleh itu, pendakian di sini adalah sangat mudah. Apabila sampai sahaja di puncak, anda akan dapat melihat pemandangan 360 darjah seluruh Bandar Lumut dan sebahagian Pulau Pangkor.
Itulah dia 13 tempat hiking di Perak yang ingin kami kongsikan kepada anda pada hari ini. Menarik kan? Jemput juga membaca artikel tulisan kami seperti tempat menarik di Segamat, tempat menarik di Nilai, dan tempat menarik di Cyberjaya.
One Comment