20 Tempat Menarik Di Kota Kinabalu Untuk Percutian Anda Sekeluarga
Kota Kinabalu merupakan Ibu Negeri Sabah, Negeri di Bawah Bayu. Sebagai ibu negeri, sudah pastilah ia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati sebagai tarikan kepada para pengunjung. Mari kita lihat tempat-tempat menarik yang terdapat di Kota Kinabalu, Sabah.
1) Kota Kinabalu Waterfront
Seperti biasa di tempat-tempat lain, waterfront akan dibina sebagai salah satu tempat santai di tepi laut ataupun sungai. Di Kota Kinabalu Waterfront, anda akan menikmati pemandangan matahari tenggelam yang sangat cantik di sini bertemankan hamparan Laut China Selatan yang terbentang luas.
Di sekitar kawasan ini juga terdapat banyak tempat untuk makan makanan laut yang best untuk dicuba. Masakan yang sedap, ditambah pula dengan hasil laut yang segar-segar. Memang terbaik!
Lokasi: Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu
2) Perdana Park
Tak tahu nak ke mana pada waktu malam? Apa kata anda singgah ke Perdana Park untuk bersantai-santai bersama keluarga di sini. Sekiranya anda ke taman ini bermula dari pukul 7 malam, anda bakal dikejutkan dengan pemandangan yang cukup mencuri hati iaitu pancuran air yang penuh warna-warni sambil diiringi dengan irama lagu.
Persembahan percuma ini berlangsung selama 15 minit sebelum diulangi semula setiap 30 minit kemudian sehingga pukul 9 malam.
Selain menikmati keindahan pancuran air di sini, anda juga boleh berjalan kaki menuju ke Pantai Tanjung Aru yang terletak berdekatan Perdana Park. Alang-alang sampai ke Pantai Tanjung Aru bolehlah isi perut di kedai-kedai makan yang terdapat di sana.
Lokasi: Jalan Aru, Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Persembahan Pancuran Air: 7.00 malam – 9.00malam
3) Pantai Tanjung Aru
Sabah memiliki banyak pulau dan pantai yang cantik-cantik. Namun, sekiranya anda menginap di sekitar bandar Kota Kinabalu, anda bolehlah singgah ke Pantai Tanjung Aru yang terletak tidak jauh dari bandar.
Jangan lupa juga untuk membawa kamera dan menanti saat-saat mengujakan matahari terbenam untuk diabadikan di dalam foto. Sebagai peringatan, waktu matahari melabuhkan tirai di Kepulauan Borneo ini adalah jauh lebih awal dari tanah Semenanjung, dalam sekitar 5.30 petang. Selain itu, anda juga boleh singgah di kedai-kedai makan di sini untuk mengisi perut.
Lokasi: Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah
4) Masjid Terapung Likas
Masjid Terapung Likas juga dikenali sebagai Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Masjid ini terletak di pesisir pantai Likas dan memiliki keluasan sebanyak 14.83 hektar dengan kemampuan untuk menampung sehingga 12,000 jemaah pada satu-satu masa. Jika dilihat dengan teliti, masjid ini memiliki reka bentuk seperti Masjid Nabawi di Madinah.
Lokasi: Jalan Teluk Likas, Kampung Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah
5) Masjid Sembulan
Masjid Sembulan adalah masjid utama di Kota Kinabalu selain Masjid Terapung Likas. Masjid ini mula dibina pada tahun 1970. Ia memiliki kubah besar yang diilhamkan dari masjid-masjid termasyhur di dunia iaitu Masjid Biru di Istanbul, Masjid Jame di New Delhi dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, manakala menaranya pula diinspirasikan daripada Masjid Nabi di Madinah dan Masjid al-Haram di Mekah.
Masjid yang boleh memuatkan 5,000 orang pada satu-satu masa ini memiliki 16 batang tiang yang dihiasi dengan potongan ayat Quran yang bertintakan warna emas. Kecantikan masjid ini memang tidak dapat disangkal lagi sehinggakan ada yang mendakwa Masjid Sembulan smerupakan masjid yang tercantik di Asia.
Lokasi: Jalan Tunku Abdul Rahman, 88100 Kota Kinabalu, Sabah
6) Borneo Ant House
Semut seekor haiwan yang banyak memberi pengajaran kepada kehdupan kita sebagai manusia. Semut sering dikaitkan dengan kerajinan serta kehidupan semut yang bersistem. Maka, tidak hairalah ‘rumah semut’ ini dibina di Sabah sebagai salah satu tarikan pengunjung untuk mengenali haiwan ini dengan lebih dekat.
Namun begitu, Borneo Ant House bukan semata-mata pameran berkenaan semut sahaja. Di sini turut terdapat beberapa galeri yang lain yang secara tidak langsung dapat membuka mata anda tentang kepelbagaian komuniti di Sabah iaitu pameran budaya masyarakat Bajau, Dusun Lotud, Iban dan Bidayuh. Di samping itu, anda juga dapat melihat koleksi pedang yang digunakan untuk pelbagai perkara sama ada majlis keraian, pertabalan, sebagai barangan berharga dan lain-lain.
Lokasi: Kampung Kindu, Peti Surat 18, 89207 Tuaran, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.00pagi – 5.30petang)
Harga Tiket: Dewasa RM18 | Kanak-Kanak (7 – 12 Tahun) RM9 | Kanak-Kanak (4 – 6 Tahun) RM3
7) Kipandi Butterfly Park
Sudah puas mengenali semut, kini kita lihat dengan lebih dekat pula serangga yang bernama rama-rama. Rama-ra sering digambarkan sebagai haiwan yang cantik kerana memiliki sayap yang berwarna-warni. Raikan keterujaan anda terhadap rama-rama di Kipandu Butterfly Park. Ini kerana, sepanjang perjalanan anda di kawasan ini, anda akan ‘disapa’ dengan pelbagai jenis rama-rama yang cun.
Terdapat lebih daripada 1,500 ekor rama-rama yang terdiri daripada lebih 100 spesies. Bukan sahaja rama-rama, anda juga dapat melihat sekitar 500 spesies orkid, hampir 30 spesies tumbuhan herba, pokok periuk kera dan lain-lain lagi!
Sebagai informasi tambahan, waktu yang terbaik untuk melawati taman ini bagi melihat kehadiran banyak rama-rama adalah dari pukul 9 pagi ke 11 pagi.
Lokasi: Kampung Kipandi, Moyog, Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 4.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5
8) Taman Hidupan Liar Lok Kawi
Sabah sangat kaya dengan flora dan faunanya. Namun, untuk kita masuk ke hutan, melihat hidupan-hidupan ini dengan lebih deka, ia adalah suatu yang sukar. Oleh sebab itu, wujudnya Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk memberi peluang kepada kita melihat dan mengenali hidupan liar di hutan Sabah dengan lebih dekat.
Taman Hidupan ini merupakan sebuah zoo kecil yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti gajah, monyet yang termasuklah monyet proboscis, harimau dan banyak lagi.
Lokasi: 63, Jalan Penampang, 88200 Penampang, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30pagi – 5.30petang)
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5
9) Marine Muzium Kota Kinabalu
Marine Muzium Kota Kinabalu adalah tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi oleh anda sekeluarga bagi melihat dan mengenali dengan lebih dekat tentang hidupan marin. Antara tarikan yang terdapat di sini adalah Marine Museum & Research Showcase, Marine Aquarium, Mangrove Walks, teater mini dan Ocean Outreach Corner. Anda sekeluarga pasti teruja melihat kehidupan di dalam air yang dipamerkan dengan cara yang sangat menarik di dalam muzium ini.
Lokasi: Universiti Malaysia Sabah, Borneo Marine Research Institute, Jalan UMS, 88400, Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.00pagi – 4.00petang) | Ahad & Cuti Umum Tutup
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak & Warga Emas RM5
10) Waterfront Seafood Night Market
Sabah terkenal dengan hasil laut yang segar-segar serta murah. Tapi bukan semua tempat dapat seafood yang best-best, melainkan anda singgah ke Waterfront Seafood Night Market. Di sini, anda sekeluarga boleh menikmati bermacam-macam makanan laut yang dimasak secara fresh untuk memenuhi selera anda. Tunjuk saja apa yang anda nak. Nak udang, ikan pari, sotong, ketam, semua ada. Dan peniaga tersebut akan masakkan untuk anda. Tapi, apa-apapun, pastikan harga sebelum anda memesan apa juga makanan agar anda sentiasa berbelanja dalam ‘budget’ anda.
Selepas puas menikmati makanan, anda boleh berjalan di kawasan lain pasar malam ini untuk membeli bermacam makanan tempatan lain dan sayur-sayuran yang segar.
Lokasi: Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, Sabah
11) Mari Mari Cultural Village
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum. Setipa kaum mempunyai penempatan masing-masing pada zaman dulu. Namun kini, kemodenan menjadi salah satu faktor berlakunya percampuran antara kaum. Namun begitu, ia bukan alasan untuk menghilangkan identiti setiap etnik tersebut. Untuk mengenali dan melihat budaya etnik di Sabah, anda boleh singgah ke Perkampungan Budaya Mari-Mari.
Keadaan persekitaran tempat ini sangat unik kerana, rumah-rumah yang dibina adalah berasaskan kebudayaan masyarakat suku etnik di Sabah. Di sini, anda boleh merasai serta menghayati suasana kehidupan sebenar masyarakat etnik di sabah. Mereka juga akan menunjukkan bagaimana menghasilkan api menggunakan buluh, demonstrasi tatoo dan melihat cara hidup serta adat mereka.
Lokasi: Kionsom, Inanam, 88450 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (10.00pagi – 6.00 petang)
Harga Tiket: RM80
12) Kota Kinabalu Wetland Centre
Kota Kinabalu Wetland Centre merupakan sebuah hutan paya bakau yang berkeluasan 24 hektar (59 ekar). Jika anda ingin mencari tempat yang tenang dan segar, bolehlah singgah di sini. Tak perlu buat aktiviti yang pelbagai. Cukup sekadar anda berjalan menggunakan laluan yang disediakan di atas papan kayu yang berkepanjangan 1.5 km.
Sepanjang perjalanan, anda akan disajikan dengan keindahan flora dan fauna, alam semilajadi di hutan bakau.
Lokasi: Jalan Bukit Bendera Upper, Taman Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00pagi – 6.00petang) | Isnin Tutup Kecuali Ketika Cuti Umum | Buka Pada Setiap Hari Cuti Umum
Harga Tiket: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM3
13) Signal Hill Observatory Platform
Nak lihat panorama sekitar Kota Kinabalu? Jangan risau, anda tak perlu daki bukit yang tinggi dengan mengharungi segala ranjau berduri untuk sampai di puncak. Anda hanya perlu ke Signal Hill Observatory Platform yang terletak di Jalan Bukit Bendera. Bagaimana caranya untuk sampai ke sini? Anda boleh menaiki teksi ataupun bagi anda yang sukakan aktiviti yang mencabar, anda boleh mendaki sendiri bukit ini.
Waktu terbaik untuk menikmati pemandangan dari sini adalah pada ketika matahari terbenam. Bukan sekadar anda dapat menikmati panorama sekitar Kota Kinabalu, tetapi juga dapat melihat keindahan matahari terbenam yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Lokasi: Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu
14) Double Six Monumen
Double Six Monumen merupakan kawasan memorial yang dibina bagi mengingati tragedi buruk yang menimpa beberapa pemimpin besar Sabah. Nama Double Six diambil sempena tarikh berlakunya insisden tersebut iaitu pada 6 Jun 1976.
Tragedi ini telah mengambil nyawa pemimpin-pemimpin besar Sabah seperti Ketua Menteri pertama Sabah, iaitu Tun Fuad Stephens beserta enam menteri lain. Pesawat yang dinaiki mereka telah terhempas ketika dalam perjalanan dari Labuan ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Lokasi: Grace Garden, 88100 Kota Kinabalu, Sabah
15) Atkinson Clock Tower
Menara Jam Atkinson adalah sebuah menara yang telah dibina untuk memperingati seorang pentadbir British iaitu Francis George Atkinson yang meninggal dunia pada tahun 1902 kerana penyakit Malaria. Menara ini telah dibina dengan menggunakan wang hasil sumbangan keluarga Atkinson sendiri serta para pelayar pada tahun 1905. Menara yang berketinggian 15.7meter ini merupakan salah satu daripada 3 buah bangunan yang terselamat daripada pengeboman yang terjadi ketika Perang Dunia Ke-2.
Lokasi: Berhampiran Dengan Padang Merdeka
16) Sinamalai Waterfall Trekking Adventure
Bagi anda yang sukakn aktiviti lasak dan mencabar, bolehlah datang ke Sinamalai Waterfall Trekking Adventure. Di sini anda berpeluang melakukan aktiviti seperti berjalan kaki ke Air Terjun Sinamalai serta aktiviti-aktiviti air yang lain.
Lokasi: Bukit Kokol, Menggatal, Sabah
17) Tandem Paragliding Bukit Kokol
Teringin nak terbang di awan? Apa kata anda lakukan aktiviti paragliding yang terdapat di sekitar Bukit Kokol, Kota Kinabalu. Aktiviti Paragliding merupakan aktiviti yang paling menyeronokkan kerana anda berpeluang melihat alam semulajadi dari angkasa. Dataran perlepasan bagi aktiviti ini adalah berdekatan dengan Kokol Haven Resort dan dan berketinggian lebih kurang 822 meter dari paras laut.
Lokasi: Bukit Kokol, Menggatal, Sabah
18) Muzium Sabah
Kebiasaannya muzium hanya mempamerkan khazanah serta artifak yang berkaitan dengan tempat tersebut. Namun berbeza bagi Muzium Sabah. Ini kerana Muzium Sabah terletak dalam kawasan kompleks yang terdiri daripada beberapa bangunan berbeza iaitu Bangunan Utama, Pusat Sains dan Teknologi, Kampung Warisan, Taman Etno-Botani dan Muzium Budaya Islamik Sabah.
Bangunan Utama di kompleks muzium ini memiliki reka bentuk rumah panjang Rungus. Di dalamnya terdapat pameran berkaitan Etnografi, Natural History, Seramik, pameran Sejarah dan juga ruangan Arkeologi. Pasti lawatan anda bersama anak-anak ke sini sangat menyeronokkan.
Lokasi: Jalan Muzium, 88300 Kota Kinabalu, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00pagi – 5.00petang)
Harga Tiket: RM2
19) Taman Laut Tunku Abdul Rahman
Taman Laut Tunku Abdul Rahman merupakan kawasan yang terdiri daripada 5 buah pulau iaitu Pulau Gaya, Manukan, Sapi, Sulug dan Mamutik. Ia ibarat taman negara versi lautan yang harus anda lawati sekiranya berada di Kota Kinabalu, Sabah. Untuk menuju ke pulau-pulau ini hanya mengambil masa beberapa minit dari Kota Kinabalu dengan menaiki bot.
Dalam banyak-banyak pulau yang terdapat di Taman Laut ini, Pulau Gaya dan Manukan adalah pulau yang terbesar, manakala pulau yang paling membangun pula adalah Pulau Manukan dan Sapi. Walaupun aktiviti yang anda lakukan di setiap pulau adalah hampi sama, namun pastinya setiap pulau mempunyai keunikannya yang tersendiri.
Secara keseluruhannya, Taman Tunku Abdul Rahman menawarkan lebih daripada 25 lokasi menarik untuk aktiviti menyelam skuba.
Lokasi: Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah
20) Pulau Manukan
Antara banyak-banyak pulau yang terdapat di Kota Kinabalu, Pulau Manukan sering menjadi pilihan oleh para pelancong. Oleh kerana itu, sudah pastilah pulau ini sering meriah berbanding pulau lain. Namun, anda tak perlu risau, walaupun pulau ini menerima ramai pengunjung, anda tetap berpeluang menikmati percutian yang tenang di sini. Air laut tenang di Pulau Manukan menjadikan ia selamat untuk sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak. Oleh kerana Pulau Manukan ini pulau yang berhutan, anda dapat bersantai di bawah rimbunan pokok sambil menikmati udara segar Pulau Manukan setelah puas berenang. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah snorkeling, menyelam dan bersantai-santai di pandai yang pepasirnya halus memutih. Tempat-tempat cantic seperti ini, memang sangat rugi jika anda tidak mengabadikannya pada foto untuk kenang-kenangan.
Lokasi: Manukan Island, Kota Kinabalu, Sabah
Itulah dia 20 tempat menarik di Kota Kinabalu yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Kota Kinabalu. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Sabah dan Tempat Menarik Di Beaufort.