Menara Jam Muar
|

15 Tempat Menarik Di Muar Boleh Lawati Bersama Keluarga

Jom terjah tempat menarik di Muar.

Tahukah anda, di Muar terdapat satu tempat yang pernah merakam peristiwa penting di Tanah Air kita? Peristiwa berdarah yang melibatkan warga tempatan dengan pihak Komunis berlaku di Bukit Kepong yang terletak di dalam daerah Muar.

Muzium Bukit Kepong adalah lokasi wajib yang anda patut singgah sekiranya anda ke Muar. Namun begitu, terdapat juga tempat—tempat menarik lain yang boleh anda kunjungi. Tempat riadah dan rekreasi, pantai, air panas, gunung, semuanya ada di Muar. Namun apa yang lebih penting adalah, tempat makan di sini yang harus anda cuba kerana Muar terkenal dengan masakan asam pedasnya.

Jom lihat senarai tempat menarik di Muar.

1) Masjid Sultan Ibrahim

Masjid Jamek Sultan Ibrahim
Imej via star2

Masjid Sultan Ibrahim terletak berdekatan dengan muara Sungai Muar. Masjid tertua di Muar ini mula dibina pada tahun 1890-an. Pada tahun 1930, bangunan masjid baru siap dibangunkan menggantikan bangunan lama. Reka bentuk masjid yang menggabungkan elemen Barat dan Timur Tengah menjadikan masjid ini sangat unik dan cantik persis di Al-Hambra (Sepanyol). Untuk pengetahuan anda, masjid ini juga boleh dilihat jika anda menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Lokasi: Jalan Petri, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar

2) Galeri Darurat Bukit Kepong

Muzium Bukit Kepong
Imej via twitter

Siapa yang tidak tahu tentang tempat yang bernama Bukit Kepong ini? Ia telah merakam peristiwa bersejarah di mana terjadinya serangan oleh pihak Komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950. Rentetan dari peristiwa hitam itu, tapak balai polis tersebut kini dijadikan sebagai muzium yang diberi nama Galeri Darurat Bukit Kepong yang dirasmikan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar pada 23 Februari 2017. Dalam masa sama, ia juga bertujuan untuk menghayati pengorbanan yang telah dilakukan oleh para polis yang berjuang menentang Komunis pada masa itu. Muzium ini merupakan tempat bersejarah di Muar yang harus anda lawati.

Lokasi: Jln Muar-Labis, Bukit Kepong, 84600, Johor, Malaysia

3) Menara Jam Muar

Menara Jam Muar
Imej via leonigenius

Anda mencari kawasan tumpuan yang meriah di Muar? Anda boleh berkunjung ke Menara Jam Muar. Menara yang dibina berasaskan seni bina Inggeris lama ini terletak di Laman Maharani Padang Nyiru. Terdapat kawasan lapang yang menghijau di sekitarnya menara ini. Bolehlah anda bersantai-santai bersama keluarga di sini sambil menikmati pemandangan air pancut yang terdapat di sini. Selain itu, anda juga akan dapat melihat sejarah peninggalan penjajah melalui seni bina kedai yang unik dan tersendiri di sini.

Lokasi: Jalan Yahya, Pekan Muar, 84000 Muar

4) Sungai Muar

Sungai Muar
Imej via aniemohamed

Di Sungai Muar terdapat perkhidmatan river cruise. Pembelian tiket boleh dibuat di Jeti Tanjung Emas. Perjalanan ini mengambil masa selama 45 minit hingga 1 jam ini bermula di jeti tempat anda membeli tiket dan akan menyusuri Sungai Muar. Sepanjang pelayaran, anda dapat melihat persekitaran Bandar Muar dari sisi yang berlainan dan lebih istimewa. Nak lebih rare? Anda boleh menaiki bot pada lewat petang untuk melihat panorama ketika senja. Manakala, jika anda menaiki bot pada waktu malam, anda berpeluang untuk melihat kelipan kunang-kunang. Namun begitu, trip ini hanya dibuka pada hari Sabtu atau Ahad sahaja.

5) Taman Tanjung Emas

Taman Tanjung Emas
Imej via orandableg-m

Selain Jeti Tanjung Emas sebagai check point pertama anda untuk menyusuri Sungai Muar, di Tanjung Emas juga terdapat Taman Tanjung Emas. Ia merupakan sebuah taman rekreasi yang terletak di muara sungai Muar. Oleh itu, anda akan yang dapat menikmati pemandangan laut Selat Melaka dari sini.

Terdapat replika durian gergasi yang akan menyambut kahadiran anda setibanya anda di taman ini. Anda boleh melakukan aktiviti riadah kerana terdapat pelbagai peralatan riadah disediakan di samping kemudahan awam yang lain.

Selain itu, di sini juga terdapat sebuah medan selera yang menyajikan hidangan asam pedas yang sangat enak. Seperti mana yang kita tahu, Muar sangat sinonim dengan masakan asam pedas. Jadi, inilah masanya untuk anda merasai masakan asam pedas asli Muar.

Lokasi: Taman Sri Tanjung, 84000 Muar

6) Taman Tanjung Ketapang

Taman Tanjung Ketapang
Imej via sayadankamerasaya

Selain Taman Tanjung Emas, anda juga boleh beriadah di Taman Tanjung Ketapang. Taman ini yang juga merupakan sebuah kawasan rekreasi mempunyai kawasan hutan bakau yang menjadi habitat monyet dan pelbagai binatang liar lain yang tidak berbahaya kepada para pengunjung. Terdapat landasan yang tersedia di sini untuk memudahkan para pengunjung bersiar-siar di sekitar taman ini. Taman ini juga antara lokasi menarik untuk anda menikmati pemandangan matahari terbenam. Selain akitiviti riadah, penduduk tempatan juga selalu melakukan aktiviti memancing di sekitar taman ini.

Lokasi: Taman Tanjung Ketapang, Jalan Timbalan, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar

7) Kolam Air Panas Sungai Gersik

Kolam Air Panas Sungai Gersik
Imej via visitjohor

Antara tarikan best di Muar yang anda boleh lawati bersama keluarga ialah Kolam Air Panas Sungai Gersik. Kolam ini yang terletak berhampiran Pekan Parit Jawa. Ia merupakan sebuah kolam air panas semula jadi. Kolam ini bersuhu antara 50-70 darjah Celsius. Tiada bayaran yang dikenakan untuk anda ke sini. Walaupun percuma, persekitaran di kolam air panas ini bersih yang dijaga dengan rapi. Kemudahan awam yang tersedia di sini menjadikan kolam ini kawasan yang padat dan penuh dengan orang ramai terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Lokasi: J142, Kampung Sungai Gersik, Parit Jawa, 84150 Muar

Waktu operasi: 8.30am – 7pm

Harga tiket: Percuma

8) Pantai Leka

Pantai Leka
Imej via flickr

Di Parit Jawa, selain mandi air kolam air panas, anda juga boleh ke Pantai Leka yang mana jarak antara keduanya hampir 20km. Katanya, pantai ini mendapat namanya kerana waktu dulu, ramai muda-mudi yang bersantai di sini menikmati keindahan pantai sehingga terleka bahawa mereka telah menghabiskan masa yang lama di situ. Namun, sejauh mana kebenaran kisah ini, tidaklah dapat dipastikan. Namun, itulah cerita yang disampai dari turun- temurun berkenaan nama pantai ini.

Selain itu, di sini juga terdpaat perkampungan nelayan. Peluang anda baik, bolehlah beli hasil laut yang segar-segar dari nelayan sekiranya mereka sudah naik ke darat. Selain itu, di sini juga terdapat kawasan hutan bakau yang kaya dengan hidupan liar di sini. Malah, ia juga menjadi lokasi pilihan bagi burung-burung yang berhijrah. Terdapat juga kemudahan seperti menara tinjau dan taman permainan di sekitar pantai untuk para pengunjung.

Lokasi: Jalan Jabbar, 84150 Parit Jawa

9) Gunung Ledang

Gunung Ledang
Imej via flickr

Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak dan cintakan alam semula jadi yang menghijau, bolehlah ke Gunung Ledang untuk lakukan aktiviti seperti berkhemah atau mendaki gunung. Gunung yang terkenal dengan kisah mistik Puteri Gunung Ledang ini berketinggian 1,276m darip aras laut. Pendakian biasanya mengambil masa 4 – 6 jam. Kepada yang berminat untuk mendaki Gunung Ledang, anda disarankan untuk membeli permit dan menempah juru pandu terlebih dahulu.

Selain aktiviti mendaki, anda boleh datang ke sini untuk bermandi-manda di air terjun yang terdapat di kaki Gunung Ledang. Dah puas bermandi, bolehlah berkelah sambil makan-makan bertemankan panorama indah kehijauan hutan yang menyegarkan.

10) Ladang Herba Nasuha

Ladang Herba Nasuha
Imej via imbalo

Nakkan aktiviti yang rare dan menarik? Anda bolehlah ke Ladang Herba Nasuha. Ladang ini berkeluasan 1295 hektar dan mengandungi hamper 6000 spesies herba yang datang dari seluruh dunia. Selain menjual produk tempatan seperti minuman herba teh, terdapat juga produk rempah ratus yang boleh dibeli oleh para pengunjung.

Lebih unik lagi, anda bukan sahaja dapat melawat dan melihat ladang herba sahaja, tetapi di sini juga terdapat restoran dan spa herba yang sangat istimewa. Restoran di sini diserikan dengan lantai yang dibuat dengan batu kecil refleksologi untuk tujuan kesihatan. Malah makanan di sini juga mengandungi herba yang segar dari ladang. Manakala, Spa Herba pula menyediakan khidmat urutan badan, sauna dan mandi bu­nga untuk anda memanjakan diri.

Selain itu, ladang ini juga turut menyediakan perkhidmatan penginapan kepada para pengunjung. Anda boleh membuat pilihan sama ada mahu berkhemah atau menempah resort yang telah disediakan.

Lokasi: Batu 12, Jalan Muar Pagoh, 84500 Muar

11) Jambatan Sultan Ismail

Jambatan Sultan Ismail
Imej via wikipedia

Jambatan Sultan Ismail terletak di Bandar Muar yang menghubungkan Tanjung Agas dan Bandar Maharani. Jambatan ini mula dibuka untuk kegunaan orang awam pada 1967. Ia dirasmikan oleh Almarhum Sultan Sir Ismail Al-Khalidi ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur.

Jambatan ini bukan sekadar menjadi laluan yang menghubung Tanjung Agas dan Bandar Maharani, tetapi juga merupakan kawasan tumpuan penduduk tempatan untuk memancing.

12) Maharani Uptown

Maharani Uptown
Imej via tajashomestay

Nak merasai kemeriahan Bandar Muar pada waktu malam? Anda bolehlah ke Maharani Uptown yang terletak di Jalan Sisi, Muar. Maharani Uptown adalah tempat shopping di Muar yang wajib anda kunjungi. Pelbagai barangan yang boleh anda dapati di sini seperti pakaian, aksesori, gadget, makanan, dan banyak lagi. Semuanya dijual pada harga murah, dan jangan lupa untuk tawar-menawar.

Lokasi: Jalan Sisi, 84000 Muar, Johor Darul Ta’zim.

13) Don Hu Jurassic Garden Muar

Don Hu Jurassic Garden Muar
Imej via twitter

Don Hu Jurassic Garden adalah antara tarikan terbaharu di Muar yang boleh anda lawati bersama keluarga. Ia merupakan sebuah taman yang dipenuhi dengan replika haiwan prasejarah iaitu dinosaur. Lebih 30 unit dinosaur dari pelbagai saiz dan spesis ditempatkan di sini. Semuanya nampak cantik dan berkualiti kerana ia ditempah khas dari China.

Berada di dalam taman ini membuatkan anda seolah berada di dalam filem Jurassic Park.  Ini kerana sesetengah dinosaur mengeluarkan bunyi dan menggerakkan ekor.  Landskap taman ini juga cantik sekaligus menghidupkan suasana yang meriah di sini.

Lokasi: Jalan Pintasan Muar, 84000 Muar

Harga tiket: Percuma

14) Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Medan Ikan Bakar Sabak Awor
Imej via wikipedia

Jika anda tercari-cari kedai makan pada malam hari, anda boleh keGerai Medan Ikan Bakar Sabak Awor yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM). Ia berkonsepkan medan selera (food court) dengan terdapat banyak gerai-gerai di bawah satu bumbung. Terdapat pelbagai pilihan makanan laut di situ seperti ikan, udang, sotong, kerang dan sebagainya. Kebanyakan gerai-gerai di sini menjual makanan laut yang segar dan anda bebas memilih mengikut cita rasa masing-masing. Ruang letak kereta yang banyak turut memberi keselesaan para penggemar ikan bakar untuk berkunjung ke sini.

Lokasi: Jalan Cahaya, Sabak Awor, 84000 Muar, Johor

15) Gerai Asam Pedas Parit Jawa

Gerai Asam Pedas Parit Jawa
Imej via tayargolek

Muar sememangnya sinonim dengan masakan asam pedas. Bagi anda yang mencari asam pedas Johor yang sedap dan murah di Muar anda boleh singgah di Gerai Asam Pedas Parit Jawa, Muar. Disini terdapat pelbagai gerai yang menjual asam pedas tetapi untuk makluman anda, gerai di hujung sekali iaitu Gerai Pak Yahya Asam Pedas antara kedai yang tersohor di sini. Hidangan asam pedas di gerai Pak Yahya merupakan antara yang paling popular di Gerai Asam Pedas Parit Jawa kerana pernah mendapat liputan dari media tempatan seperti akhbar Kosmo, TV3 dan media dari Singapura.

Lokasi: Gerai Asam Pedas Parit Jawa, Muar, Johor

Itulah dia 15 tempat menarik di Muar, Johor yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Muar, Johor. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Batu Pahat dan Tempat Menarik Di Mersing

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *