| |

Sungai Congkak: Aktiviti dan Tempat Menarik Boleh Cuba

Sungai Congkak merupakan salah satu hidden gems yang terdapat di Selangor. Tempat ini cukup terkenal di kalangan warga kota Selangor mahupun Kuala Lumpur untuk merehatkan diri setelah penat bekerja.

Kawasan rekreasi ini menjadi tumpuan warga kota kerana kawasannya yang luas yang mampu memuatkan ramai orang dalam satu masa. Air sungai yang mengalir juga sangat jernih dan cetek, sesuai jika anda ingin membawa anak-anak bermandi-manda.

Kawasan yang berada di bawah Badan Pelancongan Selangor ini dijaga rapi. Tidak hairanlah kawasan perkelahan ini sangat bersih dan selesa serta dilengkapi banyak fasiliti. Mari kita teroka aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

Berkelah di Sungai Congkak

Anda yang inginkan tempat berkelah percuma, anda boleh memilih kawasan sungai yang berada di kawasan bawah Sungai Congkak yang terdapat di pintu masuk. Kawasan parkir dan tapak berkelah percuma dan luas. Tidak lengkap kunjungan santai anda ke tempat rekreasi jika tidak berkelah.

Imej via [ Foursquare ]

Sebelum mandi-manda, bentang tikar dan makan terlebih dahulu di tepi sungai sambil menikmati pemandangan yang mengagumkan. Anda juga boleh barbeku di sini. Jika inginkan keselesaan anda boleh menyewa pondok dengan kadar serendah RM 15 sahaja.

Anda juga boleh berkelah di Congkak Eco Resort yang tidak jauh dari tempat ini. Namun bayaran dikenakan untuk parkir kereta iaitu sebanyak RM 7. Bayaran tiket masuk pula RM 1 seorang dan percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Walaupun dikenakan bayaran, namun sangat berbaloi kerana dilengkapi pondok, tandas, surau dan kemudahan asas yang lain. Sungai sepanjang 3 kilometer dan mempunyai enam zon ini pasti memuatkan 2000 orang dalam satu masa. Namun anda dinasihatkan untuk datang awal agar mendapat tempat yang paling selesa.

Bermalam di Resort dan Chalet Sungai Congkak

Pecinta alam pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bermalam di Sungai Congkak yang penuh dengan khazanah alam yang menghijau. Anda boleh memilih sama ada ingin berkhemah atau bermalam di chalet.

Congkak Eco Resort turut menyediakan tapak perkhemahan dan chalet untuk pengunjung bermalam. Harga penginapan bermula dari RM 80 sehingga RM 300, anda boleh memilih untuk menginap di chalet kayu atau chalet batu.

Imej via [ Sungai Congkak Hulu Langat Selangor ]

Chalet lain yang berada di Sungai Congkak adalah Sifu Area ENT, Rimba Bikerz Sungai Congkak, Jentayu Resort dan Kem Herba Sungai Congkak. Kesemua chalet dan resort mempunyai keunikan masing-masing. Yang pastinya kesemua penginapan ini betul-betul terletak bersebelahan sungai.

Berada di kawasan flora dan fauna ini semestinya memberi pengalaman yang menarik. Tidur ditemani bunyi deruan air sungai yang mengalir, bunyi hidupan di hutan dan suasana yang sejuk pasti membuatkan anda tidur dengan lena.

Sertai Aktiviti Lasak di Skytrex Adventure

Sudah tentu ramai yang gilakan aktiviti lasak. Di Sungai Congkak, Skytrex Adventure juga terkenal dengan perkhidmatan menyediakan aktiviti lasak yang menarik.

SkyTrex menawarkan pelbagai jenis halangan yang mencabar seperti Flying fox, Monkey Bar, Fish Born dan lain-lain. Semua halangan ini anda boleh lakukan mengikut pakej yang disediakan.

Imej via [ Skytrex Adventure ]

Tarikan dan pakej baru yang spesial dan pasti lagi mencabar adalah Amazing Race, Skyspace, Track & Trex dan Skynight. Memang seronok!

Apa yang lagi menarik, jika anda ingin bermalam di sini, anda tak perlu risaukan tentang makanan, aktiviti atau alat berkhemah kerana anda boleh nikmati semuanya dengan harga RM 199 untuk seorang. Semuanya telah disediakan lengkap oleh pihak Skytrex Adventure.

Mendaki Bukit Chenuang

Imej via [ All Trails ]

Bukit Chenuang yang berketinggian 850 meter pasti menjadi tarikan buat pendaki. Trek laluan ke Bukit Chenuang dikategorikan sebagai trek yang susah dan paling mencabar untuk didaki. Perlu diingatkan, jika anda ingin mendaki di Bukit Chenuang, anda diwajibkan mempunyai permit terlebih dahulu kerana ia dikategorikan sebagai hutan simpan yang perlu dilindungi.

Bagi yang ingin memulakan pendakian, anda boleh mula memasuki melalui Taman Rekreasi Sungai Congkak. Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai kerana laluan yang sangat mencabar,menguji mental dan fizikal.

Namun, segala cabaran dan penat terbayar jika sampai di puncak Bukit Chenuang kerana anda dapat menikmati pemandangan alam yang mengujakan. Kehijaun tumbuhan, bunyi burung dan angin yang tiup sepoi-sepoi bahasa pasti menyegarkan minda dan fizikal anda.

Sungai Congkak agak berbeza dan unik dari sungai dan tempat rekreasi yang lain di Selangor. Oleh sebab itu, ramai pengunjung yang datang saban hari terutama sewaktu cuti sekolah dan hujung minggu untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Bagi anda yang suka bercuti dikelilingi alam semulajadi, jom baca juga:

Rujukan:

  1. Congkak Eco Resort. http://congkakecoresort.com/
  2. Congkak Eco Resort Tempat Menarik di Hulu Langat Selangor. https://www.tempatmenarik.my/congkak-eco-resort-tempat-menarik-di-hulu-langat-selangor/

Similar Posts