|

11 Pulau Di Sabah Kena Pergi Semua Cantik

Kalau cakap mengenai negeri Sabah, pasti ramai yang teringatkan Gunung Kinabalu. Tetapi terdapat juga pulau di Sabah yang menarik dan cantik.

Pemandangan pulau yang kebiruan dan berpasir putih menggambarkan keindahan alam semula jadi. Keadaan keliling pulau yang dipenuhi dengan pemandangan hijau, tentunya dapat memberikan ketenangan kepada sesiapa yang melihat. Di sini merupakan antara senarai pulau di Sabah yang dapat anda lawati.

Pulau Kapalai

Imej via [sabahtourism.com]

Pulau Kapalai merupakan pulau yang terkenal dengan keindahan dunia laut. Pulau Kapalai juga dikenali sebagai Maldives Malaysia disebabkan airnya yang berwarna biru jernih.

Jika anda seorang yang suka melihat hidupan laut, anda mungkin akan tertarik dengan pulau ini. Pulau Kapalai sememangnya terkenal di kalangan penyelam. Pelbagai hidupan laut terdapat di sekeliling pulau ini menjadikannya destinasi yang harus dikunjungi para penyelam.

Keindahan terumbu karang di Pulau Kapalai juga sememangnya sangat cantik. Pulau Kapalai ini juga mempunyai pasir putih dan air berwarna biru yang jernih. Kejernihan air di pulau ini menyebabkan para pengunjung dapat melihat hidupan laut di dalam pulau tersebut.

Di Pulau ini juga terdapat resort mewah yang dibina. Resort mewah ini sangat sesuai jika anda mencari tempat untuk bercuti bersama pasangan mahupun keluarga. Keindahan resort mewah yang dikelilingi oleh pulau sememangnya menarik minat pencinta laut. Tidak rugi jika datang ke sini!

Pulau Sipadan

Imej via [sipadan.com]

Pulau Sipadan mempunyai sejarah sebagai pulau yang terkesan dari gunung berapi. Disebabkan itu, Pulau Sipadan menjadi rumah bagi hidupan perairan dalam seperti jerung putih, jerung hitam dan jerung kelabu. Pada tahun 1933 pulau ini diwujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan laut.

Pulau Sipadan juga terkenal dengan jumlah penyu yang paling banyak. Ramai pengunjung yang datang ke sini untuk melihat penyu. Terdapat juga hidupan lain seperti lebih dari 3000 spesies ikan, karang dan banyak lagi.

Di sini juga terdapat Barracuda Point. Bagi yang minat meneroka laut, pengalaman berada di tengah-tengah pusaran barakuda merupakan pengalaman yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan. Tempat lain yang menarik perhatian penyelam adalah di Turtle Cavern, Coral Garden, Drop Off dan Mid Reef.

Jika anda datang ke sini, anda akan menikmati pelbagai hidupan laut yang tidak dapat anda lihat di pulau lain. Memang berbaloi!

Pulau Mabul

Imej via [pulaumabul.com]

Pulau Mabul terkenal dengan kecantikan pulaunya yang mempunyai air yang jernih. Bagi anda yang minat untuk mengambil gambar percutian, pulau ini pastinya akan memberikan anda kepuasan untuk merakamkan memori percutian anda.

Sama seperti keindahan Pulau Sipadan, Pulau Mabul merupakan antara Pulau di Sabah yang terkenal dalam kalangan penyelam skuba. Bukan sahaja kerana kecantikan terumbu karang yang berwarna warni, pelbagai hidupan yang jarang ditemui hidup di sekitar pulau ini.

Terdapat pantai berdekatan pulau ini menyebabkannya turut dikenali sebagai Pantai Pulau Mabul. Ramai pelancong luar yang akan datang melancong ke sini pada setiap tahun. Keindahan di pulau ini tidak kalah dengan keindahan pulau yang lain.

Pulau Tiga

Imej via [amazingborneo.com]

Sama seperti nama yang diberi, Pulau ini terdiri daripada 3 pulau iaitu Pulau Tiga, Pulau Ular dan Pulau Kalampunian Damit.

Antara aktiviti yang dapat anda lakukan di pulau ini ialah snorkeling, berenang dan berkayak. Pulau ini bukan sahaja terkenal dengan keindahan laut tetapi dengan flora dan fauna di pulau tersebut.

Di Pulau ini juga terdapat dua resort yang dapat anda duduk jika bercuti ke sini. Pulau Tiga Resort dan Borneo Eagle Resort. Anda bukan sahaja dapat menikmati keindahan pulau, malah merasai percutian mewah yang anda idamkan!

Pulau Mataking

Imej via [pulaumabul.com]

Pemandangan yang berlatarkan langit biru, lautan biru dan pasir halus berwarna putih pastinya dapat menenangkan pikiran anda. Jika anda ingin bercuti beersama isteri mahupun berbulan madu, Pulau Mataking mungkin percutian yang anda inginkan.

Pulau Mataking mempunyai jalan atas air yang dapat anda lalui ketika air surut. Memang cantik dan sesuai sekiranya anda ke sini untuk honeymoon atau bercuti bersama pasangan.

Pulau Mataking mempunyai 30 tempat untuk menyelam skuba datang dan rasai sendiri pengalaman menyelam di tempat yang berbeza. Pulau ini juga merupakan antara pulau yang mempunyai kawasan pemulihan penyu. Anda mungkin dapat melihat banyak penyu yang naik ke darat apabila musim bertelur.

Apa yang lebih menarik, Pulau Mataking terkenal sebagai salah satu pulau yang mempunyai post-office bawah air. Pejabat pos ini juga diperbuat dari kapal kargo yang ditenggelamkan untuk dijadikan terumbu karang. Anda juga boleh menghantar surat yang diletakkan di dalam bekas kalis air untuk melindungi surat anda dari rosak.

Pulau Bohey Dulang

Imej via [malaysiaairlines.com]

Pulau ini merupakan antara pulau yang istimewa. Hal ini kerana pulau ini dibentuk oleh sisa-sisa gunung berapi purba. Berbanding dengan pulau-pulau yang lain, Pulau Bohey Dulang tidak mempunyai sebarang tempat penginapan. Jadi anda hanya boleh melakukan lawatan sehari di pulau ini.

Walaupun begitu, pulau ini terkenal dalam kalangan pengembara kerana dapat melakukan aktiviti berbeza dalam masa sehari. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan adalah mendaki, menyelam dan juga melihat jenis burung yang burung yang datang ke pulau ini.

Pulau ini merupakan syurga bagi burung-burung. Pulau Bohey Dulang merupakan tempat perlindungan burung pada tahun 1933. Jadi tidak hairanlah jika banyak burung yang datang ke sini. Anda mungkin dapat melihat pelbagai spesies burung seperti burung enggang, burung hantu, burung merpati dan banyak lagi.

Pulau ini juga sangat cantik jika dilihat dari tempat yang tinggi. Ramai pelancong yang datang ke sini terpengun melihat keindahan pulau ini dari tempat yang tinggi. Anda dapat melihat terumbu karang yang berada di bawah air yang jernih.

Pulau Manukan

Imej via [gowhere.my]

Pulau Manukan merupakan pulau kedua terbesar. Pantai ini berukuran 1.5 km dengan pasir putih halus yang menghadap air laut jernih. Jika anda risau untuk bercuti di pulau kerana keselamatan anak anda, mungkin pulau ini merupakan pilihan sesuai untuk anda.

Keadaan air laut yang cetek sangat sesuai untuk anak-anak kecil bermain. Terdapat beberapa ikan yang bermain di pesisir pulau menyebabkan anak-anak kecil anda juga dapat menikmati keindahan hidupan laut.

Pulau ini juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti tandas, bilik mandi, restoran, kedai cenderahati dan tempat penginapan. Jika anda meminati snorkelling, anda mungkin akan tertarik dengan keindahan laut dalam yang dipenuhi terumbu karang berwarna-warni. Anda juga dapat melihat ikan nemo yang cantik!

Aktiviti menarik yang dapat anda lakukan ialah menyelam, scuba-doo, banana boat, jet ski dan banyak lagi. Perjalanan untuk ke pulau ini perlu menaiki bot dan anda juga perlu membayar anda perlu membayar yuran pulau.

Pulau yang menarik dan sesuai jika anda ingin datang bersama keluarga dan kawan-kawan. Memang sangat menarik dan berbaloi!

Pulau Lankayan

Imej via [malaysia.com]

Pulau Lankayan merupakan antara kawasan perlindungan Marin yang mengamalkan konsep eko-pelancongan. Pulau ini dihiasi pasir pantai yang putih. Di pulau ini juga terdapat chalet untuk anda menginap sekiranya datang bercuti ke sini.

Bagi penyelam, anda disarankan datang ke sini pada bulan Mac hingga Mei untuk berpeluang berjumpa dengan whale shark. Di Pulau Lankayan, terdapat banyak ikan yang jarang dilihat seperti ribbon eel, ghost pipefish, juvenile catfish dan banyak lagi hidupan laut yang berharga dapat dilihat di sini.

Di pulau ini anda dapat melihat 2 bangkai kapal ketika menyelam. Kawasan menyelam juga sangat dekat iaitu beberapa minit dari jeti.

Anda juga boleh melakukan aktiviti memancing di pulau ini. Tetapi untuk memancing, anda perlu meminta kebenaran pihak pengurusan kerana hanya beberapa tempat yang dibolehkan untuk memancing.

Pulau Pom-Pom

Imej via [booking.com]

Pulau Pom-Pom merupakan antara pulau di Sabah yang sememangnya menarik. Pulau Pom-Pom diambil dari pokok Pom-Pom yang tumbuh di pulau ini. Pulau ini juga dipenuhi oleh terumbu karang.

Terdapat banyak aktiviti menarik yang sering dilakukan di pulau ini. Antaranya ialah merasai pengalaman melihat penetasan penyu dan melepaskannya di dalam laut. Menyelam dan menyelam skuba juga antara aktiviti yang sememangnya banyak dilakukan oleh pelancong yang datang ke sini.

Aktiviti lain yang dapat anda lakukan ialah bola tampar, kayak, berbasikal, pulau penetasan penyu dan banyak lagi. Terdapat juga pelayaran “Puteri Pom Pom”. Pelancong dapat menikmati keindahan pulau dengan pelayaran yang selesa. Pengalaman yang pastinya tidak anda lupakan!

Terdapat empat tempat penginapan yang dapat anda sewa sekiranya datang ke sini. Pom Pom Island resort merupakan penginapan mewah, Mussah Poteh Resort yang mempunyai pemandangan laut yang indah, 2Win Resort yang menawarkan pelbagai aktiviti dan Celebes Beach Resort iaitu sebuah resort moden di Pulau Pom Pom. Jadi anda tidak perlu risau untuk bercuti di pulau ini!

Pulau Mantanani

Imej via [xploresabah.com]

Merupakan pulau yang kaya dengan keindahan laut. Pulau ini juga terkenal sebagai Pulau Duyung kerana terdapat dugong yang hidup di pulau ini. Terdapat pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang tidak terkira di pulau ini.

Salah satu pengalaman di pulau ini yang tidak mungkin anda dapatkan di tempat lain ialah keindahan “Blue Plankton”. Walaupun keajaiban ini jarang berlaku, anda mungkin berpeluang merasai pengalaman menikmati keindahan alam yang menakjubkan ini.

Jika cakap mengenai pantai atau laut, pasti ramai terfikir untuk menyaksikan keindahan matahari yang terbenam. Di Pulau Mantanani, anda dapat menikmati keindahan langit yang berwarna oren terang, merah dan kuning pastel yang pastinya membuatkan anda terpegun.

Terdapat juga trampoline untuk anak-anak anda bermain sementara anda menikmati aktiviti kayak, memancing ataupun menyelam. Sangat menarik untuk dilawati!

Pulau Sapi

Imej via [mysabah.com]

Pulau Sapi merupakan antara pulau yang menjadi tarikan pelancong asing. Berbanding pulau yang lain, Pulau Sapi mempunyai pemandangan air laut yang berwarna seakan turquoise. Walaupun pulau ini tidak luas, keindahan lautan dalamnya pasti membuatkan anda terpukau.

Pulau ini juga dikatakan mempunyai bilangan ikan yang paling banyak dari pulau yang terdapat di area berdekatan dengannya. Kemudahan yang disediakan di Pulau ini juga sangat banyak seperti tempat berkelah, bilik persalinan, tempat panggang, bilik air, meja dan banyak lagi.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah berkelah, snorkeling, hiking, scuba diving dan banyak lagi. Terdapat beberapa penginapan berdekatan dengan Pulau Sapi iaitu Cititel Express Kota Kinabalu, Bunga Raya Island Resort dan Gaya Island Resort.

Kesimpulan

Terdapat banyak pulau di Sabah yang dapat anda kunjungi jika datang bercuti ke sana. Pulau di Sabah bukan sahaja terkenal dengan keindahan laut yang kaya dengan hidupan unik dan jarang dijumpai. Bukit yang terdapat di pulau tersebut juga dihiasi dengan flora fauna yang sememangnya memukau. Semoga list di atas dapat membantu anda mencari tempat bercuti! Anda juga dijemput untuk membaca beberapa artikel menarik di website kami.

Similar Posts