Ban Pecah yang terletak di Tanjung Piandang, Batu Kurau, Perak kini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri. Tak seperti pantai atau laut yang lain, Ban Pecah mempunyai keunikannya tersendiri.

Ban Pecah tidaklah besar seperti pantai yang lain malah parkir dan laluannya adalah terhad. Tidak hairanlah tempat ini sering mengalami kesesakan. Namun, ramai yang sanggup meredahinya untuk menikmati suasana di sini.

Ban Pecah mempunyai sejarah atau lagenda sehingga diberikan nama sedemikian. Menurut penduduk setempat, tempat ini pada asalnya merupakan sawah padi yang luas terbentang. Namun bertukar menjadi laut setelah terkena sumpahan ekoran seorang bapa saudara yang telah memakan harta seorang  anak yatim.

Ada juga yang mengatakan perubahan besar ini berlaku akibat fenomena alam. Hakisan pantai dan ombak yang besar telah memusnahkan sawah dan sebahagian tanah penduduk. Buktinya, ada geran yang masih disimpan.

Tak banyak tempat menarik di sini namun pelbagai aktiviti menarik yang anda boleh lakukan seisi keluarga. Sesuai jika anda mencari ketenangan. Ini aktiviti yang boleh anda cuba di Ban Pecah!

Berkelah

Imej via [ Jalan Pantai ]

Sebut sahaja pantai atau laut, pasti aktiviti berkelah terlintas di fikiran. Ruang berkelah tidaklah begitu besar, namun cukup puas dan selesa. Bawa tikar sendiri dari rumah dan hamparkan di tepi pantai dan nikmati pelbagai juadah.

Ada juga yang berkelah di deretan bongkah-bongkah batu yang berada di pesisir pantai. Namun, anda tidak digalakkan membawa anak-anak atau warga emas ke kawasan ini kerana berbahaya untuk keselamatan mereka.

Tidak mengapa jika anda tidak membawa makanan kerana banyak gerai yang menjual makanan. Ada makanan segera, makanan berat dan buah-buahan.

Perlu diingatkan kepada setiap pengunjung untuk membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan. Terdapat lambakan sampah di sini membuatkan tempat ini sedikit tercemar. Jadilah individu yang bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.

Memancing

Ramai juga yang mengambil peluang untuk memancing ikan. Tidak kira pagi, petang atau malam, setiap masa tempat ini dikunjungi pemancing di serata tempat. Kebiasaannya mereka akan memancing di kawasan bongkah-bongkah batu dan pondok pelangi yang berada di hujung ban pecah.

Ramai yang suka memancing di sini kerana tempatnya selesa, luas, redup dan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Hasil tangkapan juga banyak. Aneka ikan, udang, ketam yang diperolehi oleh para pemancing.

Ootd

Imej via [ Rafeena Homestay ]

Siapa sahaja yang tidak mahu berootd atau bergambar berlatarkan laut dan pantai. Rugi jika tidak bergambar di sini kerana Ban Pecah mempunyai pemandangan berbeza dengan laut yang lain. Bergambar di bawah sinaran matahari sambil menikmati angina meniup lembut  pasti dapat memberi hasil gambar yang menarik.

Selain tepi  pantai, anda juga boleh bergambar di deretan bongkah-bongkah batu, papan tanda Ban Pecah yang besar dan pondok pelangi. Jangan lupa kosongkan memori telefon anda untuk bergambar dengan puas di sini.

Berbasikal dan Menunggang Atv

Nak menikmati keindahan sekeliling Ban Pecah? Lebih seronok jika menaiki basikal atau menunggang ATV. Terdapat perkhidmatan yang menyediakan sewaan basikal dan ATV yang berbaloi.

Anda bukan sahaja dapat menikmati suasana dan pemandangan laut sahaja, anda juga dapat berpusing sekitar kampung dan sawah padi. Ajak yang tersayang menunggang ATV dan berbasikal bersama pasti meninggalkan memori manis.

Bermain Layang-layang

Berada di pantai tidak sah jika tidak bermain layang-layang. Tiupan angin di sini cukup untuk menerbangkan layang-layang anda yang pelbagai bentuk.

Bawa sendiri layang-layang atau anda juga boleh membelinya di sini. Kanak-kanak khususnya pasti seronok apabila dapat menikmati pengalaman ini.

Melihat Matahari Terbenam

Imej via [ Orang Perak ]

Pemandangan sewaktu matahari terbenam di Ban Pecah memang memukau. Duduk di deretan bongkah-bongkah kayu bersama keluarga, sahabat atau pasangan pasti memberi memori manis untuk diingati.

Bergambar pada waktu tengahhari terbenam juga cantik. Ia memberi suasana romantik dalam perhubungan.

Bermandi-manda

Ruang pantai dan ruang bermandi-mandi tidaklah begitu besar. Tetapi ramai yang mengambil peluang untuk mandi terutama kanak-kanak. Oleh kerana tempatnya tidak terlalu besar dan ramai yang bermandi-manda di sini, anda perlulah mengawasi pergerakan anak-anak untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Kemudahan tandas dan bilik persalinan disediakan dengan bersih dan selesa buat pengunjung. Tandas ini baru dibina pada penghujung tahun 2021 untuk keselesaan pengunjung. Sedikit bayaran dikenakan untuk memasuki tandas ini.

Menikmati Keenakan Mi Udang

Imej via [ Jom Lepak D’Muara ]

Batu Kurau memang terkenal dengan keenakan Mi Udang. Terdapat beberapa kedai di sekitar Ban Pecah yang anda boleh kunjungi. Udang-udang yang digunakan semuanya segar dan besar. Memang memuaskan.

Anda kedai Mi Udang yang boleh anda cuba adalah Kedai Lan Ban Pecah. Menu lain yang enak adalah mi rebus udang lipan, kerang rebus dan udang celup tepung. Harga setiap menu juga berpatutan.

Lagi satu kedai yang dikatakan menyediakan mi udang yang sedap adalah Jom Lepak D’Muara. Menariknya di sini, anda dapat makan sambil menikmati pemandangan laut dan pantai yang dipenuhi bot nelayan.

Menginap dengan Suasana Desa

Imej via [ Homestay Pelangi Ban Pecah ]

Jika anda ingin bercuti dan meluangkan masa di Ban Pecah dengan lebih lama, terdapat beberapa penginapan yang boleh anda pilih.

Menginap di sini pasti memberikan satu kelainan buat anda kerana anda bukan sahaja dapat menikmati suasana laut, malah berada di kawasan desa yang dikelilingi sawah pasti dapat menenangkan jiwa.

Antara penginapan yang boleh anda cuba adalah Homestay Pelangi Ban Pecah, Homestay Jalan Pantai, Homestay Ban Pecah dan banyak lagi.

Jom ajak keluarga, pasangan dan rakan-rakan ke Ban Pecah untuk merasai suasana pantai dan desa di sini. Banyak aktiviti santai yang dapat mententeramkan jiwa anda di sini yang boleh anda cuba. Moh kite ke Perak!

Nak bercuti di Perak? Ini tempat yang boleh anda kunjungi!

Penulis: Nur Syafiqah

Travel is my therapy.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.