10 Tempat Menarik di Gopeng Yang Perlu Anda Lawati
Jangan tak tahu, banyak tempat menarik di Gopeng yang anda boleh kunjungi jika sampai ke tempat ini. Gopeng merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di Kampar, Perak.
Jika anda dari Ipoh iaitu ibu negeri Perak, perjalanan mengambil masa selama 30 minit sahaja. Bandar Gopeng juga merupakan salah satu tempat bersejarah di Perak.
Terdapat pelbagai tempat menarik di sini terutamanya tempat rekreasi. Bolehlah anda mengajak keluarga dan rakan untuk bercuti di Gopeng. Ini senarai tempat yang anda boleh lawati.
Hoga Gaharu Tea Valley
Jika anda tanya penduduk Perak tentang tempat menarik di Gopeng, sudah pasti mereka akan mengesyorkan Hoga Gaharu Tea Valley kerana tempat ini cukup terkenal dengan ladang teh gaharu yang sangat luas.
Pemandangan di sini sangat cantik persis ladang teh di Cameron Highland. Nature lover memang patut datang ke sini dan layan suasana yang menyamankan. Jangan lupa dapatkan pelbagai jenis produk teh gaharu untuk dijadikan cenderamata.
Anda boleh menaiki van dengan kadar RM 10 untuk dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak untuk melawati 3 check point menarik di Kawasan ini. Check point pertama adalah Viewing Stage & Hilltop Café manakala check point kedua adalah Hugging Park. Checkpoint terakhir pula adalah Lover’s Park.
Lokasi: Jalan Sungai Itek, 31600 Gopeng, Perak
Natasya Riverside Resort Gopeng
Gopeng mempunyai banyak penginapan terutama penginapan yang bertemakan alam. Salah satu penginapan menarik adalah Natasya Riverside Resort. Resort ini berada di Kawasan strategik, mudah untuk anda akses ke tempat menarik yang lain.
Anda boleh memilih sama ada ingin menginap di kabin, chalet kayu atau lebih unik di caravan. Banyak komen positif diberikan oleh penginap dari segi keselesaan, makanan yang disediakan dan staff yang ramah.
Percutian dan penginapan anda di sini pasti tidak akan membosankan kerana mereka menawarkan pelbagai aktiviti menarik dengan harga berpatutan. Antaranya adalah water rafting, ATV, meneroka gua dan waterfall abseiling.
Lokasi: Lot 10855, Jalan Besar, Kg Jahang, 31600 Gopeng, Perak
Gua Tempurung
Gua Tempurung juga merupakan tempat terkenal di Gopeng. Nama gua batu kapur ini diambil sempena bentuk gua yang kelihatan seperti tempurung kelapa.
Anda seorang yang aktif dan lasak? Anda memang perlu datang ke sini kerana terdapat pelbagai aktiviti yang mencabar fizikal dan mental anda. Nature lover juga patut datang ke sini dan meneroka setiap sudut Gua Tempurung yang unik dan bersejarah.
Antara aktiviti yang boleh anda cuba adalah jungle trekking dan meredah sungai. Jangan risau kerana anda boleh dapatkan tour guide dalam pakej yang berbaloi. Bukan itu sahaja, pelbagai kemudahan untuk keselamatan pengunjung seperti gua yang dilengkapi lampu, titi dan tangga.
Lokasi: Pusat Pelancongan Gua Tempurung, 31600 Gopeng, Perak
Gua Kandu
Gua Kandu tak banyak dikenali ramai seperti Gua Tempurung. Gua batu kapur ini berusia 400 hingga 500 juta tahun berdasarkan penemuan fosil di kawasan tersebut.
Nak teroka keindahan Gua Kandu? Pilih saja pakej yang disediakan oleh banyak tour guide di sini. Pakai pakaian yang sesuai dan paling penting bawa air minuman dan lampu suluh. Gua ini mempunyai jalan yang mencabar berbanding Gua Tempurung kerana tiada lampu atau tangga. Dapatlah anda merasai suasana gua yang semulajadi.
Jaga adab sewaktu berada di sini. Jaga pertuturan dan jangan sesekali bercakap dengan bahasa kasar dan perkara yang tidak elok. Paling penting, jangan sesekali mengambil barang yang berada di dalam gua ini.
Lokasi: Gopeng, Perak
Muzium Gopeng
Anda suka dengan tempat yang penuh sejarah? Muzium Gopeng pasti dapat memberi banyak maklumat berkaitan sejarah terutama tentang bandar Gopeng.
Bukan itu sahaja, malah terdapat 300 barangan antik atau peninggalan yang digunakan oleh masyarakat zaman dahulu iaitu kira-kira 150 tahun yang lepas. Anda boleh melihat barangan antik seperti radio, basikal, penimbang dan sebagainya.
Lokasi: 28, Jalan Eu Kong, 31600 Gopeng, Perak
Kuala Razila Adventure And Resort
Satu lagi penginapan menarik di Gopeng yang turut menyediakan pelbagai kemudahan dan aktiviti untuk penginap adalah Kuala Razila Adventure And Resort.
Pelbagai aktiviti ditawarkan buat pengunjung seperti berkhemah, berakit, jungle trekking dan tubing. Buat penggemar sukan dan aktiviti lasak, anda memang wajib datang ke sini untuk merehatkan minda dan fizikal.
Buat anda yang ingin bersantai sahaja, ini juga merupakan penginapan sesuai untuk anda kerana berada di sekeliling alam. Pasti fikiran anda juga menjadi lapang apabila melihat dan mendengar suara alam. Chalet di sini sangat selesa dan bersebelahan dengan sungai.
Lokasi: Jalan Kampung Ulu Geroh Gopeng, 31600 Ipoh, Perak
Rumah Warisan Gopeng
Tak jauh dari Muzium Gopeng, jangan lupa singgah di Rumah Warisan Gopeng iaitu rumah kedai lama yang memaparkan pelbagai barangan antik. Rumah Warisan Gopeng adalah bangunan dua tingkat yang terdiri daripada ruang tamu, bilik, dapur dan kopitiam.
Senang je nak cari rumah ini kerana berwarna merah dan berada di tengah-tengah deretan kedai lama. Rumah Warisan Gopeng lebih menumpukan terhadap peninggalan atau sejarah mengenai kehidupan Nyonya.
Lokasi: Jalan Sungai Itik, Pekan Gopeng, 31600 Gopeng, Perak
Cengkerik Eco Park
Cengkerik Eco Park berada dalam kawasan rekreasi Gopeng iaitu Taman Herba Gopeng. Kawasan ini diwujudkan bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di bandar kecil ini. Memang sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.
Ada pelbagai zon yang perlu anda lawati seperti taman permainan, mini zoo, rumah burung dan rumah ular. Aktiviti lasak juga anda boleh cuba seperti menunggang ATV, memanah dan berkayak.
Lokasi: Batu 1, Jalan Simpang Pulai Kg. Kepayang, Batu Gajah, 31300 Gopeng, Perak
Gopeng Glamping Park
Ada yang minat berkhemah tetapi tidak mahu bersusah payah memacak khemah dan bawa banyak peralatan? Tidak mengapa kerana di Gopeng juga ada lokasi untuk glamping, iaitu glamour camping yang memenuhi citarasa berkhemah anda.
Gopeng Glamping Park berada di tengah-tengah alam iaitu dikelilingi pepohon menghijau, gua, sungai dan bukit. Lokasi sesuai untuk anda yang menginginkan percutian santai dan jauh dari kesibukan kota.
Percutian dan penginapan anda di sini pasti tidak membosankan kerana pihak resort menyediakan pelbagai aktiviti seperti water rafting, ATV, mendaki, meneroka gua dan lain-lain. Pada sebelah malam pula anda boleh berkaraoke atau menikmati persembahan api.
Lokasi: Lot 10846, Jln Besar, kampung chulek, 31600 Gopeng, Perak
Bukit Batu Putih
Bukan sahaja di Langkawi dan Johor je yang ada Bukit Batu Putih. Di Gopeng juga ada yang menjadi tempat terkenal untuk para penggemar aktiviti mendaki. Bagi yang belum pernah mendaki, anda pasti dapat mengharungi perjalanan untuk sampai ke sini kerana trek agak mudah dan tidak berliku.
Pemandangan dari puncak bukit amat menarik dan pasti memukau setiap pendaki yang datang. Hilang rasa penat apabila dapat menikmati keindahan alam di sini.
Dengan 10 senarai tempat menarik di Gopeng ini, pasti ada yang mencuri tumpuan anda! Jom ajak kawan-kawan atau keluarga anda untuk bercuti di Gopeng. Pastinya tidak menghampakan anda terutama buat anda yang suka akan alam dan aktiviti lasak.
Jika anda ingin ke Gopeng, jom baca tempat menarik lain di Perak yang boleh anda kunjungi seperti: