7 Tempat Unik Di Lombok Aku Temui Ketika Berada Di Sana Wajib PErgi
Apa lagi yang anda tahu tentang tempat-tempat menarik di Lombok selain daripada Pantai Senggigi, Gili Trawangan, dan Gunung Rinjani?
Biasanya begitulah stereotaipnya. Sebenarnya terdapat banyak lagi yang menarik di sini. Walaupun ramai yang mengatakan Lombok adalah rakan kembar Bali, Lombok sebenarnya menawarkan keindahan tersendiri yang mustahil boleh ditemui di Bali. Artikel ini ditulis oleh Tuan Sharifuddin Lennon.
Lombok bagi aku adalah seperti kaleidoskop keindahan alam semula jadi yang menyediakan pelbagai pengalaman yang tesendiri.
Berikut adalah “hidden gems” yang aku teroka sewaktu di Lombok sekali gus menjadikan pengalaman travel aku ke sini menjadi sedikit luar biasa:
1. Gua Bangkang
Kalau anda ada perancangan nak ke Pantai Kuta di central Lombok, cuba masukkan sekali Gua Bangkang ke dalam bucket list.
Pembentukan stalaktit dan stalagmit dalam gua ni memang luar biasa, terasa macam dalam filem Indiana Jones. Lantai gua ini yang berbatu dan dindingnya pula semula jadi indah terukir. Ruang dalamnya yang besar menempatkan kira-kira 5 juta kelawar.
Terdapat lubang pada siling gua yang membolehkan cahaya matahari masuk ke dalam.
Bila berjalan-jalan kat dalam, pastikan anda tak mengganggu kelawar-kelawar yang tergantung di atas sana. Ada yang boleh dilihat dan ada juga yang tidak sebab persekitaran yang agak gelap.
Tapi kalau anda rasa nak saksikan detik yang lebih dramatik, datang ke gua ini pada waktu senja, bila mana semua kelawar keluar dalam kumpulan yang besar untuk pergi memburu. Aku rasa gua purba ni memang tempat yang patut dikunjungi kalau anda ada plan ke Lombok nanti.
Lokasinya memang tersorok. Gua ni tersembunyi di bawah bukit di pedalaman Kampung Bangkang, daerah Pujut. Tempat ni jarang dilawati dan cuma terkenal dikalangan orang tempatan.
Akses untuk ke sini tak terlalu mudah dan tak juga terlalu susah, tapi perlu menempuh jalan berbukit. Lokasinya agak strategik sebab dikelilingi Pantai Kuta dan Pantai Mawun di sebelah kiri dan kanannya. Jarak antara kedua-dua pantai ini pula tak sampai satu jam.
2. Pantai Semeti
Untuk yang minat dengan fotografi, pantai ni pasti akan bagi anda perspektif yang dramatik untuk di ambil gambarnya.
Di sini terdapat batu-batu yang membentuk susunan kristal yang sama seperti yang ditemui di Planet Krypton (planet asal Clark Kent, iaitu Superman) yang berselerak di sepanjang pantai.
Ada juga beberapa batu yang terbentuk seakan piramid Mesir berdiri teguh di tengah laut. Pantai Semeti ni memang mengingatkan pengunjung pada planet Superman. Maka tak hairanlah pantai ni juga dikenali sebagai ‘Krypton Beach’ dalam Google Map. Haha!
Pantai ni terletak di Lombok Tengah dan cuma beberapa kilometer dari Pantai Selong Belanak yang mungkin tak ramai pelancong asing tahu akan kewujudannya.
Untuk sampai ke sini bagi aku memang susah, sebab terpaksa menempuh jalan tanah berbatu yang beralun (mungkin keadaan lebih buruk kalau anda cuba ke sini pada musim hujan) tapi dengan view yang awesome dan suasananya yang aman, anda pasti takkan menyesal dengan azab yang perlu ditempuh untuk sampai ke sini.
Cara terbaik untuk mendapatkan keseluruhan view tempat ini adalah dengan memanjat batu-batu di tepi pantai ini. Pastikan anda menggunakan kasut yang sesuai kalau nak panjat batu-batu kat sini sebab ketinggiannya mungkin setinggi 20 meter.
3. Pantai Nambung
Terdapat sesuatu yang unik di Barat Lombok, ada air terjun masin yang mengalir bersebelahan dengan pantai. Air terjun ini sebenarnya dicipta oleh ombak ganas yang menghentam batu-batu tebing dan mengalir semula ke dalam laut.
Di bawah air terjun ini ada terbentuk satu kolam jernih berbatu di kiri kanannya yang agak besar dan sesuai untuk mandi sekiranya anda adalah perenang yang baik. Walau bagaimanapun, semua risiko adalah tergantung kepada kita sendiri.
Pantai Nambung adalah “hidden gems” yang paling eksotik bagi aku, ia adalah pantai yang belum tersentuh, tempat yang orang tak tahu tentangnya di barat Lombok.
Dan seperti biasa, untuk ke sini bukannya mudah, aku terpaksa menempuh perjalanan menyeksakan melalui kampung-kampung pedalaman orang tempatan.
Oleh sebab pantai ini tersorok, aku perlu berjalan kaki hampir satu kilometer dari tempat parking motor untuk ke sini dengan pasir pantai yang menelan kaki hingga ke buku lali. Hampir kejang betis aku untuk sampai ke sini. Sumpah penat, tapi berbaloi!
4. Tanjung Poki
Lebih kurang satu kilometer dari Tanjung Ringgit ada lagi satu teluk eksotik yang dinamakan Tanjung Poki. Landskapnya hebat, seakan sama.
Keduanya ada tebing berbatu yang berdiri betul-betul bersebelahan dengan laut. View kat sini memang takde limit ke seluruh aras selat. Yang membezakan kedua-dua tanjung ini adalah gelombang ombaknya.
Di sini, air laut yang menghentam tebing berlekuk Tanjung Poki akan mewujudkan kesan tindakbalas ombak setinggi 10 meter (kadangkala). Keganasan ombak di sini seakan tsunami kecil.
Memang bahaya kalau nak tengok ombak ni secara close-up sebab dikhuatiri terjatuh ataupun dipukul ombak ganas tu. Tapi ada jugak pengunjung yang berani turun ke tebing yang lebih rendah untuk mendapatkan gambar yang lebih dramatik.
Berenang sememangnya dilarang di sini. Tapi kelibat pemancing-pemancing tegar memang ada di tebing-tebing sekitar. Malah, ada pertandingan memancing anjuran penduduk tempatan yang diadakan setiap tahun.
Kenderaan tak boleh sampai ke sini, jadi kita perlu trekking beratus-ratus meter naik dan turun bukit sebelum dapat ke penghujung tebing.
Kalau anda ada perancangan nak ke Pantai Pink atau Pantai Ekas, masukkan tempat ini sekali dalam bucketlist anda untuk sempurnakan lawatan sehari ke Selatan Lombok.
5. Air Terjun Keliwon
Air Terjun Keliwon, satu lagi lokasi yang sesuai untuk bersahabat dengan alam. Terletak di Kabupaten, Central Lombok, tempat ini terletak dalam kawasan Air Terjun Benang Kelambu dan Benang Stokel yang popular itu, cuma bezanya tempat ini masih baru ditemui dan ramai yang tak tahu.
Trek untuk sampai ke sini adalah satu arah dengan Air Terjun Benang Kelambu. Tapi laluannya cukup panjang dan lebih lama. Bila dah sampai di Benang Kelambu, kita perlu mendaki lagi untuk ke sini.
Laluan turun naiknya yang licin memang ekstrem. Yang menarik tentang air terjun ini adalah lokasinya yang tersembunyi. Selain itu, tempat ini juga dikelilingi batu.
Aliran airnya sangat deras dan setinggi 15 meter aku rasa. Hembusan angin sejuknya boleh terasa sebelum kita datang lebih dekat.
Tempat ni adalah “hidden gems” yang kebanyakan orang tempatan sendiri pun tak tahu. Jadi kalau nak ke sini, dapatkan tour guide dahulu sebab belum ada penunjuk arah untuk ke tempat ini. Bagi anda yang anti-mainstream, Air Terjun Keliwon ini harus ada dalam bucket list.
6. Tanjung Aan
Pantai Tanjung Aan adalah satu pantai yang jarang dikunjungi orang luar. Lokasinya bersebelahan dengan Pantai Kuta. Pantai yang sepanjang 2 kilometer ini berhadapan langsung dengan Lautan Hindi.
Pantai ini juga adalah tempat asal Puteri Mandalika. Siapakah Puteri Mandalika? Daripada mitos masyarakat setempat, Puteri Mandalika telah terjun dari atas bukit sana ke dalam laut sebab nak mengelak daripada dipinang seorang pangeran yang nak menyuntingnya.
Lepas itu mitos mengatakan puteri ini dah bereinkarnasi menjadi “Nyale”.
Nyale adalah sebutan orang Lombok untuk sejenis cacing laut yang muncul di pantai ini pada waktu tertentu, biasanya pada bulan Februari.
Jadi sebab itulah perayaan besar rakyat Lombok yang disebut “Ritual Bau Nyale” diadakan setiap tahun di pantai ini. Kalau anda nak lihat bagaimana perayaan ini disambut, cuba datang ke Lombok bulan dua nanti. Tarikh sambutannya bergantung pada bulan penuh pertengahan Februari.
Apa yang menarik di sini, kita boleh habiskan masa berjam-jam melepak, bergambar, dan main buaian tunggal itu tanpa gangguan orang yang menunggu giliran.
Jadi, kenapa perlu beratur panjang di Gili Trawangan sedangkan kita boleh dapatkan buaian yang sama di Tanjung Aan?
7. Bukit Merese
Tempat ini bukanlah “hidden gems” lagi sebenarnya sebab dah semakin popular dan diketahui ramai. Bukit Merese ini juga bukannya ada dalam bucket list aku.
Tapi aku sengaja datang ke sini sebab rancang aku nak ke utara dan timur Lombok untuk meneroka tiga lagi dunia tersembunyi gagal disebabkan kekangan ongkos dan masa.
Terletak di Central Lombok, tak jauh dari Kuta, bukit ini adalah port kegemaran pengunjung menikmati sunset waktu senja. Kalau nak menyaksikan garisan pantai Tanjung Aan hingga ke Batu Payung dari aras tinggi, bukit inilah tempat sesuai untuk anda pergi.
Sedikit tips untuk ke sini:
1. Waktu berkunjung
Bukit ini selalunya penuh dengan kunjungan, terutamanya sebelah petang. Jadi kalau anda tak suka dengan keramaian, datang lah pada waktu pagi.
Sekarang adalah pertengahan tahun, dan musim kemarau. Masa inilah anda boleh mendaki dengan lebih berleluasa sebab jarang hujan dan treknya kering. Pemandangan sekitar bukit ini pun agak eksotik dengan rumput yang menguning.
Kalau anda ke sini pada awal tahun, di mana taburan hujan itu lebih banyak, mungkin boleh dapat lihat view yang lebih menghijau. Aku agak je lah, hehe.
2. Kasut yang sesuai
Trek pendakian ke Bukit ini agak friendly, sebab kurang mencabar dan tak tinggi mana. Untuk ke puncak, cuma perlukan sekitar 15 minit sahaja. Tapi keadaan tapak kasut pun perlu dititik beratkan juga.
Sebaiknya gunakan kasut yang sesuai kalau mendaki pada awal pagi ataupun selepas hujan. Hari itu tapak kasut aku tertanggal sebab tergelincir.
3. Jelajah ke semua sisi bukit
Bukit ini cukup luas. Jadi janganlah duduk pada satu tempat saja bila di atas. Pergi ke semua sisi dan jangan biarkan satu pun perspektif anda terlepas.
4. Bawa air
Pendakiannya memang senang, tapi bila berjalan dari satu tempat ke satu tempat, banyak jugak tenaga yang kita dah habiskan. Lebih-lebih lagi kalau ke sini pada waktu petang dan cuaca masih panas.
5. Jaga kebersihan
Di puncak bukit ini tak disediakan tong sampah. Jadi kalau anda ada bawa botol air atau bekalan makanan, seeloknya janganlah dibuang sebarangan.
Sebab kalau semua pengunjung yang ke sini ada mentaliti yang kotor macam itu, lama-lama hilanglah seri bukit yang indah ini.
So yeah, that’s all. Itu saja yang aku nak kongsikan. Sebenarnya terdapat banyak lagi “hidden gems” yang boleh diteroka kalau kita tak segan untuk bertanyakan pada orang-orang tempatan.
Untuk trip aku kali ni, aku anggap masih kurang sempurna sebab aku gagal explore tiga lagi tempat yang ada dalam bucket list di sebelah utara. Anyway, keep exploring guys!