20 Tempat Menarik Di Sabah. Panorama Cantik Seperti Di Luar Negara.
Negeri Sabah terletak di utara kepulauan Borneo. Negeri ini juga digelar sebagai Negeri di Bawah Bayu kerana kedudukan negeri tersebut yang sangat strategik di bawah laluan angin monsun. Sabah bukan sahaja kaya dengan flora dan fauna. Tetapi juga dikelilingi oleh pulau-pulau yang sangat cantik. Malah ada pulau-pulau di Sabah yang standing dengan kecantikan pulau-pulau di luar negara. Jom kita lihat tempat-tempat menarik yang anda boleh lawati di Negeri Sabah.
1) Muzium Sabah
Jika nak tahu tentang latar belakang dan sejarah sesebuah tempat, memang muziumlah jawapan yang paling ideal untuk dilawati. Sekiranya anda ke Kota Kinabalu, Sabah, pastikan anda singgah ke Muzium Sabah. Lawatan anda ke sini pasti tidak bosan. Ini kerana, Muzium Sabah bukan sekadar mempamerkan pelbagai artifak sejarah sahaja, tetapi juga terdapat Pusat Sains dan Teknologi, Kampung Warisan, Ethno-Botanical Garden dan Muzium Tamadun Islam.
Lokasi: Sabah Museum Complex, Jalan Muzium, 88300 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.00pagi – 5.00 petang)
Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-kanak Percuma
2) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu
Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ialah masjid utama selepas Masjid Negeri. Masjid ini terletak di persisiran pantai Likas dengan keluasan 14.83 hektar. Masjid ini boleh menampung 12,000 orang jemaah pada satu masa. Senibina masjid ini dipengaruhi oleh senibina Masjid Nabawi di Madinah. Hampir 70% kawasan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dikelilingi oleh air. Selesai menunaikan solat di masjid ini, bolehlah anda bersiar-siar di sekitar masjid untuk menikmati panorama yang cantik di sini.
Lokasi: Jalan Teluk Likas, Kampung Likas, 88400 Kota Kinabalu
3) Perkampungan Budaya Mari-Mari
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai etnik. Untuk mengenali kaum-kaum ini, anda bolehlah melawat ke Perkampungan Budaya Mari-Mari. Ia dibina dalam suasana hutan terpencil di Kionsom, Inanam. Di Perkampungan Budaya Mari-Mari, anda akan dapat melihat sendiri kepelbagaian rumah komuniti etnik Sabah, antaranya Bajau, Lundayeh, Murut dan Dusun. Pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan di sini. Salah satu acara kemuncak yang dipertunjukkan kepada anda adalah permainan Trampolin atau Lansaran (trampolin kayu dan buluh) oleh masyarakat Murut.
Lokasi: Kionsom, Inanam, 88450 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (10.00pagi – 6.00 petang)
Harga Tiket: RM80
4) Rumah Terbalik Tamparuli
Apa bezanya Rumah Terbalik Tamparuli Sabah dengan rumah terbalik yang ada di negeri lain seperti di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan? Sudah pastinya keunikan Rumah Terbalik Tamparuli adalah beberapa hiasan dan ciri khas Sabahan yang dipamerkan di rumah ini. Selain itu, Rumah Terbalik Tamparuli juga telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records kerana seni bina yang unik ini merupakan yang pertama di Malaysia.
Tarikan terbaru di persekitaran Rumah Terbalik ialah 3D Wonders Museum iaitu sebuah pameran seni 3D terbesar di Malaysia Timur tetapi juga merupakan yang pertama dan memberi tumpuan kepada pendidikan orang ramai tentang kepentingan melindungi biodiversiti, ekosistem dan sumber semula jadi.
Lokasi: Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli, Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Setiap hari (7.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-kank RM5
5) Kota Kinabalu Wetland Centre
Kota Kinabalu Wetland Centre dahulunya dikenali sebagai Kota Kinabalu City Bird Sanctuary. Tempat ini merupakan kawasan hutan bakau berkeluasan kira-kira 60 ekar. Terdapat hampir 80 spesis burung di sekitar kawasan paya bakau ini.
Antara aktiviti utama yang boleh anda lakukan di sini adalah memerhati burung. Terdapat menara pemerhati untuk melihat kawasan sekitar hutan bakau ini. Anda juga boleh ke bird-hide utuk meneropong dan melihat aksi burung-burung yang rare. Antara burung yang boleh didapati adalah Purple Heron dan beberapa spesies Egrets. Selain itu, terdapat juga titian sepanjang 1.5 km yang dibina khas untuk pengunjung bagi menikmati udara segar, melihat burung-burung dan juga binatang kecil.
Lokasi: Jalan Bukit Bendera Upper, Taman Likas, 88400 Kota Kinabalu
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Percuma
6) Taman Rama-Rama Kipandi
Taman Rama-rama Kipandi mempunyai lebih 100 spesis rama-rama dan 1500 spesimen rama-rama. Ia juga menempatkan lebih daripada 3000 jenis kumbang yang hanya boleh ditemui di Banjaran Crocker seperti Kumbang Cyclommatus Chewi. Di sini juga turut ditanam lebih kurang 500 jenis orkid, pelbagai jenis bunga dan tumbuh-tumbuhan. Alang-alang sudah sampai ke Sabah, ralat juga rasanya jika tidak manfaatkan peluang ini untuk mengenali kepelbagaian fauna yang terdapat di sini. Jadi moleklah kiranya anda sekeluarga untuk singgah di Taman Rama-Rama Kipandi untuk melihat dengan lebih dekat spesies rama-rama dan kumbang yang terdapat di sini.
Lokasi: Kipandi Butterfly Park, Jalan Tambunan – Kota Kinabalu, 89500 Penampang
Waktu Operasi: Rabu – Ahad (9.00pagi – 4.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5
7) Taman Hidupan Liar Lok Kawi
Di tempat lain, anda akan ke zoo untuk melihat pelbagai jenis haiwan. Namun, di Sabah, anda boleh ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi. Istimewanya taman hidupan ini kerana ia ditempatkan di kawasan hutan semula jadi iaitu tempat habitat asal haiwan tersebut. Terdapat haiwan yang berasal dari Borneo seperti orang utan, monyet Belanda, gajah terkecil di dunia iaitu gajah Pygmy serta spesies Badak Sumbu Sumatera dan pelbagai lagi haiwan lain.
Lokasi: 63, Jalan Penampang, 88200 Penampang
Waktu Operasi: Setiap hari (9.30pagi – 5.30petang)
Harga Tiket: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5
8) Taman Kinabalu
Taman Kinabalu ini merupakan check point pertama sekiranya anda ingin mendaki puncak Gunung Kinabalu yang menjadi mercu tanda bagi Neger Sabah. Taman ini sendiri sudah cukup tinggi sebenarnya, kerana terletak 1585 meter dari paras laut. Namun, jika anda tidak mahu mendaki Gunung Kinabalu pun, anda tetap boleh berkunjung ke sini. Ini kerana, Taman Kinabalu dijadikan sebagai kawasan biologikal yang paling penting di dunia dengan lebih daripada 4500 jenis flora dan fauna yang merangkumi 100 jenis mamalia, lebih daripada 110 jenis siput darat dan 326 jenis burung.
Selain itu, jangan lupa untuk singgah ke Monumen Gempa Bumi Kinabalu yang terdapat di taman ini juga. Di samping itu, anak-anak anda pasti seronok dapat melihat banyak tupai yang comel di pagar Timpohon yang terdapat di taman ini.
Lokasi: Mount Kinabalu National Park, 89300 Ranau, Sabah
9) Ladang Teh Sabah
Ladang Teh Sabah ini merupakan ladang teh organik yang satu-satunya di kepualauan Borneo. Berkeluasan 6200 ekar dan terletak 2272 kaki dari aras laut dan. Dari bukit ini, anda dapat melihat pemandangan hutan rimba dan Gunung Kinabalu yang sangat cantik.
Selain menikmati panorama indah dan segar di ladang teh ini, anda juga boleh melawat kilang pembuatan the yang terdapat berdekatan dengan ladang teh ini. Anda boleh melihat demonstrasi pembuatan teh dari A ke Z. Dari proses ia dipetik, dibersihkan, digredkan sehinggalah dibungkus dan dipasarkan.
Lokasi: Ladang Teh Sabah, KM 17, Jalan Ranau/Sandakan Kampung Nalapak Beg berkunci No.2, 89309, Ranau, Sabah
Waktu Operasi: 8.00pagi – 4.00petang
10) Desa Cattle Dairy Farm
Nak feeling seperti berada di luar negara? Tak perlu pergi jauh, di Desa Cattle Dairy Farm anda sudah boleh menikmati suasana ala-ala di New Zealand. Desa Cattle Dairy Farm digelar sebagai New Zealand Kecil negeri Sabah kerana panorama sekelilingnya yang kelihatan seperti di negara orang Maori itu.
Kehijauan ladang lembu yang seluas mata memandang ini sangat menyejukkan mata. Bukan itu sahaja, malah bukit-bukau di sekeliling ladang ini juga menjadikan pemandangan di sini tersangat cantik tak terungkap dengan kata-kata. Anda perlu datang sendiri ke sini untuk melihat keindahan serta kesegaran panorama di sini. Kalau dah datang ke sini, jangan lupa untuk membeli produk-produk tenusu hasil dari ladang ini, segar dan sedap.
Lokasi: Desa Cattle Dairy Farm, 89308 Kundasang, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00pagi – 5.00petang)
Harga Tiket: Dewasa MyKad: RM5 | Kanak-kanak MyKad: RM4
11) Mesilau Nature Resort
Sabah memang kaya dengan flora dan faunanya. Anda boleh nikmati sebahagian keindahan flora dan fauna negeri Sabah di Mesilau Nature Resort. Seperti namanya, dari kawasan penginapan ini, anda dapat menghayati keindahan alam semulajadi. Betapa indahnya kawasan penginapan ini kerana sentiasa dilitupi kabus dan berudara nyaman. Sekiranya anda menetap di sini, anda boleh merancang pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama keluarga termasuklah merentas hutan.
Lokasi: Pekan Ranau, 89308 Ranau, Sabah
12) Tandem Paragliding
Ia terletak 108 km dari Kota Kinabalu dan merupakan kawasan Paragliding yang agak terkenal di Ranau. Keunikan Tandem Paragliding di Sabah Highland terletak pada panoramanya yang indah. Selain dapat pengalaman terbang di awanan, anda juga dapat menikmati pemandangan di bawah yang sangat indah dengan kawasan pergunungan, perkampungan dan sawah padi. Terasa macam dah berjaya menjelajah seluruh Sabah pula walaupun hanya beberapa minit di atas awan.
Lokasi: Ranau, Sabah Highlands
Waktu Operasi: 10.00pagi – 5.30petang
Harga Tiket: RM190
13) Crystal Hill
Anda inginkan kawasan yang memiliki udara yang nyaman, cuaca yang sejuk dan pemandangan yang indah terutama sekali pada waktu matahari naik dan terbenam? Crystal Hill adalah jawapannya, kerana kawasan ini boleh memenuhi segala keingininan anda itu.
Penginapan atas bukit ini lengkap dengan tab mandian air panas. Memang sempurna rasanya apabila dapat berendam dalam air yang suam-suam dengan cuaca sejuk di atas bukit.
Selain itu, terdapat juga pasar malam yang dibuka setiap hari di kawasan bukit ini. Jadi kalau lapar, tak perlulah anda risau walaupun duduk di kawasan jauh dari pekan.
Lokasi: Kundasang 212-89-308, Ranau,Sabah, 89308 Ranau, Malaysia
Harga Tiket: Dari RM480 Semalaman
14) Taman Rose Dan Strawberry Kundasang
Di Kundasang, cuacanya agak sejuk kerana terletak di kawasan yang bukit. Oleh sebab itu, terdapat ladang strawberi di sini. Masuk sahaja ke dalam Taman Rose Dan Strawberry Kundasang ini, anda dapat melihat di depan mata pokok-pokok strawberi serta buah strawberi yang kemerah-merah. Selain itu, di taman ini terdapat juga banyak bunga-bungaan lain seperti ros yang pelbagai warna, kaktus, lily, matahari dan banyak lagi.
Lokasi: Kundasang, Ranau
Harga Tiket: RM2
15) Kundasang War Memorial
Kundasang War Memorial adalah sebuah memorial peperangan untuk memperingati banduan-banduan perang Australia, British dan masyarakat tempatan yang terkorban sewaktu Perang Dunia Ke-2. Ia mula dibuka pada tahun 1962.
Kawasan memorial ini cukup istimewa, terbahagi kepada 4 taman berbeza, Taman Australia, Taman Inggeris, Taman Borneo dan Taman Renungan ataupun Muhasabah beserta kolam. Anda dapat menghidu bau harum bunga ros di Taman Inggeris. Manakala, di Taman Borneo pula terdapat pelbagai tumbuh-tumbuhan dari Sabah.
Lokasi: 90 Km, Jalan Kundasang Kauluan, Kundasang, 89300, Ranau
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30pagi – 5.30petang)
Harga Tiket Masuk: Pemegang MyKad: RM2 | Bukan Warganegara: RM10
16) Kolam Air Panas Poring
Keistimewaan kolam air panas ini adalah ia kaya dengan kandungan sulfur yang dikatakan baik untuk kesihatan dan dapat memberikan kesegaran badan serta melegakan sendi yang lenguh. Untuk makluman anda, kawasan kolam air panas ini dibina oleh penjajah Jepun. Itulah sebabnya kawasan di sekitar kolam air panas ini ditumbuhi pepohon buluh seperti yang banyak terdapat di Jepun.
Kolam ini cukup sesuai bagi mereka yang telah penat mendaki Gunung Kinabalu, boleh hilang sengal-sengal badan. Bagi anda yang tak suka mandi air panas, anda boleh sahaja memilih untuk bermandi-manda di dalam 2 buah kolam lain yang bersumberkan air gunung. Ataupun sekiranya anda inginkan mandian yang lebih privasi bersama keluarga, anda boleh memilih untuk bermandian di kolam tertutup yang disediakan.
Lokasi: 89300 Ranau, Sabah, Poring Hot Spring
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00pagi – 6.00petang)
Harga Tiket: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM1
17) Sepilok Orang Utan Centre
Orang Utan antara spesies haiwan yang terancam dan harus dilindungi. Oleh sebab itu, kerajaan Negeri Sabah mengambil inisiatif untuk memelihara orang utan di Sepilok Orang Utan Centre. Orang utan merupakan salah satu daripada haiwan yang banyak kerenah yang menghiburkan hati. Kalau anda ke Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre, anda dan keluarga dapat melihat bayi orang utan yang tak duduk diam bergerak dari sana ke sini menggunakan tali-tali dan tayar yang tergantung di merata tempat.
Walau bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan, pelawat hanya boleh berjalan di atas ruang jalan yang disediakan dan tidak dibenarkan untuk mendekati haiwan-haiwan ini.
Lokasi: Sabah Wildlife Department, W.D.T. 200, Sandakan, Jalan Sepilok, Sepilok, 90000 Sandakan, Sabah
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.45pagi – 4.00petang)
Harga Tiket: Dewasa MyKad: RM5, Biasa: RM30 | Kanak-kanak (17 Tahun & Kebawah) MyKad: RM2, Biasa: RM15 | Kamera: RM10
18) Pulau Mabul
Negeri Sabah memiliki banyak pulau yang cantik-cantik. Antaranya iailah Pulau Mabul. Pulau ini terkenal dalam kalangan para penyelam kerana ia terletak dekat dengan Pulau Sipadan yang merupakan destinasi terbaik untuk aktiviti ini. Terletak hanya 15 km dari Sipadan, pulau yang berkeluasan 20 hektar ini ditumbuhi oleh pokok palma dan memiliki kawasan-kawasan pantai yang kecil. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini adalah menyelam skuba di mana anda dapat menyaksikan pelbagai hidupan laut yang menarik seperti ikan katak, ikan kalajengking, jawfish dan banyak lagi yang unik dan menarik untuk dilihat.
Lokasi: Pulau Mabul, Sabah
19) Pulau Manukan
Pulau ini sering menjadi pilihan oleh para pelancong. Namun, anda tak perlu risau, walaupun pulau ini menerima ramai pengunjung, anda tetap berpeluang menikmati percutian yang tenang di sini. Air laut tenang di Pulau Manukan menjadikan ia selamat untuk sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak. Oleh kerana Pulau Manukan ini pulau yang berhutan, anda dapat bersantai di bawah rimbunan pokok sambil menikmati udara segar Pulau Manukan setelah puas berenang.
Aktiviti yang terkenal di Pulau Manukan adalah snorkelling. Lokasi terbaik untuk anda melakukan aktiviti ini adalah kawasan laut yang dalam sedikit berdekatan dengan jeti dan jauh dari kawasan pantai yang dipenuhi pelawat. Di sini terdapat taman batu karang yang sangat indah. Bagi anda yang tak pandai berenang, boleh menggunakan jaket keselamatan yang disediakan.
Lokasi: Manukan Island, Kota Kinabalu, Sabah
20) Pulau Sapi
Pulau Sapi juga antara pulau yang terletak di Taman Tunku Abdul Rahman. Pulau Sapi dibangunkan dengan kemudahan pelancong yang termasuk jeti, perlindungan berkelah, tempat memanggang, meja, bilik persalinan, dan bilik air. Pulau Sapi tidak ada banyak beza dengan Pulau Manukan, tetapi ada yang mendakwa bahawa pepasir pantai di Pulau Sapi lebih halus dari Pulau Manukan. Namun, hati-hati bila mandi di Pulau Sapi kerana ada obor-obor.
Itulah dia 20 tempat menarik di Sabah yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Sabah. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Kota Belud dan Tempat Menarik Di Beaufort.