Nasi Bamboo Sungai Klah Tempat Makan Tengahari Best
Bagi mereka yang suka mencuba pelbagai makanan baru ketika bercuti, anda harus mencuba Nasi Bamboo Sungai Klah yang cukup popular dalam kalangan pelancong yang datang ke Perak. Sama seperti nama yang diberikan, nasi bamboo ini dihidangkan di dalam buluh. Apa yang lebih menarik ialah pada zaman dahulu, masyarakat menggunakan buluh bagi menggantikan periuk untuk memasak nasi.
Pada masa kini, jarang untuk melihat mereka yang memasak nasi di dalam buluh, kecuali mereka yang menggunakan buluh untuk memasak lemang. Mungkin disebabkan itu, nasi bamboo mula terkenal kerana keunikan dan rasa unik nasi itu sendiri. Nasi yang dimasak di dalam buluh ini juga dilapisi dengan daun bagi memastikan nasi tidak lekat di dalam buluh.
Keadaan Kedai
Sekiranya anda baru pertama kali datang ke sini, anda mungkin merasai gambaran seakan berada di wall street. Keadaan kawasan yang mempunyai bahagian-bahagian kecil untuk memilih makanan menjadikan keadaan di kedai ini seakan berada di pasar. Jangan terkejut dengan bilangan pelanggan yang ada di sini. Hal ini kerana, kedai ini merupakan salah satu tumpuan pelancong yang datang ke negeri perak.
Suasana dalam kedai yang redup dan agak gelap memberikan suasana nyaman kepada para pelanggan. Jika anda datang ke sini, pastikan anda cukup pantas untuk duduk di kerusi yang telah kosong. Hal ini kerana, bilangan pelanggan yang ramai menyebabkan meja dan kerusi di kedai ini tidak mencukupi. Sistem di kedai ini juga merupakan sistem layan diri.
Persinggahan Motosikal
Sekiranya anda datang ke kedai ini ketika bercuti ke Perak, jangan terkejut dengan susunan motorsikal yang terletak di hadapan kedai ini. Hal ini kerana, nasi bamboo Sungai Klah ini sangat terkenal dalam kalangan penunggang motosikal. Kedudukan kedai yang terletak di laluan keluar tol Sungkai Lepas menjadikan kedai ini senang untuk dijumpai.
Menariknya lagi, para penunggang motosikal yang singgah ke sini boleh meletakkan stiker kelab motor mereka. Terdapat satu papan yang disediakan untuk mereka meletakkan stiker tersebut. Jadi tidak hairanlah kenapa para penunggang motosikal menjadikan restoran ini sebagai tempat persinggahan mereka.
Pelbagai Pilihan Makanan
Di kedai ini juga tersedia pelbagai pilihan untuk makan tengahari yang dapat anda pilih. Antara makanan yang terdapat di sini ialah makanan yang dibakar seperti ikan bakar, ayam bakar, keli bakar, udang, sotong, kambing bakar dan banyak lagi pilihan ikan yang dapat anda cuba.
Selain itu, sup gearbox yang dijual di kedai ini juga menjadi pilihan mereka yang datang ke sini. Terdapat menu seperti kerang rebus, masakan berkuah seperti masak lemak cili api, gulai kawah, kerabu dan ulam. Selain menunya yang terkenal iaitu nasi dalam bamboo, terdapat juga nasi bakar bersama kelapa atau serunding yang dapat anda cuba.
Konsep Pemilihan Makanan
Di sini juga mempunyai sistem yang unik bagi memesan makanan yang anda inginkan. Terdapat bahagian-bahagian kecil yang dibina di dalam kedai ini. Setiap bahagian kecil ini menjual pelbagai jenis masakan yang berbeza, bermula dari masakan bakar, pelbagai jenis lauk kampung yang menggunakan santan dan rempah ratus serta ulam-ulaman.
Di sini juga terdapat menu itik yang disediakan. Menu kari itik serati ini merupakan menu baru yang disediakan di kedai ini. Sekiranya anda ingin datang ke sini, pastikan anda datang beramai-ramai untuk memudahkan lauk diambil. Ketika masuk ke kedai ini juga, anda akan diberikan dulang bagi mengisi makanan yang anda ingin ambil. Air minuman juga diletakkan di bahagian yang berbeza dengan bahagian lauk-lauk.
Terdapat Nasi Tambah
Sekiranya anda memakan nasi di dalam buluh dan ingin meminta nasi tambah, anda boleh membuat penambahan nasi yang dikenakan bayaran sebanyak RM 2 untuk satu batang buluh. Menariknya di kedai ini, terdapat satu pekerja yang akan lalu Lalang membawa nasi buluh di dalam troli. Anda boleh mengangkat tangan untuk meminta nasi tambahan di sini.
Di samping itu, harga di kedai ini tidaklah mahal dan tidaklah terlalu murah. Harga lauk pauk di sini sangat berpatutan dengan kuantiti yang disediakan. Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk singgah ke kedai ini ketika bercuti bersama keluarga mahupun rakan anda.
Kesimpulan
Jika datang ke Perak, jangan lepaskan peluang anda untuk datang ke restaurant Nasi Bamboo Sungai Klah ini. Restaurant ini bukan sahaja menyediakan nasi di dalam buluh, tetapi terdapat pelbagai menu yang lain yang mungkin menarik perhatian anda, Lebih menarik lagi, terdapat pelbagai lauk yang menarik untuk anda cuba. Lokasi restaurant yang mudah dijumpai juga sangat memudahkan para pelancong untuk mencari kedai ini.
Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti:
Anda juga dijemput untuk membaca artikel menarik kami yang lain seperti: