18 Tempat Menarik Di Lombok. Keindahan Alamnya Ibarat Syurga Dunia!
Jika anda inginkan percutian yang sangat dekat dengan alam semula jadi dan jauh dari kesibukan kota serta pembangunan moden, Lombok adalah tempat ideal untuk anda. Lombok terbahagi kepada sebuah bandar iaitu Kota Mataram dan 4 bahagian lain iaitu Lombok Utara, Lombok Tengah, Lombok Barat dan Lombok Timur. Pulau Lombok sebagai pulau yang utama dikelilingi oleh pulau-pulau kecil yang dipanggil Gili.
Bagi anda yang mencintai binatang serta tumbuhan, anda akan menemukan spesis flora dan fauna di sini mirip dengan yang ada di Australia. Ini kerana, Pulau Lombok Indonesia ini merupakan garis batas antara Flora-Fauna Asia dan Australia. Di bahagian barat pulau inilah anda boleh jumpa haiwan dan tumbuhan yang mirip dengan yang ada di Australia.
Amacam? Teruja tak nak tahu khazanah alam yang ada di Lombok? Jom kita lihat 18 tempat menarik di Lombok yang boleh anda lawati.
1) Pantai Nambung
Bercuti di tepian pantai memang boleh menghilangkan stress. Kedamaian pukulan ombak dan desiran angin sangat menyamankan. Namun, tarikan utama di Pantai Nambung ini adalah air terjun yang mengalir dari laut. Ia sebuah pemandangan yang unik dan sangat indah untuk ditatap. Untuk ke Kawasan air terjun ini, anda perlu menaiki perahu nelayan yang terdapat di sini dengan bayaran sekitar Rp 10.000.
Air terjun yang terhasil daripada pukulan ombak yang melalui celahan batu ini sungguh luar biasa untuk disaksikan. Sekiranya air surut, anda dapat melihat kolam-kolam semula jadi yang terbentuk di kawasan sekitar pembentukan air terjun ini.
Lokasi: Nambung, Montong Ajan, Praya Bar. Daya, Lombok Tengah
2) Air Terjun Benang Kelambu
Keindahan air terjun selalunya kita hanya lihat di wallpaper desktop computer. Tetapi, bayangkan keindahan air terjun ini anda berpeluang untuk lihat di depan mata. Air Terjun Benang Kelambu sememangnya mampu menyihirkan mata semua yang memandangnya. Air terjun ini bukan terus mengalir ke bawah seperti air terjun yang lain kerana ia melalui tumbuhan yang tumbuh lebat di sekitar tebing. Malah, panorama di kiri kanan anda semasa perjalanan untuk sampai ke Kawasan air terjun ini juga sangat indah. Hamparan sawah padi yang menghijau serta lading kopi bakal menemani perjalanan anda ke Air Terjun Benang Kelambu.
Lokasi: Desa Aik Bukaq, Kecamatan Batukliang Utara, Lombok Tengah
3) Taman Wisata Alam Gunung Tunak
Ingin menikmati keindahan alam di Lombok Tengah? Tiada tempat yang paling ideal melainkan di Gunung Tunak yang terletak di kawasan Taman Wisata Alam Gunung Tunak. Taman Wisata Alam Gunung Tunak menyajikan pesona alam kehijauan dan pantai. Dari puncak Gunung Tunak, anda akan terpukau dengan kecantikan pemandangan pantai berpasir putih, tebing-tebing berdinding kapur, hamparan rumput hijau yang luas sejauh mata memandang, hutan pantai dan hutan dataran rendah.
Dengan keluasan 1200 hektar, Taman Wisata Alam ini terbentuk atas deretan bukit-bukit, iaitu Bukit Bungkulan, Bukit Kelor, Bukit Takar-akar, Bukit Pejanggik dan Bukit Batujangak serta dibatasi oleh Teluk Bumbang di barat-utara dan Teluk Awang di bahagian timur. Di daratan, terbentang padang rumput dan hutan dataran rendah yang luas. Sedangkan di beberapa sudut pesisir Gunung Tunak terbentang hamparan terumbu karang yang terbentuk di sekitarnya.
Namun begitu, pastikan jiwa anda kental untuk memanjat menuju ke dek pemerhatiannya kerana tiupan bayu dari laut agak kencang.
Lokasi: Desa Merta, Kecamatan Pujut, Lombok Tengah
4) Air Terjun Mangku Sakti
Hakikatnya banyak air terjun yang terdapat di Lombok, tetapi setiap air terjun pasti ada kelainan dan keistimewaannya yang tersendiri. Air Terjun Mangku Sakti memaparkan kepada para pengunjung akan keunikan serta keindahan batu-batuan di sekitarnya. Batuan-batuan ini terbentuk hasil aliran air yang tidak putus-putus dari zaman ke zaman.
Namun begitu, air terjun ini airnya agak keruh. Tapi, keruh bukan sebarang keruh. Keruh bukan kerana kotor atau berlumpur, tetapi disebabkan kandungan belerang yang terdapat dlaam air terjun ini. Dikatakan belerang ini berkesan menyembuhkan pelbagai penyakit kulit. Betula tau tak? Kenalah cuba sendiri mandi di air terjun ini.
Lokasi: Dusun Sajang, Desa Sajang, Kecamatan Sembalun, Lombok Timur
5) Lingkoq Datu, Pantai Penyisok
Bagi anda yang sukakan keindahan alam semula jadi apatah lagi pemandangan yang rare, dan sanggup menempuh perjalanan yang mencabar demi sampai ke destinasi yang dituju, Lingkop Datu adalah tempat ideal buat anda.
Lingkop Datu membuat anda seakan tengah berada di negara lain! Masakan tidak, kebiruan perairan Samudera Indonesia, padang savana yang membentang luas, ditambah pula tebing karang yang terlihat berlapis-lapis membuat pemandangan di Lingkoq Datu, Pantai Penyisok ini sungguh indah dan sememangnya menjadi port Instagrammable.
Untuk sampai ke lokasi ini memang agak sukar kerana harus melalui ladang jagung dan juga batu-batu yang agak curam. Namun kesungguhan anda lunas terbayar dengan pemandangan yang sungguh mengasyikkan di Lingkoq Datu ini.
Lokasi: Desa Sekaroh, Kecamatan Jerowaru, Lombok Timur
6) Tetebatu
Jika di Kedah, pemandangan sawah padi menjadi panorama indah di sana. Di Tetebatu, Lombok juga anda berpeluang menikmati pemandangan indah hamparan sawah padi yang luas terbentang. Yang mempercantikkan lagi pemandangan sawah padi di Tetebatu ini adalah kerana ianya berlatarbelakangkan Gunung Rinjani.
Selain sawah padi, penduduk di sini turut mengusahakan ladang tembakau, koko, cili, kopi, vanilla dan banyak lagi. Lawatan ke Tetebatu memberi peluang kepada anda melihat hasil-hasil tanaman ini diproses.
Lokasi: Kecamatan Sikur, Lombok Timur
7) Pantai Tangsi
Kalau cakap pasal warna merah jambu, pastinya para wanita dan juga kanak-kanak perempuan akan teruja apatah lagi yang memang die hard fan warna ini. Jika anda ke Lombok, pastikan anda tidak lepaskan peluang untuk ke Pantai Tangsi. Ini ke rana, sesuatu yang indah akan anda saksikan di sini.
Pantai Tangsi ini juga dikenali sebagai Pink Beach. Ini kerana pasirnya cukup berbeza dari kawasan pantai yang lain disebabkan oleh terumbu karang dan pecahan cengkerang laut foraminifera yang berwarna kemerah-merahan yang terdapat di sini. Pantai ini merupakan salah satu daripada 7 buah pantai yang berwarna pink di dunia.
Amacam? Pasti teruja kan? Jadi, pastikan Pantai Tangsi masuk dalam bucket list anda sewaktu di Lombok nanti.
Lokasi: Desa Sekaroh, Kecamatan Jerowaru, Lombok Timur
8) Tanjung Ringgit
Ingin melihat keindahan air laut yang mampu meruntun jiwa? Datanglah ke Tanjung Ringgit kerana air berwarna hijau kebiruannya memantulkan cahaya matahari dengan warna-warna yang mempesonakan mata. Dari kejernihan air laut ini juga anda dapat melihat dengan jelas terumbu karang yang terdapat di sekitar dasar lautan.
Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah menyewa perahu nelayan untuk melihat dengan lebih dekat keindahan panorama di dalam laut jernih ini. Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti snorkeling atau menyelam skuba.
Di waktu siang, anda berpeluang melihat keindahan air laut yang luas terbentang, manakala pada waktu malam pula, anda akan dihiasi langit yang penuh bintang bergemerlapan. Jika dapat berkhemah dan bersantai di pantai sambal merenung hamparan langit yang indah ini, pasti ia suatu pengalaman yang menyeronokkan.
Lokasi: Jl. Lingkok Siwaq, Sekaroh, Jerowaru, Sekaroh, Jerowaru, Lombok Timur
9) Pantai Surga
Ingin melihat syurga dunia? Pantai Surga membuatkan ramai pengembara tertarik untuk dilawati kerana pasir putih dan deretan bukit yang menghijau yang terdapat di sekitarnya.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah snorkeling dan juga memancing ikan. Hasil laut yang dipancing, dibakar pula di tepi pantai, disantap sewaktu hidangan masih panas bersama keluarga tercinta, wah! Sangat asyik perasannnya.
Lokasi: Kecamatan Jerowaru, Lombok Timur
10) Bukit Pergasingan
Bagi anda yang gemar mendaki, Bukit Perngasingan adalah sebuah tarikan indah yang perlu anda terokai di Lombok. Ia terletak pada ketinggian 1670 meter dari aras laut, mengambil masa sekitar dua setengah jam untuk sampai ke puncak.
Pemandangan dari atas puncak Bukit ini sangat indah. Petak-petak sawah dan kebun yang berwarna-warni terbentang luas mempesonakan mata sesiapa yang memandangnya.
Di sekitarnya pula dihiasi dengan kemegahan Gunung Rinjani, iaitu gunung berapi kedua yang tertinggi di Indonesia.
Lokasi: Sembalun Lawang, Sembalun, Lombok Barat
11) Gunung Rinjani
Jika di Sabah, Gunung Kinabalu adalah ikonnya. Maka di Lombok, Gunung Rinjani adalah tarikan utama di sini. Rugi rasanya jika anda ke Lombok, tetapi tidak mendekati dan cuba menakluki gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia ini. Walaupun masih tidak henti mengeluarkan asap, panorama indah yang dihidangkan dari puncak Gunung Rinjani ini membuatkan ia sanggup didaki walaupun perjalanannya agak mencabar.
Dengan ketinggian 3726 meter dari aras laut, masa yang diambil untuk sampai ke puncak bukanlah 4 ke 5 jam, tetapi mengambil masa sekitar 4 ke 5 hari.
Oleh itu, bagi mereka yang berhajat untuk mendaki Gunung Rinjani, pastikan anda bersedia mental dan fizikal sebelum menakluk gunung ini. Alang-alang dan berhari-hari masa diambil untuk sampai ke puncak, bolehlah bermalam di puncak gunung ini untuk menikmati pemandangan indah di waktu malam.
Jika anda tidak ingin mendaki Gunung Rinjani, cukuplah sekadar anda melawat kaki bukit gunung ini di mana terletaknya Taman Negara Gunung Rinjani.
Lokasi: Balai Taman Nasional Gunung Rinjani, Jl. Arya Banjar Getas, Lingkar Selatan, Mataram, Lombok Barat
12) Air Terjun Tiu Kelep
Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak dan sukakan cabaran, Air Terjun Tiu Kelep ini harus anda takluki. Untuk sampai
ke Air Terjun Tiu Kelep ini, anda perlu melalui kawasan hutan hujan dan melalui sebuah jambatan yang sangat mencabar. Jambatan ini juga merupakan saluran air untuk merentasi hutan ini.
Laluan di jambatan ini agak menguji jiwa kerana jambatan ini hanya berpagar pada satu sisi sahaja dan lantainya dipenuhi dengan lumut yang licin. Selesai cabaran di jambatan ini, anda akan meneruskan perjalanan di dalam kawasan hutan hijau dan merentasi sungai-sungai kecil.
Setelah semua cabaran dalam perjalanan berjaya anda tempuhi, anda akan disajikan dengan keindahan air terjun Tiu Kelep yang berketinggian 45 meter. Alang-alang sampai ke sini, mandilah sepuas hati dan berpiknik di sini. Jangan lupa untuk mengambil kenang-kenangan di sini sebelum anda pulang.
Lokasi: Utara Kaki Gunung Rinjani, Lombok Barat
13) Jeruk Manis
Jika perjalanan ke Air Terjun Tiu Kelep sangat mencabar, jangan risau, anda masih boleh menikmati kesegaran air terjun di Jeruk Manis. Air Terjun Jeruk Manis yang cukup manis dipandang mata ini terletak di Taman Negara Gunung Rinjani.
Air terjun yang berketinggian 30 meter ini dapat anda nikmati setelah berjalan sekitar satu setengah km dari pintu gerbang. Perjalanan anda dari pintu gerbang ini akan disambut dengan keindahan flora dan fauna yang terdapat di sekitar anda. Sampai sahaja ke air terjun ini, anda boleh merehatkan diri di gazebo yang tersedia di sini sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang menghijau di sekeliling anda.
Lokasi: Jalan Wisata Jeruk Manis, Desa Kembang Kuning, Lombok Timur
14) Pasar Seni Senggigi
Tak sah kalau bercuti ke luar negara tanpa membeli ole-ole serta cenderamata yang boleh dibawa pulang buat saudara dan handai di Malaysia. Antara Kawasan yang boleh anda lawati untuk membeli-belah ole-ole dari Lombok adalah di Pasar Seni Senggini.
Terletak di persisiran pantai, Pasar Seni Senggigi menempatkan banyak gerai yang menjual pelbagai jenis cenderamata yang terdiri daripada ukiran kayu, lukisan, kain tenun, mutiara, beg, keychain dan banyak lagi.
Sebelum meninggalkan Lombok, pastikan anda membeli sesuatu sebagai tanda ingatan kepada yang tersayang. Apa-apa pun, jangan malu-malu untuk tawar-menawar harga. Untung-untung, anda dapat membeli dengan harga yang lebih murah.
Lokasi: Jl. Raya Senggigi No.16, Senggigi, Batu Layar, Lombok Barat
15) Bukit Malimbu
Antara port menarik untuk anda menikmati pemandangan matahari terbenam adalah di Bukit Malimbu. Menikmati pemandangan matahari terbenam di Bukit Malimbu akan lebih sempurna ketika langit dalam keadaan cerah. Pada waktu itu, anda bukan sahaja dapat menatap keindahan matahari terbenam, tetapi anda juga berpeluang melihat dua gili yang paling terkenal, iaitu Gili Trawangan dan Gili Meno. Malah, anda juga mungkin dapat melihat Gunung Agung dari kejauhan. Pemandangan yang sempurna inilah yang menjadikan Bukit Malimbu sebagai tempat terbaik untuk menikmati sunset di Pulau Lombok.
Lokasi: Malaka, Pemenang, Lombok Utara
16) Taman Narmada
Taman Narmada adalah sebuah taman air yang cukup antik. Ia dibina pada tahun 1727 oleh Raja Anak Agung Gede Ngurah Karang Asem. Berkeluasan 2 hektar, taman ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pintu gerbang, jabalkap, telaga kembar, telaga padmawangi, balai terang, balai loji, patandaan, balai bancingah, bangunan sekepat, Pura Lingsar dan Pura Kelasa.
Lokasi: Jalan Raya Narmada, Lembuak, Narmada, Lembuak, Narmada, Lombok Barat
17) Gili Nanggu
Di Sekitar Pulau Lombok memang banyak pulau-pulau kecil yang dikenali sebagai gili. Jika anda inginkan sebuah pulau yang cukup privasi, anda bolehlah ke Gili Nanggu.
Kesunyian pulau ini akan membuai jiwa anda sehingga terlena. Air di sekeliling pulau ini pula begitu jernih menjadikan ia sempurna untuk anda sekeluarga bersnorkeling atau berskuba bagi menikmati panorama indah dalam laut.
Lokasi: Pulau Gilinanggu, Sekotong Barat, Central Sekotong, Lombok Barat
18) Pantai Sire
Jika anda ingin bercuti di kawasan pantai di sekitar Lombok, anda bolehlah mempertimbangkan untuk menginap di Pantai Sire. Pantai Sire ini berkepanjangan 3.8 kilometer, dengan garis pantai yang berlekuk-lekuk. Pasir pantainya tidak terlalu putih, namun memiliki tekstur yang lembut. Perairannya cukup tenang, menjadikan pantai ini tepat untuk aktiviti air. Pantai ini juga dikelilingi dengan pokok kelapa yang dijaga dengan rapi.
Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pantai Sire adalah bersnorkeling untuk melihat keindahan terumbu karang dan ikan-ikan yang sentiasa bergerak kesana-sini di dalam air jernih pantai. Anda juga boleh merancang untuk bermain golf di padang golf yang terletak berdekatan dengan pantai.
Lokasi: Pantai Sire, Sigar Penjalin, Tanjung, Lombok Utara
Itulah dia 18 tempat menarik di Lombok, Indonesia yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Lombok. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Medan dan Tempat Menarik Di Bandung.