10 Tempat Menarik di Kajang Yang Tak Ramai Orang Tahu
Bila sebut perkataan Kajang, apa yang terbayang di fikiran anda? Tentunya sate Kajang yang femes tu kan. Tahukah anda, selain terkenal dengan satenya yang enak, terdapat banyak tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan di Kajang.
Jom kami kongsikan tempat menarik di Kajang yang boleh anda lawati.
1. Sate Haji Samuri
Kalau anda sampai ke Kajang, anda wajib merasa sate Kajang yang terkenal di seluruh Malaysia. Sate Haji Samuri sememangnya ikonik di Kajang.
Kalau kebiasaannya anda makan sate ayam dan sate daging, apa kata kali ni anda rasa sate lain pula. Mungkin anda boleh cuba sate arnab, sate kambing, sate perut, sate rusa, atau sate burung unta. Bukan sahaja unik, malah rasanya juga sangat lazat.
Kebiasaannya sate Haji Samuri penuh sesak dengan pengunjung, terutamanya di hujung minggu dan hari cuti.
2. Air Terjun Sungai Gabai
Kajang semememangnya jaya dengan kehijauan dan alam semulajadi termasuk sungai dan air terjun. Salah satu daripada air terjun yang terkenal di Kajang ialah Air Terjun Sungai Gabai. Airnya sangat jernih, sejuk, nyaman, dan menyegarkan.
Anda sekeluarga boleh berendam, bermandi-manda sambil berkelah dan berbabeku. Air terjun Sungai Gabai menjadi tumpuan muda-mudi dan keluarga setiap hujung minggu. Kami cadangkan anda sampai awal pagi. Kenapa? Kalau anda sampai waktu petang, pastinya anda takkan puas mandi di sini. Rugi.
3. Laksa Buyong
Anda hantu laksa? Kalau ya, kami cadangkan anda singgah makan laksa buyong yang terletak berhampiran dengan Air Terjun Sungai Gabai. Dalam perjalanan anda ke Sungai Gabai, pasti anda takkan terlepas gerai di tepi jalan ini. Dari jauh anda akan nampak papan tanda laksa buyong dan barisan buyong di tepi dapur kedai.
Rasa laksa di gerai ini sememangnya sedap. Bukan sahaja laksa, mee udangnya juga sedap. Selain laksa dan mee udang, ada juga makanan goreng panas-panas. Pastinya anda akan sangat berselera makan makanan yang enak sambil melihat pemandangan sungai & mendengar deruan air yang damai. Jangan lupa untuk singgah makan di sini.
4. Hutan Rekreasi Sungai Tekala
Hutan Rekreasi Sungai Tekala merupakan kawasan alam semulajadi yang sangat terkenal di Kajang. Air Terjun Sungai Tekala yang terdapat di sini menjadi tumpuan ramai untuk bermandi-manda, berkelah, berkhemah, dan berbabeku. Selain air terjun, di sini juga terdapat laluan untuk anda berjungle trekking dan berjoging. Kemudahan asas seperti tandas, bilik air, dan surau ada di sini.
5. Sungai Congkak
Sungai Congkak sememangnya terkenal. Siapa tak kenal Sungai Congkak? Ia menjadi tumpuan pada hujung minggu kerana air sungainya yang jernih, sejuk, dan segar.
Kawasan parking juga banyak di sini, jadi walau pun ramai pengunjung yang datang, tiada masalah untuk anda meletakkan kenderaan. Di antara akiviti yang biasa dilakukan di Sungai Congkak ialah bermandi-manda sambil berkelah dan barbeku.
Apa yang istimewa, sungai ini mempunyai banyak ikan. Anda boleh membeli jaring ikan di gerai yang terdapat di sepanjang jalan menuju ke Sungai Congkak. Anda boleh menangkap ikan dengan menggunakan jaring. Kalau nak hasil yang lebih banyak, anda boleh gunakan nasi sebagai umpan. Sebaik sahaja anda masukkan nasi ke dalam air, ikan-ikan akan berkerumun untuk makan. Itulah peluang untuk anda menangkap ikan-ikan tersebut.
Di sepanjang Sungai Congkak terdapat pondok yang boleh anda sewa dengan bayaran RM30 untuk sehari. Bolehlah anda gunakan khemah tersebut untuk meletakkan barang, berehat, berbaring, dan menyalin pakaian.
6. Sungai Pangsun
Selain Sungai Congkak, anda juga boleh bermandi-manda dan berkelah di Sungai Pangsun yang terletak di Batu 22 Hulu Langat. Sungai Congkak menjadi pilihan keluarga kerana air sungainya yang cetek dan sesuai untuk kanak-kanak. Sungainya yang sejuk dan berbatu sesuai untuk anda berehat sambil menenangkan fikiran. Nak memancing pun boleh di sini.
7. Ostritch Wonderland Kajang
Ostrich Wonderland Kajang telah beroperasi sejak tahun 2000. Seperti namanya, di sini anda berpeluang beramah mesra dengan burung unta yang jinak. Anda bukan sahaja dapat melihat burung unta dengan dekat, malah berpeluang untuk memegang dan memberi makan kepada burung unta tersebut.
Menariknya, anda juga boleh selfie bersama burung-burung unta yang sentiasa sukakan kamera. Anda juga boleh melihat pameran tentang proses pembesaran burung unta bermula dari telurnya yang besar. Selain burung unta, di sini juga terdapat burung merak yang bebas berjalan sambil mengembangkan ekornya yang cantik.
8. Bukit Broga
Siapa tak kenal Bukit Broga? Ia merupakan destinasi mendaki yang paling polular di Malaysia. Bukit Broga menjadi tumpuan para pendaki kerana tahap kesukaran mendakinya yang sangat rendah. Kanak-kanak pun mampu panjat Bukit Broga. Setiap hujung minggu, anda boleh melihat ramai keluarga meluangkan masa mendaki Bukit Broga.
Kalau pun anda belum pernah mendaki bukit dan gunung, tak perlu risau. Pasti anda mampu sampai ke puncak Bukit Broga tanpa sebarang masalah. Kami cadangkan anda mula mendaki awal pagi supaya berpeluang melihat pemandangan matahari terbit yang sangat indah dari puncak Bukit Broga. Pastinya menjadi pengalaman yang sangat berharga.
9. Empangan Semenyih
Empangan Semenyih merupakan kawasan tadahan air bagi penduduk di Selangor. Ramai yang datang ke sini untuk melihat pemandangannya yang memukau.
Kawasannya yang luas menghijau dengan air yang membiru membuatkan empangan ini menjadi tarikan ramai pengunjung. Kalau anda kaki pancing, empangan Semenyih merupakan syurga bagi anda. Dari seawal pagi, dah ramai pemacing tegar mula memancing di sini, sehingga ke lewat pagi.
Di antara ikan yang banyak di sini ialah ikan tilapia, ikan keli, ikan haruan, dan ikan toman. Udang juga ada banyak di empangan ini. Kalau anda bernasib baik, anda akan terserempak dengan orang asli yang baru siap menyelam mencari udang. Bolehlah anda beli udang segar daripada mereka dengan harga yang murah.
10. Semenyih Eco Venture Resort & Recreation
Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak dan ekstrem, Semenyih Eco Venture merupakan tempat menarik di Kajang yang paling sesuai untuk anda. Di antara aktiviti yang boleh anda lakukan di sini ialah memandu ATV, menunggang basikal di laluan berliku, dan memanjat gunung. Kalau anda nak lakukan aktiviti yang lebih santai, boleh bermandi-manda di dalam kolam renang yang disediakan.
Di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation juga merupakan lokasi yang sesuai jika anda merancang family day. Ia lengkap dengan surau, kemudahan berbabeku, bilik karaoke, dan dewan serbaguna. Di antara aktiviti yang boleh anda lakukan ialah:
- Futsal
- Memandu ATV
- Berbasikal
- Memancing
- Flying fox
- Jungle trekking
- River trekking
- Berkayak
- Berenang
- Ninja warrior challenge
- Paintball
- 4×4 challenge
- Telematch
- Obstacle challenge
- Berakit ke hulu sungai
Itulah dia 10 tempat menarik di Kajang yang ingin kami kongsikan kepada anda. Menarik kan? Apa lagi, cuti sekolah ini jom kita bercuti ke Kajang.
Jika anda sukakan perkongsian kami tentang tempat menarik ini, kami pasti anda juga pasti berminat dengan tulisan kami berkenaan Tempat Menarik Di Seberang Perai, Tempat Menarik Di Padang Besar, dan Tempat Menarik Di Desaru.