Menara Rehal
|

19 Tempat Menarik Di Kota Bharu. Banyak Tempat Best

Anda bercadang untuk bercuti di Kelantan? Jom lihat 19 tempat menarik di Kota Bharu yang sesuai untuk anda lawati bersama keluarga.

Kota Bharu merupakan ibu negeri Kelantan. Terdapat banyak tempat menarik yang terdapat di negeri Serambi Mekah ini. Bukan setakat dapat melawat tempat yang best sahaja, malah anda juga dapat membeli-belah di sini kerana harga sesetengah barangan di Kelantan boleh dikategorikan sebagai murah memandangkan lokasi negeri ini yang terletak bersempadan dengan Thailand. Anda bercadang untuk bercuti di Kelantan? Jom lihat 19 tempat menarik di Kota Bharu yang sesuai untuk anda lawati bersama keluarga.

1) Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi
Imej via flickr

Masjid Muhammadi merupakan masjid negeri bagi Kelantan. Ia dibina pada tahun 1867 ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Masjid ini telah mengalami proses pengubahsuaian dan pembesaran. Ini kerana, pada asalnya struktur Masjid Muhammadi adalah daripada kayu, namun setelah diubah suai, ia telah ditukar kepada batu.

Masjid ini memiliki reka bentuk pengaruh daripada kolonial Inggeris dengan penggunaan batu marmar pada ruangan solat. Dinding masjid ini pula dihiasai dengan ukiran kalimah al-Quran. Walaupun masjid ini tidaklah secantik dan semegah masjid-masjid moden yang lain, namun keistimewaan masjid ini terletak pada nostalgianya kerana di sinilah ulama-ulama besar mengajar ilmu-ilmu agama kepada masyarakat. Antara ulama tersohor yang dimaksudkan adalah Tuan Taba, Haji Wan Ali Kutan dan Tok Kenali.

Lokasi: Jalan Sultanah Zainab, 15000, Kota Bharu, Kelantan

2) Menara Rehal

Menara Rehal
Imej via flickr

Tidak jauh dari Masjid Muhammadi, anda akan dapat melihat Menara Rehal yang menjadi mercu tanda bandar Kota Bharu. Dah sampai di Menara Rehal ini, anda haruslah bergambar di sini. Inilah bukti bahawa anda pernah jejakkan kaki di Kota Bahru.

Lokasi: D1, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

3) Padang Merdeka

Padang Merdeka
Imej via travelogkakijalan

Padang Merdeka terletak tidak jauh dari Menara Rehal. Pelbagai aktiviti rasmi biasanya dibuat di sini memandangkan tempatnya yang selesa dan besar. Selain itu, di Padang Merdeka ini juga terbinanya tugu memorial perang iaitu Kota Bharu Cenotaph yang telah didirikan oleh pihak British ketika perang dunia pertama.

Lokasi: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

4) Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah
Imej via butterkicap

Tempat paling wajib yang anda singgah sekiranya sampai di Kota Bharu adalah Pasar Siti Khadijah. Ia merupakan sebuah komplek perniagaan yang diberi nama bersempena nama Nabi Muhammad saw, seorang saudagar wanita yang hebat. Yang lebih menarik perhatian adalah hampir semua peniaga di sini terdiri daripada kaum hawa.

Antara barangan yang diniagakan di sini adalah tudung, batik, pakaian, kain dan banyak lagi dalam harga yang murah nak dibandingkan dengan bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur.

Barang basah seperti hasil-hasil segar seperti sayur, buah dan daging-daging juga terdapat di tingkat bawah bangunan ini.

Lokasi: Jalan Buluh Kubu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 6.00pm)

5) Masjid Kampung Laut

Masjid Kampung Laut
Imej via azmisejarah

Tahukah anda? Masjid Kampung Laut bukan sahaja menjadi masjid epik yang tertua di Kelantan, tetapi merupakan masjid tertua di rantau Asia Tenggara.

Masjid Kampung Laut adalah sebuah masjid lama yang telah dibina pada kurun ke-18  tanpa menggunakan walau sebatang paku. Diceritakan pada suatu ketika dulu terdapat sekumpulan pendakwah yang telah berlayar ke sepanjang Kepulauan Melayu untuk menyebarkan agama Islam, malangnya, semasa dalam perjalanan, perahu mereka telah terbocor.

Dalam keadaan ini mereka berjanji untuk membina sebuah masjid sekiranya berjaya sampai ke kawasan pantai dengan selamat. Mereka akhirnya dapat mendarat di Kampung Laut dengan selamat dan terbinalah masjid ini di tepi Sungai Kelantan.

Masjid ini telah dialihkan dari lokasi asalnya ke lokasi sekarang di Nilam Puri untuk mengelakkan banjir yang sering terjadi di tepi sungai. Setelah dipindahkan, ianya turut diperbaiki dan dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air.

Lokasi: Nilam Puri, Jalan Kuala Krai, 16010 Kota Bharu, Kelantan

6) Pasar Wakaf Che Yeh

Pasar Wakaf Che Yeh
Imej via pantaipcbhomestay

Selain Pasar Siti Khadijah, tempat membeli-belah yang anda harus terjah adalah Pasar Wakaf Che Yeh. Untuk pengetahuan anda, pasar ini adalah pasar malam yang terbesar di bandar ini. Terdapat pelbagai barangan dijual di sini terutamanya baju dan tudung.  Jadi, sebelum anda nak ke sini, sediakan wang secukupnya kerana anda mungkin rambang mata melihat pakaian-pakaian yang dijual di sini.

Lokasi: Jalan Kuala Krai, Wakaf Che Yeh, 15100 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (7.00pm – 2.00am)

7) Bazar Tok Guru

Bazaar Tok Guru
Imej via keretasewakotabharu

Kalau di Pasar Siti Khadijah anda boleh jumpa macam-macam barang baik barangan kering, mahupun basar. Di Wakaf Che Yeh pula lebih berkonsepkan pasar malam. Tetapi di Bazar Tok Guru, anda akan jumpa produk pakaian dan seangkatan dengannya. Dari shawl, tudung bawal, batik, blouse, telekung hinggalah jubah, semuanya ada di bazaar ini.

Ada banyak sangat lot kedai di sini, lebih dari 600 buah semuanya. Jadi, selain kekuatan stamina untuk anda pusing satu bangunan, anda juga perlu asah kemahiran tawar-menawar anda. Untung-untung, anda boleh dapat harga yang tersangat murah. Kalah harga-harga baju yang dijual di Shoppee.

Lokasi: Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

8) Bazar Buluh Kubu

Bazar Buluh Kubu
Imej via kembaracikmunirah

Masih tak puas bershopping? Jangan risau! Anda boleh sambung perjalanan anda ke Bazar Buluh Kubu pula. Di sini terdapat bermacam jualan barangan kraf seperti wau yang berwarna-warni, beg tangan, barangan perak yang cantik, replika alat muzik mini, kasut buatan tangan, batik, songket dan macam-macam lagi. Bagi anda yang mencari kain ela batik yang cantik-cantik untuk dibuat baju, bolehlah memborong di sini.

Lokasi: Jalan Buluh Kubu, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 9.00pm)

9) Istana Balai Besar

Istana Balai Besar
Imej via fwaliman

Nak lihat keindahan seni bina istana tradisinal negeri Kelantan? Anda bolehlah ke Istana Balai Besar untuk melihat sendiri reka bentuk istana lama ini. Menurut sejarah, pusat pentadbiran Kelantan pada asalnya terletak di Kota Saba. Namun, pada tahun 1844, ianya telah dipindahkan ke Kota Bharu. Semasa pemindahan ini, Sultan Kelantan pada ketika itu iaitu Sultan Muhammad II telah mengarahkan pembinaan Istana Balai Besar untuk dijadikan tempat baginda bersemayam.

Istana Balai Besar telah menjadi tempat bersemayam beberapa Sultan lain sehinggalah zaman Sultan Muhammad IV (1900 – 1920).

Kini, istana ini tidak lagi didiami tetapi ia digunakan sebagai tempat untuk diadakan majlis-majlis rasmi kerajaan. Namun begitu, para pelancong tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan istana ni.

Lokasi: Jalan Tengku Seri Akar, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

10) Istana Jahar

Istana Jahar
Imej via istanajaharinsider

Bersebelahan Istana Balai Besar, terletaknya Istana Jahar (dinamakan sempena pokok jahar yang tumbuh di kawasan istana). Istana ini juga dikenali sebagai Muzium Majlis Diraja Kerajaan Kelantan (Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan).

Ia dibina pada tahun 1887 dan digunakan sebagai kediaman diraja untuk Raja Bandahara. Di bahagian bawah terdapat gazebo yang dikenali sebagai Platform Kebalai Diraja.

Di sini anda dapat melihat pameran adat DiRaja seperti adat pijak tanah, pertunangan, perkahwinan dan lain-lain. Selain itu, terdapat juga Baleri Senjata di bahagian belakang istana yang mempamerkan senjata-senjata lama Negeri Kelantan seperti kelewang, badik, keris dan lembing.

Lokasi: Jalan Sultan, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30am – 4.45pm) | Jumaat (Tutup)

Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1

11) Bank Kerapu (Muzium Perang)

Bank Kerapu
Imej via wikipedia

Muzium Perang ataupun Memorial Perang Dunia Kedua ini adalah sebuah muzium yang mempamerkan pelbagai peninggalan zaman peperangan dunia kedua yang terdiri daripada foto-foto, artifak dan artikel. Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 1000 artifak peninggalan jajahan Jepun yang dapat anda saksikan dengan dekat.

Muzium ini juga turut dikenali sebagai Bank Kerapu kerana bangunan yang sama pernah digunakan sebagai bank iaitu dari tahun 1912 hinggalah 1992.

Perkataan kerapu pula adalah disebabkan oleh permukaan dinding bangunan ini yang menggunakan simen berkerutu.

Setelah melihat pelbagai pameran di dalam muzium, anda boleh menuju ke kawasan taman di luar muzium untuk melihat kenderaan-kenderaan yang pernah digunakan sewaktu peperangan.

Lokasi: Jalan Pejabat Pos Lama, 15300, Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30am – 4.45pm) | Jumaat (Tutup)

Harga Tiket: Dewasa RM2 | Kanak-Kanak RM1

12) Bank Pitis

Bank Pitis
Imej via razzwey

Selain Bank Kerapu, terdapat juga bank lama yang terdapat di Kota Bharu iaitu Bank Pitis. Jika dibandingkan dengan Bank Kerapu, Bank Pitis jauh lebih berusia kerana ia dibina lebih awal iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad III (1889 – 1890) dan digunakan sebagai bank oleh Sultan Muhammad IV.

Bangunan kecil empat segi sama dengan saiz 12 kaki lebar dan 12 kaki tinggi ini terletak bersebelahan dengan laluan masuk untuk ke Istana Balai Besar.

Lokasi: Jalan Istana, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

13) Muzium Diraja Istana Batu

Muzium Diraja Istana Batu
Imej via penselpatahtunteja

Muzium ini terletak di dalam sebuah istana lama (Istana Batu) yang telah dibina pada tahun 1939 ketika zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni almarhum Sultan Muhammad Ke-IV.

Ia dibina untuk dijadikan hadiah perkahwinan kepada Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Zainab II. Namun begitu, mulai tahun 1991, bangunan ini telah dijadikan sebagai Muzium Diraja yang mempamerkan pelbagai barangan milik Sultan Kelantan sejak dahulu kala yang terdiri daripada pakaian, artifak, perabot, foto dan sebagainya.

Lokasi: Jalan Tengku Puteri, 15300, Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (8.30am – 4.45pm) | Jumaat (Tutup)

14) Muzium Kraftangan dan Kampung Kraftangan

Muzium Kraftangan
Imej via nusantara-homestay

Kelantan adalah sebuah negeri yang kaya dengan hasil seni dan kraftangan. Maka, jangan lepaskan peluang anda untuk manikmati keindahan seni negeri Cik Siti Wan Kembang ini di Muzium Kraftangan dan Kampung Kraftangan yang terletak di Jalan Merbau.

Di sini, anda dapat melihat demonstrasi bagaimana kain songket dihasilkan, pembuatan wau, ukiran tradisional, cara membuat barangan perak dan pelbagai hasil seni yang lain. Lebih menyeronokkan, anda juga berpeluang untuk mencanting batik sendiri.

Lokasi: Jalan Merbau, Bandar Kota Bharu, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.30am – 4.45pm) | Jumaat (Tutup)

15) Muzium Islam

Muzium Islam
Imej via flickr

Sebagai negeri yang mendapat julukan Serambi Mekah ini, sudah pastilah perkembangan agama Islam di negeri ini sangat subur. Oleh sebab itu, haruslah anda manfaatkan masa anda di sini untuk melawati Muzium Islamuntuk mempelajari lebih banyak lagi tentang asal-usul agama Islam di tanah Kelantan. Terdapat banyak dokumen dan artifak bersejarah yang menjadi bukti pengaruh agama Islam di Kelantan sehingga ia layak mendapat gelaran Serambi Mekah. Di muzium ini anda dapat melihat pameran tentang tokoh-tokoh agama Islam, mufti-mufti negeri ini, seni-seni Islam dan lain-lain lagi.

Lokasi: Jalan Masjid, Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (8.30am – 4.45pm)

16) Muzium Negeri Kelantan

Muzium Negeri Kelantan
Imej via ttnotes

Bangunan muzium ini pada asalnya adalah pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pada 6 Ogos 1990, bangunan ini telah dirasmikan sebagai Muzium Negeri Kelantan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan. Di muzium ini anda akan melihat sejarah Negeri Kelantan dari zaman dahulu sehinggalah ke saman moden. Selain itu anda juga berpeluang untuk melihat pameran seni budaya Kelantan seperti dikir barat, makyong, wayang kulit, rebana ubi dan lain-lain.

Lokasi: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Jalan Hospital, 15000, Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Sabtu – Rabu (8.30am – 5.00pm) | Khamis (8.30am – 3.30pm)

Harga Tiket: Dewasa RM5.00 | Kanak-kanak RM3.00

17) Menara Tinjau Tambatan D’Raja

Menara Tinjau Tambatan Raja
Imej via come2kelantan

Salah satu mercu tanda Kelantan di Kota Bharu adalah Menara Tinjau Tambatan D’Raja. Ia berketinggian 150 kaki. Menara ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2011. Anda boleh menaiki menara ini untuk menikmati pemandangan Sungai Kelantan yang luas terbentang serta persekitaran bandar Kota Bharu.

Lokasi: Jalan Sultan, 15400, Kota Bharu, Kelantan

18) Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan
Imej via caridestinasi

Kelantan terdapat banyak pantai yang cantik-cantik memandangkan lokasinya menghadap Laut China Selatan. Di Kota Bharu, anda boleh singgah ke Pantai Cahaya Bulan untuk bersantai-santai di petang hari Bersama keluarga. Menikmati tiupan angin sepoi-sepoi bahasa di pesisir pantai di sini memang mengasyikkan. Malah, anda juga boleh bermain layang-layang di sini.

Selain itu, anda juga boleh menikmati makanan laut yang banyak dijual di deretan kedai yang terdapat di sini. Ikan celup tepung? Air Kelapa? Ais krim? Semua hidangan yang enak-enak terdapat di sini. Pilihlah menu yang berkenan pada selera anda dan juga bajet anda.

Pantai Cahaya Bulan atau dikenali sebagai PCB antara pantai yang meriah kerana lokasinya yang terletak tidak jauh dari Bandar Kota Bharu.

Lokasi: Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan

19) Kelantan River Cruise

Kelantan River Cruise
Imej via pilihmemilihkelantan

Anda tercari-cari aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Kota Bharu? Apa kata anda cuba menaiki bot menyusuri Sungai Kelantan sambal menikmati pemandangan sekitar Kota Bharu. Jeti Kelantan River Cruise ini terletak di Medan Ikan Bakar (MIB). Sekiranya anda ke Pantai Cahaya Bulan, anda akan jumpa simpang jalan untuk ke jeti ini. Oleh itu, dah alang-alang singgah ke PCB, bolehlah melencong ke MIB pula untuk menaiki Kelantan River Cruise.

Dalam trip ini, anda akan dibawa ke Pulau Suri. Di pulau ini, anda boleh melawat ke perkampungan nelayan yang terdapat di sini. Anda juga boleh menikmati air kelapa, mencuba kuih-muih tradisional seperti kuih kapit dan macam-macam lagi. Semamngnya ia suatu pengalaman yang sangat best lebih-;ebih lagi bagi mereka yang hidup di bandar dan tiada pengalaman tinggal di kampung.

Lokasi: Jalan Kuala Besar, 15350 Kota Bharu

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00 pm)

Harga Tiket: Dewasa RM20 | Kanak-Kanak RM10

Itulah dia 19 tempat menarik di Kota Bharu, Kelantan yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini.  Selamat bercuti ke Kota Bharu, Kelantan. Jemput juga baca artikel Tempat Makan Menarik Di Kelantan dan Tempat Menarik Di Gua Musang

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *