20 Tempat Menarik Di Kuala Terengganu Yang Wajar Anda Lawati
Kuala Terengganu adalah ibu negeri Terengganu. Terengganu terkenal dengan budaya, warisan serta kecantikan hasil seni seperti batik dan kraf tangan yang lain. Percutian anda di Kuala Terengganu bakal memberikan anda pengalaman serta pengetahuan yang banyak tentang keunikan negeri ini. Jom kita lihat 20 tempat menarik di Kuala Terengganu yang anda sekeluarga wajar terokai.
1) Istana Maziah
Dari kejauhan, anda akan dapat melihat sebuah bangunan tersergam indah di kaki Bukit Puteri. Bangunan tersebut adalah Istana Maziah yang merupakan tempat rasmi bagi Sultan Terengganu. Batu asas istana ini diletakkan pada tahun 1895. Di hadapan istana ini terdapat Dataran Maziah yang merupakan taman mini yang dihias dengan indah. Walaupun istana ini tidak dibuka kepada orang awam untuk sesi lawatan, tetapi anda boleh bawa keluarga anda ke sini untuk melihat sendiri kecantikan Istana Sultan Terengganu ini. Bolehlah anda abadikan kenangan anda di sini dalam kepingan foto untuk tatapan di masa hadapan.
Lokasi: Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Panglima, 20000 Kuala Terengganu
2) Muzium Negeri Terengganu
Keunikan Negeri Terengganu terletak pada reka bentuknya yang berkonsepkan senibina rumah tradisional Terengganu atau lebih tepat lagi Rumah Tele atau Rumah Tiang. Muzium ini terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 rumah tradisional, taman botani dan herba serta galeri-galeri yang mempamerkan sejarah, alat kebesaran diraja, seni Islam, senjata lama dan tekstil. Malah, di sini jugalah tersimpannya batu bersurat yang pertama dijumpai di Terengganu.
Lokasi: Bukit 20566 Darul Iman, Terengganu
Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (9.00pagi – 5.00petang) | Jumaat (9.00pagi – 12.00tengah hari, 3.00petang – 5.00petang)
3) Kuala Terengganu Waterfront
Bercuti ke kawasan yang terletak berdekatan laut, memang tak sah kalau tak singgah ke waterfrontnya. Di Kuala Terengganu Waterfront terdapat banyak pilihan restoren mahupun kafe untuk anda menjamu selera bersama keluarga.
Untuk makluman anda, waterfront ni juga terletak berdekatan dengan Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di mana nelayan memasarkan hasil-hasil tangkapan laut mereka. Inilah peluang untuk anda dapatkan hasil laut yang segar-segar pada harga yang murah. Memang puas hati kalau dapat beli dan masak masakan kegemaran seperti ikan bakar atau sotong celup tepung.
Lokasi: Jalan Balik Bukit, 20300 Kuala Terengganu
4) Dataran Shahbandar
Setelah puas melihat panorama indah tepi laut di Kuala Terengganu Waterfront, bolehlah anda singgah pula di Dataran Shahbandar yang terletak 2-3km sahaja dari Kuala Terengganu Waterfront. Daripada Dataran Shahbandar ini anda dapat melihat panorama yang menarik sekali. Boleh juga sekiranya anda ingin berkelah di dataran ini bersama keluarga.
Lokasi: Dataran Shahbandar Jalan Sultan Zainal Abidin 20000 Kuala Terengganu
5) Pantai Teluk Ketapang
Kebiasaannya pantai sangat sinonim dengan pokok kelapa. Tetapi, pantai ini digelar Teluk Ketapang kerana ia dikelilingi oleh bukan sahaja pokok kelapa malahan pokok ketapang. Di sekitar pantai ini terdapat banyak gerai-gerai kecil untuk anda membeli makanan. Di pantai ini juga terdapat gerai yang dilawati ramai orang untuk menikmati Ikan Celup Tepung (ICT). Kebanyakan pengunjung datang ke sini memang untuk menikmati ICT, SCT (sotong celup tepung) atau UCT (udangcelup tepung). Dapat menikmati pemandangan indah tei pantai sambil menghidup udara segar bayu laut itu umpama bonus yang boleh diperolehi di sini.
Lokasi: Pantai Teluk Ketapang, 21300, Terengganu
6) Pantai Batu Buruk
Antara pantai yang popular di Kuala Terengganu adalah Pantai Batu Buruk. Terdapat banyak kemudahan di pantai ini. Bukan setakat restoren makanan segera sahaja ada, malah warung-warung yang menyediakan masakan hasil laut seperti ikan celup tepung, keropok, sate ikan dan bermacam lagi pun ada di sini. datanglah ke Pantai Batu Buruk.
Pantai ini boleh dikatakan antara port instagrammable kerana terdapat buaian gergasi untuk para pengunjung bermain buai. Malah, anda juga boleh menaiki kereta kuda yang dihias cantik di sini. Bolehlah fefeeling princess dalam cerita fairy tale yang naik kereta kuda.
Persinggahan anda bersama keluarga di sini pasti memberi suatu momen yang bahagia kepada anda kerana Pantai Batu Buruk ini memang meriah serta banyak kemudahan untuk keselesaan anda di sini.
Lokasi: Pantai Batu Buruk, 20400, Terengganu
7) Pantai Tok Jembal
Air laut di pantai-pantai negeri pantai timur bukan semuanya sesuai untuk mandi memandangkan negeri-negeri ini terletak di perairan Laut China Selatan dan terdedah kepada angin monsun pada setiap akhir tahun. Tapi, sekiranya anda teringin nak mandi laut, bolehlah bermandi-manda di Pantai Tok Jembal. Ini kerana, pantai ini telah ditembak dengan batu-batu besar yang membuatkan ia selamat untuk mandi.
Disebabkan pantai ini boleh mandi, maka haruslah ia meriah dan sering dikunjungi oleh pengunjung sama ada dari dalam negeri mahupun luar negeri Terengganu. Di sekitar Pantai Tok Jembal terdapat banyak gerai-gerai yang menjual bermacam jenis makanan. Aiskrim Baba, sate ikan, keropok, macam-macamlah ada di sini. Pilih saja nak makan apa, yang penting sesuailah dengan kewangan anda.
Di pesisir pantai ini juga terdapat banyak bot-bot yang mendarat. Apa lagi, inilah panorama yang rare untuk anda bergambar. Kemudian bolehlah muat naik di media sosial.
Lokasi: Pantai Tok Jembal, Gong Badak, Kuala Terengganu
8) Taman Awam Lagun Kuala Ibai
Taman ini terletak di teluk Sungai Ibai. Teluk ini memiliki banyak aliran sungai yang menjadi tarikan bagi kaki pancing. Jika anda berhajat untuk bawa anak-anak anda ke sini untuk bermandi-manda pun tiada masalah kerana keadaan di sini selamat. Sudah namanya taman awam, maka terdapat kemudahan-kemudahan asas tersedia di sini untuk keselesaan pengunjung. Taman permainan juga ada untuk anak-anak bermain.
Lagi best kerana terdapat gerai-gerai yang menjual sate ikan, keropok dan lain-lain yang boleh anda nikmati sambil bersantai bersama keluarga di sini. Tak susah nak cari taman awam ini kerana ia terletak bersebelahan dengan Masjid Tengku Tengah Zaharah iaitu masjid terapung yang popular di negeri Terengganu.
Lokasi: Taman Awam Lagun Kuala Ibai, 21100 Kuala Terengganu
9) Pasar Besar Kedai Payang
Sebagai mana popularnya Pasar Siti Khadijah di Kelantan, maka di Terengganu Pasar Besar Kedai Payanglah pasar yang popular di sini. Jika anda ingin membawa pulang buah tangan hasil Terengganu datanglah ke Pasar Besar Kedai Payang. Terdapat bermacam-macam barangan yang dijual di sini seperti sutera, songket, batik, periuk belanga, makanan hasil laut Terengganu seperti keropok, rempah nasi dagang ikan masin dan banyak lagi.
Lokasi: Jalan Sultan Zainal Abidin, 20200, Kuala Terengganu
10) Bazar Warisan
Bazar Warisan terletak berdekatan dengan Pasar Payang. Seni bina bangunan ini berkonsepkan reka bentuk tradisional Terengganu. Seperti mana namanya, sudah pastilah bazar ini menawarkan pelbagai hasil warisan negeri Terengganu untuk dikomersialkan kepada umum. Terdapat banyak hasil kraftangan dan seni tradisional Terengganu seperti tembaga, songket, batik dan sutera di sini. Anda juga dapat menikmati pemandangan indah muara Sungai Terengganu dari tingkat 3 bangunan ini.
Lokasi: Bazar Warisan, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20200, Kuala Terengganu
11) Pusat Sains Kreativiti Terengganu
Anda bercuti ke Terengganu dengan anak-anak? Pusat Sains Kreativiti Terengganu harus menjadi destinasi wajib untuk anda sekeluarga lawati. Di sini anak-anak anda akan dapat mempelajari pelbagai informasi saintifik yang disampaikan secara kreatif dan menarik sekali. Terdapat info tentang dinasour, permainan kanak-kanak dan bermacam-macam lagi. Anda juga dapat bergambar di green screen dan gambar ini akan disunting untuk memberikan latarbelakang yang anda inginkan seperti Eiffel Tower, di dalam kapal angkasa dan lain-lain. Sangat menarik!
Lokasi: Jalan Kampung Laut, Taman Chendering Utama, 21080 Kuala Terengganu
Waktu Operasi: Isnin – Rabu (9.00pagi – 5.00petang) | Khamis (9.00pagi – 4.00petang) | Jumaat (Tutup) | Sabtu – Ahad (9.00pagi – 5.00petang)
Harga Tiket: Pakej Keluarga 2 Dewasa, 3 Kanak-kanak (RM40.00)
12) Kampung Bukit Tok Beng
Nak cari keropok lekor yang sedap di Kuala Terengganu? Bolehlah ke Kg Bukit Tok Beng kerana di sini ada Keropok Lekor Nombor atau Beratur. Kenapa dapat nama julukan seperti itu? Ini kerana terlalu ramai orang yang datang ke sini untuk membeli keropok lekor semasa musim cuti, sehinggakan para pembeli perlu mendapatkan angka giliran terlebih dahulu. Memang dahsyat! Ramai yang sanggup beratur kerana keropok lekor di sini sedap dengan isi ikannya yang banyak, berbeza dengan tempat lain.
Lokasi: Kampung Bukit Tok Beng, 21300 Kuala Terengganu
13) Kampung Losong
Selain Kg Bukit Tok Beng, Kampung Losong juga terkenal dengan keropok lekornya. Itulah sebabnya kita selalu mendengar nama ‘Keropok Losong’. Sehinggakan ada orang luar Terengganu yang menganggap Keropok Losong itu keropok yang berbeza dengan keropok lekor. Hakikatnya kedua-duanya adalah keropok lekor. Tetapi Keropok Losong adalah keropok lekor yang dihasilkan di Kampung Losong.
Di sini terdapat banyak pilihan gerai keropok lekor yang semuanya memang sedap belaka. Kawasan ini turut diberi pengiktirafan oleh kerajaan negeri sebagai Pusat Perniagaan Keropok Lekor di Terengganu. Oleh kerana kampung ini sangat tersohor dengan keropok lekornya, tidak hairanlah dikatakan anggaran 500 kg keropok lekor yang berjaya dijual dalam sehari apabila tiba musim cuti sekolah.
Lokasi: Kg. Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu
14) Perkampungan Nelayan Seberang Takir
Ingin melihat kegigihan dan ketekunan masyarakat kampung nelayan bekerja mengusahakan hasil laut yang mereka peroleh setiap hari? Bolehlah melawat ke Perkampunagn Nelayan Seberang Takir.
Keunikan perkampungan nelayan ini adalah cara hidup penduduknya. Jika anda ingin merasa pengalaman berada dalam kampung tradisional, seawal pagi anda boleh menaiki bot penambang dari Pasar Payang menuju ke Seberang Takir.
Setiap pagi, kaum ibu akan duduk beramai-ramai menghasilkan keropok lekor bermula daripada proses menyiang ikan hingga siap direbus sebelum dipasarkan ke Pasar Payang.Manakala, kaum lelaki pula, selesai menangkap ikan di laut, mereka bertungkus-lumus menghasilkan belacan dan mengeringkan ikan bilis untuk jualan. Kehidupan saling bantu-membantu ini sememangnya sukar dijumpai di tempat lain.
Lokasi: Seberang Takir, Daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu
15) Kompleks Kraf Noor Arfa
Terengganu terkenal dengan industri batiknya. Salah satu tempat untuk anda daptkan produk batik di Kuala Terengganu adalah di Kompleks Kraf Noor Arfa. Kompleks Kraf Noor Arfa ini memiliki reka bentuk tradisional Terengganu. Dah alang-alang sampai ke sini, tak cukup kalau sekadar tengok sahaja kecantikan serta keindahan seni batik yang tercatan di kain-kain. Haruslah anda beli seela dua untuk dijahit dan dijadikan baju. Yang menariknya lagi, anda boleh membeli secara borong batik-batik di sini. Terdapat juga kraftangan lain yang dipamerkan di sini seperti anyaman, ukiran kaca dan wau.
Lokasi: Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) Lot 4153, Kawasan Perindustrian Cendering, 21080 Kuala Terengganu.
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.30pagi – 6.00petang) | Jumaat (8.30pagi – 5.30petang) | Sabtu – Ahad (8.30pagi – 6.30petang)
16) Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung)
Masjid Tengku Tengah Zaharah ini juga dikenali sebagai Masjid Terapung kerana dari jauh masjid ini seolah-olah terapung di atas air. Masjid ini memiliki ciri-ciri reka bentuk Islam dan tempatan. Datanglah ke sini untuk menikmati kecantikan masjid ini ditemani dengan angin laut yang tenang. Sudah menunaikan solat di masjid ini, anda bolehlah singgah ke Taman Awam Lagun Kuala Ibai yang terletak bersebelahan dengan masjid ini.
Lokasi: Kuala Ibai, 20400, Kuala Terengganu
17) Masjid Abidin (Masjid Putih)
Terengganu terdapat banyak masjid yang cantik-cantik. Kebanyakan masjidnya memiliki seni bina yang sangat unik dengan ukiran dan bentuk yang indah. Begitulah juga dengan Masjid Abidin yang juga digelar sebagai Masjid Putih. Masjid Abidin merupakan masjid yang tertua di Terengganu yang mula dibina pada tahun 1793 oleh Sultan Zainal Abidin II. Bangunan yang asalnya daripada kayu ini telah diubah kepada bangunan batu pada tahun 1852 dan banyak lagi penambahbaikan yang telah dilaksanakan sehingga ia menjadi sebuah masjid yang besar. Berhampiran masjid ini terdapat Makam DiRaja yang lama.
Lokasi: Jalan Masjid Abidin, 20000 Kuala Terengganu
17) Masjid Kristal
Masjid yang paling popular dan menjadi mercu tanda bagi Terengganu adalah Masjid Kristal. Masjid ini memakan bajet sekitar RM23 juta untuk dibina kerana ia dibina hanya menggunakan besi, kristal dan kaca. Sesuai dengan bajet yang dikeluarkan, masjid ini memiliki reka bentuk yang unik yang terkenal di seluruh dunia. Waktu terbaik untuk menangkap gambar masjid ini adalah pada waktu matahari terbenam kerana cahaya matahari yang cantik pada waktu itu akan terpancar pada sekeliling masjid ini yang dibuat daripada material yang memantulkan cahaya.
Lokasi: Pulau Wan Man, 21000 Kuala Terengganu
18) Taman Tamadun Islam
Berdekatan dengan Masjid Kristal terdapat Taman Tamadun Islam. Jadi alang-alang anda singgah solat di Masjid Kristal, bolehlah terus lajak melawat ke Taman Tamadun Islam pula. Taman Tamadun Islam menampilkan 21 replika bangunan ulung dalam dunia Islam seluruh dunia yang dibina disini seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Kubah As Sakhrah, Kota Lama Islam Aleppo, Istana Alhambra dan banyak lagi. Ia ibarat ‘muzium dalam taman’ yang memberikan anda serta anak-anak tentang kemajuan kerajaan Islam. Sudah pastinya ia suatu yang perlu kita bangga dan mengambil pengajaran daripadanya.
Lokasi: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu
Waktu Operasi Taman: Isnin, Rabu, Khamis (10.00pagi – 7.00malam) | Jumaat – Ahad (9.00pagi – 7.00malam) | Selasa (Tutup)
19) River Cruise TTI
Antara aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di Taman Tamadun Islam adalah menyusuri sungai di Pulau Wan Man dengan menaiki bot. Anda dapat menikmati pemandangan indah termasuk Masjid Kristal dan Taj Mahal dari sudut yang indah sekali. Masa yang diambil dalam perjalanan menaiki bot cruising ini adalah sekitar 45 minit. Antara destinasi yang dilalui oleh bot dari TTI ini adalah Muzium Negeri, Pulau Sekati, Pulau Haji Siah, Pulau Api, Seberang Takir, Pulau Duyung, Pulau Warisan dan banyak lagi.
Lokasi: Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, 21000 Kuala Terengganu
Waktu Operasi: Isnin, Rabu, Khamis (10.00pagi – 7.00malam) | Jumaat – Ahad (9.00pagi – 7.00malam kecuali Jumaat tutup sementara pada 12.45tengah hari – 2.30petang) | Selasa (Tutup)
Harga Tiket: Dewasa RM20 | Kanak-kanak 7-12 Tahun RM15 | Kanak-kanak Bawah 7 Tahun Percuma
20) Bukit Keledang
Setiap tempat ada sejarahnya yang tersendiri. Apa kata, sudah alang-alang anda dan keluarga sampai ke Terengganu, bolehlah luangkan masa ke Bukit Keledang untuk mengetahui sejarah awal negeri Terengganu. Bukit ini menempatkan makam-makam pembesar negeri Terengganu zaman dahulu kala. Dulunya juga, bukit ini dijadikan sebagai pusat pemerintahan awal Terengganu. Pada kurun ke-18, kawasan ini menjadi pengkalan pedagang-pedagang yang datang dari Hulu Sungai Terengganu.
Lokasi: Makam DiRaja Bukit Keledang, 20300 Kuala Terengganu, Terengganu
Itulah dia 20 tempat menarik di Kuala Terengganu yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk hari ini. Selamat bercuti ke Kuala Terengganu. Jemput juga baca artikel Tempat Menarik Di Terengganu dan Tempat Menarik Di Besut.