18 Tempat Menarik Di Putrajaya. Bandar Dalam Taman Ini Pasti Memukau Mata Anda Dengan Kecantikan Landskapnya.
Bila sebut sahaja Putrajaya, kia pasti membayangkan kawasan ini penuh dengan bangunan blok-blok pejabat kerajaan memandangkan Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan Malaysia. Namun, tahukah anda, selain bangunan-bangunan kementerian kerajaan yang tersergam indah, ia juga menempatkan pelbagai tempat menarik yang anda boleh lawati bersama keluarga, tanpa mengira usia.
Jom kita tengok mana satu tempat menarik di Putrajaya yang menjadi pilihan anda sekeluarga untuk anda terokai pada hujung minggu nanti.
1) Perdana Putra
Perdana Putra merupakan bangunan pejabat Jabatan Perdana Menteri. Bangunan ini berkubah hijau yang mempunyai senibina berunsurkan islamik yang sangat cantik. Ia terletak bersebelahan dengan Masjid Putrajaya dan Dataran Putra. Walaupun ia adalah bangunan pejabat, namun premis ini dibuka untuk lawatan orang awam pada waktu-waktu tertentu.
Lokasi: Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya
Waktu Lawatan: Isnin – Jumaat (8.00pagi – 12.30tengah hari & 2.00petang – 4.30petang)
2) Masjid Putra
Masjid Putra Putrajaya merupakan salah satu mercu tanda bagi bandar Putrajaya. Bagi Muslim, tidak lengkap jika anda ke Putrajaya tetapi tidak singgah dan solat di Masjid ini. Masjid ini dikelilingi oleh tasik yang besar dgn pemandangan yang sangat cantik. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Pejabat Perdana Menteri dan dibina dalam satu kawasan yang sangat lapang dikenali juga sebagai dataran Putra.
Lokasi: Persiaran Persekutuan, Presint 1, 62502 Putrajaya
3) Dataran Putra
Dataran Putra terletak berhadapan Masjid Putra dan Perdana Putra. Walaupun dataran ini kosong dan lapang, tetapi ramai pengunjung yang memanfaatkan ruang ini untuk bersantai-santai dan bergambar. Namun, pada waktu malam, Dataran Putra ini sangat meriah. Bersantai sambil membawa anak2 bermain bermacam-macam permainan yang boleh dibeli dan disewa di sini antaranya kasut roda, skuter, basikal, kereta control dan banyak lagi.
Lokasi: Presint 1, 62000 Putrajaya
4) Tasik Putrajaya
Tasik ini mula dibina pada tahun 1998 dan siap sepenuhnya pada tahun 2002 apabila dua buah sungai yang diempang iaitu Sungai Chuau dan Sungai Bisa telah membentuk sebuah tasik. Keindahan tasik Putrajaya ini pastinya mampu menarik minat pengunjung untuk datang bersama keluarga kerana lokasi yang menjanjikan ketenangan dengan pokok-pokok menghiasi tasik buatan manusia ini.
5) River Cruise Putrajaya
Anda bukan sahaja dapat menikmati keindahan Tasik Putrajaya, tetapi juga dapat melihat keindahan bandar Putrajaya dengan menggunakan River Cruise Putrajaya. Terdapat dua jenis perkhidmatan utama disini antaranya bersiar menaiki kapal dan bersiar sambil menikmati hidangan. Disini terdapat 3 jenis kapal moden dan tradisional. Tempahan awal amat digalakkan untuk penjimatan 50% diskaun!
Lokasi: Jeti Putra, Jambatan Putra, Presint 1, 62000 Putrajaya
6) Taman Botani Putrajaya
Ia merupakan sebuah taman botani buatan manusia yang menempatkan ribuan spesis tumbuhan dalam dan luar negara. Taman Botani ini terbahagi kepada 3 bahagian dan anda boleh menyewa basikal disini atau menaiki tram untuk mengelilingi taman ini. Pokok yang ditanam juga disertakan dengan informasi saintifik bagi memudahkan pengunjung mengenali asal usul pokok dan tumbuhan.
Antara yang menjadi tarikan disini adalah di ‘Floral Garden’. Ia menempatkan pelbagai jenis bunga-bungaan dari seluruh pelusuk dunia. Bagi anda yang cintakan keindahaan flora, jangan lepaskan peluang untuk melawati Taman Botani Putrajaya. Lawatan ke Taman Botani Putrajaya pasti menjadi satu terapi buat anda.
Lokasi: Presint 1, Putrajaya
7) Taman Saujana Hijau
Taman ini merupakan sebuah kawasan yang sesuai bagi mereka yang gemarkan tumbuhan jenis gimnosperma tropika dan subtropika. Kawasan taman yang berbukit memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat panorama keseluruhan Putrajaya dengan lebih jelas. Taman ini terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Saujana Utara, Saujana Tengah dan Saujana Selatan dalam kawasan seluas 47 hektar. 3 konsep dalam Taman Saujana Hijau iaitu Bustan Inggeris, Bustan Oriental dan Bustan Eropah. Konsep-konsep ini merupakan tarikan unik ditaman ini. Suasana di Bustan seolah-olah seperti di luar negara. Anda tak perlu ke luar negara untuk bergambar dengan latar belakang taman bunga seperti di luar negara.
Lokasi: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya
8) Taman Wetland Putrajaya
Kepada sesiapa yang ingin merancang bercuti ataupun melawat Putrajaya, Taman Wetland merupakan satu destinasi wajib untuk dilawati. Keindahan alam flora dan fauna serta habitat pelbagai burung dan kecantikan semula jadi membuatkan lawatan anda ke sini sangat menyeronokkan. Di taman rekreasi ini juga terdapat menara pemerhati setinggi 18 meter, nurseri tanaman, denai semula jadi, kolam flamingo, kawasan berkelah. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini seperti berjogging, berkayak, memancing , berbasikal, paddel boat dan lain-lain lagi.
Untuk makluman anda, hanya Taman Wetland sahaja tempat yang dibenarkan untuk memancing di Putrajaya. Dengan bayaran sebanyak RM20 untuk satu joran, pemancing boleh memancing sepuas hati. Memancing tanpa permit atau kebenaran boleh dikenakan kompoun dan joran akan dirampas oleh pihak perbandaran. Bot memancing juga turut disediakan dengan caj RM20 untuk 4 jam. Jadi sebelum memancing, pastikan anda berada ditempat yang betul dan memiliki permit memancing untuk mengelakkan anda dikenakan sebarang kompoun.
Lokasi: Presint 13, Putrajaya
9) Skyrides Festival Park
Skyrides Festival Park merupakan salah satu tarikan di Putrajaya yang lain dari lain. Ia dirasmikan pada 1 Mei 2015. Taman tema yang memfokuskan aktiviti sekeluarga ini merangkumi SkyWarrior Rainforest Challenge, SkyKids, SkyGallery, SkyDemo dan yang paling menarik, anda boleh ‘terbang’ setinggi 120 meter ke udara dengan SkyBalloon yang merupakan Malaysia’s 1st Biggest Tethered Balloon Ride. Tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke Skyrides Festivals Park. Namun bayaran akan dikenakan sekiranya anda ingin melakukan aktiviti seperti menaiki belon udara panas.
Lokasi: Jalan P2m, Presint 2, 62100 Putrajaya
10) Masjid Besi
Nama bagi Masjid Besi adalah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Masjid ini mula dibina pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2009. Masjid ini dibina bagi menampung sekitar 24,000 orang penduduk dan penjawat kerajaan sekitar pusat bandar serta kawasan Presint 2, 3, 4 dan 18. Masjid ini mempunyai keluasan sekali ganda berbanding Masjid Putra. Masjid Besi ini menjadi mercu tanda baru bagi Putrajaya.
Lokasi: 25, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Presint 3, 62100 Putrajaya
11) Taman Cabaran
Seperti mana namanya, anda pasti dapat jangka bahawa taman ini penuh dengan cabaran. Taman Cabaran Putrajaya menyediakan aktiviti yang menguji kekentalan stamina pengunjung. Oleh itu, bagi anda yang sukakan cabaran, jangan lepaskan peluang ini untuk beraksi dan menguji kemampuan diri menggunakan kemudahan yang tersedia.
Taman Cabaran Putrajaya mencabar kebolehan diri anda dengan aktiviti Wall Climbing. Bayaran serendah RM6 seorang bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak yang ini pasti berbaloi. Keselamatan di Taman Cabaran Putrajaya ini juga tidak perlu diragukan kerana terdapat peralatan keselamatan yang boleh disewa dengan harga yang berpatutan seperti kasut, tali, beg dan peralatan memanjat yang lain kepada pengunjung.
Bagi anda yang meminati sukan berbasikal pula, anda pasti akan teruja kerana Taman Cabaran Putrajaya turut menawarkan Mountain Bike Trail. Laluan penuh cabaran ini pasti menjelmakan keterujaan pengunjung dan mampu memupuk minat kepada yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini.
Satu lagi sukan yang sangat diminati generasi muda iaitu Skate Board. Penggemar sukan ini sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk beraksi di Taman Cabaran Putrajaya kerana lokasi ini menawarkan gelanggang Skate Board yang jarang diperoleh di tempat lain.
Lokasi: Jalan P5, Presint 5, 62200 Putrajaya
12) Muzium Alam Semulajadi
Muzium Alam Semula Jadi Putrajaya menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung apabila kesemua artifak alam semula jadi yang berada ini sini merupakan kehidupan sebenar yang diawetkan untuk tatapan pengunjung. Haiwan liar yang hampir pupus di negara ini seperti harimau, kancil dan sebagainya terdapat di muzium ini. Pengunjung boleh membawa anak-anak mereka untuk mengenali secara dekat hidupan liar ini yang barangkali hanya pernah dilihat melalui kaca television sahaja atau juga di zoo.
Malah, rangka hidupan laut terbesar iaitu ikan paus juga terdapat di sini. Hal ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali secara lebih dekat dengan hidupan air yang terbesar di dunia itu. Pelbagai pengetahuan baru berkaitan hidupan liar pasti akan diperoleh jika pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri keunikan Muzium Semula Jadi Putrajaya ini.
Lokasi: Jalan P5/5, Presint 1, 62000 Putrajaya
13) Alamanda
Alamanda Putrajaya merupakan pusat membeli-belah yang menawarkan bukan sekadar pilihan barangan berjenama, tetapi juga hiburan keluarga seperti pawagam dan bowling. Pengunjung juga tidak perlu ke lokasi lain jika mahu menikmati makanan kerana di sini juga telah disediakan medan selera yang sangat eksklusif sambil menghayati keindahan alam semula jadi. Justeru, boleh dikatakan bahawa Alamanda Putrajaya merupakan lokasi pilihan keluarga untuk bercuti kerana tawaran hebat dan kemudahan yang disediakan di sini pasti menggembirakan hati pengunjung.
Lokasi: Jalan Alamanda Precinct 1, 62000 Putrajaya
14) Marina Putrajaya
Marina Putrajaya (dahulu dikenali sebagai Pusat Maritim) adalah salah satu destanasi tumpuan pelancong apabila bertandang ke Putrajaya. Ia terletak bersebelahan Hotel Pullman. Sesuai dengan taglinenya, Its More Than Just A Marina (Ia lebih daripada Sebuah Marina), kerana keadaannya yang tenang dan berhawa dingin pasti membuatkan sesiapa sahaja yang bertandang ke situ merasa damai apatah lagi ia terletak bersebelahan tasik yang begitu mempesona.
Marina Putrajaya ditubuhkan pada tahun 2008. Bagi anda yang merupakan seorang penggemar sukan air, anda boleh berkayak, berkanu, meluncur, menaiki perahu naga, kapal layar, ski dan sebagainya di tasik yang berada bersebelahan bangunan ini. Marina Putrajaya juga menawarkan pakej bulanan bagi mereka yang berminat untuk ke gimnasium, sauna, snuker dan pool serta squash hanya RM150.
Lokasi: 1, Jalan P5/5, Presint 5, 62200 Putrajaya
15) Jambatan-Jambatan di Putrajaya
Oleh kerana Putrajaya dikelilingi oleh banyak tasik, maka terdapat banyak jambatan yang tersergam indah di sekitar Putrajaya. Antaranya:
1) Jambatan Putra merupakan sebahagian laluan rasmi utama yang menghubungkan Dataran Putra dengan Boulevard, jambatan ini menghubungkan Presint 1 (Presint Kerajaan) dan Presint 2 (Pembangunan Campuran) di Pulau Utama.
2) Jambatan Seri Wawasan terletak di sebelah Barat Putrajaya, penghubung di antara Presint 2 dan Presint 8, serta memudahkan perjalanan merentasi Tasik Putrajaya. Jambatan ini mempunyai struktur menarik dan mempunyai nilai estetika tinggi serta kelihatan kontemporari, di mana reka bentuk kabel-penyangganya diilhamkan daripada keindahan sebuah kapal layar yang meregang ditiup angin.
3) Jambatan Seri Saujana ini terletak di Barat-daya bandar ini menghubungkan Presint 7 dan Presint 4. Jambatan ini merupakan jambatan pertama yang berjaya menggabungkan dua teknik kejuruteraan berbeza iaitu gerbang dan kebel-penyangga, di mana ia merupakan revolusi dalam pembinaan jambatan serta merupakan detik kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan di Malaysia.
4) Jambatan Seri Gemilang ini merupakan salah satu penghormatan kepada Dato Seri Dr Mahathir bin Mohamad, di mana beliau benar-benar tertarik dengan sebuah jambatan klasik iaitu Pont Alexandre III di Paris, Perancis. Sebagai menghormati Perdana Menteri pada ketika itu, pereka bentuknya telah menyahut cabaran untuk membina Jambatan Seri Gemilang setanding sebagai ‘kembar’ menakjubkan kepada Jambatan Pont Alexandre III. Jambatan ini menerapkan ciri-ciri seni bina dan kemasannya yang halus bagi mempersonakan para pengunjung terutamanya kepada perwakilan yang menghadiri berbagai persidangan di Pusat Konvensyen Putrajaya.
5) Jambatan Seri Bestari merupakan jambatan di sebelah Timur Laut Putrajaya yang menghubungkan Pulau Utama dengan Taman Warisan Pertanian di Presint 16 dan menjadi laluan terus dari kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri ke Pulau Utama. Keunikan jambatan ini terletak pada gerbang di bawah jambatan yang menampilkan reka corak estetika dan menyerlah.
16) Astaka Morocco
Astaka Morocco terletak bersebelahan dengan taman Botani ini. Anda hanya perlu berjalan kakisahaja dari Taman Botani untuk sampai ke sini. Keindahan seni di Astaka Morocco ini diilhamkan dari Morocco. Ketelitian dan kehalusan seninya membuatkan ramai kagum dengan astana ini. Kerana keindahannya, tepat ini sering dijadikan tempat untuk sesi fotografi.
Lokasi: Presint 1, 62000 Putrajaya
17) IOI City Mall
Selain Alamanda, IOI City Mall merupakan satu lagi kompleks membeli-belah mega yang terdapat di Putrajaya. IOI City Mall ibarat one stop centre bagi anda sekeluarga yang mencari-cari tempat untuk membeli-belah, tempat makan dalam masa yang sama dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang best bersama keluarga.
Ia terdir daripada 4 aras dan mempunyai lebih daripada 300 lot kedai. IOI City Mall terkenal dengan tarikan hiburan sekeluarga seperti District 21, Ice Skating, pawagam GSC dan macam-macam lagi.
Lokasi: IOI Resort City, IOI Resort, 62502 Putrajaya
18) District 21
District 21 adalah tarikan terbaru seisi keluarga. Taman rekreasi ini terletak di dalam IOI City Mall, Putrajaya. Ia ibarat playground ala Fear Factor yang bukan saja sesuai untuk anak-anak, tetapi juga remaja dan juga ibu bapa yang sukakan aktiviti lasak. Antara halangan yang terdapat dalam District 21 termasuklah Go-Pedal, Pump Track, Power Station, Low Ropes, Launch Pad, The Maze, Free Fall, Sky Trail, Tubby Ride and Roller Glider.
Ada juga kawasan khusus yang disediakan untuk anak-anak kecil. Jadi, sementara menunggu abang dan kakak bermain di bahagian yang lebih mencabar, anda boleh bawa anak yang lebih kecil bermain di mini playground atau caraousel yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.
Lokasi: 6, Tingkat 1, IOI City Mall, 62502 Putrajaya
Itulah dia 18 tempat menarik di Putrajaya yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Putrajaya. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Semenyih, Selangor dan Tempat Menarik Di Kuala Selangor.