waterfall
|

Sungai Kemensah: 5 Aktiviti Menarik Boleh Buat Di Sini

Sungai Kemensah merupakan salah satu pusat rekreasi air terjun yang terkenal di Selangor. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini.

Terletak di mukim Hulu Klang dan di daerah Gombak, Kemensah memang cukup terkenal dengan aktiviti rekreasi sekitar Sungai Kemensah. Kemensah adalah kawasan yang berbukit bersebelahan dengan hutan simpan. Sungai Kemensah sering dikunjungi oleh pengunjung bandar untuk berehat setelah penat dengan kesibukan kerjaya dan kota.

Sebenarnya, pelbagai aktiviti yang boleh di lakukan di Sungai Kemensah. Namun, perlu diingatkan untuk anda berhati-hati jika mengunjungi tempat ini sewaktu musim hujan kerana bimbang berlaku kejadian kepala air dan tanah runtuh. Jom kita lihat aktiviti yang boleh dilakukan disini.

Berkelah di Tepi Sungai

Tidak lengkap kunjungan anda ke sungai jika tidak membawa makanan dan makan di tepi sungai sambil layan panorama keindahan alam semula jadi. Makan sambil rendam kaki dalam air dan ditiup angin pasti menyelerakan. Nak lagi jimat, masak siap-siap dari rumah. Sampai sahaja di tempat berkhelah boleh terus makan.

Nak lagi seronok, anda boleh barbeku di sana. Bawa segala kelengkapan memasak sendiri dari rumah agar lebih memudahkan anda. Makan panas-panas ikan dan ayam bakar, oden, sosej dan lain-lain pasti sedap. Selepas berendam di sungai anda pasti lapar semula. Jangan lupa bawa snek-snek!

Bermalam di Chalet Sungai Kemensah

Jika anda ingin meluangkan masa di Sungai Kemensah dengan lebih lama, anda boleh berkhemah atau menginap di chalet terdekat. Pasti ramai yang suka untuk berkhemah berbanding menginap di chalet. Sudah pasti kos perbelanjaan dapat dijimatkan kerana anda hanya perlu membayar kos sewa tapak dan beberapa fasiliti sahaja.

Kemensah Valley Recreation and Chalet merupakan tempat yang anda boleh sewa untuk berkhemah. Hanya serendah RM 20 untuk satu malam, anda dapat berkhemah di tepi sungai dilengkapi dengan elektrik dan tandas. Pasti anda dapat tidur dengan lena ditemani bunyi deruan air sungai serta suasana yang nyaman dan sejuk.

Imej via [ Kemensah Valley Recreation & Chalet ]

Berkhemah dapat memupuk kesedaran untuk lebih menghargai alam semula jadi. Dengan melihat keindahan alam juga, fikiran dan jiwa menjadi tenang. Segala penat lelah dengan kesibukan kerjaya dapat dihilangkan apabila anda menikmati kehijauan tumbuhan dan suara alam memandangkan ianya adalah satu terapi yang mujarab.

Bagi anda yang inginkan lebih keselesaan, anda boleh menginap di chalet.Terdapat beberapa chalet di Sungai Kemensah yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk anda dengan harga yang berbaloi.

Untuk pengetahuan anda, Kemensah Valley Recreation and Chalet juga menyediakan chalet serendah RM 60 untuk satu malam dilengkapi tilam, bantal dan kipas. Jika anda inginkan chalet yang lengkap semua peralatan, anda boleh menyewa dengan kadar RM 180 sahaja yang boleh memuatkan sehingga lapan orang.

Imej via [ Celi Chalet ]

Chalet lain yang berada di Sungai Kemensah adalah Celi Chalet, Warisan Hati Rimba, Kemensah Chalet Waterfall dan Chalet Rimba Jinbara. Setiap chalet terletak berhampiran sungai dan mempunyai keunikan tersendiri. Chalet-chalet tersebut juga ada yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik.

Mendaki Bukit

Terdapat banyak tempat yang anda boleh mendaki di Kemensah seperti Lubuk Tedung, Bukit Elmo, Air Terjun Sofea Jane dan lain-lain. Namun anda haruslah peka dengan peraturan yang ditetapkan kerana terdapat tempat yang memerlukan permit jika anda ingin mendaki.

Hal ini kerana, kawasan tersebut adalah kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang perlu dilindungi. Bagi yang perlukan permit, anda boleh memohon di Pejabat Perhililitan Selangor lebih awal sebelum tarikh pendakian.

Trek di bukit yang terdapat di Sungai Kemensah sememangnya mencabar. Namun amat berbaloi jika anda sudah sampai di puncak tersebut. Melihat kawasan air terjun yang cantik dikelilingi alam menghijau dan bunyi deruan air pasti dapat memukau setiap mata yang memandang.

Imej via [ Kelab Perwira Malaysia ]

Menunggang ATV

Imej via [ ATV Adventure Park ]

Nak habiskan cuti dengan aktiviti lasak? Jangan risau, di Sungai Kemensah, ada beberapa perkhidmatan yang menyediakan ATV ride untuk anda seperti ATV Adventure Park Kuala Lumpur dan Qandang ATV ride. Masing-masing menyediakan pakej menunggang ATV yang berbaloi termasuk tour guide.

Jadi, anda tak perlu risau jika anda pertama kali menunggang ATV atau pertama kali memasuki hutan. Buat pengetahuan anda, anda juga boleh menunggang ATV untuk ke air terjun Sofea Jane. Lagi mencabar, lagi seronok!

Menjamu Selera Restoran Dalam Sungai

Imej via [ BBQ Lamb KL Kemensah ]

Anda mesti tahu tentang satu restoran viral di Kemensah iaitu BBQ Lamb KL Kemensah. Restoran ini cukup terkenal dengan keunikan tempat makan yang berada di dalam sungai. Sambil makan boleh rendam kaki. Makanannya pula memang sedap.

Anda boleh menikmati makanan yang lazat dengan harga yang berbaloi di tengah-tengah sungai sambil menikmati keindahan alam. Kawasan restoran pula sangat cantik dan luas. Air sungai sangat jernih.

Di sini terdapat makanan western terdiri daripada daging kambing dan lembu, ayam, itik dan ikan. Paling unik yang membuatkan makanan western tersebut sedap kerana dibakar atau dipanggang menggunakan ketuhar yang diperbuat daripada tanah liat.

Anda yang suka berada dikelilingi alam semula jadi patut datang ke Sungai Kemensah dan cuba semua aktiviti di atas! Jom baca juga:

Similar Posts