9 Lokasi Menarik Wajib Anda Ketahui Di Visakhapatnam

Andhra Pradesh merupakan negeri kedua belas dalam misi saya menjelajah ke semua 29 negeri di India melalui jalan darat. Kunjungan saya selama seminggu ke Visakhapatnam baru-baru ini sedikit sebanyak dapat menemukan beberapa tempat menarik untuk dikunjungi sekiranya anda merancang untuk terbang ke Visakhapatnam kelak.

War Memorial Vizag

Visakhapatnam (atau dikenali sebagai Vizag) adalah kota terbesar di Andhra Pradesh. Ia adalah sebuah bandar perindustrian, tetapi juga menarik pelancong kerana pantainya, taman-taman yang dibina dan dikendalikan dengan baik dan kawasan-kawasan indah yang berdekatan, seperti Araku Valley. Setakat tahun 2018, populasi kota ini adalah seramai kira-kira empat juta orang penduduk.

Vizag juga disebut sebagai “Goa of the East” kerana mempunyai pantai yang indah, bukit-bukit tanah merah dan landskap yang menakjubkan. Industri pelancongan dalam sektor perubatan turut berkembang pesat di sini. Selain itu Visakhapatnam juga dikenali sebagai Jewel on the Coromandel Coast, Steel City, dan the City of Destiny.

Visakhapatnam Central

Bahasa tempatan yang diguna pakai adalah Telugu. Selain itu bahasa Hindi, Oriya, Bengali, Punjabi, Marathi, Tamil dan Malayalam juga dituturkan di sini. Ini kerana terdapat kepelbagaian pekerja migran dari negeri-negeri lain datang ke Vizag yang menawarkan banyak peluang pekerjaan yang terdapat di syarikat-syarikat yang bertapak di sini.

Contohnya Vizag Steel Plant, Hindustan Petroleum, Bharat Petroleum, Hindustan Shipyard, Tentera Laut India, Limbungan, NTPC-Simhadri, dan lain-lain industri berskala kecil & sederhana. Di Visakhapatnam juga bertempatnya pangkalan tentera laut terbesar India yang dinamakan INS Kalinga, yang terletak kira-kira 25 km dari pusat bandar.

Pengangkutan

Teksi, auto-rickshaw, dan basikal sewa agak mudah didapati untuk anda bersiar-siar di sekitar kota. Terdapat juga bas awam yang disediakan oleh kerajaan negeri yang mana boleh didapati dari RTC Complex (hub bagi bas awam). Route setiap bas mempunyai akses ke setiap pelusuk bandar berdasarkan nombornya. Ringankan mulut untuk bertanya ke mana tujuan bas dan ke mana lokasi yang kita ingin tuju.

Ramai orang yang sedia membantu. Dan bagi saya sendiri, menaiki bas adalah cara termurah dan terbaik untuk meneroka Kota Visakhapatnam dengan cara hidup penduduk tempatan dan secara tidak langsung dapat menjimatkan duit saya daripada membayar teksi dan auto-rickshaw. Tapi harus diingat, jika anda menaiki bas ketika waktu puncak (7.30 – 11 pagi dan 5 – 7 petang), tempoh perjalanan anda mungkin akan mengambil masa yang lebih masa dari biasa.

Empat pantai yang menarik di Visakhapatnam:

1. Ramakrishna Beach

Ramakrishna Beach atau lebih dikenali sebagai, R.K. Beach adalah pantai yang paling popular di Visakhapatnam. Pantai ini sentiasa dikunjungi ratusan orang setiap hari dan pada hujung minggu mahupun hari cuti, pantai ini akan dibanjiri dengan kedatangan pengunjung walaupun tahap kebersihan di pantai ini tidaklah begitu baik. Walaubagaimanapun, mandi, berenang, dan meluncur adalah dilarang sama sekali dan para pengunjung yang datang cuma meluangkan masa di sini hanya duduk, bersiar-siar, dan mengambil gambar.

2. Rushikonda

11 km dari R.K Beach, Rushikonda adalah pantai yang popular di kalangan penduduk setempat. Dengan bukit bukau yang berdiri megah disekitarnya, panorama pantai ini terlihat indah. Terdapat beberapa resort yang didirikan di lereng bukit dan menghadap ke pantai. Aktiviti sukan air juga dilakukan di sini.

3. Gangavaram

Terletak kira-kira 10 km dari pusat bandar, Gangavaram merupakan salah satu pantai tercantik di Vizag. Tarikan pantai ini adalah struktur batu yang membentuk seakan pulau kecil dan ianya menarik kunjungan orang ramai.

4. Yarada Beach

Bersebelahan dengan Gangavaram, pantai ini sering disalah erti sebagai private beach. Sebenarnya para pelancong boleh ke pantai ini secara terus melalui Yarada village. Cuma bayaran sebanyak Rs 30 (RM 1.80) akan dikenakan sebelum memasuki kawasan ini untuk mengakses semua kedai dan restoran yang ada.

Rushikonda

Yarada Beach

Tempat-tempat lain yang boleh dikunjungi:

Kambalakonda Wildlife Sanctuary

Sebuah kawasan perlindungan hidupan liar yang bersifat indah dan terpelihara tetapi malangnya ramai penduduk tempatan yang tidak sedar akan kewujudannya. Hutan hijau, laluan pejalan dan pendaki, dan pemandangan sekeliling membuat saya terasa larut bersendirian dalam kedamaian di Kambalakonda sekaligus memberikan saya sedikit ruang sunyi daripada kesibukan bandar. Bayaran masuk nominal Rs 30 dikenakan untuk pengunjung dewasa.

Kailasagiri

Destinasi kegemaran penduduk tempatan. Perjalanan singkat ke puncak bukit ini memberikan pemandangan laut yang menakjubkan di mana terletaknya R.K. Beach dan Rushikonda di kanan dan kirinya. Terdapat kereta kabel yang dinamakan ropeway.

Pemandangan indah dapat dilihat dengan menaiki ropeway khususnya pada waktu senja ketika kota ini hidup dengan gemerlapan jutaan lampu. Di puncak bukit ini tersedia beberapa viewpoint yang memberi sudut pandang indah garis langit kota di satu sisi dan pantai berliku yang bersebelahan dengan bukit-bukit hijau pada sisi lainnya.

Simhachalam Hill

Suatu tempat yang berbaloi untuk dikunjungi sekiranya anda berkunjung ke Visakhapatnam. Terdapat sebuah kuil yang terbina pada abad ke-10 yang terkenal dengan kemegahan senibina Kerajaan Chola dan Chalukya walaupun terdapat beberapa patung yang telah rosak semasa serangan tentera Islam. Sebenarnya tujuan utama saya naik ke sini bukanlah untuk melawat kuil purba ini, tetapi hanya untuk melihat lanskap indah yang dapat diperoleh dari puncak Simhachalam Hill.

Submarine Museum

Muzium yang dibina dengan menggunakan sebuah kapal selam asli yang pernah digunakan oleh tentera laut India suatu ketika dahulu. Ia adalah kapal selam lama buatan Russia.

Muzium seumpama ini adalah yang pertama di Asia Timur. Memasuki muzium ini membolehkan para pengunjung mengetahui fakta-fakta menarik tentang bekerja di dalam kapal selam. Bayaran masuk Rs 25 dikenakan dan muzium ini dikawal sepenuhnya oleh para tentera laut yang telah bersara.

War Memorial

Terletak di seberang Submarine Museum, tujuan tugu peringatan perang ini dibina adalah untuk mengenang kemenangan di laut semasa perang Indo-Pakistani pada 1971. Terdapat pesawat tempur, kereta kebal dan beberapa replika peluru berpandu yang ditempatkan di tugu ini sebagai pameran. Tiada bayaran masuk dan ianya boleh dilihat dari jalan raya.

Membeli belah

Vizag boleh dikatakan sebagai tempat yang menarik untuk membeli belah terutamanya bagi para wanita kerana terdapat lambakan kompleks membeli belah di kota ini. Antaranya adalah Visakhapatnam Central, V Square, CMR Central, dan Chitralaya Shopping Mall.

Simhachalam Hill

Tip bagi penginapan

Jika anda adalah seorang backpacker yang mengembara dengan bajet kecil, anda tidak perlu mencari penginapan di mana-mana website atau aplikasi kerana kebanyakan penginapan murah di India tidak berdaftar dengan ejen carian. Sebaiknya pergi sahaja ke pusat bandar dan walk-in ke lodge-lodge yang menawarkan dormitory. Ia boleh didapati dengan harga serendah Rs 100 untuk satu malam.

P.S. Penerbangan pesawat Air Asia dari Kuala Lumpur ke Visakhapatnam adalah antara yang termurah sekiranya anda mahu terbang ke India.

Kambalakonda Wildlife Sanctuary


R.K Beach

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *