|

Bukit Batu Putih Tanjung Tuan: AntaraTempat Hiking Paling Best Malaysia

Bukit Batu Putih Tanjung Tuan antara salah satu lokasi menarik yang wajib dikunjungi jika anda seorang yang gemar akan aktiviti mendaki terutama buat kaki hiking.

Bukit Batu Putih ini telah menjadi destinasi hiking yang cukup popular dalam kalangan pencinta hiking di mana anda dapat melakukan aktiviti mencabar ini sambil menikmati pemandangan yang sangat memukau dari atas puncak.

Bukit Batu Putih yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan ini berada di dalam kawasan Taman Eko Rimba. Jadi, untuk menuju ke Bukit Batu Putih, anda perlu masuk melalui Hutan Rekreasi Tanjung Tuan dan dikenakan bayaran masuk sebanyak RM1 sahaja.

Bagi pengunjung yang datang dari jauh semata-mata ingin merasai pengalaman hiking di Bukit Batu Putih Tanjung Tuan ini, anda tidak perlu bimbang untuk mencari tempat penginapan kerana anda boleh menginap di PNB Ilham Resort yang terletak bersebelahan dengan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan.

Laluan untuk ke puncak Bukit Batu Putih

Imej via [ Afiq Halid ]

Bukit Batu Putih mempunyai dua pilihan laluan untuk sampai ke puncaknya. Anda boleh memilih sama ada ingin mengikut laluan hutan ataupun laluan pantai, bergantung pada tahap kekuatan dan kebolehan anda kerana kedua-dua laluan ini memiliki tahap kesukaran yang berbeza.

Ramai yang berpendapat bahawa laluan hutan lebih mudah dan lebih santai berbanding laluan pantai. Hanya mengambil masa anggaran 30 hingga 40 minit sahaja untuk sampai ke puncak Bukit Batu Putih.

Bagi laluan pantai pula mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam untuk sampai ke puncak. Laluan ini dikatakan sedikit sukar dan lebih mencabar dari segi mental dan fizikal kerana laluannya sedikit curam. Jika anda seorang yang lasak dan sukakan cabaran, anda boleh mencuba laluan ini untuk sampai ke puncak Bukit Batu Putih.

Tarikan di Bukit Batu Putih

Imej via [ Port Dickson Info ]

Antara tarikan utama Bukit Batu Putih Tanjung Tuan adalah pemandangan laut biru Selat Melaka yang begitu indah dan mempersona, yang dapat dilihat serta dinikmati oleh pengunjung dari atas puncak bukit tersebut. Pasti hilang penat mendaki setelah melihat khazanah alam yang memukau.

Selain itu, Bukit Batu Putih juga menjadi salah satu lokasi menarik untuk menyaksikan matahari tenggelam. Tak hairanlah tempat ini dipenuhi orang ramai dari pelbagai tempat. Rata-rata tidak melepaskan peluang untuk datang ke Bukit Batu Putih hanya untuk melihat keindahan matahari tenggelam sambil merasai suasana laut biru yang terbentas luas di depan mata.

Apa Kata Pengunjung?

Nak tahu best atau tidak, kami sediakan feedback dari pengunjung yang pernah ke Bukit Batu Putih Tanjung Tuan. Rata-rata meluahkan rasa puas hati di Facebook setelah ke sini.

“Tak tinggi tapi view dia tak pernah mengecewakan. Berlatarkan laut yang membiru.. langit terbentang luas.. bebatuan yang putih menyerlah lagi keunikkan bukit batu putih..”

Firdaus Karli

“5 kali dah naik batu putih ni.. Total naik dari bawah ke puncak dalam 20 minit.. tapi, kalau sape yang laju tu, 10 minit dah boleh sampai puncak.. trek dia senang je dan bila sampai puncak view memang nice lah.. hehe..”

Nurul Syazwani Abdullah

“Bukit Batu Putih.. Kepuasan berada di puncak dengan pemandangan yang sangat cantik sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.. sungguh indah ciptaanNya”

Farahz Zul

Waktu sesuai untuk ke Bukit Batu Putih

Imej via [ Port Dickson Info ]

Bukit Batu Putih Tanjung Tuan boleh dikunjungi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. Kebiasannya, tempat ini akan dipenuhi ramai pada hujung minggu serta cuti umum. Oleh itu, pilihlah waktu yang sesuai dan rancanglah perjalanan anda dengan baik bagi mengelakkan kesesakan.

Waktu yang paling terbaik untuk datang berkunjung ke Bukit Batu Putih Tanjung Tuan ini seeloknya adalah pada waktu pagi atau petang jika anda ingin mengelakkan daripada cuaca panas. Pada waktu ini, pasti lebih bertenaga dan kurang berpeluh.

Tambahan pula, masa yang diambil untuk mendaki ke puncak bukit ini tidaklah memakan masa yang lama. Jadi tiada masalah buat anda yang ingin berkunjung pada sebelah petang.

Tips hiking di Bukit Batu Putih

  • Pastikan anda membawa air minuman yang mencukupi.
  • Makanan ringan seperti coklat atau snek juga perlu dibawa sebagai bekalan tenaga semasa hiking.
  • Pastikan anda memakai pakaian serta kasut yang bersesuaian dan selesa bagi mengelakkan berlaku sebarang kecederaan.
  • Anda juga boleh membawa hiking stick jika anda mahu bagi membantu menyokong keseimbangan badan ketika mendaki.
  • First Aid Kit juga perlu dibawa sebagai bekalan untuk rawatan jika berlakunya kecederaan kecil atau luka ringan.
  • Elakkan berkunjung atau mendaki ketika cuaca hujan lebat kerana laluan trek akan licin dan sedikit berbahaya.

Bukit Batu Putih Tanjung Tuan antara destinasi hiking yang sangat disarankan untuk anda terutama buat pencinta-pencinta hiking. Hal ini kerana anda bukan sahaja dapat merasai pengalaman hiking yang agak santai, malah anda juga pasti terpesona dengan keindahan pemandangan yang luar biasa dari atas puncak bukit.

Apa tunggu lagi? Jom ajak pasangan, keluarga mahupun rakan-rakan meluangkan masa atau healing di sini.

Nak tahu lebih banyak tempat menarik di Negeri Sembilan? Jom tengok lokasi yang mana belum pernah anda kunjungi:

Similar Posts