10 Tempat Menarik di Pahang. WOW. Syoknya Bercuti!
Pahang adalah negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Ia terdiri daripada 11 buah daerah iaitu Bentong, Cameron Highland, Maran, Temerloh, Pekan, Kuantan, Lipis, Raub, Jerantut, Bera dan Rompin. Dengan keluasan Negeri Pahang sebesar 35,965 kilometer persegi, pastilah Pahang mempunyai tempat-tempat menarik yang sangat banyak untuk kita kunjungi.
Tempat bercuti peranginan ada, pantai ada, pulau ada, taman tema ada, hutan alam semulajadi pun ada. Pelbagai jenis tempat yang anda boleh terokai di Negeri Pahang. Jom kita lihat 10 tempat menarik yang anda boleh lawati di Negeri Pahang.
Â
1) Genting Highland
Genting Highland adalah sebuah kawasan tanah tinggi yang dimajukan bukan sahaja terdapat taman tema di sini, tetapi juga banyak lagi tempat menarik yang anda boleh kunjungi di kawasan sekitarnya. 2 hari 1 malam di Genting Highland tidak cukup untuk anda terokai ke semua tempat best yang ada di sini.
Terdapat taman tema indoor yang terletak di dalam pusat membeli-belah First World Complex. Tarikan di sini dibahagikan kepada 6 tema berbeza iaitu Malaysia (Genting Walk), Switzerland (Swiss Alps), Itali (Venice), England, Perancis (Champs Elysees) dan Amerika (Times Square & Universal Walk). Bukan sahaja dapat berseronok dengan pelbagai jenis permainan, tapi anda juga dapat ‘melancong’ ke pelbagai negara dalam satu bangunan yang sama. Permainan yang ditawarkan pula adalah seperti Carousel, Tour de Paris, Ferris Wheel, Venice Gondola, Monorail, Reindeer Cruiser dan banyak lagi.
Â
Taman tema outdoor juga ada di Genting Highland iaitu 20th Century Fox World. Taman tema ini menyediakan sekitar 25 aktiviti yang penuh dengan thrill yang diinspirasikan daripada filem-filem yang memecah panggung wayang seperti Titanic, Ice Age, Night at the Museum dan Planet of the Apes. Selain itu, 20th Century Fox World turut bersambung dengan pelbagai tarikan lain di Genting seperti SkyAvenue Mall dan Arena of Stars Theatre. Taman tema ini dijangka buka pada akhir tahun 2018.
Selain daripada taman tema, anda juga boleh melawat Strawberi Leisure Farm. Bukan di Cameron Highland sahaja ada ladang strawberi, Genting Highland juga ada. Anda boleh beli buah strawberi yang telah siap dipek ataupun anda boleh memetik sendiri buah strawberi dari pokoknya. Selain strawberi, Strawberry Leisure Farm turut memiliki tanaman lain seperti cendawan, sayur-sayuran, herba dan bunga-bunga yang tumbur subur penuh dengan warna-warni. Bagi anda yang suka selfie, selain taman bunga, lawat juga bahagian Lavender Gardennya yang berkeluasan 6 ekar untuk sebuah latar belakang yang tak ubah seperti di luar negara.
Selain itu, anda juga boleh singgah ke Happy Bee Farm untuk melihat tentang penghasilan madu lebah. Anda juga akan mempelajari tentang cara-cara menggunakannya dalam pelbagai resepi masakan dan banyak lagi info lain yang menarik berkaitan dengan makanan sunnah ini. Happy Bee Farm turut memiliki tarikan lain yang dipanggil Insect World dimana anda dapat melihat pelbagai spesimen kumbang yang datang dalam pelbagai saiz dan warna yang sememangnya suatu pengalaman yang penuh ilmiah.
Selepas anda ketahui tentang lebah dan serangga lain, anda juga boleh mengenali rama-rama dengan lebih dekat di Butterfly World. Setelah anda puas mempelajari tentang idupan serangga, anda bolehlah membeli-belah di Genting Highland Premium Outlet. Bukan di Johor je ada JPO tau. Di Genting Highland juga ada. Selain itu, di Genting Highland ini juga anda berpeluang untuk menaiki kereta kabel. Terdapat 2 stesen kereta kabel di Genting iaitu di Genting Skyway dan Awana Skyway.
Â
2) Bukit Fraser
Jika anda tercari-cari tempat yang tenang dan aman, sekadar untuk meluangkan masa bersama keluarga di hujung minggu tanpa perlu lakukan aktiviti yang banyak, Bukit Fraser adalah tempat yang sesuai untuk anda sekeluarga bercuti.
Di Bukit Fraser, menara jam ini adalah tempat yang harus diambil gambar sebelum berkunjung ke tempat-tempat lain di Bukit Fraser. Dari menara jam ini, bolehlah mula berjalan kaki ke kawasan sekeliling kerana kebanyakan kawasan tarikan berada berdekatan seperti pusat kraftangan, restoran-restoran, pusat informasi dan hotel-hotel utama. Berjalan-jalan di sini menggambarkan imej sebuah perkampungan Inggeris di kawasan pedalaman tetapi dikelilingi oleh hutan hujan tropika.
Selain itu, anda juga boleh ke ‘Allan’s Water’ iaitu tasik kecil yang merupakan bekas tadahan air terbengkalai yang diubah menjadi tempat untuk aktiviti-aktiviti rekreasi dan mendayung perahu. Tasik ini penuh dengan ikan-ikan jadi bolehlah memberi makan kepada ikan sambil berehat-rehat. Di sekeliling tasik ada disediakan denai jalan di sepanjang tasik sehingga ke bahagian yang tersembunyi dilindungi pokok-pokok lebat hutan hujan. Tarikan utama di sini ialah mendayung bot. Untuk aktiviti ini, bot boleh disewa dari pihak pengurusan pada harga berpatutan.
Taman Awam Bukit Fraser juga turut disediakan untuk anda bersantai-santai bersama keluarga. Tempat ini amat popular untuk keluarga dengan anak-anak kecil pada hujung minggu. Ada pondok-pondok rehat, bangku-bangku dan gazebo-gazebo bergaya Inggeris disediakan dalam lanskapnya berlatarbelakangkan pokok-pokok konifer yang cantik.
Â
3) Bukit Tinggi
Di Bukit Tinggi terdapat sebuah resort yang reka bentuk binaannya bercirikan senibina Perancis. Rekabentuk bangunan diinspirasikan oleh istana abad ke-12 dari Alsace, Perancis. Konsep hotel adalah bertemakan budaya Perancis, jadi para pekerja di situ berpakaian sebagai ‘Monsieur’ dan ‘Madame’ untuk memberi persekitaran yang asli seakan-akan berada di Perancis. Tambahan lagi, cuaca yang sejuk di sekeliling tanah tinggi ini menolong untuk merehatkan badan setelah penat bekerja seharian di bandaraya. Malah, harga bilik di resort ini juga berpatutan mengikut pakej bilik yang disediakan.
Di sekitar resort ini juga banyak tempat menarik yang anda boleh lawati. Antaranya adalah Ladang Arnab, Taman Jepun dan Taman Pengembaraan di Tropicale Colmar. Terdapat 4 litar sukan lasak iatu ‘flying fox’, litar berjalan kanopi tinggi, mendaki dinding berbatu dan permainan ‘paintball’. Apa yang menarik di sini ialah ‘flying fox’ tersebut merupakan yang terpanjang di Malaysia. Peluncuran pada ‘flying fox’ ini berjarak 530 meter dan pergerakan sepantas 70 sehingga 80 kilometer sejam dari satu hujung ke hujung yang lain. Manakala, litar berjalan kanopi tinggi satu tarikan mencabar minda. Untuk yang sudah biasa bermain sukan lasak, bolehlah mencuba tarikan ini yang dikelilingi oleh persekitaran yang sejuk. Lanskap kawasan sesuai dengan elemen semula jadi hutan untuk mewujudkan suasana yang sihat dan mesra alam.
Â
4) Cameron Highland
Cameron Highland juga adalah tempat peranginan tanah tinggi yang terdapat di Negeri Pahang. Ia sentiasa sesak dan penuh dengan pengunjung lebih-lebih lagi musim cuti sekolah. Cuacanya yang sejuk bukan sahaja membuatkan anda selesa untuk bersiar-siar, tetapi juga menyebabkan banyak tumbuhan hidur subur di sana. Itulah sebabnya, jika anda ke Cameron Highland, sediakan duit saku secukupnya agar anda boleh membeli-belah pelbagai hasil tanam di sana.
Antara ikon Cameron Highland adalah ladang teh. Teh Boh yang selalu kita beli tu bukanlah the import dari luar negara, tetapi ia ditanam dan dikilangkan di Malaysia. Ladang teh Boh yang terbesar di Melaysia terletak di Sungai Palas, Cameron. Jika anda mengunjungi ladang the ini, anda bukan sahaja boleh melihat daun teh dan cara pemprosesannya, tetapi anda juga boleh menghirup secawan teh di kafe yang tersedia sambil menghirup udara yang segar lagi nyaman.
Selain teh, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti strawberi dan anggur juga ada ditanam di Cameron Highland. Jika anda ingin membeli sayur-sayuran, anda boleh dapatkan sayuran yang segar ini di Pasar Malam Pekan Brinchang pada setiap hari Jumaat dan Sabtu. Selain daripada sayuran dan buahan, bunga-bungaan juga ditanam di sini. Ada boleh ke Rose Valley dan Rose Centre untuk melihat keindahan bunga ros. Pelbagai warna bunga ros ada dijual di sini. Pilih sahaja mana berkenan dihati. Malah lebih mengujakan, di Cameron juga ada kebun bunga Lavender. Lebih rare adalah aiskrim perisa lavender yang turut dijual di situ.
Jika anda inginkan aktiviti yang lebih mencabat, anda boleh ke Mossy Forest iaitu hutan yang dikelilingi dengan lumut. Manakala, jika anda ingin merasai keenakan nasi lemak strawberi yang sangat rare ini, anda boleh ke 200 Seeds Café. Tidak dilupa juga Avant Chocolate yang menghidangkan anda pelbagai jenis dan rasa pemanis mulut yang pasti membuatkan anda rambang mata.
Â
5) Taman Negara Kuala Tahan
Bagi anda yang sukakan kehijauan alam semulajadi dan aktiviti lasak, anda bolehlah ke Taman Negara Kuala Tahan yang terletak di Jerantut. Taman Negara ini merupakan hutan hujan tropika yang terbesar dan tertua di dunia merupakan salah satu tumpuan utama pelancong di dalam mahupun pelancong dari luar negara. Di sini turut kaya dengan pelbagai bentuk gua-gua batu kapur. Antaranya ialah Gua Telinga dan Gua Kepayang Besar.
Para pengunjung juga boleh melihat pelbagi jenis dan spesis binatang dan tumbuhan melalui Bumbum Tebing dan Bumbum Blau. Bagi memenuhi keselesaan pengunjung yang mengunjungi kawasan ini, pihak Taman Negara telah menyediakan beberapa kemudahan dan antaranya ialah chalet, tapak perkhemahan, bangku rehat, tandas awam, restoran, kedai cenderamata dan sebagainya. Selain itu bekalan air, elektrik dan telekomunikasi juga disediakan.
Para pengunjung juga boleh melihat keindahan alam semulajadi melalui ‘Canopy Walkway’ iaitu sebuah jambatan yang dibina daripada tali, jaring, kayu dan kabel setinggi 25 meter dari paras tanah dan panjang lebih kurang 400 meter. Pengunjung-pengunjung ke Taman Negara ini biasanya akan tinggal dua hingga empat hari bergantung kepada aktiviti yang dipilih.
Â
6) Bandar Temerloh
Bandar Temerloh juga dikenali sebagai Bandar Ikan Patin. Jika anda ke sini, tidak lengkap sekiranya anda tidak merasa keenakan masakan gulai lemak ikan patin yang menjadi ikonik di bandar ini. Banyak tempat menarik yang ada di sekitar Temerloh.
Jika anda mempunyai anak kecil, mandi-manda pasti menjadi aktiviti yang menyeronokkan bagi mereka. Di Temerloh, anda boleh ke Wadi Al-Amin atau Taman Tema Air Kubang Gajah. Wadi Al-Amin adalah sebuah kolam mandi yang diusahakan oleh Maahad Tahfiz. Kolam renang berasingan disediakan untuk lelaki dan wanita. Walaupun begitu, aurat tetap perlu dijaga kerana di sini tak kisahlah sama ada lelaki atau wanita, anda tidak dibenarkan memakai seluar pendek. Selain kolam renang dewasa, kolam kanak-kanak turut disediakan. Bukan itu sahaja, di sebelah kolam renang ini juga terdapat kolam yang disediakan khas untuk anda yang ingin cuba memancing ikan.
Selain itu, anda juga boleh lajak ke Lanchang untuk mengunjungi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang terletak di Kuala Gandah. Selain daripada memberi makan gajah, anda juga boleh memandikan gajah. Setelah puas bermain dengan gajah, anda juga boleh ke Deerland Park untuk melihat spesies-spesies rusa sambil beri makan kepada rusa-rusa tersebut.
Â
7)Â Bukit Gambang Resort
Gambang Water Park merupakan taman tema yang paling menarik di Kuantan yang terletak hanya 40 kilometer dari pusat bandar dan ia bakal menjanjikan keseronokan yang terbaik untuk pengunjung. Gambang Resort City mempunyai kawasan yang agak luas dan mempunyai dua taman tema utama iaitu Gambang Water Park dan Safari Park.
Taman tema air ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Coco Beach, Wave Pool dan Lagoon. Di setiap bahagian tersebut terdapat pelbagai aktiviti yang pengunjung boleh lakukan seperti Aqua Play, Giant Piranha, Tree Top Hill, Lane Racer, Canopy Slide, Family Raft Ride, ATV Ride dan banyak lagi. Di Safari Park pula merupakan taman safari untuk melihat haiwan yang berkeluasan 138 ekar. Sememangnya tidak rugi jika bercuti sambil berseronok di Gambang Water Park ini.
Â
8) Bandar Kuantan
Kuantan adalah Ibu Negeri Pahang. Selaku ibu negeri, sudah pasti banyak kemudahan dan tempat menarik yang boleh anda lawati di sini. Antara tempat yang anda boleh kunjungi di Kuantan adalah Masjid Sultan Ahmad Shah. Bersebelahan masjid ini adalah padang awam yang mana anda boleh duduk-duduk berkelah di sini. Malah, sepanjang bulan Ramadhan, sudah menjadi budaya penduduk di sekitar Kuantan untuk berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga dan sahabat handai di padang ini.
Selain itu, jika musim cuti sekolah, anda boleh bawa anak-anak anda ke Petrosains Play Smart Kuantan. Ia adalah sebuah pusat sains mini ini memberi peluang kepada pengunjung cilik untuk menerokai dunia sains yang hebat melalui pembelajaran yang sangat menyeronokkan tanpa membuat mereka merasa terbeban atau bosan. Selain itu, kanak-kanak akan menimba ilmu baru berkaitan dunia sains berkaitan dengan kehidupan mereka.
Anda juga boleh ke Mini Zoo Teruntum untuk melihat melihat haiwan yang dipamerkan sambil beriadah di sini. Zoo mini ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk kepada pengunjung dan di sini juga terdapat pelbagai haiwan yang ditempatkan di sangkar seperti burung unta, kancil, burung, buaya, arnab, burung merak, landak, seladang, pelanduk, ular, orang utan dan juga kura-kura gergasi pasti memikat hati anda.
Setelah puas bersiar-siar sekitar Kuantan, anda bolehlah ke Tanjung Lumpur pada sebelah malam untuk mengisi perut dan memenuhi selera anda dengan hidangan makanan laut yang segar-segar. Antara kedai makan yang popular adalah Ana Ikan Bakar Petai. Selain daripada makanan lazat, harganya juga berpatutan dan keselesaan pengunjung turut terjamin apabila berada di restoran ini.
Â
9) Pantai Cherating
Pantai Cherating terletak di sempadan negeri Pahang dan Terengganu. Terdapat banyak hotel dan resort yang menyediakan perkhidmatan penginapan kepada pengunjung dan pastinya memberi keselesaaan ketika percutian di sini. Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti pantai yang disediakan oleh pihak pengurusan seperti sukan pantai, luncur air, banana boat, memancing, berkayak dan banyak lagi.
Pengunjung yang berada di Pantai Cherating ini juga boleh merancang untuk melawat ke negeri Terengganu kerana lokasinya yang hampir dengan negeri tersebut membolehkan pengunjung melakukan beberapa aktiviti menarik di sekitar Kemaman. Aktiviti tersebut seperti melihat kelip-kelip, Trip Snorkeling ke Pulau Ular, ATV Ride, Cherating Mangrove River Cruise, mencanting batik di Limbong Art dan banyak lagi. Oleh itu, percutian ke Pantai Cherating semestinya tidak akan menghampakan anda dan pastinya akan merakam kenangan indah bersama keluarga.
Â
10) Pulau Tioman
Pulau Tioman memiliki status sebagai salah satu daripada pulau yang paling indah di dunia. Hebatkan! Pulau ini terkenal dalam kalangan mereka yang suka menyelam. Selain daripada aktiviti menyelam skuba, banyak lagi aktiviti yang lain boleh anda rancang untuk lakukan seperti meneroka hutan di mana tersedianya trek-trek untuk dilalui, dengan laluan yang terpendek adalah berkepanjangan 2 km dan yang terpanjang adalah 8 km. Anda juga boleh melawati air terjun-air terjun yang terdapat di sini dan mendaki gunung.
Tempat yang menjadi tumpuan ramai untuk dikunjungi ialah Kampung Salang. Antara resort yang popular di Kampung Salang adalah Salang Pusaka Resort, Salang Sayang Resort & Salang Indah Tioman. Kebanyakkan resort diusahakan oleh penduduk Kampung Salang sendiri.
Â
Itulah dia 10 tempat menarik di Pahang yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Pahang. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Cameron Highland dan Tempat Menarik Di Johor.