10 Bangunan Tertinggi di Malaysia
Penduduk Malaysia memang perlu tahu bangunan tertinggi di Malaysia sebagai lambang kemegahan negara tercinta ini. Hal ini kerana bangunan pencakar langit menandakan kemajuan dan kemodenan sesebuah negara.
Pasti ada yang tak tahu bangunan pencakar langit yang paling tinggi di Malaysia kini memandangkan terdapat bangunan yang baru dibina dan memecah rekod bangunan tertinggi sebelum ini. Silap-silap masih ada yang mengatakan Menara Berkembar Petronas atau KLCC merupakan bangunan tertinggi di Malaysia.
Jangan keliru, sebenarnya ada bangunan di Malaysia yang lebih tinggi dari KLCC. Nak tahu bangunan mana? Kami senaraikan 10 bangunan tertinggi di Malaysia pada tahun 2022!
Menara Merdeka 118
Tertinggi di asia tenggara dan kedua tertinggi didunia selepas Burj Khalifa yang terletak di Dubai, menara ini mempunyai 118 tingkat dengan ketinggian 678.9m. Paling menarik, ia mempunyai lift terpantas di dunia dengan hanya mengambil masa 69 saat dari aras terbawah hingga aras tertinggi.
Jika anda lihat reka bentuk puncak bangunan ini, ia merupakan simbolik Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj iaitu perdana menteri Malaysia yang pertama yang mengangkat tangan ketika melaungkan kalimat ‘Merdeka’ pada tahun 1957.
Dahulu Menara Merdeka 118 atau Menara PNB 118 dikenali sebagai Warisan Merdeka, kini bangunan ini mempunyai hotel, perumahan, masjid, pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat membeli-belah.
Lokasi: Kuala Lumpur
The Exchange 106
Menara The Exchange 106 pula mempunyai ketinggian 492.3 meter dan ianya masih tergolong dalam 10 bangunan tertinggi di dunia. Buat pengetahuan anda, menara ini merupakan projek Tun Razak Exchange (TRX).
The Exchange 106 dibina dengan tujuh zon utama seperti Sky Floor, High Zone, Sky Lobby dan Low Zone. Paling unik adalah menara pencakar langit ini merupakan simbolik dan mercu tanda terhadap pembangunan kewangan Islam peringkat global.
Bangunan ini juga mempunyai 106 tingkat mengatasi 18 tingkat berbanding Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Selain untuk tujuan kewangan dan pelaburan, The Exchange 106 menempatkan pelbagai jenama terkenal di sini.
Lokasi: Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur
Menara Berkembar Petronas
Menara Berkembar Petronas yang dikenali juga sebagai KLCC kini telah menjadi bangunan ketiga tertinggi di Malaysia namun tetap menjadi bangunan berkembar pertama tertinggi di Malaysia dan di dunia.
Jika ada yang tak tahu, di sebalik Bangunan Berkembar Petronas ini terdapat 88 tingkat. Pasti ramai yang pernah berkunjung ke sini kerana terdapat pelbagai tarikan menarik seperti pusat membeli-belah, akuaria, Petrosains, skybridge dan sebagainya.
Dengan ketinggian 451.9 meter, Menara Berkembar Petronas siap dibina pada tahun 1996. Sehingga kini, menara ini menjadi tarikan utama buat pelancong tempatan dan luar negara yang mesti dilawati jika ke Kuala Lumpur.
Lokasi: Kuala Lumpur
Four Seasons Place Kuala Lumpur
Bangunan tertinggi di Malaysia yang keempat pula adalah milik Four Seasons Place. Merupakan sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur,Four Seasons Place Kuala Lumpur berketinggian 342.5 meter.
Bukan sahaja menempatkan hotel, malah ia menempatkan 242 penempatan atau kediaman mewah serta tempat membeli-belah. Keseluruhannya terdapat 65 tingkat dan bangunan ini bersebelahan Menara Berkembar Petronas. Dari jauh anda boleh lihat bangunan ini berdekatan antara satu sama lain.
Sekiranya anda mencari penginapan dengan pemandangan KLCC, Four Seasons Place adalah hotel terbaik buat anda. Pelbagai kemudahan disediakan seperti kolam renang, pusat membeli-belah, tempat snooker dan lain-lain. Nak pergi tempat menarik di sekitar pun dekat sahaja, hanya beberapa minit berjalan kaki.
Lokasi: 145, Jln Ampang, Kuala Lumpur, 50450 Kuala Lumpur.
Menara Telekom
Menara Telekom merupakan menara pencakar langit kelima tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 310 meter. Dengan keluasan 989 200 kaki persegi, bangunan ini mempunyai 55 tingkat.
Antara kemudahan menarik terdapat di menara ini adalah dewan serbaguna, pusat konvensyen, kompleks sukan, masjid dan banyak lagi.
Menara Telekom siap dibina pada tahun 2001. Banyak tempat menarik terdapat berhampiran Menara Telekom termasuklah KL Sentral, Bangsar South dan Mid Valley.
Lokasi: Tm Annexe 1, LG1, Jalan Pantai Baharu, Jalan Pantai, 59100 Kuala Lumpur
Astaka Tower A
Siap dibina pada tahun 2018, kalau bangunan pencakar langit yang lain di Kuala Lumpur, kali ini bangunan ini berada di Johor Bahru dengan ketinggian 278.8 meter.
Dengan 72 tingkat, Astaka Tower A merupakan kediaman mewah bertemakan kondominium. Bukan itu sahaja, Astaka Tower A mempunyai rekod tersendiri iaitu bangunan kediaman paling tinggi di Malaysia.
Astaka Padu Sdn Bhd merupakan pemilik bangunan pencakar langit ini yang menempatkan 423 unit duplex dan apartment. Ada juga pejabat, hotel dan tempat makan. Siapa yang tinggal di sini pasti dapat melihat pemandangan sekitar Johor Bahru yang menarik dan jelas.
Lokasi: Bukit Senyum, 80200 Johor Bahru, Johor.
Menara Ilham
Dengan ketinggian 274 meter, Menara Ilham mempunyai 60 tingkat yang merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata.
Sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat manakala selebihnya merupakan apartment dan keluasan keseluruhannya adalah 1 000 000 kaki persegi.
Menara Ilham telah siap dibina pada tahun 2015 ini kenali juga sebagai Menara IB. Singkatan IB adalah dari perkataan Ilham Baru.
Lokasi: Kuala Lumpur
Menara Carigali
Pernah dengar tentang Menara Carigali? Jika anda pernah dengar tentang Menara Petronas 3, ia merupakan bangunan yang sama terletak berdekatan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Menara pencakar langit ini siap dibina pada tahun 2012 dengan ketinggian 267 meter serta keluasan 84 000 kaki persegi. Terdapat 60 tingkat menara yang dimiliki oleh KLCC Properties Holding ini.
Lokasi: Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Ascott Star
Dengan ketinggian 265 meter dan hanya beberapa meter kurang daripada Menara Petronas 3, Ascott Star adalah antara hotel yang terkemuka di Kuala Lumpur.
Anda akan dapat melihat pemandangan bandar raya Kuala Lumpur yang menarik jika anda berada di roof top dan kawasan kolam renang. Memang memuaskan kerana berhampiran KLCC dan anda juga dapat melihat Menara PNB 118, Menara Kuala Lumpur dan sebagainya.
Banyak kemudahan disediakan termasuk gimnasium, kolam renang, bilik karaoke, taman permainan dan lain-lain. Bukan itu sahaja, Ascott Star berada di lokasi strategik dan mudah diakses dengan hanya berjalan kaki.
Lokasi: 1, Jalan Yap Kwan Seng, Kampung Baru, 50450 Kuala Lumpur.
Permata Sapura Tower
Mempunyai 53 tingkat, Permata Sapura Tower adalah bangunan kesepuluh tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 252.4 meter.
Bangunan pencakar langit ini turut berada di Kuala Lumpur dan berdekatan dengan Suria KLCC. Turut dikenali sebagai Lot 91, reka bentuk bangunan ini diinspirasikan dari puncak gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.
Lokasi: Suria KLCC, Level 2, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
Jika anda perasan, kebanyakkan bangunan tertinggi di Malaysia terletak di Kuala Lumpur. Setakat ini iaitu pada tahun 2022, inilah 10 bangunan tertinggi dan ikonik di negara ini. Mungkinkah akan ada lagi bangunan tertinggi dibina pada masa akan datang?
Dah tahu bangunan tertinggi di Malaysia bolehlah anda menjawab dengan mudah jika ada yang bertanya. Barulah anda warganegara yang memang taat, setia dan cinta akan negara sendiri!
Kami juga ada menulis tempat menarik lain di dalam negara yang pasti mengujakan buat anda! Jom baca dan kongsikan artikel ini bersama keluarga dan rakan-rakan!