|

Houseboat Tasik Kenyir: Pengalaman Menarik

Houseboat Tasik Kenyir adalah salah satu percutian yang menarik dan unik lebih-lebih lagi buat mereka yang inginkan percutian santai dan tenang. Sebut saja berkaitan houseboat, pasti ramai terbayang houseboat di Tasik Kenyir dan Tasik Banding.

Menginap di rumah bot menjadi percutian trend terkini yang diidamkan oleh ramai orang. Pengalaman unik menginap di rumah bot dan dikelilingi alam flora dan fauna memang menenangkan. Hilang rasa penat bekerja dan jauh dari kesibukan kota.

Terletak di Hulu Terengganu, Tasik Kenyir merupakan sebuah tasik buatan manusia yang telah siap dibina pada tahun 1988. Terdapat 340 buah pulau di sekitar tasik yang pada asalnya merupakan sebuah hutan dan bukit yang telah ditenggelami air.

Banyak tempat dan aktiviti menarik di Tasik Kenyir dan kebanyakannya adalah aktiviti bersama alam yang menyeronokkan. Jika anda bercuti di Houseboat Tasik Kenyir, anda juga boleh melakukan aktiviti tersebut.

Menarik dan berbaloikah bercuti di Houseboat Tasik Kenyir? Nak tahu tips dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan sepanjang penginapan di rumah bot? Ikuti perkongsian perjalanan menaiki rumah bot yang dikongsikan oleh Zaim Ismail menerusi laman Facebooknya.

Perjalanan Sepanjang Menginap di Houseboat

Percutian di rumah bot Tasik Kenyir yang dikongsikan oleh Zaim Ismail ini telah diadakan selama 2 hari 1 malam pada tahun 2020, menaiki Captain Houseboat. Berikut merupakan ringkasan itinerary atau aktiviti sepanjang berada di rumah bot.

Hari Pertama

  • Tiba di Pengkalan Gawi
  • Check in di “Captain Houseboat
  • Bergerak menuju ke Air Terjun Lasir
  • Sarapan dengan bekal yang dibawa dari rumah
  • Singgah di Pulau Herba untuk menikmati keindahan pulau sambil minum air Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mahkota Dewa dengan percuma.
  • Menuju ke Air Terjun Lasir.
  • Dalam perjalanan, kaum hawa dah mula sibuk di dapur houseboat untuk menyiapkan juadah makanan tengahari. Semua bahan mentah seperti beras, gula, lauk pauk dan perencah kami bawa sendiri dari rumah.
  • Tiba di Air Terjun Lansir
  • Makan tengahhari, solat dan berehat
  • Memancing dan bermandi-manda
  • Barbeku

Hari Kedua

  • Menuju ke Sintuari Kelah
  • Bergerak ke Check Point 1, Checkpoint 2 dan Checkpoint 3
  • Menikmati keindahan hutan semula jadi, sungai dan jeram. Air sungai sangat jernih hingga menampakkan ikan-ikan berenang di dalamnya.Teruja melihat hidupan yang unik.
  • Bermain bersama ikan kelah
  • Bermandi-manda
  • Makan tengahhari
  • Bergerak pulang menuju ke Pengkalan Gawi

Tips Tambahan:

1. Tempahan houseboat hendaklah dibuat awal. Kebiasaannya 1 hingga 3 bulan sebelum program.

2. Kadar sewa Houseboat untuk 2 hari 1 malam dalam lingkungan RM1,800 hingga RM2,200 (yang biasa-biasa dan selesa).

3. Kapasiti bot boleh memuatkan 25 hingga 30 orang dewasa.

4. Bayaran tiket dikenakan untuk memasuki beberapa tempat menarik seperti ke Sintuari Kelah. Tempahan tiket perlulah dibuat dengan lebih awal.

5. Beberapa bahan keperluan memasak seperti ais dan arang ada dijual di kedai kopi Pengkalan Gawi.

6. Peralatan memasak seperti pinggang mangkuk, sudu, gelas, periuk belanga dan peti ais telah tersedia di dalam houseboat.

7. Tiada rangkaian jalur lebar sepanjang berada di Tasik Kenyir.

Menurut Zaim Ismail, masing-masing kelihatan bergembira sepanjang perjalanan di houseboat Tasik Kenyir ini dan dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

Tengok sahaja tentatif programnya, sudah tahu ia sangat menyeronokkan lebih-lebih lagi bercuti bersama yang tersayang. Bercuti dikelilingi alam flora dan fauna secara tidak langsung memberi pengetahuan dan pendedahan terhadap keindahan ciptaan Tuhan.

Houseboat Di Tasik Kenyir

Imej via [ Amazon Houseboat Tasik Kenyir ]

Seperti yang anda sedia maklum, ramai pengusaha houseboat Tasik Kenyir yang menyediakan pelbagai rumah bot yang berbeza. Bukan sahaja pakej berbeza, malah harga, bilangan pax, bilangan bilik, kemudahan dan sebagainya juga berbeza di setiap rumah bot.

Bukan itu sahaja, antara faktor yang perlu dipertimbangkan sewaktu memilih pakej rumah bot adalah kemudahan keselamatan, tiket masuk ke tempat-tempat menarik di Tasik Kenyir serta aktiviti yang disediakan. Oleh itu, rancang dan pilihlah pakej yang menepati citarasa anda.

Berminat untuk merasai pengalaman menginap di rumah bot? Di sini kami kongsikan beberapa pihak houseboat Tasik Kenyir untuk rujukan anda.

Tempat Menarik Di Tasik Kenyir

Imej via [ Kenyir Elephant Conservation Village ]

Di Tasik Kenyir, terdapat beberapa tempat menarik yang anda boleh kunjungi. Anda juga perlu tahu, sesetengah tempat mengenakan kadar tiket tertentu. Ada sesetengah pengusaha bot atau agen yang memasukinya ke dalam pakej. Jika tidak, ini tempat yang boleh anda kunjungi iaitu:

  • Kelah Sanctuari
  • Air Terjun Lasir
  • Air Terjun Saok
  • Taman Orkd
  • Taman Rama-rama
  • Taman Herba
  • Gua Bewah
  • Kenyir Elephant Conservation Village
  • Gunung Gagau

Percutian di houseboat Tasik Kenyir sesuai untuk percutian keluarga besar yang ingin meraikan hari keluarga. Ada juga yang datang bersama rakan-rakan dan kumpulan tertentu. Yang pasti, ianya bakal menjadi percutian yang menyeronokkan dan menenangkan tanpa sebarang gangguan luar.

Mencari tempat menarik di Terengganu? Jangan lupa singgah ke tempat-tempat ini:

Similar Posts