Pasar Malam Brinchang: Apa Menarik Di Sini?
Pasar Malam Brinchang merupakan salah satu tempat menarik yang perlu dikunjungi jika ke Cameron Highland. Namun, sebelum pergi ke pasar malam ini, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu.
Cameron Highland merupakan destinasi utama percutian seisi keluarga. Ramai yang memilih untuk bercuti ke Tanah Tinggi Cameron kerana cuacanya yang sejuk serta banyak tempat menarik yang berdekatan antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja, ramai yang ke sini untuk mendapatkan sumber makanan terutama sayur dan buah-buahan yang segar. Ini semua anda boleh dapatkan di Pasar Malam Brinchang. Jom teroka apa yang menarik di sini!
Info Anda Perlu Tahu
Buat pengetahuan ramai, Pasar Malam Brinchang tidak lagi beroperasi di tempat lama iaitu di Brinchang. Pasar malam ini telah berpindah ke Golden Hills iaitu di Tanah Rata. Berpindah ke tempat yang lebih selesa dan luas, ia memudahkan pengunjung untuk ke sini.
Walaupun sudah berpindah tempat, pasar malam ini masih dikenali dan disebut sebagai Pasar Malam Brinchang. Pasar malam ini dibuka seawal 3.00 petang hingga 10.30 malam.
Jika ada yang tak tahu, pasar malam dibuka pada setiap hujung minggu sahaja iaitu Jumaat dan Sabtu. Jika anda bercuti ke Tanah Tinggi Cameron pada cuti sekolah, satu kelebihan buat anda adalah anda dapat mengunjungi pasar malam ini setiap hari. Pasar malam ini dibuka pada setiap hari pada cuti sekolah. Yang pasti lebih meriah walaupun bukan hujung minggu.
Apa yang menarik di sini? Seperti pasar malam di tempat anda, pasar malam Brinchang turut menjual aneka barang termasuk cenderamata, makanan, pakaian dan sebagainya.
Kelainanannya pasar malam di sini adalah menjual aneka jenis barangannya atau produk dari Cameron Highland. Sebagai contoh adalah makanan. Ramai yang sedia maklum, Cameron Highland terkenal dengan sumber buah-buahan dan sayur -sayuran yang segar. Jagung, ubi dan strawberi antara perkara yang menjadi buruan pengunjung.
Tak cukup dengan itu, aneka makanan panas yang lain turut dijual seperti mi kari, kuay teow goreng, apam balik, ayam gunting dan sebagainya. Jangan lupa untuk merasai makanan terkenal di pasar malam Brinchang iaitu Dorayaki, Bebola Sweet Potato dan Smoky Ice Cream yang enak dimakan sewaktu panas di musim yang sejuk ini.
Kaum ibu jangan ketinggalan untuk membeli pokok dan bunga yang segar di sini. Bunga-bunga yang cantik pasti membuat kaum ibu terpukau hingga tak cukup tangan untuk membawanya pulang ke rumah.
Bagi anak-anak, melihat saja banyak mainan yang dijual, pasti ada yang berkenan. Jangan hampakan mereka, beli saja sedikit buah tangan untuk dijadikan kenangan.
Tips Ke Pasar Malam
Pasti ada yang mahukan tips untuk mengunjungi pasar malam agar perjalanan ke sini lancar. Tanah Tinggi Cameron sememangnya terkenal dengan kesesakan lalu lintas terutama ke lokasi strategik atau tempat menarik yang menjadi tumpuan utama setiap pengunjung, termasuklah pasar malam.
Ramai orang yang mahu ke sini tetapi mengubah fikiran sebaik saja menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk. Hal ini kerana pengunjung mungkin datang pada waktu kemuncak dan tidak merancang perjalanan sebaiknya. Jadi ini tips buat anda yang ingin ke sini.
Tips utama adalah memilih homestay atau hotel yang berada di Golden Hills. Terdapat banyak hotel dan homestay yang ditawarkan buat pengunjung dengan harga yang berbaloi di sini. Golden Hills Apartment merupakan lokasi yang berhadapan dengan pasar malam.
Cari penginapan yang terdekat dengan pasar malam agar anda tak perlu bersusah-payah mencari parkir serta menghadap lalu lintas. Hanya berjalan beberapa langkah, anda akan sampai ke pasar malam.
Bagi pengunjung yang menginap jauh, kami galakkan anda untuk datang seawal mungkin bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Waktu kemuncaknya sudah pasti pada waktu malam.
Selain itu, pakailah pakaian yang sesuai terutama kasut kerana anda akan berjalan dengan jarak yang melelahkan memandangkan pasar malam ini sangat luas.
Lokasi: Golden Hills, Tanah Rata, Cameron Highland.
Secara ringkasnya, datanglah ke Pasar Malam Brinchang kerana anda dapat membeli pelbagai barangan Cameron Highland hanya pada satu tempat. Anda juga dapat membeli makan malam dengan harga yang lebih murah.
Menjadi salah satu tempat menarik yang perlu dikunjungi di Tanah Tinggi Cameron, tak kira pengunjung tempatan mahupun luar negara pasti seronok berada di pasar malam Cameron Highland ini.
Berada di Cameron Highland, jangan lupa untuk singgah ke tempat menarik ini: