Sedang mencari port makanan terbaik di Johor Bahru? Kunjungi lebih daripada 20 tempat makan menarik di Johor Bahru. Memang berbaloi-baloi! 

Apa yang pasti, anda dapat memuaskan segala makanan yang anda idamkan selama ini dengan harga yang berpatutan serta kualiti yang dihidangkan.

Tidak lengkap percutian anda jika anda sedang bercuti di sekitar negeri Johor Bahru, sebuah negeri yang paling hampir dengan negara Singapura yang menempatkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitarnya. Apa yang lebih menarik, terdapat pelbagai jenis makanan yang menarik daripada negeri Johor.

Bila disebut Johor Darul Takzim semestinya akan terpacul di mulut perkataan JDT bagi setiap rakyat Malaysia terutamanya bagi peminat bola sepak tempatan. JDT sudah lama terpahat di hati rakyat Johor mahupun rakyat di seluruh Malaysia dan dianggap sebagai satu pasukan yang mantap dan licik dalam arena bola sepak.

Dah kalau di dalam arena bola sepak mereka sudah dianggap antara yang terbaik, ini kan pula di dalam bahagian makanan sama ada makanan tradisional mahupun moden bagi negeri Johor Darul Takzim. 

Berikut adalah senarai 20+ tempat makan menarik di Johor Bahru yang terbaik untuk anda cuba bersama yang lain.

Restoran Sayam

 Alamat: No 19, Jln Stulang Laut, Taman Stulang, 80300 Johor Bahru

Jika anda penggemar makanan pedas ala – ala masakan Thailand, Restoran Sayam merupakan pilihan yang tepat untuk anda kunjungi. Sekiranya anda berkunjung ke sini, semua jenis masakan Thai dapat dijumpai. Antaranya menu Siakap Stim Lemon adalah menu yang paling top dan laku keras.

JIBRIL JB

JIBRIL JB merupakan cawangan JIBRIL yang keempat dan terkini. Restoran yang mengetengahkan menu-menu berasaskan butter kini mendapat sambutan dan permintaan ramai di ibu kota. Tak perlu lagi bersusah-payah ke KL mahupun Selangor, kerana di Johor Bahru sudah ada cawangannya!

Lebih unik, pintu masuk rahsia terdapat di sebalik rak buku. Teruja bukan? Ruangan dalam restoran lebih cantik dengan hiasan mewah. Bermula pembuka selera, menu utama sehinggalah pemanis mulut, ramai yang rambang mata untuk memilihnya.

Tak tahu nak makan apa? Kami cadangkan anda untuk rasai keenakan Salted Egg Butter Chicken, Nasi Lemak Butter Combo dan Hot Chilli Butter Clams yang dimakan bersama mantou atau garlic bread. Antara menu lain yang menarik perhatian kami adalah Pisang Goreng XL, Chilli Corn Carne dan Butterchicken Chop Pasta. Kuantiti hidangan sangat mengenyangkan dan anda pasti terkejut dengan harganya yang sangat berbaloi! 5 Star Taste, 2 Star Price!

Tengok gambar sahaja sudah terliur, apatah lagi rasanya yang pasti menambat selera pengunjung. Jom ajak yang tersayang untuk menikmati menu-menu di sini! Layari JIBRIL JB untuk melihat menu, membuat tempahan mahupun promosi terkini!

Alamat: No. 51, 51-01 & 51-02, Jalan Geroda 2/1, Pusat Perdagangan Larkin, Larkin Jaya, 80350 Johor Bahru, Johor

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-12.00 am)

Kacang Pool Haji

Alamat: Jalan Sabar, Taman Dato Onn, 80350 Johor Bahru, Johor

Rugi kalau anda datang ke negeri Johor tetapi tidak cuba makanan tradisi dan popular di sini iaitu Kacang Pool. Ianya sejenis makanan yang selalu di makan ketika sarapan pagi. Kacang Pool Haji adalah salah satu tempat makan di Johor Bahru yang wajib anda rasai keunikan makanannya sendiri.

Kopi keju

Alamat: 34, Jalan Nibong 17, Taman Daya, 81100 Johor Bahru, Johor

Kalau anda antara golongan yang sentiasa inginkan makanan yang unik dan trendy, di Kopi Keju anda boleh menjumpai makanan yang telah diubah suai menjadi lebih unik iaitu pisang goreng cheese yang ditaburi dengan pelbagai jenis topping yang lain. Inilah port yang wajib anda singgah. 

Murtabak Majid Special Cheese No 1

Alamat: No. 38, Lot 5581, Jln Kurniawan, Kampung Kurnia, 80250 Johor Bahru

Kepada si pencinta murtabak, wajib bagi anda untuk mengunjungi Murtabak Majid ini kerana mereka menyediakan murtabak yang sangat sedap terutama sekali murtabak special cheese mereka. Ianya dikenali hampir ke semua rakyat negeri Johor. Keenakan murtabak ini membuatkan pelanggan datang lagi.

Apa yang menariknya di sini murtabak ini dimasak bersama cheese yang sangat banyak dan cuba anda bayangkan saja di setiap gigitan anda terdapat adanya cheese yang meleleh keluar dari murtabak special ini. Apa yang pasti ianya cukup rasa dan tidak memuakkan.

Onn Kitchen

Alamat: 29A, Jalan Tarom, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor

Untuk mendapatkan dgin lembu dan BBQ yang cukup perapannya, anda boleh cuba masakan di ONN kitchen kerana perapan yang mereka sediakan memang merupakan antara yang terbaik yang boleh dijumpai di negeri Johor. Antara menu lain yang menjadi rebutan adalah nasi lemak sambal paru mereka.

Bubur nasi istimewa No. 1

Alamat: 91, Jalan Sutera, Taman Sentosa, 80150 Johor Bahru, Johor

Bubur nasi Istimewa ini merupakan kedai makan yang menyediakan bubur nasi. Walaupun ianya hanya sekadar bubur, ianya menjadi sebutan ramai dek kerana keenakannya! Lebih menarik, bubur tersebut akan disediakan bersama dengan telur masin, kangkung tumis serta sambal kicap istimewa mereka.

Warong Saga

Alamat: 5, Jalan Mahmoodiah, Kampung Mahmoddiah, 80100 Johor Bahru, Johor

Apa yang sedap dan wajib anda cuba makan di sini adalah tauhu gorengnya yang boleh dikatakan antara menu yang berada di dalam carta teratas. Selain itu, menu lain yang anda boleh cuba di sini adalah lontong kering dan laksa Johor di mana ianya merupakan makanan tradisi di negeri Johor Darul Takzim ini.

Roslin Beriani House

Alamat: 14, Jalan Rebana, Taman Perbadanan Islam, 80250 Johor Bahru, Johor

Roslin Beriani House merupakan antara salah satu tempat menarik di negeri Johor ini. Johor dan Beriani gam merupakan gabungan asli sejak dari zaman dahulu lagi. Jadi, amat rugi jika anda tidak mencuba beriani gam di Johor. Makanan di sini amat baik dengan harga yang boleh dikatakan amat berpatutan. 

Restoran Azmi Wawa

Alamat: ABC Kg Melayu Majidee,17 Jalan Masjid, Kg Melayu Majidee,Johor

Di sini, anda boleh dapatkan menu istimewa mereka iaitu sup tulang merah yang sememangnya amat sedap di makan begitu sahaja. Selain itu, anda boleh dapatkan ABC istimewa bersama dengan topping yang bervariasi dengan hanya bernilai RM3 sahaja.

IT Roo Café

Alamat: No. 17, Jln Dhoby, Bandar Johor Bahru, 80000 Johor Bahru, Johor

Jika anda penggemar makanan barat, antara tempat makan menarik di Johor Bahru ini adalah IT Roo Café di mana mereka menyediakan pelbagai jenis menu makanan barat hampir di serata dunia. Selain Chicken Chop, makanan Barat lain seperti Chicken Grill, Lamb Chop serta Meatball special juga dapat dinikmati.

Tetapi, anda juga boleh dapatkan makanan yang sinonim dengan negara Malaysia seperti Cantonese Kuey teow goreng menjadi pilihan ramai yang mengunjungi IT Roof café. Anda akan dapat merasai suasana moden dan hipster sepanjang anda berada di kawasan ini.

Anjung Warisan

Alamat: JKR296, Jalan Petri,80100, Kampung Tarum

Untuk anda yang ingin merasai suasana tradisional dan kampung, di Anjung Warisan anda boleh rasai suasana seperti itu. Di tambah pula dengan menu makanan yang sememangnya terdiri daripada masakan-masakan kampung, ianya pasti menggamit perasan serta memori anda ketika di kampung.

Asma Rojak Larkin

Alamat: Food Court Mara, bersebelahan terminal bas Larkin

Jika anda penggemar rojak, anda boleh datang ke Asma Rojak Larkin kerana di sini pelbagai jenis rojak yang mereka sediakan. Ianya pasti membuatkan anda rambang mata untuk membuat pilihan. Hati-hati takut anda terbeli lebih daripada yang sepatutnya.

Kapten Steamboat and Grill

Alamat: Jalan Tun Abdul Razak (Susur 6), Taman Suria Muafakat, 81200 Johor Bahru, Johor

Kepada si penggemar steamboat dan grill, anda memang diwajibkan untuk mengunjungi ke Kapten Steamboat and Grill ini. Dengan variasi pilihan untuk bahan-bahan steamboat membuatkan anda berasa sangat berbaloi untuk melaburkan duit anda pada hari tersebut.

Selain itu, restoran ini juga sesuai untuk jamuan makan malam berkeluarga atau bersama rakan-rakan dan ianya juga sesuai untuk sebarang majlis berskala sederhana seperti sambutan hari guru atau majlis persaraan staf. Sejujurnya, mereka mampu memberikan harga yang berpatutan serta servis yang terbaik.

Sedap Corner

Alamat: No 11, Jalan Abdul Samad, Kampung Bahru, 80100 Johor Bahru, Johor

Daripada nama sahaja pun kita sudah boleh tahu bahawa tempat ini merupakan antara tempat makan menarik di Johor Bahru. Merupakan antara kedai makan yang paling lama di Johor Bahru, ianya mula beroperasi dari tahun 1987! Ianya sememangnya kedai makan yang retro.

Tapah Corner

Alamat: 1, Jalan Ketam, Taman Suria, 81100 Johor Bahru, Johor

Sebelum anda memulakan hari anda, apa kata anda singgah sebentar ke Restoran Tapah Corner. Kepada sesiapa yang tiada masa untuk menyediakan sarapan, sesungguhnya restoran ini pasti akan menjadi pilihan yang tepat buat anda tanpa anda perlu berfikir panjang lagi.

Restoran Sri Bayu Perdana

Alamat: 13, Susur Dewata 1, Taman Larkin Perdana, 80350 Johor Bahru, Johor

Beroperasi sejak dari tahun 2009 membuatkan restoran ini menjadi tempat makan menarik di negeri Johor Bahru. Antara menu yang menjadi pilihan ramai adalah menu masakan kampung yang menggunakan resepi turun-temurun dan menjadi igauan sesiapa sahaja yang mengunjungi restoran ini.

Warung Boyan

Alamat: Jalan Pujaan, Taman Dato Onn, 80350 Johor Bahru, Johor

Anda tidak perlu untuk ke Indonesia lagi kerana di Warung Boyan telah menyediakan menu masakan daripada negara seberang iaitu Indonesia. Bakso merupakan antara menu yang paling popular di warung ini dek kerana keenakan bebola daging yang mereka sediakan itu.

Cupchai Café and Retro

Alamat: 23 Jalan Padi Emas 1/4, Uda Business Centre, Bandar Baru Uda, 81200 Johor Bahru, Johor

Jika anda mengunjungi ke sini, anda dapat menikmati pelbagai jenis makanan antaranya menu adalah Nasi Kukus Ayam Berempah, Mi Rebus dan pelbagai lagi dan jika anda ingin mencuba makanan Barat, Fetuccini Carbonara dan Spaghetti Bolognese pasti akan menjadi pilihan buat anda.

Selain itu, roti titab dan kacang pool merupakan antara pilihan menu yang sangat sinonim dengan rakyat di negeri Johor. Ianya dapat membuatkan anda berasa ingin lagi makanan tersebut dan akan berasa puas hati setelah dapat menghabiskan makanan daripada kedai makan ini.

Cookies and Ginger

Alamat: 107, Jln Adda 3/1, Adda Heights, 81100 Johor Bahru, Johor

Di Cookies & Ginger, menu Nachos merupakan antara menu yang paling istimewa yang wajib anda cuba dan rasai. Selain itu, menu lain seperti Rib Eye Steak, Spaghetti Aglio Olio dan Lamb Shoulder juga merupakan antara menu yang menarik di sini di mana ianya membuatkan anda berasa tidak cukup dengan satu.

The Dreamliner Air Café

Alamat: 7, Jalan Harmonium 35/1, Taman Desa Tebrau, 81100 Johor Bahru, Johor

Antara sebab The Dreamliner Air Café ini menjadi salah satu tempat makan menarik di Johor Bahru adalah disebabkan keunikan mereka dalam menjadikan restoran ini seakan berada di dalam pesawat penerbangan. Ianya bakal membuatkan anda sedang berada di dalam pesawat penerbangan di udara.

Antara menu-menu yang boleh anda cuba di sini ialah Hawaii Grill Chicken Chop, Mongolian Chicken Rice, Grill Chicken Burger dan banyak lagi! Menu di sini juga berasaskan masakan Barat dan Timur di mana mereka cuba untuk menggabungkan dua benua yang berbeza.

Banafee Village

Alamat: 9022, Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad, 80300 Johor Bahru, Johor

Kepada si penggemar nasi ayam penyek serta nasi padang, anda boleh mengunjungi ke Banafee Village kerana sememangnya mereka mampu menghasilkan masakan yang terbaik buat anda. Apa yang pasti, harga yang ditawarkan amat berpatutan.

Selain itu, anda boleh dapatkan juga sup tulang merah serta ikan bakar yang sememangnya boleh menaikkan semangat anda untuk makan nasi sehingga dua pinggan. Antara sebab kenapa nasi ayam penyet mereka begitu digemari adalah disebabkan sambal serta kesedapan ayam tersebut.

Sebenarnya, masih banyak lagi tempat makan menarik di negeri Johor Bahru ini yang tidak disenaraikan lagi. Tempat makan menarik yang telah disenaraikan ini merupakan antara sumber pemberitahuan daripada pengunjung yang pernah mengunjungi restoran-restoran ini. Selamat mencuba!

Sumber rujukan:

https://www.remaja.my/20-port-makan-popular-dan-sedap-di-johor-rugi-kalau-tak-lepak/
https://www.facebook.com/makanbestjohor/

Penulis: bomstart

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.