7 Perkara Yang Aku Belajar Melalui Pengalaman Travel Dengan ‘Cruise Ship’
Bila orang sebut tentang kapal cruise, apa yang bermain di fikiran anda? Travel secara mewah? Orang banyak duit saja yang boleh naik cruise?
Drama cinta Titanic? Leonardo DiCaprio? Dan bagi yang pernah berlayar dengan cruise, apakah pendapat anda? Artikel menarik ini hasil tulisan Puan Alisa Omar.
Pengalaman
Aku berpeluang untuk merasai pengalaman berlayar dengan kapal cruise tahun lepas atas sebab perasaan ingin tahu. Dah macam-macam cerita aku dengar tentang keseronokan naik kapal cruise ini. Antaranya, ada kawan-kawan aku yang dah ketagih hingga setiap kali ada peluang untuk bercuti, mereka akan pilih untuk naik cruise berbanding terbang ke suatu destinasi. Ada pula yang suka mencuba pelbagai jenis cruise yang ada di pasaran. Baru aku tahu ada beberapa jenis cruise rupanya:
1. Adventure Cruise
2. Luxury Cruise
3. Ultra-luxury Cruise
4. Contemporary Cruise
5. Christmas Cruise
6. Family Cruise
Bila dah dengar banyak cerita positif tentang pelayaran cruise ini, aku pun nak juga merasa pengalamannya. Di akhir pelayaran aku, perasaan aku bercampur-baur. I don’t hate it, but I don’t like it either. Berdasarkan pengalaman aku, 7 benda anda kena tahu tentang pelayaran cruise ship ini:
1. Peraturan Pemakaian
Bila kita berada dalam kapal cruise, kita perlu patuhi peraturan mereka dalam pemakaian. Selalunya, kita dikehendaki untuk berpakaian casual smart. Ini bermakna, para penumpang tidak dibenarkan untuk memakai selipar, seluar pendek, singlet, kain pelikat bila berjalan di dalam kapal. Selain dari itu, akan ada beberapa malam yang dipanggil ‘Formal Nights’, di mana kita perlu berpakaian formal pada malam itu.
Penumpang lelaki harus kelihatan segak berpakaian suit, manakala untuk penumpang wanita pula, cantik dengan busana evening dress.Bagi aku yang ketika itu, tengah serabut selepas SAS Airways hilangkan beg aku, peraturan macam ini agak membebankan.
Setiap cruise company akan mempunyai dress code dan jumlah malam formal yang tersendiri. Semak dengan cruise company anda untuk mengelakkan sebarang isu dimasa depan.
2. Servis Percuma VS Berbayar
Di Malaysia, selalunya kita akan nampak dalam iklan tentang tawaran harga cruise ship ini di agensi travel. Bagi negara Barat pula, iklan banyak dibuat di kaca TV. Tapi, satu persamaan antara mereka ialah harga yang ditawarkan adalah harga “all-inclusive”.
Apa yang termasuk dalam harga “all-inclusive” itu ialah makan dan minum di restoran buffet, basuh baju sendiri di bilik laundry, persembahan yang diadakan setiap malam serta beberapa aktiviti dan juga kelas yang boleh dihadiri oleh penumpang secara percuma. Sounds pretty good kan?
Tapi, bagi penumpang yang baru pertama kali merasai pengalaman cruise ship ni, perlu berjaga-jaga bila nak gunakan servis yang ditawarkan oleh pihak cruise. Tanya jika tak pasti sebab ada beberapa servis yang anda perlu bayar dan harganya, sangatlah mahal.
Antara servis yang anda perlu bayar ialah:
– Servis Wi-Fi. Bergantung pada pihak cruise mengendalikan servisnya, ada yang caj per jam dan ada juga yang caj per 500MB.
– Makan dan minum di cafe atau lounge atau mana-mana restoran selain dari restoran buffet.
– Room-service
– Laundry service
– Servis Spa
– Fitness class
– Ubat dari klinik di dalam kapal
3. Jaga Cruise Card Anda Elok-Elok
Selepas kita selesai check-in bilik kita di lobi kapal, kita akan diberikan sekeping Cruise Card. Kad ini amatlah penting, jadi jangan letak di merata-rata tempat. Sepanjang pelayaran kita nanti, kad ini akan digunakan sebagai:
i). Kunci bilik kita
ii). “Kad kredit” bila kita nak shopping di butik yang ada di dalam kapal. Nasihat aku, jaga nafsu ketika berada dalam kapal sebab kita boleh ‘swipe’ saja untuk apa-apa perbelanjaan seperti beli minuman di cafe, kedai souvenirs, barang berjenama, kelas berbayar dan sebagainya. In the end, bila kita check out nanti, segala perbelanjaan di sepanjang pelayaran kita akan diletakkan di dalam bil dan kita perlu melunaskan segala bayaran sebelum diberi pelepasan untuk turun dari kapal.
iii). Passport yang membenarkan kita keluar dan masuk semula ke kapal bila kapal berlabuh di destinasi nanti. Kita tidak akan dibenarkan masuk semula ke kapal jika kad kita hilang.
4. Persinggahan Cruise Di Destiasi
Bergantung pada jadual pelayaran, tempoh untuk kapal berlabuh boleh jadi antara 15 minit hingga 2 ke 3 hari. Tapi selalunya kapal akan berlabuh selama 8 jam, dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Ini boleh membantu kita dalam merancang aktiviti yang boleh dilakukan sebaik saja kita turun dari kapal.
Kalau kita lebih suka travel secara sendiri instead of ambil excursion guide yang ditawarkan oleh pihak cruise, pastikan kita kembali ke kapal at least 30 minit sebelum waktu berlayar. Queue untuk naik semula ke kapal terutamanya di saat-saat akhir, akan memakan masa yang agak lama.
5. Pemeriksaan Keselamatan
Sama seperti pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang, kita akan diimbas dan diperiksa oleh pihak imigresen. Begitu juga dengan beg dan barang-barang kita yang lain. Kalau tak pasti barang mana yang boleh dan tak boleh dibawa, boleh rujuk dengan pihak cruise ship sendiri.
Kita akan melalui pemeriksaan yang pertama di terminal pelabuhan dan untuk pemeriksaan yang kedua, di pintu masuk kapal cruise kita. Jangan terkejut kalau ada sesetengah penumpang yang berani mengambil risiko untuk menyeludup dadah ke dalam kapal kerana menganggap sistem keselamatan di sana tak seketat kawalan dilapangan terbang.
6. Kumpul Cop Passport
Berlayar dengan cruise ship adalah antara pilihan terbaik kalau kita nak mengumpul passport stamps sebanyak yang mungkin. Dalam seminggu tempoh pelayaran, sekurang-kurangnya kita boleh dapat 3 minimum stampings dari 3 destinasi yang berbeza. Contohnya, hari ini kapal kita akan berlabuh di Barcelona, Sepanyol.
Destinasi untuk hari esok, Lisbon, Portugal. Dalam masa 2 hari saja, kita dah boleh dapat dua stampings dari dua negara yang berbeza. Kalau kita melayari cruise ship untuk pelayaran di kepulauan Carribean, lagi banyak stamping kita boleh kumpul dari situ. Antara negara yang menjadi persinggahan popular di Carribean adalah:
1. Haiti
2. Barbados
3. Bahamas
4. Jamaica
5. St. Kitts
6. Mexico
7. Aktiviti
Banyak aktiviti dan persembahan yang sudah dirancang dan disediakan oleh pihak cruise ship dari siang hingga malam. Antaranya ialah kelas memasak, kelas fitness, kelas tarian, kelas menggubah bunga, permainan kuiz, ceramah dan macam-macam lagi.
Bergantung pada jenis kapal cruise itu sendiri, ada yang mempunyai kemudahan untuk aktiviti rock-climbing, dan ada pula yang mempunyai taman tema air lengkap dengan kemudahan gelungsur. Boleh dikatakan segenap segi hiburan disediakan untuk menghiburkan para penumpangnya.
Setiap pagi, para penumpang akan menerima sekeping surat berita yang dihantar oleh steward dari pintu ke pintu. Surat berita ini bagaikan surat khabar harian yang menceritakan aktiviti, kelas dan persembahan yang available untuk hari ini.
Apa Pendapat Aku Tentang Travel Dengan Cruise Ship?
In conclusion, sesetengah orang mungkin rasa seronok dengan pengalaman pelayaran mereka dengan cruise ship. Bagi aku pula, pelbagai faktor luaran dan dalaman, membuatkan aku rasa ragu-ragu untuk mencuba pengalaman naik cruise sekali lagi.
Aku tak serik, cuma kurang berminat. Seperti Jack Dawson dalam movie Titanic, aku agak struggle dalam berinteraksi dengan penumpang lain yang berperwatakan seperti golongan bangsawan seperti Rose.
Mungkin kapal cruise yang aku naiki tak sesuai dengan aku, tapi, bagi seorang yang lebih suka menerokai destinasi dalam masanya yang tersendiri, dan bukan dalam masa yang sudah ditetapkan oleh pihak lain, hati aku bukan untuk kapal cruise.