10 Rumah Tradisional Melayu Di Malaysia
Malaysia sememangnya kaya dengan khazanah dan warisan budaya yang masih kekal dan boleh dilihat sehingga kini termasuklah rumah tradisional Melayu. Rumah-rumah tradisional Melayu yang terdapat di Malaysia ini telah diwarisi sejak ratusan tahun dahulu dengan gaya dan bentuk yang mempengaruhi cara hidup dan persekitaran masyarakat terdahulu.
Bukan sahaja melambangkan identiti sesuatu kaum, malah rumah-rumah tradisional Melayu ini juga mempunyai unsur-unsur yang mewakili kaum dan adat resam masing-masing yang diturunkan secara turun-temurun.
Tahukah anda hamper setiap negeri di Malaysia mempunyai rumah tradisional yang dibina dengan ciri-ciri tertentu? Rumah tradisional Melayu yang mempunyai ciri reka bentuk masyarakat lama ini tentunya berbeza di setiap negeri.
Mungkin sesetengah orang terutamanya generasi baru tidak tahu bagaimana dan seperti apa rumah tradisional Melayu yang ada di Malaysia. Jom teroka jenis-jenis serta keunikan binaan rumah tradisional Melayu yang terdapat di Malaysia.
Rumah Tradisional Melaka
Rumah Tradisional Melaka merupakan salah satu rumah tradisional yang dibina dengan reka bentuk yang bercirikan bumbung panjang dan tangga batu yang dilapisi jubin. Rumah yang diperbuat daripada kayu dan papan ini juga mempunyai bumbung yang diperbuat daripada nipah.
Selain itu, kebanyakan rumah tradisional Melaka menggunakan jenis tingkap yang terbuka ke luar dan mempunyai kayu kekisi di bahagian bawah tingkap dimana ianya memudahkan udara keluar dan masuk.
Rumah tradisional Melaka juga mempunyai tarikannya yang tersendiri di mana tangga batu yang dibina dengan pelbagai corak telah menjadikan rumah tersebut terlihat unik dan berbeza dengan rumah tradisional Melayu di negeri-negeri lain.
Rumah Minangkabau
Rumah Minangkabau yang banyak terlihat di Negeri Sembilan dibina oleh keturunan Minangkabau yang bercampur dengan Orang Asli. Rumah ini juga merupakan Rumah Gadang yang telah dikembangkan dan digabungkan dengan unsur seni bina Melayu tempatan.
Antara ciri binaan paling ketara yang terdapat pada rumah Minangkabau adalah bumbungnya yang berbentuk melengkung seperti tanduk kerbau dan dari sudut inilah ia menjadi identiti seni bina yang tersendiri.
Malah, rumah Minangkabau bukan sahaja mempunyai keunikan tersendiri dari segi struktur binaannya seperti tiang, bumbung, tingkap dan tangga, tetapi juga memiliki keunikan dari segi ukiran-ukiran yang cantik dan menarik pada bahagian hadapan rumah.
Rumah Limas
Rumah Limas adalah rumah tradisional Melayu yang terdapat di negeri Johor. Rumah tradisional ini telah menjadi warisan unik orang Melayu Johor dan ada juga yang mengatakan bahawa rumah ini merupakan campuran warisan daripada tradisi rumah orang Jawa, Palembang dan keturunan lain daripada kelompok bangsa Melayu di Kepulauan Melayu.
Ciri utama rumah Limas ini terletak pada bumbungnya yang berbentuk piramid. Malah, terdapat juga kayu berbentuk tajam dipanggil Tunjak Langit yang dipasang di puncak bumbung. Hal ini melambangkan identiti rumah Limas itu sendiri.
Keunikan seni bina rumah Limas juga dapat dilihat daripada bentuk asasnya yang dibina agak tinggi dari tanah serta ukiran dan jejaring yang terdapat di tingkap di mana aspek pengudaraan, pencahayaan serta keselamatan amat dititikberatkan dalam seni bina rumah Limas ini.
Rumah Kutai
Rumah Kumah adalah rumah tradisional yang terdapat di negeri Perak. Rumah ini merupakan rumah terawal yang dibina di negeri ini. Rumah Kutai adalah nama yang diberikan oleh penduduk tempatan dan perkataan ‘Kutai’ itu sendiri membawa maksud ‘lama’ atau ‘tua’.
Rumah Kutai yang telah berusia tua ini banyak terdapat berhampiran dengan tebing sungai Perak. Dengan beratapkan rumbia dan berdindingkan buluh, rumah Kutai telah memperlihatkan keunikan seni binanya yang tersendiri.
Selain itu, keistimewaan utama rumah Kutai yang terdapat di negeri Perak adalah terdapat bumbung yang dipanggil loteng yang berfungsi sebagai ruang penyimpanan barang-barang.
Rumah Tiang Dua Belas
Rumah Tiang Dua Belas ini hanya boleh ditemui di beberapa kampung dan bandar di Kota Bharu sahaja. Rumah tradisional Melayu yang ada di negeri Kelantan ini juga sudah berusia lebih dari 100 tahun.
Sesuai dengan namanya Tiang Dua Belas, rumah tradisional ini dibina dengan 12 batang tiang iaitu enam tiang serambi dan enam tiang panjang. Rumah Tiang Dua Belas ini juga terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu rumah ibu, ruang tengah dan dapur dengan memiliki fungsi masing-masing.
Rumah Serambi Gajah Menyusu
Rumah tradisional yang terdapat di negeri Pulau Pinang ini dinamakan rumah Serambi Gajah Menyusu. Rumah ini dipanggil dengan nama sedemikian kerana bumbungnya yang berbentuk tinggi dan rendah, menyerupai seekor gajah yang sedang menyusukan anaknya.
Namun, rumah tradisional dengan nama yang cukup unik ini bukan sahaja dibina dengan bumbung yang berbentuk tinggi dan rendah, malah dinding tegak yang dipanggil tebar layar juga dipasang di muka tepi dindingnya bagi melambangkan identitinya yang begitu menarik.
Rumah Bumbung Panjang
Jika di Pulau Pinang ada rumah Serambi Gajah Menyusu, di Selangor pula ada rumah Bumbung Panjang. Usia rumah Bumbung Panjang ini sudah melebihi 60 tahun. Di rumah Bumbung Panjang ini juga terdapat tiga bahagian iaitu rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur.
Seperti rumah-rumah tradisional lain yang memiliki bentuk bumbung yang berbeza, rumah Bumbung Panjang ini juga lain daripada yang lain kerana bumbungnya direka memanjang kebelakang serta dihiasi dengan jaringan kayu untuk tujuan pengudaraan serta mengurangkan haba masuk ke dalam rumah.
Rumah Serambi Pahang
Rumah Serambi Pahang sememangnya terkenal dengan seni binanya yang sangat kreatif. Rumah yang telah dibina sejak zaman sebelum munculnya pengaruh budaya luar ini hanya terdapat di kawasan perkampungan berdekatan dengan sungai.
Rumah tradisional Pahang ini juga mempunyai keunikannya yang luar biasa terutama dari segi teknik binaannya yang begitu kreatif, di mana rumah ini dibina dengan kayu tanpa menggunakan paku pada dinding dan lantai. Hanya menggunakan tanggam selain kayu sebagai bahan utama serta rotan yang bertujuan untuk mengikat, sudah cukup menguatkan struktur binaannya.
Rumah Bujang Berserambi Berselasar
Rumah Bujang Berserambi Berselasar ini pula merupakan rumah tradisional Melayu yang terdapat di negeri Terengganu dan tak kalah uniknya dengan rumah tradisional Melayu yang lain.
Rumah tradisional yang telah berusia kira-kira 200 tahun ini dibina dengan reka bentuk yang dipengaruhi oleh kehidupan seharian, pegangan agama, budaya yang diamalkan dan alam sekitar. Jadi, tidak hairanlah mengapa seni bina rumah ini dikatakan berkait dengan kreativiti masyarakat Melayu dan hubungan mereka yang sangat dekat dengan alam sekitar.
Rumah Bujang Berserambi Berselasar ini juga hanya mempunyai ruang luas dan tidak mempunyai bilik. Namun, rumah yang dibina dengan aras sedikit tinggi dari tanah ini mempunyai bahagian bawah yang membolehkan kerja-kerja harian dilakukan.
Rumah Kedah
Negeri Kedah juga tidak ketinggalan dalam mempamerkan kehebatan seni binanya yang sungguh unik dan menarik. Rumah Kedah yang merupakan salah satu seni bina masyarakat Kedah ini mencerminkan nilai kesenian orang-orang Melayu terdahulu.
Rumah tradisional berbumbung panjang dan mendatar ini diperbuat daripada kayu cengal dan meranti serta dihiasi dengan ukiran-ukiran yang sungguh indah dan mempesona pada dinding luaran rumah.
Uniknya ukiran yang terdapat pada rumah Kedah ini bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, tetapi juga berfungsi sebagai elemen permukaan yang membahagikan antara ruang dalam dengan ruang luar.
Banyak lagi rumah tradisional Melayu yang terdapat di Malaysia. Rumah-rumah ini menjadi peninggalan bermakna yang melambangkan kehidupan orang terdahulu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan masyarakat Melayu dahulu sangatlah kreatif dan berkemahiran tinggi dalam seni bina rumah. Hal ini dapat dilihat jelas dari keunikan serta keistimewaan yang dimiliki oleh setiap rumah tradisional Melayu yang terdapat di Malaysia.
Anda suka akan artikel berkaitan fakta menarik? Jom baca artikel kami yang lain seperti: