Masbro Hidden Village: Teroka Percutian Mendamaikan
Pasti ramai yang familiar dengan Masbro Hidden Village. Mana tidaknya, tempat ini pernah tular sebagai lokasi percutian berkonsepkan alam yang menarik. Terletak di Lenggong, Perak, Masbro Hidden Village terkenal dengan tempat perkhemahan yang mendamaikan.
Terletak di kawasan yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia yang keempat di Malaysia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), lokasi ini menjadi salah satu tempat menarik yang perlu dikunjungi jika ke Lenggong atau Perak.
Pengiktirafan ini ekoran daripada penemuan sejarah dan sainstifik tentang barangan dan kehidupan awal manusia termasuklah rangka Perak Man. Nak tahu tentang sejarah Lenggong dengan lebih lanjut, anda bolehlah mengunjungi Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.
Berbalik pada Masbro Hidden Village, ia menjadi lokasi sesuai untuk penginapan yang mendamaikan dan lebih privasi. Hal ini kerana, hanya pengunjung yang menginap sahaja dibenarkan masuk ke kawasan ini.
Jika anda mencari penginapan yang berkonsepkan alam dan perkhemahan di Lenggong, kami menggalakkan anda untuk ke sini. Sesekali bercuti dengan suasana begini pasti dapat menenangkan jiwa. Nak tahu apa yang menarik di sini? Jom kita teroka Masbro Hidden Village!
Penginapan
Perkara utama yang perlu anda tahu adalah tentang penginapannya. Pengunjung diberi pilihan sama ada untuk berkhemah atau menginap sahaja di chalet-chalet yang disediakan.
Sebanyak 28 chalet tradisional yang diperbuat daripada kayu, buluh dan mengkuang menghadap aliran anak sungai yang mengalir tenang. Nampak luaran chalet kecil sahaja namun dapat memuatkan empat hingga enam orang atau satu keluarga kecil dalam setiap unit. Setiap unit juga mempunyai beranda kecil dan ruang bersantai.
Bawa sendiri kelengkapan tidur seperti bantal, toto, peralatan mandi dan sebagainya kerana setiap unit chalet hanya dibekalkan karpet, kipas dan plug point. Pada waktu ini, harga penginapan untuk chalet dikenakan RM 50 per pax untuk satu malam. Tiada bayaran yang dikenakan untuk kanak-kanak bawah empat tahun.
Jika ada yang suka berkhemah, ada tapak khemah yang luas dengan harga sewaan RM 30 seorang dan percuma untuk kanak-kanak bawah empat tahun. Jika ingin berkhemah, bawa peralatan khemah dan peralatan sendiri. Jika anda mempunyai hammock, pasti lebih mengasyikkan.
Masa masuk atau check in adalah lebih awal berbanding kebanyakan penginapan yang lain. Pengunjung boleh masuk seawal 1.00 petang manakala waktu keluar atau check out sebelum pukul 12.00 tengahhari.
Kemudahan
Dari segi kemudahan memang lengkap dan anda boleh menginap dengan selesa. Terdapat tandas dan bilik mandi berasingan untuk lelaki dan perempuan demi keselesaan penginap. Walaupun tandas berkongsi dengan penginap yang lain, namun keadaannya sentiasa bersih. Bukan itu sahaja, dekorasi tandas dan bilik mandi memang cantik persis di hotel.
Kemudahan lain yang disediakan termasuklah parkir yang luas dan mencukupi, surau dan kafe. Pasti ada yang tertanya-tanya bolehkah memasak di sini? Pengunjung boleh membawa peralatan dan bahan memasak sendiri serta dibenarkan memasak di luar chalet. Pengunjung boleh juga menggunakan peralatan memasak di dapur umum atau makan sahaja di kafe.
Tempat untuk barbeku juga disediakan namun pengunjung perlu membawa arang dan bahan memasak sendiri.
Ditengah-tengah resort terdapat aliran sungai yang mengalir dan dua buah kolam dengan kedalaman berbeza, sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa. Paling menarik, air kolam adalah air semulajadi dari sungai. Memang sejuk dan menyegarkan.
Jika kebanyakan tempat penginapan berkonsepkan alam yang lain tidak mempunyai rangkaian internet, lain pula di MasBro Hidden Village kerana rangkaian internetnya mudah didapati lancar. Celcom, Maxis mahupun Umobile semuanya okay. Bolehlah anda sentiasa mengupdate pengalaman dan suasana ketika berada di sini.
Aktiviti Menarik
Tengok sahaja tempat, sudah pasti banyak aktiviti yang boleh pengunjung lakukan di sini terutama aktiviti yang melibatkan alam. Antara aktiviti lazim yang dilakukan adalah mandi kolam atau sungai, berkelah, memancing dan menjala.
Jika anda bernasib baik, anda mungkin boleh merasai durian segar dari kebun yang berada di sini. Datanglah pada musim durian untuk melihat sendiri buah durian yang berada di pokok yang rendah.
Pada sebelah malam pula, rugi jika tidak berbarbeku lebih-lebih lagi jika datang dengan kelompok yang ramai. Pasti lebih meriah dengan kerlipan lampu. Tambahan pula, suhu pada waktu malam di sini memang segar dan nyaman.
Sudah asyik menikmati suasana indah, jangan lupa rakamkan gambar sebagai kenangan. Banyak port ootd disediakan. Bergambar dengan latar sungai, bukit dan hutan yang kehijauan sudah pasti hasilnya lebih memukau.
Mahukan aktiviti lebih mencabar? Apa kata anda mengikuti aktiviti jungle trekking awan nano, mendaki bukit ke menara, menunggang ATV ke air terjun dan puncak bukit.
Tempat Menarik Berdekatan
Alang-alang berada di Lenggong, rugi sekiranya tidak mengunjungi tempat-tempat menarik yang berada di kawasan sekitar. Seperti ramai yang tahu, Lenggong juga terkenal dengan keindahan alam semula jadi iaitu sungai dan air terjun. Air terjun yang terkenal di sini adalah Lata Kekabu, Lata Felda Lawin Selatan dan Lata Berangin.
Antara tempat rekreasi lain yang berdekatan adalah Tasik Raban, Galeri Aki, Â Rumah Sungai, Kuak Hill Resort, Long House Campsite dan Riverine Natural Camp. Jika mahu menjelajah gua, banyak gua yang boleh anda terokai seperti Gua Dayak, Gua Kelawar, Gua Perak Women dan Gua Asar. Sekiranya anda berminat untuk menjalani aktiviti lasak ini, tempah pakej yang disediakan oleh tour guide di Lenggong.
Selain itu, jika anda ingin melihat atau membeli daging rusa serta madu kelulut, datanglah ke Rumah Ayah An Rusa Dan Kelulut Lenggong. Anda dapat melihat dan mendekati rusa-rusa yang jinak.
Tak cukup dengan itu, jika anda nak tahu tentang sejarah Lenggong, maklumat berkaitan pra-sejarah termasuk Perak Man atau Perak Women, datang sahaja ke Galeri Arkeologi Lenggong.
Pasti ada yang mencari tempat makan yang sedap dan unik di Lenggong. Kami mencadangkan anda untuk ke Pio Kopi, Teratak Café atau Nasi Talam Teringat Lenggong. Kedua-dua restoran ini memang terkenal dengan menu lazat.
Cara Membuat Tempahan
Jika anda berminat untuk menginap atau inginkan maklumat lanjut berkenaan MasBro Hidden Village, anda boleh menghantar pesanan melalui Whatsapp 012-377 5005.
Perlu diingatkan untuk pengunjung membuat dan mengesahkan tarikh penginapan bersama pihak resort. Bayaran penuh perlulah dibuat sebelum mendaftar masuk kerana pihak resort tidak menerima pembayaran secara tunai di sana.
Anda juga boleh melayari laman berikut:
Facebook: Masbro Hidden Village
Instagram: Masbro Hidden Village
Antara perkara penting yang anda perlu tahu sebelum ke sini adalah tempat ini mesra kanak-kanak. Namun ianya kurang sesuai untuk warga emas dan golongan kurang upaya kerana faktor tanah dan jalannya yang tidak rata walaupun kawasannya luas.
Rata-rata komen pengunjung di sini memang berpuas hati hingga ada yang ingin datang bercuti berulang kali. Tengok sahaja review di Facebook, mereka berkongsikan pengalaman indah ketika mengunjungi MasBro Hidden Village.
Secara ringkasnya, Masbro Hidden Village memang sesuai untuk mereka yang suka akan percutian berkonsepkan alam. Jika dah berkeluarga, bawa anak-anak bercuti ke sini agar mereka didedahkan persekitaran dan alam. Sambil bercuti, dapatlah mereka belajar sesuatu tentang alam dan rasai pengalaman unik.
Apa tunggu lagi? Jom buat tempahan sekarang dan nikmati percutian mendamaikan mental dan fizikal. Jom back to nature!
Lokasi: TM Ladang Teh, 33400 Lenggong, Perak
Banyak lagi tempat menarik di Perak yang boleh anda kunjungi seperti: