11 Tempat Menarik di Raub Yang Wajib Anda Lawati
Tiap kali tiba cuti sekolah, pastinya anda tercari-cari tempat menarik untuk membawa anak-anak bercuti. Biasanya orang akan memilih kawasan tanah tinggi yang sejuk seperti Cameron Highlands atau pantai dan pulau-pulau. Kali ni, apa kata anda bercuti ke Raub, Pahang. Ada banyak tempat menarik di Raub yang belum diketahui ramai.
1. Frasers Hill
Frasers Hill yang juga dikenali sebagai Little England merupakan destinasi perlancongan tanah tinggi bersuhu sejuk yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Suhunya yang jauh kebih sejuk berbanding Cameron Highlands dan kurang sesak membuatkan ianya menjadi pilihan ramai semasa percutian.
Di antara aktiviti yang boleh anda lakukan di Frasers Hill ialah:
- Bird watching
- Menunggang kuda di The Paddock
- Memanah di The Paddock
- Mengayuh sampan di Allens’s Water
- Bermain bola gergasi di Allen’s Water
- Bermandi-manda dan berkelah di Air Terjun Jeriau
- Bermain golf
- Jungle trekking
Terdapat banyak hotel di Frasers Hill jika anda ingin bermalam di sana. Kami cadangkan anda buat tempahan awal sebelum ke sana, terutamanya semasa cuti sekolah.
2. Lata Jarum
Lata Jarum merupakan sebuah kawasan rekreasi air terjun yang sangat popular di Raub. Nak tahu apa yang menarik tentang air terjun yang terletak di Ulu Dong ini? Dalam perjalanan anda untuk ke Lata Jarum, anda akan terlihat sebuah rumah usang di tepi jalan yang kelihatan telah lama ditinggalkan. Rumah tersebut adalah lokasi mayat Arwah Dato Mazlan yang dibunuh oleh Mina Fendi ditemui. Menarik kan?
Lata Jarum menjadi tumpuan ramai kerana keindahan air terjunnya dan air sejuk yang menyegarkan. Air terjun semulajadinya mengalirkan air sejuk dari bukit. Malah tebing sungainya juga sangat unik. Ianya berpasir, bukannya berbatu seperti sungai yang lain. Seolah-olah anda berada di tepi pantai.
Terdapat juga ruangan khas untuk kanak-kanak bermandi-manda yang dikenali dengan nama Pulau Chekas. Lengkap dengan gelongsor air dan kolam kecil untuk bermain.
Setiap hujung minggu, biasanya Lata Jarum menjadi tumpuan ramai untuk berkelah, bermandi-manda, dan berbabeku.
3. Lata Lembik
Selain Lata Jarum, Lata Lembik juga merupakan kawasan perkelahan yang terkenal di Raub. Air terjun yang terletak di dalam kawasan perkampungan orang asli Ulu Sungai ini bukan sahaja cantik dan menyegarkan, malah anda pasti akan berasa tak puas bermandi-manda di sini. Air sungai yang turun dari bukit bukan sahaja sangat bersih, malah sejuk dan menyegarkan. Kami cadangkan anda bawa siap-siap barang untuk berbabeku di sini. Makan ikan bakar, atau ayam bakar sambil berendam dalam air sungai yang sejuk, sedar-sedar hari dah petang.
4. Raub Durian Orchard
Anda peminat durian musang king? Tahukah anda bahawa kebanyakan durian musang king yang dijual di seluruh Malaysia datang dari Raub, Pahang? Kalau anda suka makan durian, kami cadangkan anda datang ke Raub Durian Orchard untuk percutian yang lain daripada yang lain.
Raub Durian Orchard merupakankebun durian dengan keluasan 10 ekar yang terletak lebih kurang 15 minit dari bandar Raub. Di kebun ini terdapat lebih daripada 400 pokok durian dari pelbagai baka seperti musang king, tembaga, jantung, dan 24. Kalau anda datang semasa musim durian, anda seakan-akan berada dalam syurga durian. Boleh makan sepuas-puasnya dan beli untuk bekalan balik ke rumah.
Selain durian, terdapat juga banyak pokok buah-buahan tempatan yang lain di sini seperti rambutan, langsat, manggis, pisang, dan duku. Kalau anda suka memancing, di sini juga anda boleh memancing. Menarik kan? Anda sekeluarga pasti berseronok di sini.
5. Kampung Jeram Besu
Kampung Jeram Besu merupakan destinasi yang paling popular di Raub, Pahang dan menjadi tumpuan utama untuk organisasi seperti universiti, sekolah, syarikat, dan pejabat kerajaan yang ingin mengadakan perkhemahan atau pun minggu orientasi. Di sini terdapat resort yang menyediakan tapak perkhemahan dan di antara aktiviti lasak yang boleh dilakukan ialah berakit, berkenu, kayak, merentas hutan, dan berkhemah.
Aktiviti yang paling terkenal di sini ialah berkayak di jeram yang deras dan mencabar. Menariknya, Kampung JEram Besu mendapat namanya dari jeram yang terkenal ini. Menurut kisah orang lama, perkataan Besu berasal daripada perkataan bisu. Ini kerana kederasan air di jeram tersebut menyebabkan anda tak dapat mendengar apa yang keluar dari mulut orang di hadapan anda, seolah-olah orang bisu sedang cuba bercakap. Dari situlah datangnya nama Jeram Besu.
6. Tanah Aina Farouq
Tanah Aina Farouq yang terletak di Tras, Raub menawarkan percutian dengan konsep eko-percutian di mana anda berpeluang untuk bercuti di dalam hutan tanpa menyebabkan sebarang pencemaran atau kerosakan kepada hutan yang anda masuki. Ia merupakan penginapan ekslusif di tengah hutan tanpa talian handphone dan wifi.
Untuk masuk ke sini, anda perlu meninggalkan kenderaan di kawasan parking yang disediakan, dan menaiki kenderaan 4×4 yang disediakan oleh pihak resort. Anda boleh memilih kabin mewah yang lengkap dengan semua kemudahan, atau pun anda juga boleh bermalam di dalam khemah yang disediakan. Nak mandi? Jom mandi di sungai. Wah! Memang best sangat. Pastinya percutian di sini menjadi memori berharga yang akan anda kenang sampai bila-bila.
7. Tanah Aina Fahad
Selain Tanah Aina Farouq, terdapat satu lagi Tanah Aina yang terdapat di Raub. Tanah Aina Fahad terletak di Ulu Dong, tak berapa jauh dari air terjun Lata Jarum. Di sini anda boleh bermalam dalam khemah mewah yang ekslusif dan lengkap dengan semua kemudahan asas. Anda wajib datang ke sini sekruang-kurangnya sekali sumur hidup. Rugi sangat kalau tak mencuba percutian yang lain daripada lain ini.
8. Lembah Temir
Selain Tanah Aina Resort, Lembah Temir merupakan satu lagi resort percutian yang popular di Raub. Seperti Tanah Aina, Lembah Temir juga menawarkan percutian bertemakan eko-perlancongan. Apa yang lagi menarik, di hadapan setiap bilik di sini terdapat sungai kecil. Maksudnya, keluar sahaja dari pintu bilik, anda boleh terus masuk ke dalam air sungai yang segar.
Anda boleh bermandi-manda, berendam, atau berhanyut dengan pelampung. Wah, menarik sangat kan? Kalau nak kan kelainan, anda boleh sewa chalet yang terletak berdekatan dengan air terjun. Anak-anak anda pasti suka dengan aktiviti bagi ikan makan. Selain itu, anda boleh berjalan-jalan melihat pokok-pokok dan tumbuhan herba yang terdapat di sekitar resort.
Inilah masanya untuk anda perkenalkan pokok getah kepada anak-anak. Selain itu, boleh juga anda memetik buah mulberi yang banyak terdapat di sini. Selain persekitaran yang cantik dan tenang, Lembah Temir juga terkenal dengan makanannya yang sangat sedap. Kalau ke sini jangan lupa untuk merasa gulai tempoyak ikan patin dan rendang ayamnya.
9. Gunung Benom Resort
Jika anda sukakan alam semulajadi, tempat menarik di Raub yang seterusnya pasti membuatkan anda teruja. gunung Benom Resort merupakan resort yang terletak di kaki Gunung Benom. Anda pastinya terpesona dengan keindahan alam semulajadi yang belum tercemar dan cuacanya yang sejuk, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi.
Kalau anda sukakan aktiviti lasak, apa kata anda cuba mendaki Gunung Benom? Anda juga boleh melihat gua semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna seperti kelawar, burung, ular, dan serangga kecil seperti lipas dan lipan.
10. Eight Arces Raub
Eight Arces merupakan satu lagi destinasi percutian eko-perlancongan yang terdapat di Raub. Di sini anda akan bermalam di tengah-tengah dusun durian yang lengkap dengan spa. Kami cadangkan anda datang semasa musim buah-buahan di mana anda boleh makan durian dan buah-buahan tempatan yang lain sepuas-puasnya.
11. Bilut Extreme Park
Bagi anda yang sukakan aktiviti lasak, jangan lupa untuk singgah ke Bilut Extreme Park di mana anda boleh lakukan aktiviti sukan ekstrim seperti memandu kenderaan ATV melalui kawasan hutan yang betul-betul mencabar. Pastinya anda akan pulang dengan pakaian yang penuh dengan lumpur dan selut.
Itulah dia tempat menarik di Raub yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan perkongsian kami tentang tempat menarik ini, kami pasti anda juga pasti berminat dengan tulisan kami berkenaan Tempat Menarik Di Seberang Perai, Tempat Hiking Di Selangor, dan Tempat Menarik Di Desaru.