|

10 Kolam Air Panas Semulajadi Di Malaysia

Jika anda ingin mandi di kolam air panas semulajadi di Malaysia, kami ada beberapa cadangan lokasi kolam air panas yang mungkin anda boleh pergi.

Kolam air panas semulajadi terhasil apabila mata air yang mengalir dari kerak bumi menjalani proses geoterma iaitu proses panas bumi. Suhu air panas ini adalah 37°C dan ada yang mencecah melebihi takat didih iaitu 100°C.

Jika ada yang tak tahu, sebenarnya terdapat pelbagai manfaat mandi di kolam air panas, lebih-lebih lagi kolam air panas semulajadi. Antaranya adalah dapat memberi tidur yang nyenyak, melegakan demam dan selsema, membantu membakar kalori pada badan dan sebagainya.

Jadi tidak hairanlah negara luar khususnya Jepun gemar untuk mandi di kolam air panas. Jika anda ingin turut merasai bermnadi air panas, kami sediakan beberapa lokasi kolam air panas semulajadi di Malaysia untuk anda kunjungi.

Kolam Air Panas Sg Klah

Imej via [ Felda Residence Hot Spring, Sungkai ]

Kolam air panas Sungai Klah antara yang terkenal di Malaysia yang juga bertaraf antarabangsa. Keadaan dan pemandangan sekeliling juga amat mengagumkan. Berada dikelilingi bukit-bukau serta tanaman herba dan buah-buahan pasti memberikan suasana yang tenang.

Kolam air panas telah dibina seperti lembah sungai. Selain kolam air panas, terdapat beberapa buah kolam lain bersama taman dan pancutan air yang dibina untuk tarikan pengunjung. Uniknya di sini terdapat juga kolam rawatan terapeutik yang dikawal suhunya antara 30 hingga 43 darjah celcius.

Hampir setiap kolam telah ditandakan dengan kadar suhu kolam tersebut untuk keselamatan pengunjung kerana suhunya mencecah 100 dan 102 darjah celcius. Lepas mandi anda juga boleh berurut dengan harga yang berpatutan.

Lokasi: 35600 Sungkai, Perak

Kolam Air Panas Ulu Legong

Imej via [ Ulu Legong Hotspring ]

Turut dikenali sebagai Ulu Legong Hotspring, ini merupakan salah satu tempat menarik di Kedah yang anda perlu kunjungi bersama keluarga. Di sini kawasannya cukup luas yang menempatkan lima buah kolam.

Istimewanya di sini, ada satu kolam khas untuk kanak-kanak dan satu kolam khas untuk wanita. Jadi, senang untuk para muslimah mandi secara privasi. Tiga kolam lain mempunyai suhu berbeza iaitu suam, sederhana panas dan panas.

Nak datang pukul berapa pun tak kisah kerana pusat rekreasi ini dibuka 24 jam. Nak datang tengah malam atau subuh pun boleh. Jika anda pengunjung dari luar negeri, menginaplah di sini kerana terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan dengan harga yang murah.

Waktu operasi: Setiap hari (Dibuka 24 jam)

Lokasi: Kampung Keda Ulu Legong, 09100 Baling, Kedah

Kolam Air Panas Selayang

Imej via [ Majlis Perbandaran Selayang ]

Warga kota boleh menikmati kolam air panas di Batu Caves. Antara kemudahan yang disediakan seperti tandas, parkir dan pondok kecil untuk beristirehat.

Nak mandi dengan mudah? Apa kata anda menyewa gayung, besen atau baldi yang disediakan di kolam ini. Dah berendam sudah pasti akan rasa lapar. Jangan risau, terdapat beberapa gerai yang jual makanan dan minuman dengan harga berbaloi.

Waktu operasi: Setiap hari ( Dibuka 24 jam)

Lokasi: Baru Selayang, 68100 Batu Caves, Selangor

Kolam Air Panas Bentong

Imej via [ Places and Foods ]

Sekiranya anda berada di Bentong, menginaplah di resort Erya by Suria kerana berhampiran dengan kolam air panas ini. Kola mini mempunyai dua kolam air panas yang utama dengan paras yang berbeza.

Anda boleh bersantai di sini secara percuma, namun bayaran akan dikenakan jika anda menggunakan tandas. Kemudahan asas seperti tandas, parkir, pondok kecil dan gerai makan pasti memudahkan urusan anda.

Lokasi: Kolam Air Panas, 28700 Bentong, Pahang

Kolam Air Panas Chengkau

Kolam air panas ini cukup terkenal, bukan sahaja di Negeri Sembilan malah serata negeri. Buktinya ramai pengunjung luar negeri dan ada juga dari luar negara. Bukan sahaja boleh mandi, ramai yang datang untuk merendam kaki dan merebus telur.

Kawasan kolam air panas ini sedikit terhad kerana berada di kawasan persendirian. Namun, tiada bayaran dikenakan. Bila percuma, anda perlulah menjaga kebersihan sekeliling. Jika anda berada di Rembau, anda memang perlu ke sini!

Lokasi: Kampung Lada, Chengkau, Negeri Sembilan.

Kolam Air Panas Cherana Putih

Imej via [ Air Panas Cherana Putih ]

Jika anda ke sini, jangan lupa membawa juadah dari rumah untuk berkelah di keliling kawasan ini. Kolam air panas ini dibuka setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 12.00 malam. Walaupun dikenakan bayaran untuk masuk, namun anda bebas untuk keluar dan masuk sehingga 12 malam.

Tiket dikenakan dengan kadar RM 7 untuk dewasa, RM 5 untuk kanak-kanak manakala RM 6 untuk warga emas. Sedikit keistimewaan buat pesakit strok, parkinson dan pengguna wheelchair kerana dapat memasuki kawasan ini dengan percuma.

Tempat ini juga sesuai untuk kanak-kanak kerana terdapat inflatable waterpark untuk mereka mandi dengan riang.

Lokasi: Alor Gajah, Melaka

Kolam Air Panas Jasin

Imej via [ Air Panas Bemban, Jasin/APJ Inflatable Waterpark ]

Di Jasin juga ada kolam air panas persis taman tema air mini. Walaubagaimanapun cukup selesa buat pengunjung dari anak-anak hingga warga emas.

Buat pengetahuan anda, kolam air panas ini adalah kolam air panas tertua di Malaysia di Malaysia kerana telah wujud dari era 80-an lagi. Pelbagai fasiliti disediakan seperti tandas, surau, tempat sewaan untuk bbq dan sebagainya.

Selain kolam air panas, terdapat beberapa kolam lain. Menariknya di sini, anak-anak pasti terhibur bermain inflatable pool yang besar beberapa gelongsor air.

Harga tiket: Dewasa (RM 10) | Kanak-kanak (RM 7)

Waktu operasi: Isnin (3.00 petang – 12.00 tengah malam) | Selasa, Rabu, Khamis & Ahad (9.00 pagi – 12.00 tengah malam) | Jumaat & Sabtu (9.00 pagi – 2.00 pagi)

Lokasi: Bemban, Melaka

Kolam Air Panas Labis

Imej via [ Johor Info Channel ]

Terletak di Johor, kolam air panas Labis juga luas, bersih dan selesa. Empat buah kolam dengan kedalaman berbeza sesuai untuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

Pelbagai kemudahan disediakan buat pengunjung seperti surau, tandas dan sauna. Taman permainan di sini pasti membuatkan anak-anak anda dapat berekreasi dengan riang dan selamat. Jika anda nak ke sini, cari sahaja Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis.

Harga tiket: Dewasa (RM 2) | Kanak-kanak (RM 1)

Waktu operasi: Isnin-Jumaat (3.00 petang-7.00 petang)| Sabtu, Ahad, cuti sekolah & cuti umum (9.00 pagi-7.00 petang)

Lokasi: Air Panas, 85300 Labis, Johor

La Hot Spring

Imej via [ Terengganu 360 ]

Sekiranya anda mencari kolam air panas di Malaysia yang berada dikelilingi alam flora, anda memang perlu datang ke La Hot Spring yang terletak di Terengganu. Semestinya dapat menenangkan fikiran sambil menghirup udara yang segar.

Untuk keselesaan pengunjung, tandas, surau dan chalet untuk disewa turut disediakan. Tempat ini berdekatan dengan Lata Kolam Air Deru Ecopark. Jadi anda boleh luangkan masa di sana dengan pelbagai aktiviti santai dan aktiviti lasak.

Lokasi: Sungai Peng, 22010 Jerteh, Terengganu

Kolam Air Panas Panchor

Imej via [ Kamek Miak Sarawak ]

Terletak di Sarawak, kolam di sini berada setempat dan agak luas. Setiap kolam dibina berbentuk segi empat. Nak mandi atau berendam kaki pun boleh.

Ada ruang berehat dan kawasan berbumbung untuk pengunjung. Berada di kawasan yang dikelilingi pokok-pokok kehijauan, pasti rasa mendamaikan. Paling penting, tandas dan ruang persalinan disediakan dengan bersih dan selesa.

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 pagi-9.30 malam)

Lokasi: Hotspring Kampung Panchor, Dayak, Kuching, Sarawak

Banyak sebenarnya lokasi kolam air panas di Malaysia. Hampir  setiap negeri mempunyai keistimewaan ini. Tak dapat dinafikan memang banyak kelebihan mandi di kolam air panas untuk kesihatan tubuh badan. Sesuai untuk seisi keluarga tidak kira umur.

Anda suka akan tempat bertemakan alam untuk bersantai dan menenangkan minda? Jom tengok lokasi-lokasi yang mungkin menjadi pilihan anda untuk bercuti seperti:

Similar Posts