15 Tempat Menarik Percuma di KL (Mesti Pergi)
Jom teroka tempat menarik percuma di KL untuk percutian bajet anda di ibu kota. Teruskan membaca untuk melihat tempat-tempat tersebut!
Kadang kala kita perlukan percutian ke tempat-tempat yang menarik dan santai bagi menghilangkan tekanan kerja. Nak bercuti tidak semestinya perlu menghabiskan banyak duit. Terdapat banyak tempat menarik percuma di KL untuk percutian bajet anda. Dengan mengunjungi tempat tersebut, dapatlah anda berjimat atau menggunakan wang untuk perkara yang lebih penting.
Tempat-tempat ini juga sesuai dijadikan port healing, port dating mahukan port percutian bersama keluarga atau rakan-rakan. Jangan lupa masukkan tempat ini ke dalam senarai destinasi pilihan percutian bajet.
Muzium Bank Negara
Nak bergambar dengan latar duit yang banyak? Jom bergambar ala-ala millionaire di Muzium Bank Negara yang terletak di ibu kota. Muzium tiga tingkat ini mempunyai ruang untuk bergambar, melihat hasil seni serta sejarah mata wang Malaysia.
Antara port cantik untuk mengambil gambar adalah terowong duit yang memaparkan duit-duit lama sebanyak RM 1 Juta. Selain bergambar, terdapat beberapa aktiviti lain untuk dewasa dan kanak-kanak seperti mewarna, tekap duit lama dan sebagainya.
Namun jika ke sini, pengunjung tidak dibenarkan untuk membawa beg, makanan dan minuman serta peralatan kamera seperti monopod dan tripod masuk ke dalam.
Alamat: Sasana Kijang, 2, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa – Ahad (10.00 am – 5.00 pm)
Balai Seni Negara
Bukan tiket masuk sahaja percuma, malah pengunjung juga boleh parkir secara percuma di tempat yang disediakan. Mudah juga untuk diakses jika pengunjung menaiki MRT kerana boleh turun di MRT Hospital Kuala Lumpur dan berjalan kaki selama 3 hingga 5 minit untuk sampai ke Balai Seni Negara melalui Istana Budaya.
Muzium ini memaparkan pelbagai karya seni yang cantik dan menarik hasil dari pereka tempatan. Hasil karya bukan sahaja terdiri daripada lukisan malah ada juga arca dan lain-lain.
Alamat: Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, 2, Jalan Temerloh, off, Jln Tun Razak, 53200 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (9.00 am-5.00 pm)
REXKL
RexKL adalah lokasi yang menampatkan kegiatan seni dan budaya. Pada awalnya, Rex merupakan sebuah panggung wayang pertama di Malaysia yang ditubuhkan pada 1947.
Hanya dalam satu tempat, terdapat beberapa kedai cenderamata, restoran dan ruang untuk mengadakan majlis serta pameran
Ruang utama yang viral di kebanyakan sosial media semestinya BookXcess. Ia menempatkan ribuan buku dengan pelbagai genre. Paling unik, semestinya dekorasi dalamannya yang klasik dan estetik. Ramai yang ke sini untuk bergambar dengan percuma. Pengunjung boleh bergambar di atas rak buku.
Alamat: 80, Jalan Sultan, City Centre, 50000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Isnin-Khamis (8.30 am-10.00 pm) | Jumaat-Ahad (8.30 am-12.00 am)
Masjid Negara
Masjid berkeluasan 13 ekar ini mampu memuatkan 15 000 orang dalam satu masa. Masjid yang terunggul di ibu kota ini bukan sahaja menempatkan ruang untuk solat, malah ada juga perpustakaan, dewan, bilik diraja, ruang permakaman tujuh paluan negara dan lain-lain.
Masjid Negara mempunyai seni bina atau reka bentuk masjid yang cantik dan pernah tersenarai dalam masjid termoden di Asia Tenggara. Tidak hairanlah jika ada pengunjung luar negara yang bukan Muslim datang dan melawat masjid ini. Jom ke Masjid Negara dan datanglah pada waktu solat agar anda dapat rasai sendiri suasana yang sangat berbeza.
Alamat: Jalan Perdana, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Muzium Kamera
Terletak di Bukit Bintang, lokasi muzium ini agak tersorok dan ruangnya tidak begitu luas seperti kebanyakan muzium yang lain. Muzium kamera berada di tingkat dua dalam perkarangan Gold3 Boutique Hotel.
Muzium ini menempatkan banyak kamera serta perkakas lain yang antik, dari puluhan tahun dahulu. Turut dikenali sebagai Vintage Camera Museum, ia sering dikunjungi oleh peminat barangan antik dan mereka yang ingin bergambar dengan vibe dan latar vintage. Secara tidak langsung, pengunjung dapat mengimbau memori lama.
Alamat: 179, Jln Bukit Bintang, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Kebun Kebun Bangsar
Nak lari dari kesibukan kota? Sesekali berada di kelilingi alam flora dan fauna pasti memberikan satu suasana yang cukup menenangkan. Kebun Kebun Bangsar merupakan sebuah tempat kecil untuk berekreasi bersama alam. Umpama sebuah taman dan kebun, terdapat juga beberapa jenis haiwan yang jinak.
Pengunjung boleh memberi makan, memegang dan bergambar bersama haiwan tersebut secara dekat. Kambing, itik, angsa dan haiwan lain mencuri tumpuan ramai. Bukan itu sahaja, ada beberapa tempat untuk duduk berehat di dalam kebun ini. Kebun Kebun Bangsar sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.
Alamat: Lorong Bukit Pantai, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa-Ahad (8.30 am-7.00 pm)
Taman KLCC
Taman KLCC juga merupakan tempat menarik percuma di Kuala Lumpur yang sesuai untuk semua golongan umur. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini seperti bersenam, bermandi-manda, jogging, bergambar dengan latar KLCC dan sebagainya.
Taman KLCC sering dipenuhi kanak-kanak terutama pada hujung minggu. Kolam sangat luas dengan air yang cetek, sesuai untuk kanak-kanak. Namun ibu bapa, haruslah memantau pergerakan anak-anak. Tak cukup dengan kolam, ada juga taman permainan yang cukup luas. Bawa anak-anak untuk meluangkan masa di sini pasti mereka suka.
Alamat: KLCC, Lot No. 241, Level 2, Suria, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)
LalaPort BBCC Rooftop Garden
Tempat menarik percuma di Kuala Lumpur pada waktu malam, pengunjung boleh ke LaLaPort iaitu sebuah pusat membeli-belah di Ibu Kota. Berada di rooftop, pengunjung dapat bersiar-siar sambil menikmati keindahan persekitaran. Datang pada waktu malam lebih meriah dan cantik kerana dipenuhi lampu berkelipan.
Pelbagai hiasan menarik yang boleh dijadikan port ootd dengan pelbagai gaya! Pada kaki ootd, anda memang wajib datang ke sini! Paling best, pengunjung dapat lihat bangunan tertinggi di Malaysia iaitu Menara Merdeka 118 dengan dekat dan jelas.
Alamat: Level 4, Bukit Bintang City Centre, Mitsui Shopping Park LaLaport, 2, Jln Hang Tuah, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)
Memorial Tunku Abdul Rahman
Tempat penuh sejarah ini merupakan kediaman rasmi dan pejabat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan perdana menteri Malaysia yang pertama. Memorial ini dibuka untuk orang awam secara percuma bagi memperingati sejarah, pencapaian dan jasa yang ditaburkan oleh Bapa Kemerdekaan Malaysia ini.
Alamat: Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Arkib Negara Malaysia, Jalan Dato Onn, 50480 Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa-Ahad (9.00 am-5.00 pm)
Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan bersejarah ini merupakan salah satu tarikan utama di Kuala Lumpur. Bukan sahaja boleh bersiar-siar di perkarangan, malah pengunjung dapat memasuki perkarangan bangunan yang cantik ini.
Siang mahupun malam, Bangunan Sultan Abdul Samad sentiasa menjadi tumpuan ramai untuk mengadakan sesi fotografi. Bangunan yang berada di hadapan Dataran Merdeka ini merupakan mercu tanda bagi Kuala Lumpur. Jika ada yang tak tahu, pada asalnya bangunan ini merupakan pejabat pentadbiran penjajah iaitu British. Nak tahu lebih banyak sejarah menarik di sini? Kunjungilah ke Bangunan Sultan Abdul Samad.
Alamat: Jln Raja, Kuala Lumpur City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
River of Life
Tak jauh dari Bangunan Sultan Abdul Samad, pengunjung boleh menuju ke River of Life yang juga berdekatan dengan masjid tertua di Kuala Lumpur iaitu Masjid Jamek Sultan Abdul Samad. Sungai ini merupakan pertemuan dua buah sungai iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak.
Bukan sekadar sungai biasa, tempat ini mempunyai landskap dan mural yang menarik. Datang pada waktu malam lebih mempersona dengan lampu berwarna biru dan pertunjukan air pancut yang bermula dari 9.00 malam hingga 11.00 malam. Lebih menarik, River of Life pernah tersenarai dalam 10 waterfront tercantik di dunia pada tahun 2019.
Alamat: Jalan Benteng, City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Pintasan Saloma
Pintasan Saloma merupakan satu tarikan baru di Kuala Lumpur. Jambatan sepanjang 69 meter ini menghubungkan jalan Kampung Baru dengan laluan ke KLCC, yang mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja untuk sampai ke dua-dua destinasi ini.
Seni bina pintasan ini diinspirasikan oleh sirih junjung. Ramai pelancong ke sini pada waktu malam kerana disirami lampu berkelipan sepanjang pintasan. Sudah sampai ke sini, jangan lupa untuk bergambar dengan latar pintasan mahupun KLCC dengan jelas. Kemudian, singgah pula ke Kampung Baru untuk menikmati pelbagai makanan viral dan sedap.
Alamat: 9, Lorong Raja Muda Musa 3, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Street Art Jalan Alor
Jika anda seorang yang Instagrammable, datanglah ke Street Art Jalan Alor yang berada di Bukit Bintang. Banyak port ootd dengan latar mural berwarna-warni yang mengagumkan.
Alamat: Bukit Bintang
Taman Tugu Hike Trails
Taman Tugu adalah salah satu port healing dan port hiking paling best di Kuala Lumpur. Jangan risau, tiada sebarang bayaran masuk dikenakan. Pakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk mendaki.
Paling penting, laluannya tidak terlalu mencabar, mudah dan sesuai untuk dewasa, kanak-kanak mahupun warga emas. Terdapat 30 check point utama dengan lima pilihan laluan yang boleh dipilih. Jangan risau, di dalam Taman Tugu ini, tersedia tempat berehat seperti buaian dan gazebo.Tandas turut tersedia di lokasi tertentu.
Alamat: 94-1, Pesiaran Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-6.30 pm)
Taman Botani Perdana KL
Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan di taman tercantik Kuala Lumpur ini. Pengunjung boleh bersiar-siar, bersenam malah berkelah dengan tenang di sini. Sangat sesuai untuk mereka yang mencari tempat healing dan beriadah yang bersih, cantik dan selesa.
Taman terbesar di Kuala Lumpur yang berkeluasan mencecah 100 hektar ini menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara untuk menikmati keindahan alam. Banyak kemudahan disediakan buat pengunjung termasuklah tandas, surau, kedai makan, kedai cenderamata dan sebagainya.
Alamat: Jalan Kebun Bunga, Tasik Perdana, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-8.00 pm)
The Godown Art Centre
Jika anda penggemar seni, datanglah ke The Godown Art Centre. Terdapat pameran berbeza diadakan dalam tempoh tertentu. Antara pameran yang pernah diadakan termasuklah Bakul dan Endless Buffet. Layari The Godown Arts Centre untuk mendapatkan maklumat tentang pameran dan aktiviti semasa di sini.
Alamat: 7, 11 Lorong Ampang, off, Jln Bukit Nanas, 50250 Kuala Lumpur, Federal Territory of Kuala Lumpur
Waktu operasi: Isnin-Khamis (12.00 pm-6.00 pm) | Jumaat-Ahad (12.00 pm-7.00 pm)
Dah ada tempat menarik percuma di KL yang mencuri tumpuan anda? Jika berkesempatan, kunjungilah kesemua tempat tersebut. Mengunjungi tempat-tempat ini dapat menjimatkan wang anda dan boleh digunakan untuk bayaran minyak kereta, tol dan makanan. Nak lebih jimat, naik sahaja pengangkutan awam seperti MRT dan LRT.
Apa tunggu lagi? Jom ajak yang tersayang luangkan masa bersama-sama di tempat-tempat tersebut. Nak berehat, tak semestinya memerlukan wang yang banyak. Anda boleh pergi bila-bila masa sahaja walaupun belum bergaji.
Kami juga ada menulis pelbagai artikel berkaitan tempat menarik di Kuala Lumpur seperti tempat makan romanti di Kuala Lumpur, tempat lepak best di KL dan tempat menarik di Kuala Lumpur.