Hammocks By The River: Tempat Glamping Kena Pergi
Ada yang pernah datang ke Hammocks By The River? Pengunjung yang pernah datang pasti tahu tempat ini memang sangat menenangkan kerana berada di tengah-tengah alam dan penuh privasi. Terdapat tarikan unik di sini berbanding tempat perkhemahan lain.
Terletak di Hulu Langat, Hammocks By The River merupakan sebuah tapak perkhemahan dengan trend terkini iaitu glamping. Bagi yang tidak tahu, glamping atau glamour camping adalah konsep berkhemah yang lebih mudah, selesa dan menyeronokkan.
Mana tidaknya semua kelengkapan berkhemah telah tersedia dan anda hanya perlu membawa diri dan barang keperluan diri sahaja. Tidak perlu membawa barangan berkhemah dengan banyak ataupun bersusah-payah memacak khemah.
Konsep glamping ini sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia perkhemahan. Jika anda mencari tempat glamping di Selangor, Hammocks By The River adalah antara tempat glamping yang pasti memuaskan hati.
Apa yang menarik di sini? Jom kami kongsikan kepada anda informasi yang perlu anda tahu berkaitan Hammocks By The River sebelum anda membuat tempahan!
Penginapan
Sebelum anda membuat perancangan untuk ke sini, anda perlu tahu bahawa Hammocks By The River sangat mementingkan privasi, sesuai untuk mereka yang memerlukan percutian alam dengan tenang.
Hal ini kerana, pihak resort hanya membenarkan pengunjung yang berumur 17 tahun sahaja untuk menginap di sini. Sesuai untuk percutian bersama pasangan atau rakan-rakan.
Bukan itu sahaja, bermula 10.00 malam, terdapat peraturan untuk memperlahankan musik atau suara. Selain itu, mesin karaoke, mikrofon dan electric generator juga tidak dibenarkan untuk digunakan sepanjang percutian di sini. Dengan ini, penginap dapat menikmati suara alam pada waktu malam dengan tenang dan tidur dengan selesa.
Untuk penginapan, setiap khemah dipasang sedikit jauh antara satu sama lain. Banyak fasiliti yang disediakan untuk setiap khemah. Antaranya adalah tilam, bantal, selimut, lampu, pinggan mangkuk, sudu dan cawan.
Terdapat dua kawasan perkhemahan di sini iaitu tapak yang berlatarkan sungai dan tapak yang berada di dusun. Tapak khemah yang sering menjadi rebutan adalah bersebelahan dengan sungai. Oleh itu, jika anda turut menginginkan kawasan tersebut, buatlah tempahan awal. Namun bagi kami, kesemua tapak memang selesa kerana berada dibawah teduhan pokok.
Tiga pakej penginapan ditawarkan iaitu pakej standard, pakej premium dan pakej super premium. Ketiga-tiga pakej hampir sama, namun yang membezakannya adalah jenis khemah, perabot dan kelengkapan yang lebih eksklusif dan instagrammable.
Sebelum terlupa, campers sejati semestinya mahukan perkhemahan yang lebih ekstrim iaitu memacak khemah sendiri. Jangan khuatir, anda masih boleh menyewa tapak sahaja dan menikmati kemudahan yang ada. Kadar sewaan sekadar RM 30 untuk seorang.
Masa daftar masuk atau check in seawal 1.00 tengahhari manakala daftar keluar atau check out pada 12.00 tengahhari. Menariknya tempat ini adalah harga yang ditawarkan adalah sama pada hari minggu, cuti umum atau cuti sekolah.
Harga yang ditawarkan untuk 2 hari 1 malam adalah RM 140 untuk seorang, RM 180 untuk dua orang dan RM 220 tiga orang. Harga ini termasuk semua perkhidmatan yang anda gunakan dan penginapan untuk satu khemah sahaja.
Kemudahan
Kemudahan asas ada tersedia dengan lengkap. Walaupun tandas dan bilik mandi berkongsi dengan pengunjung lain, namun kebersihannya terjaga. Pihak resort membersihkannya dua kali sehari. Bukan sahaja bersih, tandas dan bilik mandinya dihias cantik.
Tak membawa peralatan untuk memasak? Jangan risau kerana kelengkapan masak seperti kuali, sudip, periuk dan sebagainya ada tersedia dengan lengkap di dua buah dapur yang boleh dikongsi dengan penginap lain. Bukan itu sahaja, kerusi dan meja juga disediakan sebagai tempat makan.
Tidak lengkap perkhemahan jika tiada barbeku. Oleh itu, pihak resort telah menyediakan pit barbeku yang lengkap untuk penginap. Beli sahaja makanan dan barang masakan dari luar untuk masak bersama-sama.
Tak cukup dengan itu, terdapat kawasan bersantai di bawah khemah besar yang turut dilengkapi kerusi dan meja. Penginap boleh jadikan kawasan berteduh atau bersantai bersama penginap yang lain. Bolehlah berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan rakan baru.
Untuk pengetahuan anda, tapak perkhemahan ini sentiasa diterangi dengan lampu-lampu pada waktu malam. Jadi tiada masalah bagi mereka yang takut akan kegelapan.
Salah satu kelebihan berkhemah di sini adalah penginap boleh memarkirkan kereta berdekatan dengan khemah. Jadi jika anda membawa barangan yang banyak, tidak menjadi satu masalah untuk mengangkat barang kerana tidak perlu berjalan jauh.
Di samping itu, satu keunikan di sini adalah pengunjung dibenarkan membawa haiwan peliharaan namun perlu diikat atau dikurung sepanjang berada di sini. Di samping itu, pihak resort sangat mementingkan faktor keselamatan pengunjung dan mengambil langkah menutup pintu pagar bermula 10.00 malam hingga 7.00 pagi.
Aktiviti Menarik
Tak lengkap berkhemah jika tiada aktivit bersama alam seperti hiking, mandi-manda di sungai berdekatan, memancing dan lain-lain.
Pada sebelah malam pula, aktiviti barbeku menjadi pilihan ramai. Makan dengan suasana yang nyaman dan sejuk pasti memberi satu kelainan dan menambah selera. Selepas acara barbeku, aktiviti duduk keliling unggun api juga pasti digemari para campers kerana dapat bersembang dengan lebih dekat, menyanyi mahupun bakar marshmellow.
Jika anda bernasib baik, anda boleh merasai pengalaman mengutip buah-buahan tempatan di sekitar kawasan ini memandangkan ia terletak di dusun. Ada durian, rambutan dan juga manggis.
Ada yang suka berootd dan bergambar? Mustahil tiada kerana pada zaman ini ramai yang suka bergambar, tidak kira peringkat umur untuk dijadikan kenangan dan berkongsikannya di media sosial. Buat pengetahuan anda, Hammocks By The River adalah lokasi yang cantik untuk bergambar dengan latar alam. Jadi jangan lepaskan peluang untuk bergambar di segenap sudut di sini.
Cara Membuat Tempahan
Berminat untuk bermalam di Hammocks By The River? Cara membuat tempahan memang mudah sama ada di media sosial atau website seperti berikut:
Facebook: Hammocks By The River
Website: Hammocks By The River
No telefon: 011-2810 8190
Lokasi: Lot 617, Jalan Sungai Makau, Batu 14 Hulu Langat, 47310 Hulu Langat, Selangor.
Kesimpulannya, Hammocks By The River memang membuatkan perkhemahan menjadi mudah. Mana tidaknya, semua kemudahan telah lengkap disediakan dan pengunjung hanya perlu membawa keperluan diri dan makanan sahaja.
Pakej yang ditawarkan memang berbaloi dengan kepuasan menikmati keindahan alam semula jadi. Tunggu apa lagi, jom ajak pasangan atau sahabat untuk bercuti di sini. Jom back to nature!
Mencari tempat perkhemahan, glamping atau chalet yang berada dikelilingi alam di Selangor? Mungkin tempat ini yang anda cari!