20 Tempat Menarik Di Brunei. Bangunan Megah Mercu Tanda Kekayaan
Ada rancangan ke sana? Mencari tempat menarik di Brunei?
Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang kecil tetapi memiliki kekayaan yang melimpah ruah. Nak tengok kekayaan serta kemewahan negara ini, anda bolehlah lihat bangunan-bangunan megah yang terdapat di sekitar Bandar Seri Begawan. Namun begitu, Brunei juga ada sejarahnya yang tersendiri sebelum ia menjadi sebuah negara yang kaya. Nak tahu lebih lanjut tentang negara ini, jom kita lihat 20 tempat menarik yang terdapat di Brunei.
1)Â Istana Nurul Iman
Tahukah anda? Istana Nurul Iman ini tersenarai di dalam Guinness Book of Records sebagai istana kediaman raja yang terbesar di dunia. Jadi, sudah semestinya istana ini menjadi salah satu tempat wajib yang dilawai oleh semua pengunjung yang datang ke Brunei.
Istana ini bukan setakat besar, tetapi juga binaannya sangat gah dan cantik. Rekaan dalaman istana ini pula telah dihasilkan oleh Khuan Chew yang juga terlibat dalam pembinaan Burj Al Arab di Dubai.
Seperti mana istana-istana yang lain, Istana Nurul Iman tidak dibuka kepada orang awam untuk sesi lawatan. Tetapi, istana ini hanya dibuka 3 hari pada Hari Raya Aidilfitri. Jadi, kalau anda teringin nak masuk ke dalam istana ini, bolehlah datang pada hari-hari ini. Bukan setakat dapat masuk ke dalam istana sahaja, malah anda bakal dihidangkan dengan pelbagai juadah yang lazat-lazat.
Namun, sekiranya anda bercuti ke Brunei bukan pada hari raya Aidilfitiri, anda boleh melihat keindahan bangunan istana yang berkubah emas ini dengan jelas dari Taman Persiaran Damuan. Anda juga dapat melihat kemegahan istana ini dengan menaiki bot menyelusuri Sungai Brunei.
Lokasi:Â Jln Menteri Besar, Bandar Seri Begawan BA2112, Brunei
2) Muzium Brunei
Brunei merupakan salah satu negara yang terletak di dalam rumpun Melayu. Dari rekabentuk Muzium Brunei ini, anda dapat melihat pengaruh tradisional Melayu terutama pada ukiran-ukiran yang terdapat di bangunan ini.
Muzium ini terdiri daripada beberapa bahagian seperti Galeri Seni Islam, Galeri Sejarah dan ruang galeri untuk pameran sementara. Antara barangan yang paling antik yang terdapat di muzium ini adalah barangan seramik dari Iran serta kaca dari Mesir yang dianggarkan telah wujud sejak abad ke-9 dan ke-10 lagi.
Lokasi:Â Jln Kota Batu, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am & 2.30 – 5.00pm)
3) Bandar Seri Begawan
Bandar Seri Begawan merupakan ibu negeri bagi negara Brunei. yang kaya dengan hasil minyaknya ini. Pada asalnya dikenali sebagai Bandar Brunei namun ditukar nama untuk memberi penghormatan kepada Sultan Brunei yang ke-28, Al-Marhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Seri Begawan Sultan Haji Sir Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien III. Banyak tempat menarik terdapat di Bandar ini, antaranya Mercu Dirgahayu 60, Pasar Hiageh, Royal Regalia dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin.
Di sini juga terdapat banyak kemudahan seperti hotel. Untuk makluman anda, di Brunei tiada hotel bajet, paling murahpun adalah hotel bertaraf 3 bintang.
Lokasi:Â Bandar Seri Begawan, Brunei
4) Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin
Tahukah anda? Kubah utama Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin ini diselaputi oleh emas tulen. Dengan ketinggian sekitar 171 kaki, masjid ini dapat dilihat dimana sahaja anda berada di sekitar Bandar Seri Begawan. Jadi jangan terperanjat kalau anda terlihat kilauan-kilauan emas semasa berada di Bandar Seri Begawan. Ini kerana ia barangkali adalah kilauan dari emas kubah ini.
Selain daripada kemewahan masjid ini, tarikan lainnya adalah ia juga dibina di tepian Sungai Brunei dan dikelilingi oleh taman bunga yang indah. Rekaan dalaman masjid ini tak kurang hebatnya kerana hampir kesemua material yang digunakan dalam pembinaan masjid ini didatangkan daripada luar negara seperti chandelier kristalnya yang datang dari England, lantai marmarnya yang diimport dari Itali dan karpetnya pula dari Arab Saudi.
Baca huraian tentang masjid ini sahaja sudah dapat rasakan kemewahan serta kecantikan masjid ini bukan? Jadi, jika anda ke Brunei, jangan lepaskan peluang anda untuk singgah ke masjid ini ya.
Lokasi:Â Jalan McArthur, Bandar Seri Begawan BS8711, Brunei
5) Pekan Tutong
Tahukah anda? Pekan Tutong ini terkenal dengan pokok periuk kera dan pasir putih yang terdapat di sesetengah tempat di pekan ini. Oleh sebab itu, penduduk di sini menggunakan periuk kera untuk memasak pelbagai jenis makanan. Jika di Malaysia, kita mungkin hanya tahu lemang periuk kera sahaja. Tetapi di pekan ini, pelbagai jenis makanan lain yang dimasak dalam periuk kera.
Dah kenyang isi perut, bolehlah singgah ke Masjid Hassanal Bolkiah yang terletak tidak jauh dari Pekan Tutong. Antara tarikan lain yang terdapat di sini adalah Pasar Malam Pekan Tutong dan Gerai Selera Tutong.
Lokasi:Â Tutong, Brunei
6) Masjid Hassanal Bolkiah
Masjid Hassanal Bolkiah merupakan salah satu daripada 2 buah masjid negara di Brunei. Masjid ini dibina pada tahun 1992 dan memiliki 29 buah kubah. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Brunei dan boleh memuatkan 5000 jemaah pada satu-satu masa.
Seperti mana Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Masjid Hassanal Bolkiah juga tidak kurang cantik dan mewahnya. Jadi, anda perlu datang sendiri ke masjid ini untuk melihat kemegahan masjid ini.
Lokasi:Â Sultan Hassanal Bolkiah Hwy, Kampung Kiarong, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam
7) Taman Negara Ulu Temburong
Memandangkan Brunei terletak di Kepulauan Borneo, sudah tentulah negara ini juga kaya dengan keindahan flora dan fauna. Taman Negara Ulu Temburong merupakan taman negara pertama yang diisytiharkan di Brunei sejak tahun 1991.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah bermandi-manda di dalam air segar dari kawasan gunung di Sungai Temburong, berkayak, memerhati burung dan banyak lagi. Di sini juga terdapat sekitar 400 jenis rama-rama.
Sekiranya anda berpeluang ke sini, anda boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong untuk membantu anda meneroka taman negara ini. Nak lebih mencabar, anda boleh meneroka khazanah alam di taman negara ini melalui canopy walk yang terdapat di sini. Selain itu, di taman negara ini juga terdapat kemudahan penginapan Ulu Ulu Resort sekiranya anda ingin bermalam di sini.
Lokasi:Â Bangar | Temburong, Ulu Temburong National Park BE1518, Brunei Darussalam
8) Hutan Simpan Labi
Selain Taman Negara Ulu Temberong, anda juga boleh ke Hutan Simpan Labi untuk menikmati keindahan alam semulajadi yang terdapat di Brunei. Tarikan hutan simpan ini adalah kawasan sungainya yang mengalir tenang, kolam-kolam semulajadi untuk bermandi-manda dan juga pokok-pokok di sekitar yang hidup segar menghijau. Sekiranya anda datang ke sini pada waktu malam, anda mungkin akan menjumpai cendawan yang bercahaya. Memang unik!
Lokasi:Â Hutan Simpan Labi, Brunei
9) Damuan Recreational Park
Damuan Recreational Park terletak berdekatan dengan Sungai Brunei. Di sini anda boleh berekreasi sambil menikmati panorama indah yang terbentang di hadapan anda. Di samping pemandangan yang menarik, taman ini turut lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti tandas, bilik mandi dan taman permainan, tempat makan pun ada.
Jika anda tidak ada aktiviti yang ingin dilakukan pada awal pagi mahupun lewat petang sewaktu bercuti di Brunei, bolehlah singgah di sini untuk bersenam sambil cuci mata melihat pemandangan Sungai Brunei yang dihiasi dengan kemegahan Sultan Nurul Iman yang anda boleh lihat jelas dari sini.
Lokasi:Â Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam
10) Pantai Jerudong
Oleh kerana pantai ini mengadap Laut China Selatan, maka tidak hairanlah jika pantai ini agak sibuk dengan nelayan-nelayan yang turun ke laut untuk mencari rezeki. Banyak bot dapat dilihat tersadai di sekitar Pantai Jerudong ini.
Keindahan pantai ini deserikan dengan pokok-pokok kasuarina dan kelapa yang banyak mengelilingi sekitarnya. Malah, terdapat Pasar Ikan Jerudong yang terletak berhampiran pantai ini. Maka, sambil-sambil anda ke sini untuk menghirup udara segar bayu pantai, bolehlah anda shopping hasil laut yang segar-segar di pasar ini. Bukan itu sahaja, buah-buahan dan sayuran pun ada. Cukup lengkap! Nampaknya, malam nanti anda bolehlah berbbq dengan meriahnya.
Lokasi:Â Jerudong Beach, Jerudong, Brunei
11) Pantai Seri Kenangan
Tahukah anda? Tarikan semula jadi di Pantai Seri Kenangan ini ialah air laut pantai ini terbahagi daripada air sungai dan air laut. Anda dapat lihat bagaimana kedua-dua sumber air ini bercantum, iaitu air sungai yang tenang dan juga air aur yang berombak.
Selain itu, dari Pantai Seri Kenangan ini juga anda boleh merakam pemandangan indah sewaktu matahari terbit dan terbenam. Sangat cantik! Terdapat banyak gerai jualan serta restoren di sekitar pantai ini. Dah puas berjalan di persisir pantai, bolehlah anda singgah ke gerai-gerai ini untuk isi perut pula.
Lokasi:Â Pantai Seri Kenangan (Pantai Tutong), Brunei
12) Pantai Muara
Pantai Muara berkepanjangan sekitar 1.5 km dan terletak di sepanjang Laut China Selatan. Pantai yang cukup indah berpasir putih ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti kawasan berkelah yang selesa, tandas, gerai-gerai makanan dan taman permainan kanak-kanak. Jika anda inginkan aktiviti yang rileks, bolehlah berkelah di pantai ini bersama keluarga.
Lokasi:Â Muara, Brunei
13) Tasek Merimbun
Tasek Merimbun adalah sebuah tasik air hitam yang terbesar di Brunei. Jangan takut pula. Kehitaman air tasik ini bukan disebabkan oleh toksik. Tetapi airnya menjadi hitam disebabkan oleh tannin yang dibebaskan dari daun-daun yang jatuh ke dalam air tasik ini.
Di tengah-tengah tasik ini juga terdapat sebuah pulau yang boleh diakses dengan menggunakan jambatan kayu yang disediakan. Kalau anda ingin menerokai dengan lebih luas lagi, anda boleh menyewa bot. Pemandangan sekitar tasik ini memang sangat cantik untuk anda teroka.
Lokasi:Â Tasek Merimbun, Brunei
14) Kuala Belait
Kuala Belait merupakan bandar kedua yang terbesar di Brunei selepas Bandar Seri Begawan. Pada asalnya, Kuala Belait merupakan kawasan perkampungan nelayan. Namun kini, telah banyak hotel-hotel didirikan sekitar bandar ini membuatkan ia juga telah menajadi tumpuan pelancong.
Antara tarikan menarik yang terdapat di Kuala Belait adalah Pasar Tudong Saji yang mana anda dapat merasa makanan-makanan tempatan masyarakat Brunei.
Di samping itu, di sini juga terletaknya Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Anda boleh luangkan masa bersama keluarga di taman ini untuk beriadah serta mengirup udara segar di sini. Antara kemudahan yang terdapat di sini adalah seperti taman permainan kanak-kanak, gazebo dan beberapa peralatan senaman.
Lokasi:Â Kuala Belait, Brunei
15) Jerudong Park
Siapa kata di Brunei tiada tempat hiburan? Anda boleh berhibur bersama keluarga di Jerudong Park iaitu sebuah taman tema. Anara tarikan di taman ini adalah ferris wheel yang mana anda dapat melihat kawasan sekitar taman seluas pemandangan, roller coaster yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur, bot pedal yang membawa anda mengelilingi sekitar tasik di Jerudong Park, carousel, bumper car, waterpark dan banyak lagi.
Lokasi:Â Jerudong Park | Kg Jerudong, Kampong Jerudong BG3122, Brunei Darussalam
Waktu Operasi (Playground): Khamis (4.00pm – 11.00pm) | Jumaat (3.00pm – 11.30pm) | Sabtu (10.00am – 11.30pm) | Ahad (10.00am – 11.30pm)
Harga Tiket (1-Day All Playground Rides):Â Dewasa B$20 | Kanak-kanak B$10 | Pakej Keluarga (2 Dewasa, 2 Kanak-kanak) B$50
16) Royal Regalia Building
Royal Regalia Building juga dikenali sebagai Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja. Ia terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan. Bangunan ini menempatkan pelbagai replika diraja termasuklah mahkota-mahkota, pakaian dan banyak lagi.
Di samping itu, terdapat juga pameran pemberian berharga yang telah diberikan kepada kerajaan Brunei, diperbuat daripada pelbagai material seperti kristal, perak dan lain-lain lagi. Namun begitu, anda tidak dibenarkan mengambil gambar ketika lawatan anda di sini.
Lokasi:Â Jalan Sultan, Bandar Seri Begawan BS8811, Brunei Darussalam
Harga Tiket:Â Percuma
17) Malay Technology Museum
Malay Technology Museum ini terbahagi kepada 3 bahagian pameran iaitu Water Village Traditional House Gallery, Water Village Traditional Technology Gallery dan Inland Traditional Technology Gallery. Di muzium ini, anda dapat anda pelajari tentang sejarah awal Brunei sebelum menjadi antara negara yang terkaya di dunia.
Di Water Village Traditional House Gallery, anda dapat melihat bagaimana struktur rumah di kawasan penempatan awal iaitu Kampong Ayer dibina. Manakala, di Water Village Traditional Technology Gallery pula anda akan dapat melihat pembuatan atap, bot dan banyak lagi oleh masyarakat setempat, dan akhir sekali di Inland Traditional Technology Gallery pula anda dapat melihat pameran pondok-pondok untuk suku kaum berbeza dan banyak lagi pameran lain yang menarik.
Lokasi:Â Jln Kota Batu, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am & 2.30pm – 5.00pm) | Sabtu (9.45am – 5.00pm)
Harga Tiket:Â Percuma
18) Museum Maritime Brunei
Museum Maritime Brunei terletak di Kota Batu. Ia terdiri daripada 3 bahagian galeri yang mana 2 buah merupakan galeri tetap. Galeri yang pertama adalah galeri The Brunei Shipwreck ataupun galeri kapal karam. Di galeri ini anda dapat melihat dalam 13,500 jenis artifak yang terdiri daripada seramik dari abad ke-15 dan ke -16 yang ditemui di perairan Brunei pada tahun 1997.
Galeri kedua pula adalah ‘Kota Batu Sebagai Pusat Perdagangan’. Di sini anda dapat melihat sejarah Kota Batu yang aktif dengan aktiviti perdagangan dari abad ke-14 hinggalah ke-17 serta kapal-kapal yang digunakan dalam perdagangan.
Lokasi:Â Simpang 482, Jln Kota Batu, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam
Waktu Operasi: Ahad – Khamis (9.00am – 5.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am & 2.30pm – 5.00pm) | Sabtu (9.45am- 5.00pm)
19) Billionth Barrel Monument
Billionth Barrel Monument merupakan sebuah mercu tanda yang terletak di Seria. Ia dibina pada tahun 1991. Monumen ini dibina untuk melambangkan kejayaan Brunei sebagai antara negara pengeluar minyak yang terkaya di dunia. Walaupun perjalanan untuk ke sini agak jauh dari pusat bandar, tetapi lawatan anda ke sini menyempurnakan lawatan anda ke Brunei. Kerana monument ini merupakan salah satu mercu tanda bagi negara Brunei.
Lokasi:Â Jalan Utara, Seria KB1110, Brunei Darussalam
20) Oil & Gas Discovery Centre
Di Oil & Gas Discovery Centre inilah anda dapat memahami bagaimana kekayaan negara ini dengan wang berbillion-billion ringgit dihasilkan di Brunei. Bukan setakat pameran serta info tentang cari gali minyak dahaja yang terdapat di sini, tetapi juga terdapat aktiviti permainan-permainan IQ yang anda boleh cuba. Di samping itu, untuk pengetahuan anda, Oil & Gas Discovery Centre juga sering menganjurkan bengkel sians untuk para pengunjung. Untuk mengetahui maklumat bengkel sains ini dengan lebih lanjut, anda boleh lawati lawan web mereka.
Lokasi:Â F20 Jalan Tengah, Seria KB1110, Brunei Darussalam
Waktu Operasi: Isnin – Khamis, Jumaat (8.30am – 5.00pm) | Ahad (9.30am – 6.00pm)
Harga Tiket:Â Dewasa B$5 | Remaja B$2 | Kanak-kanak B$1
Itulah dia 20 tempat menarik di Brunei yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Brunei. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Vietnam dan Tempat Menarik Di Jakarta.Â