Kenali 11 Tempat Menarik Di Songkla Popular Untuk Percutian Anda
Songkhla atau Singgora dalam bahasa Melayu, adalah sebuah kota kerajaan Melayu Langkasuka yang lama yang dipengaruhi oleh kerajaan Srivijaya. Ia berada di bawah kekuasaan Thai sejak abad ke-18 lagi. Sebelum ini, Songkhla merupakan sebuah pelabuhan dan pos perdagangan pantai di mana pedagang-pedagang India, Parsi dan Arab datang untuk bertukar-tukar produk mereka.
Tempat ini pada awalnya dinamakan “Sing Lha” yang merupakan pulau-pulau berbentuk singa di mulut tasik bandar ini. Pada masa ini, 2 pulau ini dikenali sebagai Ko Nu (Pulau Rat) dan Ko Maeo (Pulau Kucing). Itulah sedikit sebanyak sejarah mengenai Songkhla.
Selain Hatyai, Songkhla juga merupakan destinasi tarikan pelancong untuk bercuti. Disebabkan lokasinya yang berada tidak jauh dari sempadan Malaysia, kebanyakan orang Malaysia memilih untuk bercuti ke sana. Terdapat pelbagai aneka mkanan, tempat membeli-belah dengan harga berpatutan, tempat menarik dengan bermacam aktivti menyeronokkan. Banyak tempat menarik di Songkhla yang pastinya sempurna dimata seorang pelancong. Berikut adalah 11 tempat menarik di Songkhla yang popular untuk percutian anda.
-
Chang Puak Camp
Gajah memang cukup sinonim dengan negara ini, di Chang Puak Camp anda boleh menaiki gajah dengan hanya bayaran serendah 500 baht. Dengan bayaran serendah itu, anda dapat merasai pengalaman seperti seorang pendekar siam dahulu kala menaiki gajah selama 30 minit. Anda dapat melihat pandangan dari atas gajah, ketika ia akan masuk ke dalam hutan dan meredah sungai di sekitar kem.
Semua aktiviti dan perjalanan menaiki gajah telah disediakan. Jangan takut kerana aktiviti ini juga turut menyediakan pemandu untuk mengawal gajah. Kemudian, anda juga boleh membeli pisang untuk memberi gajah makan. Disamping itu, tempat menarik di Songkhla ini turut disediakan aktiviti lain seperti memanah, menembak, dan ATV yakni menaiki motor 4 tayar. Selepas penat beraktiviti, anda boleh ke spa yang disediakan untuk urutan kaki.
2. Terowong Khao Nam Khang
Biarpun tidak ramai yang berminat untuk berkunjung ke lokasi ini, percayalah terowong ini sangat ideal buat mereka yang mencintai sejarah. Terowong ini merupakan tempat tinggal bagi pemberontak pihak komunis dan dipercayai telah wujud sejak zaman perang dunia kedua lagi. Untuk memasuki tempat menarik di Songkhla ini, anda perlu membayar 150 baht kerana bayaran itu akan digunakan bagi membaiki kerosakan terowong. Zon pertama yang akan anda lawati menempatkan peralatan yang digunakan pada perang dunia kedua serta terdapat kubur-kubur askar komunis yang terkorban. Anda juga dapat melihat pameran senjata, sedikit pameran haiwan malah tempat menarik di Songkhla ini terbahagi kepada beberapa bahagian.
-
Samila Beach
Tarikan utama pantai Samila Beach yang merupakan salah satu tempat menarik di Songkhla ini adalah Tugu Ikan Duyung yang menjadikannya berlainan dengan pantai yang lain. Pengunjung yang tiba ke sini pasti tidak akan melepaskan peluang bergambar dengan tugu itu. Patung ini dikhabarkan mempunyai mitosnya yang tersendiri. Jika anda berada di Hatyai dan ingin kesini, hanya sekitar 45 minit sahaja. Disamping berkelah dan bermandi manda, anda juga boleh membeli cenderamata dari deretan gerai yang berada di tepi pantai. Tak lupa juga ais krim kelapa yang terkenal dalam kalangan pelancong, anda harus mencubanya!
4. Thale Noi Waterbird Park
Thale Noi adalah kawasan air tawar yang dilindungi di wilayah Phatthalung, selatan Thailand. Hampir 287 jenis spesis burung yang telah dipelihara di sini. Anda boleh melihat keindahan flora dan fauna sambil menikmati pemandangan indah di tempat menarik di Songkhla ini. Selain itu, tasik yang merupakan salah satu tasik terbesar di asia tenggara ini menyediakan kawasan pemuliharaan habitat haiwan. Paling menyeronokkan, anda boleh menyewa perahu untuk bersiar-siar mengelilingi tasik dengan harga 450 baht. Taman ini beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 6 petang setiap hari. Bayaran yang dikenakan ketika masuk hanya sekitar 500 baht.
-
General Prem Tinsulanonda Historical Park Songkhla
General Prem Tinsulanonda Historical Park ini terletak di Phawong, Daerah Mueang Songkhla. Anda boleh menemui taman ini di sepanjang jalan menuju Kho Yo dan berhampiran Jambatan Tinasulanonda. Ia dibuka dari pukul 9:00 pagi hingga 8:00 petang. Tempat menarik di Songkhla yang besar ini memudahkan untuk anda melakukan banyak aktiviti malah anda boleh berkelah di sini. Anda harus membawa makanan sendiri kerana tiada kedai atau restoran berdekatan taman ini. Sambil mengunyah, sambil anda menikmati suasana damai taman tatkala datang ke sini.
Tempat menarik di Songkhla ini juga mempunyai basikal sewa dengan harga 20 baht sejam. Anda boleh pergi mengelilingi taman dengan basikal anda. Sekiranya anda bersiar siar di sekitar kawasan taman, pasti anda akan menemui taman botani, ruang budaya, hasil ukiran, pusat pendidikan ekologi dan macam-macam lagi. Ramai penduduk tempatan datang ke sini pada waktu petang untuk bersenam memandangkan mereka menyediakan alatan bersenam percuma disini. Taman ini dibuka dari jam 5 pagi hingga 8 malam.
6. Sport Shooting Club Hatyai
Rasanya satu kerugian yang amat besar jika anda seorang peminat aktiviti lasak tetapi tidak datang Sport Shooting Club ini. Pelbagai senjata api seperti senapang, pistol, shotgun dan revolver dalam pelbagai jenis dipamerkan disini. Bagi peminat filem-filem aksi tembak menembak, tempat menarik di Songkhla ini amat sesuai dengan imaginasi anda. Bukan hanya memegang senjata sahaja, anda juga boleh menembak. Dengan harga sekitar 890 baht anda boleh memilih senjata kegemaran anda dan menembak sebanyak 15 pusingan. Dah puas hati menggunakan pistol tukar pula shotgun atau riffle. Tempat ini pastinya menjanjikan pengalaman baru buat anda. Yang lebih seronoknya anda boleh membawa pulang sasaran yang telah anda tembak sebagai kenang kenangan. Mereka beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
7. Kim Yong Market
Kalau sampai ke Songkhla, tak sahlah jika tidak membeli-belah buat cenderahati untuk pulang ke Malaysia. Pasar Kim Yong merupakan pasaran tempatan di pusat kota Hat Yai. Ia terkenal kerana kebanyakan snek telah diimport dari Malaysia dan Singapura. Banyak snek yang diimport seperti kerepek kentang, lebih murah di sini. Pasar itu sendiri mempunyai banyak gerai kecil yang terletak di lorong sempit. Di sini anda boleh membeli apa sahaja seperti pakaian, buah-buahan, makanan ringan, kacang, makanan, bunga segar juga solekan serta banyak lagi. Pasar ini dibuka setiap hari dari jam 6 pagi hingga 6 petang. Makanan yang lazat-lazat juga ada dijual disini, yang pastinya anda perlu memilih gerai yang halal.
8. Khut Khut Waterfowl Park
Khu Khut Waterfowl Park (Perlindungan Hidupan Liar Tha-le Sap Songkhla) adalah tempat perlindungan hidupan liar. Taman ini merangkumi kawasan seluas 91,166 hektar di kedua-dua wilayah Songkhla dan Phatthalung. Taman ini juga adalah sebahagian daripada Tha-le Sap Songkhla atau Songkhla Lake. Tinjauan yang diambil oleh Jabatan Kehutanan Diraja mendapati terdapat 44 keluarga, 137 genus, dan 219 spesies burung yang ditempatkan di tempat menarik di Songkhla ini.
Masa terbaik untuk anda melihat burung di sini adalah dari Disember hingga Mac. Untuk makluman anda, bot boleh disewa dengan harga 150 baht sejam. Lokasi ini amat sesuai untuk berfoto dan merakam momen yang indah bersama keluarga dan rakan. Taman ini dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
9. Pulau Ko yo
Ko Yo Island memakan masa perjalanan sehari dari Hat Yai atau Songkhla. Pulau ini menjadi sangat popular sejak jambatan yang menghubungkan bahagian utara dan selatan tasik itu dibina pada tahun 1984. Panjangnya 2.6 kilometer (1.5 batu), merupakan pantai yang paling panjang dan tempat menarik di Songkhla, Thailand. Antara tarikan utama di pulau ini ialah Muzium Cerita Rakyat yang terletak di hujung utara pulau. Matlamat muzium ini adalah untuk mengekalkan budaya unik di selatan. Pameran termasuk rumah, kain, tembikar dan seni tradisional lain juga boleh anda lihat di sini.
Muzium ini dibuka setiap hari dari pukul 8:30 pagi hingga 5:00 petang dan bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 50 baht. Selain itu, terdapat banyak lagi muzium kesenian di tempat menarik di Songkhla ini. Tidak ketinggalan juga dengan restoran-restoran seafood berdekatan pantai.
-
Princess Maha Chakri Sirindhorn Natural History Museum
Tempat menarik di Songkhla ini pada asalnya dikenali sebagai Muzium Sejarah Alam Prince of Songkla University (PSU Museum). Selepas pengubahsuaian, ia dinamakan semula sebagai Princess Maha Chakri Sirindhorn Natural History Museum dan dibuka semula pada 14 Januari 2008 oleh HRH Puteri Maha Chakri Sirindhorn. Bangunan utama muzium ini terletak di bahagian paling barat Fakulti Sains. Bangunan ini mengandungi kedua-dua kawasan pameran dan rujukan.
Koleksi utama muzium yang diketengahkan di muzium ini adalah koleksi zoologi dan geologi. Ia tidak termasuk koleksi botani kerana ia disimpan di PSU Herbarium jabatan. Tahukah anda, koleksi zoologi mengandungi 25,000 spesimen daripada 2,500 spesies fauna. Beberapa koleksi penting termasuk karang, krustacea, plankton, moluska (khususnya cephalopod), echinoderm, serangga dan vertebrata juga turut dipamerkan. Lokasi yang sarat dengan ilmu pengetahuan ini beroperasi setiap hari selasa hingga ahad bermula 9.30 pagi hingga 4.30 petang.
-
Masjid Pusat Songkhla
Masjid Pusat Songkhla merupakan masjid terbesar di daerah Songkhla dan ia telah menaikan syiar islam kerana wujudnya masyarakat muslim di Songkhla. Fungsinya bukan hanya sekadar tempat beribadat sahaja, bahkan banyak program dan acara dijalankan di sini. Tempat menarik di Songkhla ini juga menjadi tempat nikah popular dalam kalangan orang luar. Reka bentuk dan hiasan ukiran masjid ini sangat indah. Kedudukannya betul-betul berada di tengah padang yang luas serta terdapat terusan besar dihadapannya. Selesai solat, anda boleh terus ke pasar terapung yang hanya memakan masa 10 minit perjalanan sahaja. Terasa elemen ketenangan menyerap masuk ke dalam jiwa sebaik sahaja anda menjejakkan kaki ke sini.
Itulah beberapa tempat menarik di Songkhla yang sempat saya cadangkan kepada anda. Bukan sahaja kaya dengan tarikan yang unik, malah barang-barang disni juga murah-murah belaka. Jika anda berfikir ingin bercuti di luar Malaysia, saya syorkan agar memilih Songkhla sebagai destinasi utama anda. Jemput baca tempat menarik di Tenom dan tempat menarik di Taiwan.
Rujukan