|

11 Aktiviti Menarik di Menara Kuala Lumpur

Menara Kuala Lumpur adalah bangunan ketujuh tertinggi di dunia yang menjadi lambang kemegahan dan kebanggaan rakyat Malaysia. Bangunan ini bukan sahaja berperanan sebagai sebuah Menara telekomunikasi, malah menjadi daya tarikan buat pelancong tempatan mahupun luar negara.

Tak perlu bergerak jauh dari satu tempat ke satu tempat untuk memenuhi masa cuti anda. Cukup ke Menara Kuala Lumpur, anda akan dapat pengalaman yang tak dapat dilupakan.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di Menara Kuala Lumpur. Jadi kami senaraikan 10 aktiviti yang boleh anda lakukan di sini.

Melihat Pemandangan Kuala Lumpur di Observation Deck

Imej via [ KL Tower Malaysia ]

Dengan ketinggian 276 meter dari tanah, anda dapat menikmati pemandangan atau landskap penuh bandar Kuala Lumpur. Di sini anda akan melihat view yang indah setiap pelusuk Kuala Lumpur menggunakan binokular.

Observation Deck di buka setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

Berjalan di Sky Deck

Imej via [ Menara Kuala Lumpur ]

Berbeza dengan Observation Deck, di Sky Deck anda boleh menyelusuri sudut luar Menara Kuala Lumpur di ketinggian 300 meter. Sambil melihat pemandangan kota raya Kuala Lumpur, anda dapat menghirup udara segar di luar tanpa sebarang penghalang.

Memang cantik, lagi-lagi pada waktu malam melihat warna-warna sinaran lampu di kota ini sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

Bergambar di Sky Box

Imej via [ KL Tower Malaysia ]

Anda seorang yang berani? Tidak lengkap kunjungan anda ke Menara Kuala Lumpur sekiranya tidak bergambar di Sky Box. Bergambar di kotak kaca ini sudah pasti anda kelihatan seperti terapung di awang-awangan.

Anda boleh memilih sama ada ingin bergambar di Sky Box berlatarbelakang Kuala Lumpur City Centre (KLCC) atau Sky Box dengan pemandangan Kuala Lumpur sahaja. Instagrammable, ayuh bergambar di sini!

Tower Walk

Imej via [ Menara Kuala Lumpur ]

Tower walk adalah tarikan utama yang baru mula dibuka pada 19 November 2021. Pihak Menara Kuala Lumpur menawarkan aktiviti berjalan secara open-air di sekitar luar menara ini dengan pakej yang sangat berbaloi.

Anda mempunyai kebebasan untuk bersandar pada dinding, melompat dan berjalan di sekitar menara dilengkapi dengan sistem keselamatan yang sempurna.

Menjamu Selera di Restoran Atmosphere 360

Imej via [ Atmosphere 360 ]

Setelah penat berjalan dan menikmati pemandangan, datanglah ke Restoran Atmosphere 360. Sambil makan juga anda boleh menikmati pemandangan indah kota raya. Perlu ingat, jika anda mahu ke sini perlulah mematuhi etika pemakaian iaitu smart kasual.

Restoran ini menyediakan makanan enak dan unik untuk sesi tengahhari serta makan malam secara buffet dan ala carte. Anda juga boleh membuat tempahan awal jika ingin mengadakan sebuah makan malam yang istimewa dengan pakej yang menarik.

Melawat Blue Coral Aquarium

Imej via [ Menara Kuala Lumpur ]

Nak melihat kehidupan dalam air, tak perlu ke Aquria. Di Menara Kuala Lumpur juga anda boleh layan hidupan laut pelbagai jenis, bentuk dan warna di Akuarium Blue Coral.

Sambil menikmati keindahan hidupan laut, anda juga boleh belajar mengenai hidupan tersebut.

Tidak perlu khuatir kerana akuarium ini buka pada setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 9.30 malam. Tiket masuk serendah RM 15 untuk kanak-kanak manakala RM 18 untuk dewasa.

Berlumba Secara Simulasi di Zon Simulasi F1

Imej via [ KL Tower Malaysia ]

Jika anda suka akan aktiviti perlumbaan sukan F1, anda seharusnya datang ke Zon Simulasi F1. Rasai pengalaman berlumba dilitar sebenar secara simulasi. Kesan audio dan visual yang gempak memberikan anda satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Mengembara di Teater XD

Imej via [ Menara Kuala Lumpur ]

Teater XD menawarkan sebuah pengembaraan secara simulasi 6D. Lengkap dengan kesan angin, pencahayaan dan gerakan anda dapat merasai seperti anda sedang mengembara secara nyata. Penuh keterujaan yang mendebarkan, sudah pasti tak senang duduk!

Melawat Mini Zoo

Imej via [ KL Tower Mini Zoo ]

Tidak jauh dari menara ini, anda boleh berjalan menuju ke mini zoo. Anak-anak pasti seronok melihat pelbagai spesis haiwan dengan jarak dekat.

Anda juga boleh memegang dan mengambil gambar bersama haiwan tersebut. Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat merasai pengalaman dan belajar mengenai haiwan yang ada.

Waktu operasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula 10.00 pagi hingga 7.00 malam. Manakala pada hari minggu, cuti umum dan cuti sekolah mula beroperasi bermula 10.00 pagi hingga 9.00 malam.

Bergambar di Rumah Terbalik

Imej via [ Menara Kuala Lumpur ]

Tempat ini memang sesuai untuk anda yang inginkan sesi fotografi yang lain daripada yang lain. Anda boleh merakamkan gambar di pelbagai sudut dengan replika yang dibina secara terbalik.

Bukan sahaja rumah sahaja yang terbalik, malah perabot dalam rumah yang antik dan unik juga terbalik.

Rumah Terbalik dibuka setiap hari bermula 10.00 pagi hingga 7.00 malam. Namun waktu operasi pada hari Sabtu dan Ahad dipanjangkan hingga 10.00 malam.

Bersiar-siar di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur

Imej via [ Menara Kuala Lumpur ]

Kalau anda nak tahu, salah satu cara memasuki Taman Eko Rimba Kuala Lumpur ini adalah melalui pintu masuk Menara Kuala Lumpur. Dari sana anda dapat menyelusuri taman yang dikelilingi hutan hujan tropika melalui titi gantung atau Canopy Walk.

Walaupun berada di tengah-tengah kota yang sibuk, anda juga boleh menikmati pemandangan yang penuh kehijauan yang dapat menenangkan jiwa. Di sini juga terdapat Pokok Jelutong iaitu sejenis pokok yang terancam yang telah hidup lebih dari 100 tahun.

Banyakkan aktiviti yang seronok boleh dilakukan di Menara Kuala Lumpur? Hanya dengan satu hari anda boleh memenuhi cuti dan hari anda dengan pelbagai aktiviti menenangkan minda di satu lokasi. Jom baca dan lihat:

Similar Posts