Kisah Pembancuh Teh Yang Melancong Keliling Dunia Bersama Isterinya
“Tiada yang mustahil.”
Ini baris kata tipikal yang biasa kita dengar, tapi itulah yang diterjemahkan oleh Vijayan, seorang lelaki berusia 65 tahun yang memiliki sebuah kedai teh di pinggir jalanan sesak Kochi dalam kehidupannya bertahun-tahun dengan kerja keras dan titik peluh demi menggapai mimpi-mimpinya semasa kecil.
Vijayan telah menjadi pembancuh teh selama lebih daripada lima puluh tahun, dan kedai inilah satu-satunya sumber pendapatan yang membawa beliau dan isterinya melancong ke lebih dua puluh negara.
Hidupnya agak sukar ketika membesar. Trip bersama bapanya ke hampir semua kuil di Kerala telah mewujudkan mimpi untuk melakukan pengembaraan. Walaubagaimanapun kematian bapanya telah membawa kemungkinan yang semua perjalanan terpaksa dihentikan apabila dia perlu mengambil semua tanggungjawab keluarga. Tetapi perjalanan Vijayan bermula kembali pada 1988 ketika dia membuat ziarah ke Himalaya (salah satu destinasi haji bagi penganut hindu).
“Apakah maksud sebuah perjalanan jika tidak dikongsi bersama seseorang?” Kata Vijayan merujuk kepada isterinya, Mohana. Sebelum berkahwin, kehidupan Mohana cuma berkisar di sekitar Ernakulam. Tetapi selepas berkahwin, pasangan ini mula meneroka pelbagai bandar eksotik di seluruh India. Malah kegembiraan bercerita tentang kisah perjalanan nampak jelas pada raut wajah Vijayan ketika memberitahu saya yang dia telah dua kali ke Kuala Lumpur dan Singapura.
Vijayan sangat teruja saat kali pertama terbang ke luar negara. Berasal daripada sebuah keluarga miskin, dia sama sekali tak pernah menggambarkan kehidupan yang seperti ini. Kemudian bersama isterinya, mereka terobsesi dengan perjalanan. Bagi Vijayan, setiap pengalamannya adalah berbeza, dari memasuki padang pasir di UAE hinggalah menyusuri keindahan Sungai Nil di Mesir – antara tempat-tempat yang dia ingin kunjungi sekali lagi.
Hakikatnya, gaya hidup seperti ini bukanlah mudah. Lebih-lebih lagi dengan sumber pendapatan mereka yang berpaksi dari kedai teh. Maka pinjaman bank adalah satu-satunya jalan bagi mereka untuk merealisasikannya.
Kedai ini tidak selalu penuh dengan pelanggan, justeru pendapatan hariannya pun tidaklah banyak. Dengan sumber kewangan yang terhad, cara Vijayan dan isterinya mengekalkan gaya hidup mereka adalah dengan menabung 300 rupee (RM17) setiap hari secara konsisten sebagai dana membeli tiket pesawat.
Kemudian dana perbelanjaan mereka semasa melancong pula adalah dengan cara membuat pinjaman di bank – Melancong ke luar negara – Pulang ke tanah air – bayar ansuran pinjaman hingga selesai – ulang semula.
Bunyinya mungkin seakan membebankan, tapi bagi saya, semua itu bukanlah masalah kerana setiap orang punya cara tersendiri untuk mewujudkan perjalanan. Begitu juga anda.
“Tidak ada yang mudah, dan akan muncul bermacam halangan, tapi semua itu dapat dikalahkan dengan kerja keras. Jika kita betul-betul mahu mengejar mimpi, tak ada apa pun yang boleh menghalang,” kata Vijayan.
Meskipun ditekan dengan beban kewangan, Vijayan sentiasa bersikap tegar dengan satu perkara – dia tidak pernah sekalipun meninggalkan isterinya. “Saya tidak akan melancong sendirian, saya cuma akan gembira bila dia ada bersama.” Katanya sambil tersengih mengakhiri perbualan semasa kami berjabat tangan.
Cerita tentang pasangan ini merupakan contoh terbaik bagi kita untuk tidak berputus asa dalam menggapai cita-cita. Sesetengah mimpi itu memang sangat bernilai, namun lebih bermakna apabila ia tertunai. Dan kisah tentang pasangan Vijayan dan Mohana ini adalah salah satu daripadanya.
P.S. Saya tak berkesempatan berjumpa Mohana sebab dia tiada di kedai sewaktu saya datang ke sini.